Selasa, 13 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Keputusan SPM Diumum 21 Mac Ini


PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 21 Mac(Rabu) depan, menurut kenyataan Kementerian Pelajaran.

Sementara pengumuman analisis keputusan pula akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di sini, pukul 9 pagi pada hari yang sama.

Calon-calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi.Bagi calon persendirian keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri.

Keputusan juga boleh disemak menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SMS jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.

Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi 21 Mac hingga 12 tengah malam 27 Mac.

Seramai 468,808 calon mendaftar telah menduduki peperiksaan tersebut di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara tahun lalu.
- BERNAMA.

ISU PENDIDIKAN : Sistem pendidikan perlu dirombak


PM mahu perubahan aspek mengajar dan cara belajar sejajar tranformasi negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar.

Perdana Menteri berkata, langkah ini sejajar proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran masa akan datang.

"Transformasi ke arah negara bermaklumat, negara inovasi, berpendapatan tinggi dan berdaya saing memerlukan transformasi sistem pendidikan terutama mengenai cara kita belajar dan mengajar.

Beliau berkata, corak pendidikan sebelum ini yang menekankan kepada ‘hafalan’ perlu diubah dengan menekankan kepada kemahiran proses berfikir di kalangan pelajar supaya mereka mampu menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kepentingan diri sendiri.

“Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang,” katanya berucap pada majlis pelancaran Program I-Think, di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Perdana Menteri berkata, walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan negara, namun dunia akan datang berbeza dengan hari ini kerana banyak peluang pekerjaan pada masa depan masih belum wujud ketika ini.

"Saya difahamkan 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada hari muka belum wujud hari ini. Jadi bagaimana kita hendak menyediakan anak kita hari ini untuk masa depan kerana pekerjaan untuk mereka belum lagi wujud.

"Jadi kita memerlukan kaedah pembelajaran yang menekankan aspek bagaimana untuk menggunakan pengetahuan yang ada serta bagaimana untuk berfikir. Jika kita boleh fikir, maka ia memberi kelebihan untuk mengadaptasi sebarang situasi," katanya.

Najib turut memaklumkan bahawa Projek I-Think yang kini dilaksanakan di 10 sekolah akan diperluaskan ke kira-kira 1,000 lagi sekolah tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.

Program I-Think adalah projek bersama Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pada awal tahun ini, sepuluh sekolah dipilih di seluruh negara untuk menjadi sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan memperkenalkan proses berfikir di kalangan pelajar sekolah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian dalam proses mentransformasi sistem pendidikan dengan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.

“Menerusi program I-Think ini, kementerian berusaha menerap proses berfikir bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan aplikasi konsep itu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kemahiran itu juga akan menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia menyampaikan teknik program I-Think selepas tamat pengajian mereka.

Katanya, langkah seumpama itu adalah satu permulaan penting dalam menaik taraf mutu sistem pendidikan negara agar aspirasi holistik Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota Hujung :


APAKAH PROGRAM I-THINK?


Program i-THINK adalah program yang bertujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif.

APAKAH YANG DIHARAPKAN DARIPADA PROGRAM I-THINK?

*Dengan menggunakan Alat Berfikir (Thinking tools); murid lebih fokus, berkeyakinan dan aktif di dalam kelas.
*Aktiviti banyak berpusatkan murid.
*Prestasi murid meningkat selepas menggunakan alat berfikir dalam pengajaran & pembelajaran.
*Hubungan guru dengan murid lebih rapat kerana guru lebih banyak berperanan sebagai fasilitator.

SENARAI 10 SEKOLAH RINTIS :

i. SMK Convent Muar, Johor
ii. SMK Marudu, Sabah
iii. SMK Gaal, Pasir Putih, Kelantan
iv. SMK Tun Husein Onn, Seberang Jaya, Pulau Pinang
v. SJKT Port Dickson, Negeri Sembilan
vi. SK Kiara Mas, Kuala Lumpur
vii. SJKC Wen Hua, Batu Berendam, Melaka
viii. SK Paya Pulai, Temerloh, Pahang
ix. SK Tan Sri Datuk Hj Mohamed, Kuching, Sarawak
x. SK Pusat Bukit Besar, Trengganu

ISU PENGAJIAN TINGGI : Politik Kampus - Mahasiswa Melayu lebih menonjol


Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my


“BENARKAH mahasiswa Melayu gemar berpolitik?”

