Rabu, 25 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : Kemerosotan Minat Pelajar Terhadap Jurusan Sains Membimbangkan


PUTRAJAYA: Minat pelajar untuk mengikuti jurusan sains di sekolah semakin merosot ke tahap yang sangat kritikal, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Ini boleh membantutkan usaha kerajaan meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi," katanya pada majlis amanat tahun baru 2012 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Khamis.

Mohamed Khaled berkata kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 memerlukan 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera, namun ia belum dicapai lagi.

"Lebih membimbangkan sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains terus menurun sehingga 29 peratus. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti," katanya. Beliau berkata pelajar yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melihat usaha untuk belajar dalam bidang sains tidak menguntungkan selain pembelajarannya sukar dan membosankan.

"Pelajar seharusnya membayangkan kerjaya yang menarik dan menguntungkan selepas tamat pengajian dan bergelar ahli sains," katanya.

Mohamed Khaled meminta pengurusan tertinggi IPT melihat perkara tersebut secara serius dan merancang strategi untuk mengubah persepsi negatif pelajar.

"Pelajar cemerlang perlu diterapkan rasa keghairahan untuk mempelajari sains dan dapat merasakan kursus sains adalah suatu yang menyeronokkan serta penuh cabaran minda dan penerokaan baru. Lebih penting ialah kerjaya sains menjanjikan pengiktirafan dan pulangan yang lumayan," katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Mohamed Khaled berkata mulai tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan biasiswa baru melalui program MyBrainSc yang bertujuan menyediakan tenaga akademik berkualiti dalam bidang sains tulen di IPTA.

Beliau juga mahukan IPTA membangunkan institusi penyelidikan sama ada dalam bentuk institut, pusat atau makmal dengan memperkenalkan jawatan baru bergelar Akademik Penyelidik sebagai keperluan asas untuk mengekalkan bakat.

Universiti juga perlu memberi perhatian kepada perancangan dan kemajuan yang berlaku di persekitaran khususnya pembangunan wilayah agar hasrat universiti menjadi pemacu pembangunan tempatan akan tercapai selain sebagai satu cara menambah sumber pendapatan, kata Mohamed Khaled.

Beliau mencadangkan semua IPTA mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bagi memastikan usaha pembudayaan dan kecemerlangan penyelidikan serta kesinambungan semua program yang direncanakan, dilaksanakan dengan sempurna.

Mohamed Khaled juga berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dikuatkuasakan nanti, bukan sebagai tiket kebebasan mutlak bagi pelajar IPT sehingga mengganggu keselamatan awam.

"Saya tidak pernah menghalang mahasiswa bersikap kritikal tetapi biarlah sikap itu disalurkan melalui pendekatan yang berhemah lagi beradab. Mahasiswa juga merupakan rakyat dan warganegara yang mempunyai tanggungjawab kepada negara sama seperti pihak lain dalam masyarakat," katanya. - BERNAMA

3,996 Calon Lulus STAM 2011



PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (Lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak berkata daripada jumlah itu, 326 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 mendapat Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya Maqbul.

Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lepas di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, katanya semasa mengumumkan keputusan STAM 2011 di Kementerian Pelajaran di sini, Khamis.

Daripada segi nilai Gred Purata Nasional, Na'imah berkata pencapaian keseluruhan calon menunjukkan peningkatan daripada 3.23 pada tahun 2010 kepada 3.19 pada 2011.

STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000, melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Mengenai prestasi mata pelajaran, Na'imah berkata enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya' dan Mutala'ah, Tafsir dan Ulumuhu serta 'Arudh dan Qafiyah mencatatkan peratusan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) berbanding tahun 2010.

Empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz Al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq, katanya.

Beliau berkata satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon yang lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

"Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran serta teknik yang sesuai untuk pelajar. Kita akan cari mekanisme terbaik," katanya.

Na'imah berkata calon-calon yang tidak berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mana-mana mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Mengapa remaja Melayu layu?


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

KEMERDEKAAN yang kita terima dan isi sepatutnya menjadikan remaja lebih bertenaga dan berwibawa. Sebaliknya proses pembangunan dan perubahan sosial tidak dapat dimanfaatkan oleh kebanyakan para remaja. Terdapat sebahagian remaja Melayu dalam jumlah yang agak membimbangkan terjebak dengan ketirisan jati diri dan menjalani hidup dalam keadaan keliru dan celaru. Ini boleh menyebabkan kelangsungan generasi Melayu menjadi 'layu'.

