Oleh : Nor Hatina Shuib
Peningkatan suhu keterlaluan
ganggu fungsi badan, boleh sebabkan strok haba
Cuaca panas di Malaysia satu
perkara biasa. Cuma sejak kebelakangan ini bahang kepanasan agak luar biasa
hingga orang ramai tidak lepas merungut dengan cuaca panas membuatkan mereka
resah gelisah, berpeluh dan kadangkala rasa mahu pitam.
Walaupun duduk di dalam ruang
atau bilik hawa dingin, tekak masih terasa kering dan tidak mengurangkan suhu
badan yang terasa panas, termasuk pada waktu malam.
"Mereka yang bekerja sebagai
buruh, peladang, ahli sukan, tentera dan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah
mudah diserang strok haba, " tegas Dr Zainal Ariffin Omar, Timbalan Pengarah
Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan.
Situasi itu lebih dirasai di
sekitar Lembah Klang dengan catatan purata 35 darjah Celcius. Jabatan
Meteorologi Malaysia melaporkan, cuaca panas dan kering itu dikaitkan dengan
perubahan pola angin dan kesan ribut Mahesan di Teluk Bengal.
Keadaan itu dijangka berubah
apabila pola angin stabil dengan peralihan monsun hujung bulan ini yang diramal
membawa lebih banyak hujan.
Badan hilang upaya
Peningkatan suhu panas yang
mendadak dan keterlaluan mengganggu fungsi sistem badan. Haba yang dijana pada
badan akan bekerja keras untuk menghilangkan haba.
Biasanya, proses berpeluh dan
penyejatan peluh memudahkan penyejukan badan. Namun, dalam suhu ekstrem
melebihi 32.2 darjah Celcius, jumlah haba yang dihasilkan melebihi kesan
penyejukan penyejatan peluh.
Begitu juga, jika kelembapan
mencapai 100 peratus, penyejatan peluh tidak lagi mungkin berlaku, dan badan
kehilangan keupayaan untuk menghilangkan haba. Akhirnya suhu badan meningkat,
membawa kepada penyahhidratan yang teruk.
Oleh itu, cuaca panas ini tidak
boleh dipandang ringan dan kesihatan harus dijaga serta sentiasa terpelihara
supaya tidak membawa akibat lebih buruk. Antara penyakit yang boleh menyerang
akibat cuaca panas ialah sakit kepala, demam, batuk, selesemad an radang kulit
seperti ruam.
Kepanasan melampau ini juga sudah
pasti akan memberi impak dan menimbulkan masalah kulit, mata, selaran matahari,
ruam panas, kekejangan otot, edema haba, sinkope haba, kelesuan haba dan paling
serius ialah strok haba yang turut dikenali, sunstroke atau heat stroke.
Justeru, orang ramai dinasihatkan
membataskan aktiviti di luar rumah atau bangunan bagi mengelak mereka terkena
strok matahari atau haba yang boleh menyebabkan seseorang pengsan.
Kurangkan aktiviti di luar
Pastinya, ada yang tertanya-tanya
apa sebenarnya strok haba. Mungkin juga ada masih mencari jawapan, apakah kesan
mudarat strok haba kepada kesihatan dan risiko yang bakal ditanggung jika
individu itu berterusan terdedah cuaca panas ini.
Strok haba sebenarnya ialah
sejenis bentuk hipotermia, keadaan suhu badan meningkat lebih dari paras normal.
Dalam erti kata lain, strok haba adalah penyakit berkaitan haba. Ia adalah satu
kecemasan perubatan yang boleh mengancam nyawa disebabkan kegagalan peraturan
suhu badan (thermoregulation) mekanisme.
Tidak seperti penyakit haba yang
lain, strok haba dicirikan oleh ketinggian melampau suhu badan (hyperthermia)
dan berkaitan pusat disfungsi sistem saraf dan disfungsi organ.
Strok haba tidak sama seperti
serangan strok, sebaliknya ‘strok’ adalah istilah umum digunakan untuk
menggambarkan aliran oksigen berkurangan kepada kawasan otak.
Dalam keadaan cuaca yang teruk
seperti Asia Barat terutama di Oman, badan kita melaksanakan pelbagai jenis
fungsi yang kemudian membebaskan radiasi yang disebabkan oleh ‘aktiviti
metabolik’ melalui peluh atau pembuangan haba daripada kulit. Ini adalah satu
cara badan dapat mengekalkan suhu normal. Ketidakseimbangan dalam suhu badan
akan mengakibatkan strok haba yang juga boleh membawa maut jika tidak dirawat
dengan segera.
