Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
Kekurangan guru lelaki dalam
sektor pendidikan sudah lama mencetuskan kebimbangan sekali gus memberi mesej
bahawa tindakan wajar perlu diambil bagi menangani kemelut ini.
Biarpun pelbagai insentif menarik ditawarkan, ia belum mampu menarik minat golongan Adam bergelar warga pendidik yang ramai didominasi wanita.
Apakah kerana melihat ia kerjaya
bersifat feminin menjadikan mereka menolak untuk bergelar guru atau tanggapan
bidang ini tidak sesuai kerana kurang mencerminkan ciri lelaki maskulin?
Jikalau berterusan ditolak,
apakah kesudahan masa depan lelaki dalam bidang perguruan di negara ini?
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan
Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim,
Profesor Dr Othman Lebar berkata, isu yang perlu diperhalusi bukanlah jumlah
tapi bagaimana menarik minat golongan lelaki menjadi guru.
Beliau berkata, kekurangan minat
itu memang jelas dibelenggu persepsi bahawa jika lelaki menjadi guru, ia akan
menghilangkan sifat maskulin.
“Kekurangan jumlah itu perlu
dilihat daripada kemerosotan bilangan penyertaan golongan lelaki ketika
melanjutkan pengajian di maktab atau universiti.
“Apabila kurang yang memohon, ia
memberi kesan kepada jumlah yang menamatkan pengajian untuk menjadi guru.
“Justeru, isu asas yang harus
diselesaikan ialah bagaimana menarik minat golongan itu menjadi guru.
“Jika penyelesaian itu ada,
jumlah lelaki yang mahu menjadi guru pasti akan meningkat,” katanya.
Statistik Kementerian Pendidikan
sehingga akhir tahun lalu mendapati, terdapat 127,744 guru lelaki dan 287,723
guru wanita di sekolah seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 72,399 guru
lelaki dan 165,485 guru wanita mengajar di sekolah rendah manakala 55,345 guru
lelaki dan 122,238 wanita di sekolah menengah.
Jumlah itu membenarkan andaian
bahawa lelaki memang tidak suka menjadi guru kerana pelbagai sebab, antaranya
sifat maskulin.
Namun, beliau kurang bersetuju
faktor maskulin menjadi faktor utama mengapa golongan lelaki tidak berminat
menjadi guru.
“Masyarakat kita memang suka
membuat persepsi yang bukan-bukan. Siapa kata lelaki jadi guru akan hilang
sifat macho?
“Cuba lihat sekolah waktu dulu,
siapa paling ramai, paling tegas dan paling berwibawa menjadi guru jika bukan
lelaki?
“Sampai tua pun, generasi dulu
ingat betapa garangnya guru lelaki yang cukup sinonim dengan rotan. Mereka jadi
guru tapi sifat lelaki tidak hilang malah boleh menjadi guru terbaik dan
diingati pelajar walaupun selepas menamatkan pengajian,” katanya.
Tidak menafikan persepsi itu
timbul rentetan banyaknya guru wanita mendominasi bidang perguruan hingga
tenggelam golongan lelaki.
“Senario ini tidak boleh dielak
kerana mereka (wanita) adalah golongan yang mendominasi kemasukan di institusi
termasuk bidang pendidikan.
“Jadi, kita akan lihat guru
wanita lebih ketara berbanding kelibat lelaki. Tapi ini bukan sebab untuk
menafikan atau memperlekehkan kehadiran guru lelaki kerana keperluan mereka
penting.
“Lelaki yang mahu jadi guru
kurang dan lebih suka memohon kerjaya lain. Kita tidak boleh menyekat keinginan
mereka.
“Justeru, jika ramai memohon
adalah wanita, berilah laluan itu kepada mereka biarpun jurang populasi akan
meningkat,” katanya.
Kehadiran guru lelaki di sekolah
mampu mengimbangkan perjalanan sistem tugasan guru terutama pelarasan tugas
yang kurang mampu ditangani guru wanita.
“Contohnya aspek disiplin, guru
lelaki lebih sesuai menangani masalah pelajar bermasalah.
“Jadi, jika berterusan kekurangan
guru lelaki, lama-kelamaan aspek ini akan menjadi kurang kawalan dan boleh
menimbulkan masalah lain.
“Sebab itu, perlu ada peranan guru lelaki dalam mengendali dan
mentadbir sistem persekolahan supaya wujud keseimbangan,” katanya.
Kecenderungan lelaki memilih
bidang pekerjaan lain juga, katanya, bertitik tolak daripada pandangan buruk
diberikan masyarakat yang gemar melabelkan pekerjaan guru sebagai terlalu
mencabar, tertekan dan terlalu sibuk.
“Melihat ‘kesengsaraan’ guru hari
ini, memanglah boleh memadamkan minat lelaki ke arah itu tetapi saya tegaskan
mana-mana pekerjaan pun pasti ada cabaran.
“Bezanya, cara kita menangani
cabaran itu,” katanya.
Dilema yang dihadapi guru hari
ini turut menjadi bidang perguruan semakin jauh daripada golongan lelaki.
“Dulu, kebanyakan guru disiplin
diberi tanggung jawab kepada guru lelaki dan mereka bebas melakukan hukuman
bagi membentuk disiplin pelajar.
“Tapi guru hari ini terlalu
banyak sekatannya menyebabkan penghormatan sebagai guru semakin diperkecilkan.
“Justeru, tidak boleh salahkan
mereka andai kata enggan memilih pekerjaan ini sebab setiap orang ada keinginan
berbeza,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap agar
tanggapan terhadap bidang perguruan
diperbetul.
“Masa depan guru sangat luas,
bukan menjadi guru sampai pencen kerana banyak pilihan pekerjaan terbuka untuk
mereka seperti menjadi pensyarah.
“Bergelar guru adalah satu
penghormatan, bukan diukur dengan wang ringgit. Tanpa mereka, kita mungkin
tidak berada seperti apa yang dikecapi hari ini,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/