Rabu, 15 Ogos 2012

ISU BAHASA : Makna Ramadan dalam puisi


Oleh : AMINUDIN MANSOR

PENYAIR yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan menulis melalui bahasa yang berseni dan indah dapat melontarkan rasa keterharuan dan ketakwaan kepada manusia lain. Penyair yang sentiasa berpegang kepada tali Allah akan sentiasa diberkati dan dianugerahi pahala daripada amalannya.

Pekerjaan sebagai penulis atau penyair adalah suatu yang mulia, jika selalu menetapkan hati dan diri bertakwa hanya kerana Allah. Ramadan juga menjadi pilihan ramai penyair untuk mengungkapkan rasa hati tentang fadilat Ramadan. Pemikiran yang mengalir dengan lancar pada setiap frasa memberikan kesan kesedaran kepada pembaca.

Melalui bahasa,  penyair menganyam kata-kata pada baris-baris puisinya, dianyam juga bunyi, simbol, bahasa figuratif, dan unsur-unsur stilistik yang lain sebagai hiasan dan keindahan kepada setiap estetik puisi.

Cinta kepada Allah adalah makam puncak dalam beribadah. Ia juga menjadi inti agama. Penyair diingatkan supaya tidak menulis perkara yang sia-sia dan sesat. Ingatan Allah ini terpancar melalui Surah Al-Anbiya 21:5, Asy-Syuara 26:224, As-Saffat 37:36, At-Tur 52:30 seharusnya sentiasa menjadi rujukan dan ingatan semasa menulis.

Allah menegaskan bahawa manusia akan diangkat menjadi khalifah-Nya di atas muka bumi, dengan ketentuan mereka harus menjalankan segala ajaran-Nya, iaitu beriman dan beramal salih. Justeru sastera dan agama tidak boleh dipisahkan. Peranan penulis atau penyair seharusnya terus mengungkapkan rasa ketakwaan dan keimanan kepada Allah serta mengajak para pembaca melakukan ibadah seperti puasa di bulan Ramadan.

Berkaitan dengan puasa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: " Barang siapa mendirikan malam-malam Ramadan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Al Bukhari).

Justeru, beberapa penyair sering mengungkapkan melalui bahasa cinta dan semangat kecintaan kepada Allah. Nilai Islam dan kecintaan kepada agama sering diucapkan melalui sajak-sajak mereka. Antaranya penyair Hadzrami AR, Kemala, Wan A. Rafar, Shafie Abu Bakar, Nahmar Jamil, Wadi Leta S.A, Abdul Hadi Muhammad, Abdul Hadi Yusof, Abham T.R, Amin Mihad, Hasyuda Abadi, Subari Ahmad, Zahari Hasib, Pena Mutiara, Shamsudin Othman, dan Fadh Razy serta penyair lain. Penyair-penyair ini juga pernah mengungkapkan puisi berkaitan dan bertemakan Ramadan. Di tangan mereka meranum keindahan dan fadilat Ramadan.

Beberapa penyair lain juga menulis sajak tentang Ramadan antaranya Husna Nazri melalui puisi-puisinya Pohon Ramadan, Ramadan di Badar, Ramadan Yang Singgah, Mengalir Di Sungai Ramadan, Lelaki dan Pedang Ramadan, Kaktus Ramadan, Lailatulqadar, Mencarimu Ramadan. Perhatikan petikan sajak Pohon Ramadan karya Husna Nazri di bawah ini:

Rendangmu
Merimbun teduh
Di bawah langit mubarak
Dinding gerimis luruh
Disisir daun-daun rindu
Cinta yang dipasak di halaman bumi
Menyentuh wajah nurani
Kasih Ilahi yang tumbuh
Di dakapan seorang insani
-sabar rupanya masih setia.

Melilit akar diri
Tunjang yang merawat emosi
Adalah doa-doa
Yang limpah
Di ranting hari
Jauh di puncak,
Bunga-bunga syukur
Menutup tikaman getir
Matahari.

Di bawah pohon Ramadan
Aku dingin
Dalam penghayatan
Mencari makna diri
Di halaman Ilahi.

(Petikan sajak Pohon Ramadan, karya Husna Nazri Kota Intifadah DBP: 2006)

Pada hakikatnya puasa Ramadan dapat melatih umat Islam berjihad melawan hawa nafsu, menyucikan diri daripada perbuatan keji dan mungkar dan menghiasi diri dengan akhlak mulia serta menyuburkan semangat cintakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Peranan akhbar dan majalah yang menyiarkan sajak-sajak bertemakan Ramadan sangat dialu-alukan oleh penulis.

