Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
Operasi perlu penjenamaan semula pastikan pengguna jalan raya terus patuhi undang-undang
OPERASI Sikap (Ops Sikap) diperkenalkan pada 2001 bertujuan mengurangkan kadar kemalangan serta kematian pengguna jalan raya sepanjang tempoh empat perayaan utama iaitu Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina.
Namun selepas 10 tahun, Ops Sikap yang turut membabitkan Ops Bersepadu sempena perayaan terbabit yang kini mencecah siri ke-23 penganjurannya, dilihat seolah-olah mula kehilangan ‘taring’. Kesannya semakin hambar dalam menepati motif pelaksanaannya mendidik pengguna supaya lebih berhemah ketika memandu..
Justeru, timbul saranan ia diberi suntikan baru termasuk dijenamakan semula bagi mengembalikan keberkesanan terutama dalam mewujudkan ‘kegerunan’ pengguna jalan raya terhadap Ops Sikap seperti pernah dilalui ketika tempoh awal pelaksanaannya dulu.
Ops Sikap diperkenalkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak sebagai peneraju dan dibantu beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Bagi memastikan peranan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang tercapai, jumlah kehadiran pihak berkuasa terutama polis di jalan raya dipertingkatkan sepanjang tempoh dua minggu Ops Sikap, dengan harapan pemandu lebih berhati-hati kerana menganggap diri mereka sentiasa diperhatikan.
Apa pun, kegerunan itu dilihat semakin pudar menyebabkan pihak berkuasa kini tidak boleh lagi bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata terutama saman, bagi memastikan pengguna patuh kepada undang-undang.
Ada kalangan pengguna terbukti tidak gentar dengan saman termasuk ketika tempoh Ops Sikap, sehingga sewenang-wenangnya memandu sesuka hati.
Contoh, ketika cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, beberapa laluan utama sesak secara mendadak apabila jumlah kenderaan dilapor bergerak secara serentak ke destinasi masing-masing.
Ketika ratusan ribu kereta bergerak perlahan di laluan terbabit, ada segelintir pemandu ‘hantu’ yang tidak sabar mula membuka laluan sendiri di lorong kecemasan untuk mengelak kesesakan, seolah-olah tidak gentar dengan penguatkuasaan Ops Sikap ke-23 yang sedang berjalan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, ketika diajukan persoalan itu mengakui anggapan sedemikian ada benarnya. Malah, saranan supaya Ops Sikap diberikan nafas baru turut diakui keperluannya.
Beliau melihat Ops Sikap sudah habis bisa. Namun, sejak dilaksanakan pada 2001 lalu sehingga mencecah siri ke-23 kini, hasil yang diperoleh amat memberangsangkan.
“Ini terbukti apabila purata kematian pengguna jalan raya yang direkodkan sepanjang tempoh Ops Sikap dapat diturunkan kepada 13 orang sehari, berbanding 18 pada hari biasa.
“Bayangkan tanpa Ops Sikap. Mampukah angka sedemikian dicapai terutama ketika pertambahan kenderaan mendadak. Cuma yang pasti, usaha meningkatkan kesedaran pengguna terhadap pentingnya mengamalkan sikap pemanduan berhemah di jalan raya perlu dipertingkatkan,” katanya.
Berdasarkan statistik Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), indeks kematian bagi setiap 100,000 populasi di negara ini bagi tempoh sebelum Ops Sikap dilancarkan berada pada kadar 25.5 setahun. Bagaimanapun, selepas Ops Sikap dilancarkan pada 2001, kadar itu menurun 23.1 bagi setiap 100,000 populasi, yang dianggap membanggakan.
Namun, persoalan kini ialah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Ops Sikap. Benar pengurangan kemalangan dan kadar kematian adalah sasaran utama, namun bagaimana pula sikap pengguna yang bukan mudah diukur. Mungkinkah sikap pengguna tidak begitu penting, asalkan kadar kematian dan kemalangan dapat dikurangkan?
Sudah pasti matlamat sebenar Ops Sikap bukan sekadar menurunkan jumlah kemalangan termasuk kes maut malah membentuk sikap pemandu supaya lebih berdisiplin dan bertolak ansur di jalan raya, baik ketika kehadiran polis atau JPJ atau sebaliknya.
Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung keberkesanan Ops Sikap XIII sempena Aidilfitri antara 7 hingga 21 Oktober 2007, melaporkan sikap pengguna di jalan raya bergantung kepada persepsi masing-masing dalam soal kebarangkalian untuk dikenakan tindakan.
Berdasarkan laporan itu, persepsi untuk ditangkap (dikenakan tindakan) di kalangan pengguna meningkat 4.03 peratus beberapa hari selepas Ops Sikap dilancarkan dan ia terus meningkat kepada 67.81 peratus sehingga tempoh berakhirnya operasi itu.
Malah, majoriti responden mengakui kehadiran penguatkuasa di lokasi memainkan peranan dalam menentukan persepsi masing-masing untuk dikenakan tindakan, sama ada ketika Ops Sikap dijalankan atau di luar tempoh operasi.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/