Bukan prejudis atau sinikal, namun kebangkitan ketara mahasiswa Melayu dalam gelanggang politik sejak kebelakangan ini sukar menepis andaian itu.

Pelbagai pihak pening melayan kerenah dan mencari jawapan paling konkrit mengapa golongan terbabit bertindak demikian meskipun banyak tolak ansur diberikan.

Sukar mencari jawapan mengapa hanya mahasiswa Melayu lantang bersuara dan mahu menegakkan pendirian?

Mengapa bukan mahasiswa bangsa lain?

Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, walaupun kurang menyenangkan, mahasiswa Melayu masih mendominasi tempat di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, pembabitan dalam politik tidak terhad kepada bangsa, namun mahasiswa Melayu lebih menguasai keadaan bertitik tolak sejarah perjuangan terdahulu.

“Justeru, mereka kelihatan lebih ‘garang’ dan terkehadapan dalam hal ini, apatah lagi jumlahnya ramai, mempunyai banyak kelebihan selain senario politik sendiri yang memerlukan sokongan mereka.

“Bagaimanapun, tanggapan mereka hanya suka berpolitik hingga mengabaikan pelajaran kurang tepat.

“Keseluruhannya, mereka masih berpijak di bumi nyata dan menjadikan politik pentas meraih pengalaman serta membina karisma diri,” katanya.

Penonjolan mahasiswa Melayu dalam politik menimbulkan reaksi berbeza dengan sebahagian besar beranggapan mereka masih mentah hingga dianggap mudah dipergunakan pihak yang mempunyai kepentingan.

Selain itu, pembabitan secara aktif atau keterlaluan dibimbangi mengganggu proses pengajian sedangkan bangsa lain bersikap ‘berdiam diri’ dan lebih menumpukan perhatian pada pelajaran.

Ditanya apakah sejarah lama banyak mempengaruhi jiwa dan perjalanan politik mahasiswa Melayu, beliau mengakuinya kerana budaya serta kekuatan golongan terbabit terbina atas dasar memperjuangkan kebenaran.

“Jika kita menelusuri sejarah dulu, mahasiswa Melayu sinonim dengan perjuangan politik. Mereka ada paksi kukuh untuk menyalurkan perjuangan.

“Justeru, apa yang berlaku kini hanyalah kerana mereka meneruskan kesinambungan perjuangan dan tradisi dulu. Bukankah masyarakat Melayu memang terkenal dengan perjuangan politiknya?

“Mahasiswa bukan Melayu pun terbabit dalam politik kampus, cuma bilangan mereka kecil berbanding pelajar Melayu.

“Politik tidak terhad kepada satu bangsa,” katanya menegaskan politik bukan pentas membawa bencana selagi ia menggunakan saluran yang betul.

“Apa dikesalkan, ramai suka melabelkan politik sebagai pentas ‘menghancurkan’ mahasiswa Melayu sedangkan mereka tidak mengkaji kelebihannya. Ibarat seperti menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.

“Politik juga pentas untuk belajar, membina kemahiran diri dan sebagainya. Saya tidak faham kenapa politik sering kali digembar-gemburkan sebagai platfom kotor.

“Seharusnya mereka beri ruang kepada golongan ini untuk mempraktikkan ilmu masing-masing,” katanya.

Politik juga boleh diibaratkan sebagai karya seni yang mampu melahirkan insan patriotik selain peka pada kehendak semasa.

“Ramai melihat politik dengan gambaran mata kasar bagaimana mahasiswa bersuara lantang, saling memprovokasi sehingga melahirkan golongan kurang bermoral.

“Tapi adakah mereka sedar pentas itu juga berjaya melahirkan ramai pemimpin?

“Mahasiswa bukan saja memerlukan suntikan akademik untuk berjaya, malah mekanisme lain sebagai sokongan. Cuma dalam hal ini (politik), mahasiswa Melayu lebih menguasainya,” katanya.

Beliau juga tegas menyatakan mahasiswa Melayu memang memerlukan satu pendekatan baru untuk membantu mereka melihat perspektif persekitaran dalam konteks berbeza.

“Selama ini, mereka disogokkan dengan pendidikan berasaskan akademik semata-mata sedangkan ilmu boleh datang dengan pelbagai cara. Dalam politik, mereka boleh merasai pelbagai situasi.