Usaha mencari makna diri di bawah ibadah Ramadan seharusnya menjadi tanggungjawab umat Islam. Melalui ibadah puasa Ramadan setiap umat patut bersyukur atas anugerah Allah selama hidup di dunia ini yang penuh dengan kegetiran, kepayahan juga kenikmatan. Ibadah puasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri di samping ibadah yang lain, malah menjana keluhuran iman dan takwa kepada Allah untuk memperoleh kebahagiaan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap penyair mengungkapkan tema ibadah seperti ibadah puasa sebagai melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi ini. Kumpulan puisi Ramadan juga berkembang di Internet melalui penyair-penyair baru.

Banyak fadilat puasa di bulan Ramadan yang boleh diungkapkan oleh penyair. Bahasa di tangan penyair lebih ranum dan harmonis untuk mengajak umat Islam beribadah kepada-Nya.

Penyair boleh menyuarakan antaranya tentang fadilat puasa adalah membentuk manusia bertakwa kepada Allah, dapat mengukuhkan Islam, turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia, menghapuskan segala dosa yang lalu, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.

Justeru, puasa Ramadan juga perisai daripada perbuatan keji dan mungkar, dapat mengendalikan hawa nafsu, membina kesihatan rohani dan jasmani, melatih manusia hidup berhemat dan sederhana, melatih manusia berdisiplin dalam makan dan minum, melatih manusia sabar dan tabah menghadapi dugaan hidup, memperoleh tujuh ratus pahala amal kebajikan, ibadah istimewa yang tiada tandingannya, dapat menambah keimanan dan kecintaan kepada Allah, membuka jalan manusia untuk bertaubat kepada Allah dan doa dimakbulkan oleh Allah. Adanya malam dan keistimewaan Lailatulqadar.

Bakat dan kebolehan penulis dan penyair dapat mengungkapkan kehebatan Ramadan melalui keindahan puisi khususnya sajak. Penyair juga dapat mengajak orang ramai beriman, beramal soleh dan bertakwa demi menegakkan kebenaran Islam. Seperti kata Penyair Nahmar Jamil melalui sajaknya Pulang Ke Alam Agama.

Bangkitlah Islam
Memikul amanah
Mendepani cabaran
menaburkan rahmat ke penjuru alam.

(Petikan sajak Pulang Ke Alam Agama; Antologi Perubahan DBP: 1996)

Sebagai penulis dan penyair menurut pandangan Imam Al-Ghazali, sesebuah karya pengarang, keindahan puisi penyair, keindahan lukisan pelukis atau keindahan bangunan yang dibina oleh arkitek mencerminkan keindahan dalaman manusia pencipta. Menurutnya, oleh sebab Tuhan sempurna (indah) oleh sifat-Nya Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna manakala sifat-sifat (indah) yang terdapat pada manusia dapatlah dirumuskan bahawa segala manifestasi keindahan dalaman yang dialami oleh para seniman akan memimpin seniman kepada kasih dan sayangnya kepada Tuhan. Sebarang objek yang mencerminkan keindahan dalaman ini dianggap sebagai keindahan sebenar. Justeru, Ramadan juga penuh dengan keindahan dan gandaan pahala yang mendapat perhatian penulis khususnya penyair.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Tradisi balik kampung mungkin berakhir


Oleh : Imlan Adabi
 
Jika bernostalgia mengenai lagu raya dan balik kampung menjelang Syawal, anak mungkin mempunyai persepsi lain. Apalah yang ada pada dendangan Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Ahmad Jais dan Sanisah Huri?

Apalah yang ada pada Syawal di desa selain makan ketupat, rendang, tengok sawah, ziarah kubur, duit raya dan jumpa nenek!

Mereka akan ketawa mendengar lagu raya era 60-an kerana iramanya dikatakan lawak dan mungkin aneh!
Mereka akan hairan memikirkan zaman orang tua yang sudah semakin sayup dan aneh kedengaran. Kanak-kanak sekarang sudah asing daripada persekitaran orang tua sendiri.

Mereka tidak tahu bagaimana memikat keciap di sawah atau membakar belalang dan ubi kayu ketika bendang semakin kontang. Ada yang terperanjat melihat etok direbus dan dikunyah pada petang Syawal.