Abad ini adalah abad persaingan yang menuntut remaja yang berilmu dan mempunyai etika yang tinggi. Masalah sosial yang terjadi, penyalahgunaan dadah yang bertambah, kegiatan rempit yang berlaku, kadar penceraian yang tinggi serta amalan zina dan pembuangan bayi yang meningkat bukanlah suatu gambaran menarik kepada generasi muda. Generasi inilah yang bakal mengambil alih tampuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kepimpinan negara. Ia adalah gambaran suram yang menyebabkan Melayu itu bertambah 'layu'.

Ia bermula akibat pendidikan keluarga yang tidak seimbang. Anak-anak tidak dibina dalam suasana yang fitrah. Keciciran banyak terjadi dalam pembinaan keluarga dan ia menyebabkan keciciran berterusan di sekolah dan dalam masyarakat. Remaja Melayu amat terdedah dengan simpang siur, silang budaya yang kehilangan arah. Ia menyebabkan remaja Melayu mengalami sindrom ketagihan terhadap hiburan, gemar menonton filem-filem tahyul, seram dan hantu yang tidak mampu meningkatkan akal budi insani dan mudah cair dengan cabaran nafsu nafsi dan akhirnya menjerumuskan remaja Melayu ke kancah kerosakan.

Terlihat oleh kita sistem perubahan sosial berlaku dalam dua ekstrem. Di satu pihak cuba membentuk pemikiran generasi muda kearah kebaikan dan kemakrufan. Di sisi lain terdapat usaha dan kegiatan menjadikan mereka orang-orang yang lagha, cuai, dan lalai terhadap amanah keremajaan. Ia menyebabkan konflik sikap dan pemikiran terjadi. Akhirnya menyebabkan sebahagian remaja Melayu menjadi 'layu'.

Sindrom 'kelayuan' ini boleh menyebabkan remaja Melayu hilang pedoman dan arah dalam hidup dan akhirnya menjadi mangsa kepada persekitaran. Persekitaran yang tidak baik bakal membentuk pola berfikir dan binaan sikap yang lemah. Ia tidak akan menghasilkan pemikiran kreatif yang berpotensi untuk membawa perubahan dan pemikiran kompetitif untuk berdepan dengan cabaran dan saingan. Minda remaja Melayu akan menjadi lemah, suka bergantung kepada orang lain dan menjadi pengikut kepada agenda orang lain.

Oleh itu, amat penting generasi muda Melayu membina jati diri atas prinsip perubahan ke arah sesuatu. Remaja Melayu patut menginsafi bahawa ianya tidak boleh berlaku tanpa ilmu, kemahiran serta akhlak. Remaja Melayu yang jauh daripada pendidikan Islam dan tidak menjadikan Islam dan etikanya sebagai pedoman bakal terdedah menjadi mangsa zaman. Sifat zaman yang pantas berubah mengingatkan kita dengan kata-kata Saidina Umar r.a yang menyebutkan "Didiklah generasi muda dengan ilmu yang sezamannya".

Ilmu yang sesuai dengan zaman, pada hemat penulis ialah ilmu yang integratif, yang menyepadukan ilmu akal dengan ilmu wahyu (ilmu aqliah dan ilmu naqliah). Tanpa kekuatan ilmu, yang diolah secara wasatiyyah (berimbang), tidak mungkin kita mampu menyaingi terjahan globalisasi yang berlaku dengan hebatnya.

Reflektif terhadap tamadun Islam yang silam boleh membawa kepada proses integrasi dan islamisasi ilmu yang mampu mencetuskan perubahan dan tamadun. Kalau tidak, para remaja dan generasi muda akan kekal sebagai pengguna setia terhadap tamadun Barat yang belum tentu selari dengan tuntutan agama.

Para remaja yang mengikuti pendidikan agama mesti mampu membentuk pemikiran yang terbuka, tidak emosional dan taksub serta berfikir secara simplistik. Melakukan perubahan terhadap sistem menuntut pemikiran yang jelas, rancangan yang bijaksana dan strategi yang berwibawa.

Kalau pendidikan agama menjadikan para remaja gopoh berfikir, bersikap simplistik terhadap sesuatu, tidak bersedia mendengar pandangan orang lain ia bakal menghasilkan kejumudan dan kebekuan. Sikap jumud dan beku tidak boleh menghasilkan perubahan. Remaja bakal berada dalam kepompong berfikir yang lama dan tidak mampu melonjakkan diri dalam arus perubahan yang terarah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Taksub kepartian punca rakyat pecah-belah ?


SATU kajian telah dijalankan oleh Merdeka Center mengenai nilai politik rakyat Malaysia bermula Januari hingga April 2010. Kajian itu memberi fokus kepada perpaduan negara. Daripada 10 pendapat yang tertinggi, 13 peratus daripada 3,141 atau 408.3 responden berpendapat ketidakstabilan politik iaitu pertelingkahan antara ahli politik dan parti politik yang menyebabkan perpecahan antara rakyat dalam sesebuah negara.