“Bukankah ini satu pembelajaran yang baik, praktikal dan unik? Kita mahu lahirkan graduan serba boleh dan mantap, jadi berikanlah peluang itu,” katanya.

Mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Idzuan Hadi Kamilan berkata, menjatuhkan hukuman dengan mengatakan mahasiswa Melayu suka berpolitik adalah pandangan kurang tepat dan berat sebelah.

Menurutnya, masyarakat perlu melihat dalam kaca mata menyeluruh mengapa mahasiswa Melayu begitu proaktif dalam konteks itu.

“Tidak adil mengatakan hanya mahasiswa Melayu suka berpolitik sedangkan bangsa lain tidak kisah. Pandangan itu terlalu skeptikal dan serkap jarang.

“Kebangkitan dalam politik ada sebabnya seperti mahu memperjuangkan hak dan pandangan tapi tidak juga melupakan pelajaran.

“Jangan pandang prejudis pada kami yang ingin bersuara. Ini juga akan menyebabkan orang lain berprasangka lebih buruk,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU GLOBAL : Konflik dunia Arab untungkan Israel


Oleh Mustapa Kamal Basri

KEBANGKITAN rakyat di dunia Arab yang pada mulanya bersifat setempat ketika ia mula tercetus di Tunisia pada tahun lalu, kini sudah bertukar menjadi pergolakan yang berlarutan dan meragut beribu-ribu nyawa.

Pergolakan di Asia Barat kini telah bertukar menjadi konflik serantau serta mengheret campur tangan antarabangsa.

Keadaan di Syria terus tidak terkawal dengan tentera kerajaan terus memburu penduduk yang memberontak menentang kerajaan Bashar al-Assad dengan membedil bandar-bandar yang menjadi kubu pemberontak.

Sementara Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan atas alasan untuk mengelakkan pertumpahan darah berterusan di negara itu.

Kini pergolakan di dunia Arab bukan lagi sekadar kebangkitan rakyat yang inginkan perubahan daripada segi politik dan pembaharuan ekonomi, tetapi ia kini telah menjadi konflik yang boleh membahayakan rantau itu ekoran campur tangan antarabangsa.

Iran secara terbuka telah berjanji akan menghantar tenteranya ke Syria bagi membantu al-Assad berdepan dengan pemberontakan di Syria.

Manakala, Arab Saudi secara terbuka juga mengecam tindakan kekerasan oleh rejim al-Assad ke atas penduduknya yang bangkit memberontak.

Tindakan Teheran itu dilihat mempunyai serampang dua mata, selain kempennya menghadapi sekatan dan tekanan Barat serta Amerika Syarikat (AS) berikutan program nuklearnya, ia juga sebagai tanda sokongan terbukanya kepada rejim al-Assad yang didokong oleh golongan Syiah, manakala tindakan Riyadh menyokong langkah Liga Arab dan PBB pula adalah bagi menyelamatkan kumpulan pemberontak yang kebanyakannya adalah golongan Sunnah.

Teheran mempunyai strategi ketenteraan berbuat demikian. Sekiranya Israel menyerang loji nuklear negara itu, tentera Iran di Syria sudah berada hampir dengan Israel untuk melancarkan tindakan balas.

Riyadh pula bimbang dengan pengaruh Syiah di rantau itu setelah Iraq kini dikuasai oleh golongan Syiah selepas rejim Saddam Hussein tumbang di tangan AS.

Arab Saudi juga bimbang dengan pengaruh Iran yang semain kuat di rantau itu terutama dengan kesungguhan Teheran membangunkan program nuklearnya. Namun, pergolakan di dunia Arab yang bertukar menjadi konflik serantau kini semakin rumit dan ia dilihat hanya menguntungkan Israel yang terus menggunakan kesempatan itu untuk menindas penduduk Palestin dan melancarkan serangan ke atas wilayah-wilayah Palestin.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Berikan lebih kuasa kepada PPD


Oleh Alimuddin Mohd.Dom

TRANSFORMASI pendidikan dan usaha mengkaji semula sistem pendidikan yang sedang giat dilaksanakan sekarang tidak hanya menjurus kepada aspek kurikulum tetapi turut melibatkan sistem penyampaian dan tadbir urus organisasi pendidikan.

