Khamis, 3 Mei 2012

ISU SOSIAL : Anarki dan faham neo-liberalisme


Prof Datuk Dr Sidek Baba

Faham pasca-modernisme yang menolak autoriti dan hierarki adalah salah satu cabang faham neo-liberalisme yang berkembang di Barat dan sedang menjangkiti masyarakat negara lain. Darinya lahir faham anarki (disorderly) yang menolak sesuatu yang bersifat tradisi dan berkait dengan agama.

Faham ini ingin melahirkan aliran baru dalam berfikir dan tindakan atas nama hak asasi manusia atau civil liberty yang menjadi agenda mereka. Kecenderungan ke arah amalan LGBT umpamanya adalah salah satu daripada pola amalan yang dianggap sebagai menepati hak asasi yang sedang dicetuskan.

Gerakan anarki ini tidak saja berlaku di Barat tetapi sedang kelihatan terjadi dalam negara kita Malaysia. Kecenderungan merusuh, tidak menghormati undang-undang, tidak sensitif kepada kepentingan ramai, merasakan kumpulan minoriti paling berkuasa, hilangnya tradisi perbincangan dan muzakarah adalah antara gejala yang sedang terjadi.

Kecenderungan ini amat bahaya bagi Malaysia. Negara ini dalam konteks masyarakat berbilang memerlukan rasa sensitif atau kepekaan yang tinggi di kalangan warganya untuk menjaga maslahah ini supaya tidak ada pihak yang dibenarkan mengambil kesempatan untuk mencetuskan huru-hara dan melakukan tindakan provokatif yang menyebabkan konflik terjadi.

Di Barat kecenderungan ini terhubung dengan Teori Konflik dengan maksud terjadinya perbalahan dan menyebabkan kecenderungan anarki terjadi dan pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu mengambil kesempatan daripada keadaan yang terjadi.

Amat dibimbangi kecenderungan anarki ini tidak saja menjadi tunjangan pengikut neo-liberalis saja, tetapi sedang menghinggapi pendukung gerakan politik Islam yang sanggup melakukan kerosakan terhadap harta, hatta bertindak membahayakan nyawa orang lain.

Islam sangat mencegah keadaan tindakan yang menjurus kepada kebinasaan. Apabila undang-undang tidak perlu dipatuhi ia adalah kecenderungan anarki. Tindakan merosak harta, mencederakan orang lain, hatta ingin melakukan kerosakan yang lebih teruk bukanlah ajaran Islam.

Antara kecenderungan anarki yang diimport daripada pengaruh neo-liberalisme dan pendekatan ekstremis serta pelampau yang terdapat bagi sesetengah pendukung gerakan politik Islam, air dan minyak bercampur dan ia seolah-olah menjadi satu untuk suatu maksud tertentu.

Kedua-dua aliran pengaruh ini cuba mencari kesempatan bagaimana suasana yang kecoh boleh menguntungkan pihak luar Malaysia dan bagaimana pihak yang mempunyai fahaman pelampau dalam negara cuba mencetuskan suasana anarki yang membolehkan mereka mendapat political-mileage atau keuntungan politik.

Seperti yang berlaku di negara-negara lain, tindakan yang bersifat anarki diharap dapat membawa perubahan politik dan membolehkan pihak yang berkepentingan mengaut pengaruh darinya dan menutup langsung pintu dialog atau muzakarah kerana cetusan dendam kesumat terlalu membuak-buak hingga tercetus nafsu amarah yang tinggi kerana nafsu politik mengatasi pertimbangan agama dan etika.

Ia dihangatkan lagi dengan peranan media baru yang juga mengambil trend anarki dengan laporan sensasi dan provokatif berkembang serta menyebabkan pihak awam terheret sama tanpa keupayaan untuk menentukan kesahihan sesuatu maklumat dan cerita serta menyebabkan konflik pemikiran terus berlaku. Ia bakal menghasilkan kecelaruan yang berterusan dan minda awam terperangkap kerananya.

Isu LGBT yang hangat diperkatakan di Malaysia adalah akibat dari faham anarki yang tidak lagi terpaut dengan nilai-nilai agama dan kemanusiaan. Ada pihak yang merasakan bahawa isu LGBT boleh membawa bencana kepada umat manusia, di suatu sisi pihak yang memperjuangkan Islam secara melampau menganggap isu LGBT adalah sesuatu yang kecil.