Malaysia dianggap dunia sebagai unik kerana anggota masyarakatnya berjaya hidup bersama dalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa lebih daripada 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi ia bukanlah satu tugas yang mudah. Beberapa insiden berdarah membabitkan pertelingkahan antara kaum pernah mewarnai sejarah negara kita. Semua anggota masyarakat tanpa mengenal perbezaan perlu mengambil iktibar dan perhatian daripada kejadian sebegini supaya peristiwa pergolakan kaum tidak berulang lagi.

Kepelbagaian parti politik dengan masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan tersendiri sering mengundang pertelingkahan hingga menggugat keharmonian dan perpaduan antara rakyat. Sikap terlalu taksub kepada satu-satu parti politik menyebabkan politik Malaysia sering diwarnai dengan insiden tidak matang. Politik lucah, politik tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, sabotaj dan pelbagai lagi acap kali menghiasi dada media massa dan elektronik. Rakyat dihujani dengan politik perkauman melampau yang lama-kelamaan menghancur-leburkan solidariti bangsa Malaysia.

Kepelbagaian ini dapat disatukan jika semua menjunjung tasawwur politik berkonsepkan demokrasi yang telah dipersetujui. Kefahaman mendalam mengenai wawasan negara oleh semua parti politik adalah teras kepada kewujudan landskap politik yang bersatu-padu di tengah-tengah kemajmukan penduduknya.

Malah, yang penting ialah kefahaman setiap pemimpin parti politik dan penyokongnya kepada kedaulatan Perlembagaan yang menjadi panduan hidup bernegara.

Ketika ini, kerap kedengaran sesetengah pemimpin parti politik begitu lantang mempersoalkan peruntukan khas dan asas dalam Perlembagaan terutama yang membabitkan agama Islam, bahasa kebangsaan dan peruntukan khas orang Melayu masing-masing tercatat dalam Artikel 3, 152 dan 153.

Penyokong sesebuah parti disogok untuk membenci secara keterlaluan perbezaan ideologi politik sehingga pernah berlaku perkahwinan terhalang, perkahwinan bercerai-berai hanya disebabkan perbezaan parti politik.

Apatah lagi apabila kita berbicara mengenai masyarakat. Boleh jadi masyarakat berpecah-belah kerana sikap ultra-taksub kepartian yang ada pada diri setiap individu. Kata-kata kesat keterlaluan dihambur bagi menyatakan kebencian kepada pemimpin dan penyokong parti-parti lain sehingga menggadai nilai sopan dan santun masyarakat timur.

Semua individu bergelar rakyat Malaysia wajib menjaga dan mengekalkan perpaduan yang dikecapi. Kita tidak boleh meletakkan beban menjaga perpaduan ini atas bahu sesuatu pihak saja. Semua individu berkepentingan dalam memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan nasional. Ia juga tidak bersifat bermusim iaitu hanya mempromosikan perpaduan apabila ada perayaan dan keraian. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama warga negara Malaysia.

FARIDAH MOHD TAP,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : SKMM pantau aktiviti remaja salah guna laman sosial


Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


LAMAN sosial seperti Facebook sememangnya memudahkan untuk kita berinteraksi apatah lagi untuk mencari kenalan lama mahupun rakan sekolah yang telah terputus hubungan sekian lama.

Pada asalnya ia dicipta untuk tujuan komunikasi, tetapi selalunya manusia gemar ‘menyalahgunakan’ sesuatu kemudahan apatah lagi laman sosial seperti Facebook.

Kewujudan laman sosial itu berjaya menarik perhatian semua golongan mahupun lapisan masyarakat dan tidak terkecuali golongan remaja terutama pelajar sekolah dan universiti.

Ada dalam kalangan remaja yang secara terang-terangan menggunakan perkataan kurang sopan, malah keterlaluan untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap rakan, keluarga mahupun guru di sekolah.

Adakah mereka berasakan kebebasan yang diberikan untuk melayari dan menggunakan kemudahan internet bermaksud ia juga kebebasan untuk mereka meluahkan apa saja di alam maya?

Mereka seharusnya berhati-hati kerana apakah mereka mengira setiap pergerakan mahupun apa juga yang diluahkan di dalam internet tidak ‘diperhatikan’ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Lihat saja apa yang berlaku kepada seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang baru-baru ini ditahan selepas mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook yang ‘berbaur’ ancaman.

Kenyataan berbaur ancaman kepada mana-mana individu tidak sepatutnya dibuat sewenang-wenangnya menerusi apa-apa juga media, apatah lagi ia merujuk kepada pemimpin negara.