Cadangan memperkasakan lebih 150 buah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilihat bergerak dan menuju ke arah tersebut.

Langkah ini dianggap sebagai sebahagian daripada usaha penting bagi memperkemas dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Tambah beliau PPD juga perlu diperkukuh dari sudut organisasi, bidang kuasa serta prasarana bagi membolehkan institusi itu menjadi punca kepada pusat perkembangan ilmu dan pemantauan terhadap pencapaian pendidikan peringkat daerah di seluruh negara.

Sesungguhnya peranan PPD sangat penting kerana organisasi itu berada pada kedudukan yang paling hampir dengan sekolah. Langkah ini perlu dibuat kerana kajian awal pendidikan mendapati tumpuan di peringkat bawah merupakan prasyarat bagi memastikan peningkatan kualiti pendidikan. Oleh itu PPD yang dilihat seolah-olah tidak penting satu ketika dahulu perlu diperkasakan sekiranya ingin melihat perubahan yang positif terhadap sistem pendidikan kita.

Kajian dan penilaian semula sistem pendidikan yang telah pun bermula seharusnya tidak hanya melihat kepada aspek kurikulum sahaja iaitu yang melibatkan kandungan pengajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran, alat dan bahan yang digunakan, sistem penilaian dan peperiksaan serta aktiviti sokongan melalui kokurikulum.

Ia perlu juga melihat sistem penyampaian dan tadbir urus yang melibatkan institusi dan organisasi yang berada dalam lengkungannya. Sudah sampai masanya dibuat penilaian dan perubahan terhadap bidang kuasa dan memberikan tanggungjawab yang lebih luas kepada organisasi yang difikirkan dapat membantu peningkatan kualiti pendidikan terutama di peringkat akar umbi.

Sejak dilaksanakan Laporan Razak 1956 diikuti Laporan Rahman Talib 1961 dan yang terakhir Laporan Kabinet 1970 sistem pendidikan kita sangat berpusat yang segala-galanya ditentukan oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Semua dasar, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian datangnya daripada Putrajaya akan diturunkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kemudiannya kepada PPD dan akhirnya barulah sampai ke peringkat sekolah.

Segala-galanya seperti one size fit all tanpa mengambil kira bahawa terdapat perbezaan dari segi infra struktur atau fizikal sekolah, latar belakang murid, lokaliti dan persekitarannya. Misalnya apa yang diajar kepada murid sekolah di Kuala Lumpur adalah sama juga yang diberikan kepada murid di Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah. Demikian juga sistem penilaian dan peperiksaan yang digunakan di SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur adalah juga dilaksanakan di SK Ulu Lubai atau SK Long Persia, Sarawak.

Dengan bilangan sekolah melebihi 10,000 buah adalah sukar untuk memastikan semua maklumat daripada pusat dapat sampai ke sekolah dengan lengkap dan sempurna. Demikian juga data maklumat sekolah tidak dapat dipantau dan dinilai sepenuhnya oleh pihak pusat kerana bilangannya terlalu banyak. Mungkin berlaku situasi terlepas pandang tentang kekurangan di sekolah terutama yang terletak di luar bandar atau kawasan jauh di pedalaman. Maka di sinilah peranan penting yang boleh dimainkan oleh PPD bagi mengatasi kekurangan tersebut.

Demikian juga dengan bilangan guru yang hampir mencecah 400,000 orang perlu mendapat bimbingan, pemantauan dan penilaian yang berterusan terutama bagi memastikan keberkesanan dalam melaksanakan hala tuju serta tugas pengajaran dan pembelajaran. Bagi menjalankan tugas ini terutama yang berkaitan dengan pemantauan dan penaziran akan lebih berkesan jika dilakukan oleh pegawai pelajaran yang lebih hampir dengan sekolah kerana mereka lebih tahu tahap daya saing dan keperluan penambahbaikkan prestasi guru.

Demikian juga dari segi penempatan guru, kursus dalam latihan, pertukaran, pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat menjadi lebih mudah, berkesan dan teratur jika dikendalikan oleh pegawai-pegawai PPD yang dianggap lebih mengenali dan memahami secara lebih dekat akan guru-guru di daerah mereka. Namun demikian urusan hal perkhidmatan dan perjawatan selanjutnya tetap akan dikendalikan oleh pihak JPN dan KPM.

