Khamis, 12 September 2013

ISU PENDIDIKAN : PPPM Persiapan hadapi alaf 21


Oleh : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri pada 6 September lalu adalah persiapan untuk menyediakan generasi penerus dan negara menghadapi cabaran alaf 21.

Antara cabaran alaf 21 ialah perkembangan ilmu dan proses pendidikan yang dinamik. Perkembangan teknologi terutama teknologi maya dan media baru adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan perancangan yang rapi dan strategik.

Faktor globalisasi adalah faktor paling utama mendepani cabaran perubahan hari depan. Faktor hak asasi manusia mengikut ukuran Barat, budaya popular dan hedonistik yang sedang menular, hegemoni pihak luar terhadap faktor teknologi, ekonomi dan budaya memberikan Malaysia pilihan mencabar untuk terus maju dan berubah.

Oleh itu generasi muda harus dipersiapkan untuk respons kepada cabaran globalisasi di samping mengukuhkan asas-asas fundamental dan relevan dengan iklim Malaysia yang ingin maju dalam acuan kita sendiri.

Perubahan dalam ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Tradisi penyelidikan dan pengembangan menyebabkan ilmu berkembang dinamik. Ia menuntut kebijaksanaan bagaimana perkembangan ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi dapat disantuni dan dimanfaatkan dengan bijaksana.

PPPM melibatkan kajian terhadap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid dan orang ramai di seluruh negara. Ia telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa.

Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Kualiti kurikulum dan guru, pengurusan sekolah dan masyarakat, kaedah penyampaian dan cara pengukuran mempunyai kaitan rapat membangun pelan ini.

Terdapat enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global. Ciri-ciri itu ialah ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional.

Ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang amat penting bagi mendepani perubahan. Integrasi ilmu dan nilai adalah sesuatu yang amat penting supaya ilmu tidak hanya dipelajari secara mekanistik tetapi sekali gus membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.

Kemahiran berfikir merupakan faktor penting perubahan berlaku. Ilmu tidak hanya dihafaz semata-mata untuk keperluan peperiksaan. Dalam tradisi umat Islam yang membawa kepada tamadun proses pengajaran dan pembelajaran melalui lima tahap yang sifatnya saling mengukuh. Di samping hafazan, kefahaman adalah perlu.

Selepas faham, berfikir adalah amat utama. Berfikir melahirkan pemikiran (fikrah). Daripada nya proses internalisasi (penyerapan) harus berlaku. Akhirnya manifestasi ilmu itu terlihat pada amal.

Kemahiran memimpin memerlukan latihan. Kokurikulum dan ekstra kurikulum yang harus disusun semula supaya potensi pelajar dapat dingilap secara praktis dan bersifat lapangan. Kepimpinan dan pengikutan adalah asas penting lahirnya sistem dan masyarakat yang baik.

Kemahiran dwi bahasa dan beberapa bahasa dalam konteks Malaysia amat mustahak. Penguasaan bahasa Melayu yang berstatus ilmu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa harus dijadikan fokus. Dalam tradisi tamadun Islam terdahulu penguasaan banyak bahasa menjadi resam amalan dalam kalangan ilmuwannya dan bahasa Arab dijadikan bahasa utama.

Etika dan kerohanian adalah sesuatu yang paling utama dalam mana-mana proses transformasi pendidikan. Agama yang mendukung Nilai Paling Utama (Supreme Values) dan Nilai-nilai Interaktif (sejagat) adalah penting membentuk watak dan sahsiah.

Barat suatu ketika menjadikan agama sebagai latar penting pembinaan etika dan nilai.

Mendepani Barat dan Timur, warga Malaysia harus memanfaatkan faedah berbanding yang sifatnya menyumbang ke arah pembangunan tamadun. Tradisi Islam silam menjadikan ini sebagai resam tradisi yang sifatnya menyumbang terhadap kemajuan tamadun Islam itu sendiri.

Dalam konteks Islam faktor berbanding ini perlu melalui penyesuaian epistemologi (falsafah ilmu) supaya ia terbina dengan kekuatan etika dan nilai. Inilah yang dikatakan integrasi dan islamisasi ilmu yang giat dilaksanakan di Malaysia supaya tasawwur mengenai ilmu sifatnya merangkumi.

Malaysia ada perjalanan sejarah dan budayanya sendiri. Kemajmukan adalah ciri penting masyarakatnya. Amat penting sistem pendidikannya mendidik warga pelajarnya dengan rasa kecintaan yang tinggi terhadap negaranya dan bersikap patriotik terhadapnya.

Patriotisme di Amerika Syarikat umpamanya boleh dipelajari bagaimana konsep melting-pot menghasilkan warga yang patriotik walaupun wujud perbezaan kaum dan kelainan faham politik.

Enam ciri di atas ditunjangi dengan 11 anjakan utama supaya proses transformasi berlaku.

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

2. Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan memperlajari bahasa tambahan.

3. Melahirkan rakyat yang menghayati nilai.

4. Mentransformasi misi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.

5. Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasakan keperluan.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.

8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian.

