PUTRAJAYA : Kerajaan mensasarkan 90 peratus daripada
perkhidmatannya dilaksanakan secara online menjelang tahun 2015, menurut Ketua
Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata, sasaran itu penting bagi memastikan
agensi-agensi kerajaan beralih menjadi kerajaan pintar bagi menggalakkan
inovasi dan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Untuk mencapai sasaran itu, Ali berkata satu kajian kes
untuk berkongsi projek Pusat Sehenti (OSC) yang dilaksanakan Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi pihak berkuasa tempatan di seluruh
Malaysia baru-baru ini, telah meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan
kerajaan.
"Sehingga Mac 2012, sebanyak 1,957 permohonan projek
pembangunan diterima menerusi sistem itu," katanya semasa menyampaikan
ucaptama pada Persidangan Digital Kebangsaan 2012 di sini Selasa.
Beliau percaya menerusi inisiatif itu, pelbagai proses yang
terlibat dalam permohonan itu boleh dilakukan serentak manakala masa
pemprosesan dikurangkan kepada kira-kira empat hingga enam bulan berbanding
satu hingga dua tahun sebelum ini.
"Kelulusan bagi pelan bangunan dan kebenaran
perancangan meningkat daripada 72 peratus kepada 90 peratus manakala prestasi
OSC di negeri-negeri juga telah menunjukkan peningkatan ketara.
"Baru-baru ini, purata permohonan menerusi OSC juga
meningkat daripada 84.7 peratus kepada 92.5 peratus.
"Sehingga kini, 35 peratus daripada perkhidmatan
kerajaan dilaksana secara online menerusi portal myGovernment sejak teknologi
itu digunakan dalam semua aspek penyampaian dan operasi dalaman kerajaan,"
katanya.
Beliau berkata ini termasuk perkhidmatan yang membolehkan
pesara dan warga emas akses kepada pelbagai faedah mereka secara online,
bayaran cukai pintu, pembaharuan lesen, permit dan pembayaran saman menerusi
satu portal sahaja.
Katanya Kaji Selidik e-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu 2012, yang menilai ciri-ciri teknikal laman-laman web negara serta
dasar-dasar e-kerajaan dan strategi yang diguna pakai oleh sektor spesifik
telah meletakkan Malaysia di ranking ke-40 di kalangan 193 negara anggotanya.
"Oleh yang demikian, kita perlu bergerak lebih pantas
dan patut menjadi peneraju malahan lebih strategik dan menggunakan
teknologi-teknologi moden seperti 'cloud computing', tablet dan media sosial
dalam menambah baik perkhidmatan kita.
"Kita juga perlu memanfaat janji teknologi untuk terus
meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan dan melancarkan momentum
transformasi digital untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan
e-kerajaan," katanya.
Ali juga menggesa sektor awam dan swasta untuk saling
bekerjasama untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan teknologi negara seperti
meningkatkan penembusan kadar internet dan kapasiti jalur lebar.
Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel. - BERNAMA