Hidup sudah berubah dan zaman lalu tidak mungkin mengembalikan kesegalaannya.

Memang benar pengakuan Jane Healy menerusi Endangered Minds, bahawa kanak-kanak kini semakin kosong dan longlai. Mereka tidak kreatif dan kurang mesra alam. Semuanya berpunca daripada kehidupan moden di kota.

70 peratus kanak-kanak berada di kota dan kawasan urban. Mereka mangsa keadaan kerana segala bentuk permainan disediakan, bukan mencari sendiri seperti kita alami 30 tahun lampau. Mereka memadai dengan menekan alat kawalan jauh untuk memilih siaran paling menarik menerusi televisyen satelit.

Mereka dibesarkan dengan Ipad, Ipod dan telefon bimbit pintar. Permainan hanya di hujung jari, berbanding kita yang terpaksa ke sawah, pinggir bukit, menyelam di sungai dan tali air. Kita lasak mencari keseronokan zaman lampau, mereka bergasak menerusi permainan video digital!

Jangan ceritakan soal makan ubi bakar di kebun getah atau meratah sotong salai bersama rakan selepas sunat Tarawih, mereka akan ketawa kerana kehidupan kita yang dianggap membosankan.

Mereka menjadi mangsa keadaan, terperangkap dalam jeriji besi untuk tujuan keselamatan. Kanak-kanak kota sering ditetapkan waktu untuk belajar, bersukan, aktiviti kokurikulum, mahupun ke pusat beli-belah bersama keluarga.

Dunia mereka hanya di rumah dan sekolah. Mereka tidak mempunyai alam lain lagi. Mereka sejak bayi diasuh berada dalam kawalan bagi memastikan keselamatan kerana bandar besar seperti Kuala Lumpur selalu dikaitkan sebagai ganas, kejam, penuh jenayah dan terancam.

Golongan muda generasi Y dan Z menjadi pewaris Starbucks yang sentiasa melihat dunia dengan persaingan, bukan persamaan. Mereka ada hak eksklusif tersendiri untuk memiliki bilik tidur berasingan sesama adik beradik dan kurang mengerti dengan nasib yang dialami oleh jiran.

Mereka jauh berbeza generasi kita dulu yang mungkin lima jam berada di luar rumah semata-mata untuk mengaji al-Quran, memikat burung atau menjadi ahli dikir barat peringkat kampung yang tentunya memiliki perasaan kebersamaan erat.

Kita dulu menjadi milik masyarakat kampung dan jika pun melakukan kesalahan menghisap rokok di belakang kedai kopi, sesiapa saja berhak untuk mencubit atau menjentik telinga di khalayak ramai.

Keadaan kini sudah jauh berubah. Generasi pasca reformasi 1999 lebih akrab dengan digital, bersendirian ke dunia tanpa sempadan, melontarkan pandangan menerusi Facebook dan Twitter, sekali gus mereka sebahagian daripada empat juta pengundi baru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mereka mempunyai sikap tersendiri. Tidak terlalu nostalgik. Mereka menerima propaganda dengan fikiran penuh tanda tanya. Generasi baru yang mungkin kurang kreatif seperti disuarakan Jane Healy tapi mempunyai sinikal tersendiri. Mereka kurang mengenang budi dan tidak semestinya berita yang disogokkan, diterima sepenuhnya.

Apabila timbul isu balik kampung menjelang lebaran, mereka sering bertanya apakah ayah dan ibu akan terus balik kampung jika nenek dan datuk tiada lagi?

Kini, giliran kita pula untuk bertanya kepada diri sendiri; apakah kampung masih ada di hati kita menjelang 2020?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kejiranan lemah galak jenayah musim perayaan


Oleh : Akhbar Satar
 
Kawalan keselamatan perlu dirombak

Belum pun tiba Aidilfitri, tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan ‘Lima’ yang aktif merompak di beberapa daerah di Pulau Pinang, maut ditembak polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Jesselton minggu lalu. Tidak dinafikan ramai meninggalkan rumah untuk pulang berhari raya di kampung halaman setiap kali menjelang musim perayaan. Kebiasaannya, masyarakat Islam di ibu kota khasnya akan meninggalkan rumah dalam jangka masa agak panjang untuk pulang berhari raya di kampung.