Memperkasakan PPD boleh dilakukan dengan kaedah ‘desentralisasi’ iaitu melalui penurunan dan penambahan kuasa dan autoriti. Dengan kedua-dua elemen ini membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lancar dan penuh keyakinan. Misalnya penentuan peruntukan kewangan untuk membaik pulih, ubah suai dan penyelenggaraan sekolah perlu ditentukan dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai PPD.

Dengan kuasa yang ada pada mereka bagi menyedia peruntukan dan membelanjakannya maka sekolah-sekolah yang terletak jauh di luar bandar dan pedalaman akan lebih mendapat perhatian dan penjagaan yang lebih baik. Dengan peranan baru dan tanggung jawab yang lebih mencabar maka sudah tentu struktur organisasi PPD memerlukan penambahan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai PPD hendaklah dilantik daripada mereka yang berpengalaman, mempunyai kekananan dan berkemahiran tinggi.

Lawatan ke sekolah hendaklah dilakukan sekerap mungkin dan secara berkala. Penambahan tersebut boleh diselaraskan dengan mengurangkan bilangan pegawai di JPN dan KPM. Diharapkan melalui kaedah ini semua sekolah akan mendapat bimbingan, perhatian dan pemantauan yang lebih kemas dan teratur.

Akhirnya peneraju PPD hendaklah dipilih dan dikenal pasti dari mereka yang terbaik dan terkanan di daerah itu. Moga-moga saranan Timbalan Perdana Menteri untuk memperkasakan PPD akan dapat melonjakkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Apabila manusia hilang kewarasan


Oleh : Wan Roslili binti Majid

MESKIPUN pandangan alam antara Islam dan Barat begitu berbeza, namun dari sudut pentakrifan perkahwinan, kedua-duanya sama-sama mengiktiraf bahawa perkahwinan hanya berlaku antara seorang lelaki dengan wanita, dan bukan selainnya.

Hal ini secara langsung menafikan “perkahwinan” antara sesama jenis atau jantina.

Justeru, perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk mendapatkan pengiktirafan undang-undang terhadap “perkahwinan” mereka kononnya atas dasar kesamaan adalah tidak berasas sama sekali. Ini disebabkan tindakan mereka jelas mencabuli dan mencemarkan maksud perkahwinan yang telah diterima dalam semua budaya serta tamadun dunia sejak sekian lama.

Perjuangan golongan ini yang berasaskan fahaman liberalisme tidak menghairankan berlaku dalam masyarakat Barat yang menolak atau meninggalkan agama. Hal yang demikian berlaku tidak lain kerana agama yang dianuti tidak mampu sama sekali untuk memberikan keyakinan, bimbingan dan panduan dalam kehidupan mereka.

Justeru kita melihat prinsip moral, undang-undang dan sebagainya tidak diasaskan pada agama. Sebaliknya ia berdasarkan pandangan sekular yang tidak memiliki asas yang tetap dan teguh, malah sentiasa sahaja berubah-ubah.

Lantaran itu juga perjuangan mereka khususnya dalam tuntutan “hak” seperti “berkahwin” dan membina keluarga, bebas daripada amalan diskriminasi berasaskan orientasi seksual, selain “hak” terhadap privasi hanya berdasarkan pertimbangan akal dan kehendak yang dibimbing hawa nafsu semata-mata.

Hujah yang diberikan terhadap tuntutan seumpama itu hanyalah disebabkan kedudukan dan kemuliaan mereka sebagai manusia. Namun hakikatnya, sebagaimana digambarkan sifatnya oleh al-Quran, hawa nafsu sentiasa sahaja mendorong manusia terjerumus dalam kejahatan, kekejian dan kebinasaan (Surah Yusuf 12 : 53).

Perjuangan golongan LGBT kelihatan memperoleh sokongan di beberapa buah negara tertentu, antaranya Belanda, negara terawal yang meluluskan perkahwinan sivil sesama jenis, iaitu pada tahun 2001. Undang-undang yang diluluskan itu memberikan hak, perlindungan, dan manfaat yang sama kepada pasangan sejenis yang terlibat, sebagaimana yang diberikan kepada perkahwinan heteroseksual, termasuklah hak pengambilan anak angkat.

