DR. JESSICA ONG HAI LIAW
SETELAH puluhan
tahun merdeka kita kelihatan masih mencari-cari erti perpaduan yang sering
dilaungkan, dan ada ketikanya terfikir adakah belia pada hari ini memahami
semangat 1Malaysia. Semangat perpaduan yang dilaungkan demi membangunkan
masyarakat yang aman dan makmur.
Sempena Hari
Belia, kita perlu merenung sejenak, melihat apa peranan belia dalam mencapai
semangat 1Malaysia? Di manakah kita perlu bermula? Di rumah, sekolah, tempat
kerja atau di mana sebenarnya? Adakah Sekolah Wawasan berjaya? Adakah Program
Latihan Khidmat Negara berjaya?
Sekolah Wawasan
dan Program Latihan Khidmat Negara memang ada kebaikannya dan kejayaannya,
tetapi terdapat keperluan untuk ditambah pengisiannya. Malah digiatkan lagi
program-program lain sepertinya.
Perpaduan perlu
datang dari hati yang ingin kenal dan menyelami setiap budaya dan bangsa di
Malaysia. Kalau kita tidak tahu, kita cuba fahami. Kalau kita tidak pasti, kita
cuba ikuti. Pengalaman hidup adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli.
Pengalaman hidup
saya yang biasa bergaul dengan kaum Melayu dan India membuatkan saya tidak
pernah rasa kekok atau terpinggir apabila bersama mereka. Sebenarnya bermula
dari kecil lagi keluarga menggalakkan saya hidup dalam suasana berbilang kaum
terutama bersama orang Melayu. Di sini saya melihat sikap hormat-menghormati
antara sesuatu bangsa sangat penting apatah lagi menghormati agama
masing-masing.
Kepentingan
perpaduan disokong oleh bekas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang
mengatakan bahawa manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat
menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.
Pada satu
kesempatan, saya bertanyakan kepada beberapa belia berlainan bangsa tentang
perayaan-perayaan di Malaysia. Ternyata kebanyakan mereka tidak tahu apa itu
Perayaan Pesta Tanglung, Hari Cheng Beng, Hari Thaipusam, Hari Ponggal, Hari
Vaisakhi, Maulidur Rasul dan beberapa perayaan lain.
Mereka cuma tahu
perayaan penting seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru
Cina dan Hari Deepavali. Bagaimana mereka hendak tahu jika tidak pernah
diberitahu dari kecil? Bagaimana mereka dapat mengenali budaya bangsa lain jika
ibu bapa tidak menerangkan dan membawa mereka melawat kawan-kawan yang
berlainan bangsa?
Kita semua sibuk
dengan urusan pejabat dan harian dan akhirnya penat kerana mencari rezeki maka
kita terlepas pandang tentang pentingnya bertandang ke rumah kawan-kawan kita
yang lain dan mengeratkan silaturahim antara kita.
Saya ingin
memetik kisah pakcik saya yang kami panggil Ah Koo, maksudnya pakcik dalam
bahasa Hokkien yang kini masih menetap di Gunung Keriang, Kedah. Ah Koo sangat
sayangkan kanak-kanak Melayu di kampungnya kerana memang majoriti penduduknya
ialah Melayu. Ah Koo mengatakan bahawa semua kanak-kanak Melayu telah dianggap
anaknya sendiri.
Apabila tiba
Tahun Baru Cina, maka Ah Koo akan mengupah orang Melayu membuat kuih Melayu dan
tetamu yang datang akan dihidangkan dengan ketupat, rendang, kuih-kuih tradisional
Melayu dan minuman air kelapa. Buah kelapa pula dipetik oleh orang Melayu.
Saya bertanya
kepada Ah Koo, Kenapa makanan Melayu? Katanya: "Semua rumah orang Cina
bagi makanan yang sama, aku nak jamu makanan Melayu, senang semua orang Melayu
datang nanti tak was-was nak makan sebab yang masak orang Melayu".
Begitulah prihatinnya Ah Koo yang disayangi di Gunung Keriang.
Saya juga terharu
dengan penduduk di Tandop Besar, Kedah semasa saya mengajar di sana selama dua
tahun. Sesuatu yang tidak dapat dilupakan bagaimana masyarakat Melayu di sana
menjaga saya dengan baik.
Jika ada kenduri
di kampung, saya akan disediakan makanan tambahan. Tuan rumah akan bertanya:
"Cikgu makan daging lembu tak, makcik dah sediakan lauk ayam ini khas
untuk cikgu". Saya terharu kerana makcik itu memahami tanpa diberitahu
pun.
Kenangan berbuka
puasa bersama orang Melayu di kampung memang diingati kerana sayalah orang yang
paling sibuk sebagai tukang rasa lauk pauk yang dimasak untuk berbuka puasa
nanti.
Begitu juga
dengan seorang kawan bernama Geetha, seorang cikgu keturunan India yang
bertugas di sebuah kampung memberitahu bahawa dia juga diberi layanan yang
sangat baik di kampung tempatnya mengajar.
Mereka memahami
budaya orang India dan ada penduduk kampung yang masak di kuali lain khas untuk
Geetha yang hanya makan sayur. Tersentuh hati Geetha kerana layanan orang
Melayu kepadanya.
Semangat
1Malaysia memang wujud dari dahulu lagi dan kita perlu memperkukuhkannya
melalui usaha yang proaktif dan bukan hanya melaungkan slogan tanpa
mempraktikkannya.
Program seperti
Program Khas Anak Angkat Berbilang Bangsa perlu diwujudkan dari awal lagi oleh
Kementerian Pelajaran bergabung dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, serta Kementerian Belia dan Sukan.
Konsepnya boleh
diadakan secara secara santai seperti menerangkan kepada anak-anak Malaysia
tentang perayaan, budaya dan bangsa di Malaysia. Anak-anak Malaysia ini perlu
dibawa dalam program begini dan penerangan perlu diberikan kepada mereka
bagaimana menghormati budaya berbilang bangsa.
Jelajah Belia
1Malaysia ke Perkampungan Cina yang berbilang etnik seperti Teochew, Hokkien,
Kantonis, Hakka, Foochow dan lain-lain. Jelajah ke Perkampungan Jawa,
Perkampungan Orang Asli dan merentas ke Sabah dan Sarawak yang lagi unik dengan
etniknya berbeza.
Apabila kita
merasai sendiri pengalaman hidup bersama bangsa lain, maka kita akan mengenali
budaya yang pelbagai itu dengan hati dan jiwa. Ketika ingin memasuki alam
perkahwinan, saya teringat pesan kata orang tua-tua ketika itu:
"Belum
kahwin tak tahu lagi tapi bila dah kahwin dah hidup serumah baru tahu banyak
perbezaan yang wujud antara suami isteri". Itu contoh suami isteri yang
sama bangsa. Bagaimana kalau kita sama bangsa tetapi berlainan etnik? Kita
fikirkan bersama?
Bagi saya,
apabila kita cuba kenal maka kita akan cinta dan apabila cinta maka kita akan
setia. Apabila setia pada satu, maka kita akan terus setia selamanya kepada
Malaysia. Salam 1Hati.
Penulis ialah
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
dan pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/