Kisah Nabi Lut as mendepani kaum yang ingkar dan melanggar nilai-nilai fitrah dalam kehidupan sentiasa menjadi ibrah umat Islam kerana kisah itu sifatnya mengulangi. Apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat yang membenarkan amalan gay dan lesbian di beberapa negeri membuktikan bahawa amalan kaum Nabi Lut itu dianggap sebagai suatu norma dan diterima oleh mereka.

Kalau kelompok Islam yang ada kepentingan politik menganggap itu adalah suatu perkara yang kecil dan menguasai politik serta pemerintahan adalah sesuatu yang lebih utama, ia menunjukkan aliran anarki sedang berkembang dan menentukan sesuatu lebih utama sudah menjadi sesuatu yang remeh dan kecil. Ia adalah sikap pragmatik yang berbaur anarkis.

Penulis ialah pensyarah Kulliyah Pendidikan UIA

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : KPM Kaji Semula Garis Panduan Keselamatan Di Sekolah


MUAR: Kementerian Pelajaran akan meneliti semula garis panduan keselamatan sekolah di negara ini dalam usaha memperkukuhkan aspek keselamatan pelajar bukan sahaja di dalam kawasan tetapi juga luar kawasan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian semalam dan memutuskan pekeliling keselamatan sedia ada ditambah baik untuk mempertingkat aspek keselamatan pelajar.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kes penculikan pelajar warga Belanda Nayati Shamelin Moodliar, 12 tahun pada 27 April ketika dalam perjalanan ke sekolah menyedarkan beliau dan kementerian mengenai aspek keselamatan pelajar bukan sahaja harus dititikberatkan di dalam kawasan sekolah tetapi juga di luar sekolah.

"Kita telah ada pekeliling (keselamatan) sekian lama... tetapi dengan perkembangan terbaru kita nak lihat balik bagaimana nak perkukuhkan keselamatan pelajar dengan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dipertingkat," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Bola Sepak Berjaya Corp Bhd -7Eleven- dan Cosway Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Junid di sini, Khamis.

Turut menghadiri majlis itu adalah Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Datuk Robin Tan.

Muhyiddin berkata beliau menyedari tahap kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika dalam perjalanan ke sekolah berikutan kes terbaru itu dan kementerian sendiri memandang serius berhubung kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan meningkatkan program kesedaran terhadap ibu bapa dan masyarakat, persatuan ibu bapa dan guru dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengelakkan kejadian seumpamanya berlaku.

Muhyiddin turut melahirkan rasa syukur kerana Nayati berjaya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Selangor, pada pukul 7.55 pagi ini selepas enam hari dilapor hilang.

Nayati dilaporkan ditemui orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Pelajar warga Belanda itu dilaporkan diculik dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah kereta Proton Gen 2 berwarna hitam ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara pada 27 April lalu. -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Dialog nasional dan kajian semula pendidikan


Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

“KEMBALIKAN semula dasar PPSMI," “Wujudkan sekolah rendah Inggeris atau SRJK Inggeris seperti sekolah vernakular lain di setiap daerah" dan “Wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris syarat lulus peperiksaan SPM."

Demikian antara puluhan cadangan dan saranan yang dilontarkan oleh peserta dialog nasional yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 27 April lepas.

Suasana Dewan Utama yang pada mulanya dingin memuatkan hampir 2,000 orang peserta tiba-tiba menjadi panas apabila peserta dialog silih berganti mengeluarkan pendapat. Ada yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh tanda setuju daripada hadirin tetapi tidak kurang pula yang mendapat cemuhan dan suara mengeluh tanda tidak setuju.

Dialog nasional bagi merangka semula sistem pendidikan negara dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam ucapan perasmian beliau memberi masa selama tiga bulan kepada Jawatankuasa Pelaporan atau panel yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr. Wan Zahid, bersama dua belas anggota untuk menyiapkannya.

Pasukan panel akan menjelajah ke seluruh negara bertemu warga pendidik, NGO, pemimpin masyarakat dan tokoh tertentu. Tiga kaedah digunakan iaitu berdialog dengan kumpulan ramai atau sesi townhall, meja bulat bilangan sederhana dan menemui tokoh tertentu.