Semua berisiko
Sementara itu, Timbalan Pengarah
Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar,
menjelaskan strok haba adalah keadaan kesihatan atau penyakit berkaitan cuaca
panas termasuk keletihan dan kelesuan akibat daripada panas.
Beliau yang juga Pakar Perunding
Perubatan Kesihatan Awam, berkata setiap individu berisiko menghadapi masalah
kesihatan terutama yang berisiko ada penyakit tertentu.
“Malah mereka yang bekerja
sebagai buruh, peladang, ahli sukan dan tentera serta kanak-kanak berumur lima
tahun ke bawah mudah diserang strok haba. Begitu juga dengan mereka yang
menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan kelenjar tiroid, risiko berkali
ganda terdedah kepada gejala berkenaan,” katanya.
Dr Zainal berkata, dalam keadaan
ini, orang ramai seharusnya elak memakai pakaian tebal dan ketat kerana ia
boleh menghalang panas keluar, penyejatan atau pengeringan peluh.
“Masyarakat memang sedar keadaan
ini. Biasanya mereka akan mengambil langkah pencegahan awal. Setakat ini, tiada
sebarang kes mengenai kejadian ini dilaporkan di negara ini,” katanya yang
turut menjelaskan negara lain terjejas termasuk di Asia Barat dan Afrika.
“Strok haba jarang berlaku di
negara rantau ini seperti Singapura atau negara serantau lain,” katanya.
Katanya, mencegah baik daripada
mengubati terutama kepada mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan berisiko
tinggi dan mengambil langkah terbaik.
Apa yang penting, jangan sesekali
mendedahkan diri dengan panas melampau, sebaliknya perlu menurunkan suhu badan
dengan cepat untuk mengelakkan sawan, kerosakan organ atau kematian, selain
mengekalkan pernafasan mencukupi.
Ini boleh dilakukan dengan berada
pada persekitaran yang sejuk, tidak berpakaian tebal, kerap mandi. Mungkin anda
boleh juga menggunakan pek ais diletakkan pada leher, ketiak dan pangkal paha.
INFO: Amalan mengelak
jangkitan penyakit sepanjang musim panas
Perlu:
* Banyak minum tanpa mengira
tahap aktiviti anda. Jangan tunggu hingga dahaga.
* Minum minuman isotonik kerana
ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
* Berada di dalam rumah atau
bangunan.
* Hadkan aktiviti luar.
* Berehat dengan kerap.
* Mandi atau buka kipas angin
untuk menyejukkan badan.
* Pakai pakaian ringan, berwarna
terang dan longgar.
* Sewajarnya pakai pakaian
diperbuat daripada 100 peratus kapas.
* Pakai topi atau payung. Ia
dapat mengelak mengawal 40 peratus haba pada bahagian kepala
Jangan/ tidak perlu
* Minum minuman yang mengandungi
kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi.
* Jangan duduk di dalam kereta
yang bertutup tanpa pendingin hawa.
* Bersenam dalam cuaca panas
Simptom strok haba
* Muka kemerah-merahan
* Tidak berpeluh
* Suhu badan meningkat ketara
* Sawan
* Sakit kepala
* Denyutan nadi pantas
* Tidak sedarkan diri
* Lesu
* Bingung
* Kulit kering.
Bagaimana anda merawat mangsa
strok haba:
* Mangsa strok haba mesti
menerima rawatan segera untuk mengelakkan kerosakan organ kekal. Pertama
sekali, menyejukkan mangsa.
* Bawa atau alihkan mangsa ke
kawasan yang redup, tanggalkan pakaian, sapukan air sejuk atau suam pada kulit.
* Kipas mangsa untuk menggalakkan
peluh dan penyejatan. Letakkan pek ais di bawah ketiak dan pangkal paha.
* Jika mangsa mampu untuk minum
cecair, berikannya minuman, tetapi pastikan ia tidak mengandungi alkohol atau
kafein.
* Pantau suhu badan dengan
termometer dan teruskan usaha penyejukan sehingga suhu badan turun ke 38.3
hingga 38.8 darjah celcius.
* Jika keadaan tidak berubah,
segera bawa ke klinik atau hospital.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/