Langkah yang diambil Belanda disusuli Belgium pada tahun 2003, Kanada dan Sepanyol pada tahun 2005, Afrika Selatan pada tahun 2006, Norway dan Sweden pada tahun 2009, dan Portugal, Iceland, serta Argentina, ketiga-tiganya pada tahun 2010. Bersesuaian dengan gaya hidup golongan ini yang bersifat di luar tabii, maka kemudaratan yang dibawa olehnya juga bersifat di luar batasan atau melampaui kebiasaan.

Selain penyakit-penyakit fizikal yang mengundang maut seperti sifilis, barah dubur, dan HIV, pengamal homoseksual sebagai contoh, berhadapan masalah tekanan mental yang tidak terkawal.

Satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa cubaan membunuh diri dalam kalangan kelompok ini adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan. Penyelidik yang membuat kajian tentang puncanya mendapati bahawa dua pertiga daripadanya disebabkan putusnya hubungan dengan pasangan, dan bukannya tekanan daripada anggota masyarakat.

Selain itu, kajian juga menunjukkan salah satu kesan buruk yang dialami oleh anak-anak kepada pasangan gay, lesbian, atau homoseksual ialah mereka memiliki potensi untuk menjalani gaya hidup luar tabii sebagaimana “ibu bapa” mereka selain terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan seksual.

Perkahwinan sejenis bukan sahaja merupakan serangan yang bertujuan mencemarkan kesucian dan meruntuhkan institusi keluarga tetapi juga pada masa yang sama, mengundang pelbagai kemudaratan terhadap struktur masyarakat serta negara amnya.

Kebiadaban, kegilaan, dan pencerobohan yang dilakukan mereka terhadap keutuhan institusi kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat perlu ditangani dengan tegas.

Amat malang jika ada antara kita yang jahil dan terkeliru atau juga cuai dan leka, sedangkan mereka tidak pernah berhenti menyusun agenda dan bertindak dengan berani.

Lihat sahaja kepada susulan larangan penganjuran Seksualiti Merdeka oleh NGO tempatan yang telah diadakan sejak 2008 bagi menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang seperti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Larangan tersebut sama sekali tidak meninggalkan sebarang kesan, peringatan, mahupun pengajaran apatah lagi kesedaran terhadap pihak penganjur. Malah mereka telah mengambil tindakan susulan dengan memajukan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dengan dakwaan diskriminasi terhadap golongan minoriti ini, dan mengheret negara untuk memberikan penjelasan terhadap penafian “hak” mereka.

Penyertaan Malaysia dalam sesi persidangan ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, PBB yang berlangsung mulai 5 Mac 2012 di Geneva, Switzerland merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Dengan meneliti tindak balas kumpulan yang memperjuangkan hak-hak LGBT memberikan kita kesimpulan bahawa ia pasti dijadikan landasan teguh untuk mengambil kesempatan demi merealisasikan cita-cita keji mereka.

Hal ini khususnya melalui tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia untuk tunduk terhadap apa yang kononnya dikatakan sebagai international standards and laws.

Langkah seterusnya pula ialah mendesak negara membenarkan amalan orientasi seksual dan identiti gender yang songsang serta bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Bagi umat Islam, segala perkara yang menyelubungi kehidupan dan menimpa masyarakat Barat seharusnya dijadikan sempadan dan pengajaran. Betapa apabila agama tidak lagi dijadikan panduan dalam membimbing diri, keluarga, dan masyarakat, kecelakaan jualah yang menjadi akibatnya.

Namun mengambil kira sikap masyarakat Barat yang sentiasa gigih menyebarkan fahaman dan gaya hidup mereka kepada bangsa-bangsa lain, ia seharusnya mencetuskan kebimbangan besar bagi kita kerana umat Islam pastinya tidak terkecuali. Malah melihat kepada keadaan diri dan peribadi umat Islam hari ini sudah cukup membuktikan bahawa kegigihan usaha masyarakat barat menyebarkan dakyah, fahaman serta budaya hidup mereka telah pun menampakkan hasilnya.

Sesungguhnya tiada jalan lain lagi yang dapat dijadikan perisai dan penawar bagi ummah melainkan keimanan yang teguh serta ilmu yang tersemat kukuh dalam jiwa. Dalam hubungan ini, tepat sekali apa yang digambarkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam serangkap pantun beliau (Risalah untuk Kaum Muslimin, 2001),

Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.”


PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber: http : //www.utusan.com.my/