Dialog nasional bertujuan mendengar aspirasi, rasa hati dan cadangan daripada pelbagai pihak sebagai bahan menyediakan kajian semula pendidikan. Kaedah ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sampai masanya dalam menyediakan sesuatu dasar perlu merujuk kepada pihak yang berkepentingan atau stakeholders dan tidak hanya datangnya daripada pihak kerajaan.

Sesungguhnya perkembangan pendidikan boleh dibahagikan kepada empat tahap bermula Laporan Razak (1956). Laporan ini disesuaikan dengan negara baru merdeka yang menekankan pembentukan jati diri dan membina negara bangsa. Pendidikan dijadikan sebagai alat penyatuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dicadangkan juga penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah.

Laporan Rahman Talib (1961) dan Laporan Kabinet (1971) memantapkan lagi Laporan Razak. Kedua-dua laporan itu turut menekankan keperluan kemudahan pendidikan luar bandar dan keseragaman bahasa pengantar serta peperiksaan peringkat pra sekolah hingga menengah atas.

Tahap kedua perkembangan pendidikan apabila Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988) digubal bagi melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pendidikan dilihat sebagai elemen penting bagi mengembangkan bakat serta potensi individu dan usaha menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar.

Sementara itu, tahap ketiga adalah ketika negara memasuki era abad ke-21. Bagi memacu pembangunan negara pendidikan berperanan melahirkan manusia yang berpengetahuan, berkemahiran ICT dan bersifat holistik. Penekanan diberikan kepada bidang sains dan teknologi serta persaingan peringkat global.

Salah satu dasar yang masih segar iaitu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Kini perkembangan tahap keempat akan memberi fokus kepada menyediakan negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Pendekatannya berkait rapat dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) menekankan rakyat yang berpendapatan tinggi. Bagi mencapai hasrat itu pendidikan mesti berupaya melahirkan individu yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Pencapaian pelajar tidak hanya dilihat atas kecemerlangan akademik tetapi perlu mempunyai berbagai kebolehan, menguasai beberapa bahasa dan memiliki kemahiran softskills.

Walau apa pun pendapat bagi meningkatkan kualiti pendidikan ia perlu menekankan kepada beberapa isu tertentu iaitu tahap kompetensi guru, kewibawaan pengetua atau guru besar, kemantapan kurikulum, kemudahan infrastruktur dan keberkesanan sistem penyampaian.

Tidak dapat dinafikan guru memainkan peranan penting bagi melahirkan pelajar berketerampilan. Guru berkesan bukan sahaja berkelulusan tinggi tetapi mempunyai kriteria tertentu seperti sikap mesra, suka kepada kanak-kanak, rajin mencuba, sentiasa mencabar keupayaan pelajar dan tidak mudah putus asa. Bagi melahirkannya kaedah pemilihan bakal guru perlu diperketatkan dan latihan perguruan perlu ditingkatkan kualitinya.

Satu lagi isu adalah menyediakan sistem penyampaian yang baik. Kaedah pentadbiran secara desentralisasi perlu difikirkan kerana bilangan sekolah yang besar melebihi 10,000 buah.

Dasar one size fit all tidak lagi sesuai kerana perbezaan latar belakang dan lokaliti sekolah. Jumlah warga pendidik yang hampir setengah juta orang turut memerlukan sistem penyampaian yang berkesan. Oleh itu, kaedah terbaik perlu disediakan seperti mempunyai data pelbagai maklumat yang kemaskini dan sistem pemantauan yang canggih.

Membandingkan sistem pendidikan dan mendapatkan praktis terbaik daripada negara-negara lain perlu dilakukan. Negara seperti Finland, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura dikatakan mempunyai tahap pendidikan yang baik. Lawatan kerja dan penempatan sementara pegawai dan guru perlu kerap dilakukan bagi tujuan penambahbaikan.

Kajian semula pendidikan ini dilaksanakan melalui dialog dalam sesi pertemuan townhall, meja bulat dan perbincangan dengan tokoh tertentu. Kepada yang berminat dijemput hadir. Pendapat juga boleh disalurkan melalui kertas cadangan, memorandum atau melayari laman web.

Kepada pasukan panel Kajian Semula Pendidikan selamat menjalankan tugas!

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/