Mungkin pada awalnya ia dianggap satu gurauan antara rakan-rakan, tetapi tidak kepada pasukan keselamatan.

Kenyataan sebegitu boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan kepada pemimpin tertinggi negara.

Oleh itu, golongan remaja mahupun pelajar seharusnya lebih berhati-hati terutama di dalam mengeluarkan apa juga bentuk kenyataan agar tidak memudaratkan diri sendiri.

Jangan jadikan alasan kebebasan bersuara untuk mereka mengatakan apa saja kerana berasakan ia berlaku di alam maya.

“SKMM ketika ditanya berhubung perkara ini mengakui sebarang kenyataan berbaur ancaman atau ugutan untuk memudaratkan seseorang adalah salah di sisi undang-undang, tidak kira apa cara sekalipun sama ada melalui percakapan, perbincangan, perbualan telefon ataupun melalui aplikasi laman sosial seperti Facebook.

Oleh itu, tidak ada apa yang memisahkan Facebook daripada ‘medium’ yang lain sekiranya niat seseorang itu bertujuan mengancam ataupun mengugut pihak lain dan isu menyekat laman sosial seperti Facebook tidak sepatutnya ditimbulkan di dalam konteks ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan SKMM ketika diminta mengulas berhubung isu terbabit.

Pihak SKMM turut mengingatkan apa-apa saja perlakuan menyalahi undang-undang di alam nyata, maka pada masa yang sama ia turut menyalahi undang-udang di alam maya. Cuma apa yang membezakan ia dilakukan di dalam internet.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pengguna terutama pelajar mahupun remaja menggunakan laman sosial bagi tujuan positif dan penggunaannya hendaklah dengan cara beretika.

Penekanan turut ditekankan SKMM agar pelajar mahupun remaja tidak mendedahkan maklumat peribadi ketika berinteraksi di laman sosial kerana ditakuti ‘penghendap’ siber mencuri maklumat itu untuk tujuan tidak baik.

Laman sosial juga tidak seharusnya dijadikan medan peperangan untuk melampiaskan rasa tidak puas hati terhadap sesiapa saja apatah lagi menuduh, memalukan, melabel ataupun memfitnah kerana pesalah yang berjaya ditangkap pasti akan dikenakan tindakan undang-undang.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab memantau aktiviti alam siber, SKMM menyeru agar pengguna menggunakan laman sosial facebook secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan insiden yang tidak disengajakan atau diingini berlaku.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sejarah Sekolah Integriti


SEKOLAH Integriti telah ditubuhkan pada April 2008 secara kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Jabatan Penjara Malaysia.

Sekolah Integriti ini beroperasi di enam buah penjara mengikut zon seperti berikut;

i. Sekolah Integriti Kluang [Penjara Kluang, Johor] - Zon Selatan

ii. Sekolah Integriti Kajang [Penjara Kajang, Selangor] - Zon Tengah

iii. Sekolah Integriti Marang [Penjara Marang, Terengganu] - Zon Timur

iv. Sekolah Integriti Sungai Petani [Penjara Sungai Petani, Kedah] - Zon Utara

v. Sekolah Integriti Puncak Borneo [Penjara Kuching, Sarawak] - Zon Sarawak

vi. Sekolah Integriti Kota Kinabalu [Penjara Kota Kinabalu, Sabah]- Zon Sabah

Terdapat juga dua buah Sekolah Henry Gurney yang berada di bawah kawalan Jabatan Penjara Malaysia iaitu Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka dan Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah.

Kedua-dua buah sekolah telah beropreasi sejak tahun 1950-an lagi.

Kesemua sekolah ini telah didaftarkan sebagai sekolah kerajaan pada Januari 2011.

Kesemua sekolah ini menjalankan aktiviti seperti mana sekolah kawalan penuh Kementerian Pelajaran dan membenarkan setiap pelajar yang berdaftar di sekolah ini untuk menduduki peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

NOTA HUJUNG:

PADA 2011, terdapat seramai 1,650 banduan muda atau pesalah juvenil yang mengikuti program pendidikan di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

Jumlah pesalah muda juvenil pada 2010 adalah seramai 1,104 orang berbanding 538 orang pada 2009.

Manakala pada 2008 pula jumlahnya ialah 531 orang sahaja.

Dari segi jumlah staf Kementerian Pelajaran, setakat ini ia melibatkan seramai 102 pegawai.

Tiga pegawai ditempatkan di Ibu Pejabat Penjara Malaysia manakala 99 pegawai lagi ditempatkan di sekolah-sekolah yang berkaitan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/