Sepatutnya, sebelum kita memulakan perjalanan, kita perlu memastikan keselamatan rumah masing-masing. Pada musim perayaan penjenayah mengambil kesempatan, terutama jika kita lalai dan abai aspek keselamatan”

Oleh itu, kecenderungan berlakunya jenayah seperti pecah rumah dan kehilangan kenderaan amat besar. Rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni dalam tempoh tertentu boleh menarik perhatian penjenayah.

Mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenayah pecah rumah ketika Aidilfitri meningkat hampir 50 peratus setiap tahun. Selalunya trend jenayah pecah rumah meningkat mendadak dalam tempoh seminggu sebelum atau seminggu selepas hari raya.

Ambil kesempatan

Sepatutnya, sebelum kita memulakan perjalanan, kita perlu memastikan keselamatan rumah masing-masing. Pada musim perayaan penjenayah mengambil kesempatan, terutama jika kita lalai dan mengabaikan aspek keselamatan.

Pencuri gemar mengambil kesempatan ketika rumah kosong, oleh itu, adalah lebih baik jika kita berpesan kepada jiran, termasuk jiran berbangsa Cina dan India supaya tolong tengok-tengokkan rumah kita.

Penulis juga menasihatkan warga kota yang pulang ke kampung supaya jangan meninggalkan barang berharga dalam rumah bagi mengelakkan kejadian jenayah.

Jika menyewa di rumah baru, pastikan kunci ditukar baru kerana mungkin penyewa terdahulu masih mempunyai kunci pendua. Jika berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau sambungkan sistem penggera premis masing-masing ke pusat kawalan berpusat (CMS) kerana CMS dilengkapi ‘pasukan khas’ yang mampu bertindak dan sampai ke tempat kejadian dalam tempoh kurang 15 minit.

Pastikan nombor 999 atau balai polis setempat disimpan dalam telefon masing-masing memandangkan mereka adalah pihak paling hampir dengan penduduk untuk menyelesaikan sebarang kejadian jenayah.

Perkongsian bijak polis, penduduk

Hakikatnya, perkongsian bijak antara polis dan penduduk amat penting dalam memastikan persekitaran kediaman selamat. Konsep kejiranan lemah adalah antara punca kejadian jenayah pecah rumah, terutama pada musim perayaan. Setiap tahun polis memberi peringatan supaya tidak memberi ruang kepada penjenayah terbabit dalam kegiatan pecah rumah tetapi malangnya peringatan itu tidak diendahkan.

Seperti biasa, polis mengambil beberapa tindakan, termasuk membuat rondaan bermotosikal atau berkereta ke kawasan perumahan terutama membabitkan banyak laporan daripada orang ramai. Selain keprihatinan jiran tetangga membuat laporan, wujud juga balai polis bergerak yang menjadi pusat operasi di kawasan panas bagi mengelak berlaku jenayah. Pada musim perayaan, balai bergerak diletakkan secara kekal dan polis akan memantau kenderaan keluar dan masuk, terutama waktu malam dan sesiapa yang dilihat mencurigakan akan ditahan.

Ada juga ketua polis daerah mengambil inisiatif mengadakan Kempen Rumah Selamat Sempena Hari Raya bekerjasama dengan penduduk setempat. Borang maklumat diagihkan untuk memudahkan polis menjalankan tugas pemantauan dan pencegahan jenayah.

Rombak sistem pengawal

Malangnya, kebanyakan pengawal keselamatan diupah menjaga kawasan perumahan tidak efektif dan lemah, yang mana ada kenderaan masuk di kawasan dijaga dibiarkan tanpa diperiksa.

Penulis yakin pengawal keselamatan ini tidak tahu apa tugas sebenar mereka. Kebanyakan mereka sudah tua, tidak bertenaga, tidak cekap, selekeh dan warga asing yang tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa tempatan. Oleh sebab mereka kurang kompeten dan tidak terlatih, ini memberi peluang kepada pencuri membolosi kawasan berkenaan.

Sudah sampai masanya, sistem pengawal keselamatan di Malaysia dirombak semula. Negara memerlukan ‘security practioner’ yang profesional serta mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan.

Bagi yang tidak balik kampung, cara paling mudah dan menjimatkan kos adalah bawa bersama-sama kunci kereta yang mempunyai penggera. Tekan butang penggera apabila mengesyaki pencuri cuba memasuki rumah. Sudah pasti pencuri akan melarikan diri kerana takut disedari.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/