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

Sekiranya anjakan tersebut dapat dijadikan proses utama dalam menyediakan ejen perubahan dalam pendidikan Wawasan 2020 akan menjadi suatu kenyataan. Malah PPPM melampaui sehingga tahun 2025 supaya kemajuan itu menuju kepada suatu peradaban.

Malaysia memilih pendekatan transformatif yang sifatnya gradual tetapi konsisten. Ia menginsafi proses membentuk manusia tidak boleh berlaku dengan sekelip mata apalagi untuk merubah sistem ke arah etika tinggi dan berasaskan nilai menuntut perancangan yang rapi dalam meraikan agenda yang strategik supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

Penulis ialah Prof. Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kokurikulum ke arah transformasi diri


Oleh : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

AKTIVITI, kajian, telitian, dan kerja lapangan Persatuan Sains amat banyak untuk diteroka. Persekitaran pelajar, pokok-pokok, haiwan, air, cuaca dan tanah terkandung elemen-elemen sains. Nilai pada sains ialah sesuatu itu terjadi kerana dicipta bukan semula jadi.

Dalam surah al-Mukminun ayat 12-14 dengan jelas menyatakan hubungan tanah kering (turap) dengan kejadian manusia. Kajian boleh dibuat tentang kaitan tanah terhadap tumbuh-tumbuhan.

Hubungan tanah dengan zat pada daun, buah, kulit dan akar yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan. Ia adalah sumber rahmah dan nikmah yang tidak terhitung khasiatnya. Tanpanya manusia akan mati.

Kajian mengenai air umpamanya tidak dikaji dalam konteks APA saja. Konteks APA membawa maksud saintifik gabungan hidrogen dan oksigen. Tetapi mengkaji MENGAPA air ia merujuk kepada al-Quran bahawa “air itu adalah sumber kehidupan”. Ia menghubungkan kajian air sebagai sumber rahmah daripada ALLAH yang amat bernilai kepada manusia, pokok-pokok dan makhluk yang lain.

Hal yang sama boleh berlaku terhadap Persatuan Agama Islam yang mengkaji tentang anutan dan amalan orang Islam dalam banyak sudut dan lapangan.

Mengapa orang-orang Islam hanya menghafaz ayat-ayat al-Quran tetapi tidak ramai mengerti maknanya. Orang Islam mengerjakan solat tetapi ayat-ayat yang dibaca tidak difahami.

Mengapa orang Melayu umpamanya suka kepada khurafat dan ajaran sesat. Islam bagi mereka adalah talian keturunan bukannya cara hidup. Berlaku campur-baur antara adat dan budaya dalam beragama yang menyebabkan ketidakjelasan dalam aqidah dan ibadah terjadi.

Kaedah berdukun dan berbomoh sering dikaitkan dengan kaedah yang menyeleweng.

Hal-hal seperti ini boleh dikaji dan boleh menyedarkan para pelajar betapa Islam yang dianut menuntut pemurnian.

Contoh-contoh yang diberi dalam kurikulum kegiatan kokurikulum di atas adalah pemikiran awal mengenai kegiatan kokurikular yang perlu disusun secara komprehensif seolah-olah ia suatu subjek atau disiplin yang boleh diukur hasilnya.

Catatan menerusi data dan fakta, kerja lapangan yang disertakan dengan laporan, laporan itu dipersembahkan di hadapan panel guru kokurikulum dan ia dikaitkan dengan sistem nilai, ia amat berguna membentuk kefahaman dan pemikiran pelajar terhadap kerja lapangan yang bakal membina tradisi kajian, penelitian yang bakal membentuk watak penyelidik berwibawa suatu ketika nanti.

Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dikuti dengan aktiviti lapangan di luar bilik darjah menjadikan kefahaman terhadap subjek yang diajar lebih baik. Sekiranya pendekatan ini dapat diperkenalkan dengan perancangan kurikulum yang baik, kualiti guru yang membantu dan kaedah kerja lapangan dibekalkan, penyusunan jadual yang seimbang, manual yang memberikan pedoman dan arah kualiti pelajar yang bakal lahir dalam sistem pendidikan kita akan lebih tinggi mutunya.

Sistem pendidikan di Malaysia tidak boleh mengelak supaya transformasi berlaku. Tidak saja kurikulum yang diajar harus diteliti semula supaya relevan dengan zaman dan tidak mengurangi asas-asas fundamental, kualiti guru yang mampu membentuk kekuatan minda dan watak pelajar, asas ekstra kurikular juga harus disusun kembali dan corak pengukuran pencapaian pelajar harus disemak semula.

Matlamat akhirnya ialah untuk melahirkan watak seimbang dan harmonis seperti yang dinyatakan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam sistem pendidikan kita.

Dalam realiti pendidikan negara ada tiga komponen pendidikan yang harus diberi perhatian dalam konteks transformasi.

Pertama pendidikan arus perdana yang sifatnya majmuk yang kena mengambil kira faktor luar negara, faktor setempat dan faktor acuan agama atau nilai. Faktor kedua, ialah faktor pendidikan Islam yang sebahagian besarnya masih tradisional. Faktor ketiga ialah kelompok penggugat yang ingin keluar dari aliran kebangsaan.

Pendidikan arus perdana masih menjadikan kokurikular sebagai sesuatu yang perlu. Cuma kokurikular itu harus sifatnya transformatif yang membawa markah agak relatif banyak supaya pengajaran kokurikular dan ekstra kurikular yang bersifat substantif untuk menghasilkan pengembangan potensi terhadap bakat dan kebolehan menyeluruh.

Justeru faktor kokurikular yang tersusun baik amat perlu kepada para pelajar supaya bakat mereka tidak hanya diukur menerusi peperiksaan yang sifatnya mengingat, ulang kaji dan teoritikal tetapi memerlukan pencernaan kokurikular yang menampilkan bakat terserlah supaya ia memberikan asas “all-rounded personality” kepada para pelajar.

Sumber : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Mengapa batuk di tangga?


Oleh : MUHAMMAD DAUD

APABILA mendapat tahu saya menjadi penulis ruangan bahasa dalam akhbar Sinar Harian, seorang rakan yang merupakan guru Bahasa Inggeris bertanya tentang kaitan peribahasa bagai melepaskan batuk di tangga dengan maksudnya, iaitu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh.

Pada pendapatnya, peribahasa itu tidak langsung menggambarkan maksud yang hendak disampaikan. Memang benar, saya pun bersetuju bahawa peribahasa berkenaan tidak menggambarkan maksud itu jika perkataan batuk merujuk perbuatan melepaskan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya.

Sebenarnya, peribahasa asal ialah bagai melepaskan batok di tangga. Batok merupakan tempurung kelapa dan bagi orang yang berasal dari kampung ataupun yang pernah merasai suasana kampung sudah pasti dapat membayangkan rupa sebenar batok. Batok digunakan bagi mencedok air dari dalam tempayan bagi membasuh kaki ataupun digelar juga sebagai gayung.

Ejaan lama batok ini telah mengalami perubahan kepada pola ejaan baharu selepas 16 Ogos 1972 supaya selaras dengan pola keselarasan vokal dalam bahasa Melayu. Pola keselarasan vokal bermaksud keselarasan atau kesesuaian huruf vokal yang membentuk dua suku kata pada kata dasar.

Keselarasan vokal melibatkan pasangan antara huruf vokal pada suku kata praakhir dengan huruf vokal pada suku kata akhir tertutup, contohnya mabuk, masuk, kasut dan beberapa perkataan lain lagi.

Ketiga-tiga contoh perkataan itu mempunyai pola keselarasan vokal a-u. Bagi kata dasar yang lebih daripada dua suku kata, hanya dua suku kata akhir sahaja terlibat. Contohnya cerobong (pola keselarasan vokal o-o), kelubi (pola keselarasan vokal u-i) dan perkasa (pola keselarasan vokal a-a).

Dalam bahasa Melayu terdapat 18 pola keselarasan vokal iaitu a-a, a-i, a-u, e pepet-a, e-i, e-u, etaling-a, e-e, e-o, i-a, i-i, i-u, o-a, o-e, o-o, u-a, u -i dan u-u.

Dalam penulisan ini saya hanya akan menyentuh tentang pola a-u. Berdasarkan 18 pola keselarasan vokal, tidak ada pola keselarasan vokal a-o.

Bagi menjadikan perkataan batok selaras dengan pola keselarasan vokal maka perkataan itu telah diubah kepada batuk supaya menepati pola keselarasan vokal a-u.

Mari kita kembali membincangkan peribahasa bagai melepaskan batuk di tangga. Jika perkataan batuk berasal daripada perkataan batok, maka sudah pasti peribahasa berkenaan sesuai untuk menggambarkan maksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh apabila seseorang itu hanya melepaskan alat tersebut bukannya meletakkan di tempat yang sepatutnya.

Apabila membincangkan pola keselarasan vokal yang tepat ialah a-u dan pola a-o dianggap salah, mengapakah masih ada beberapa perkataan terutama merujuk nama khas yang masih menggunakan pola keselarasan vokal a-o? Contohnya, Kampong Baru, Bachok, Yang di-Pertuan Agong, Baloh Raja, Baroh Pial, Tanjong Pinang dan Banggol Kulim. Jawapannya, nama-nama khas ini dikekalkan ejaannya kerana wujud sebelum Permuafakatan Kebahasaan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MABIM) pada 16 Ogos 1972.

Jikalau demikian, adakah bermakna perkataan-perkataan seperti lakon, lancong, perabot, atom dianggap salah kerana tidak bertepatan dengan pola keselarasan vokal?

Jawapannya tidak, kerana contoh-contoh di atas merupakan perkataan daripada bahasa asing yang memang tepat ejaannya lantaran terdapat kekecualian bagi perkataan yang berasal daripada bahasa pinjaman.

Jika bahasa Melayu mengalami perubahan bukan bermakna bahasa ini tidak mantap. Bahasa-bahasa yang mantap di dunia seperti bahasa Inggeris juga mengalami perubahan sesuai dengan perkembangan semasa. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/