Ahad, 15 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Wajah Baharu Tingkatan Enam



Bukan lagi pilihan terakhir

Oleh : Ruhaiza Rusmin

SEJAK dulu, Tingkatan Enam sering diklasifikasikan sebagai pendidikan sukar dan menjadi pilihan terakhir pelajar yang tidak berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau matrikulasi.

Begitu banyak definisi diberikan hingga menimbulkan justifikasi berbeza masyarakat menyebabkan Tingkatan Enam malap dan terpinggir.

Bagaimanapun, ada cadangan untuk memberi wajah baharu kepada Tingkatan Enam baru - baru ini membabitkan dimensi dan nafas baru terhadap pendidikan berkenaan.

Menerusi imej baharu cadangan penstrukturan semula, ia juga dianggap sebagai tanda terima kasih kepada Tingkatan Enam yang selama ini menjadi penyelamat khususnya pelajar yang ingin menjejakkan kaki ke menara gading.

Persoalannya, adakah dengan pembaharuan bakal dilaksanakan itu, Tingkatan Enam mampu menarik kembali ramai pelajar untuk meneruskan pengajian atau sebaliknya?

Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, penjenamaan semula berkenaan tepat masanya bagi memberi ‘cahaya’ baharu kepada Tingkatan Enam dan perlu segera dilaksanakan.

Menurutnya, sumbangan Tingkatan Enam kepada sistem pendidikan negara cukup besar dan wajah baharu itu boleh ‘mengingatkan’ kembali masyarakat, jasa-jasa yang sudah dicurahkan selama ini.

“Dulu Tingkatan Enam dianggap sebagai pendidikan berprestij dan hanya untuk pelajar yang terpilih saja. Fungsinya cukup besar terutama membantu pelajar melangkah ke  alam pendidikan tinggi.

“Malangnya, kini Tingkatan Enam hanya dianggap sebagai pilihan terakhir dan gagal menarik minat pelajar. Ditambah pula dengan pelbagai tanggapan negatif.

“Justeru penjenamaan semula ini langkah tepat untuk ‘menghidupkan’ kembali Tingkatan Enam sekali gus menjadikannya sebagai salah satu proses kesinambungan pendidikan ke menara gading,” katanya.

Beliau menegaskan sama ada ke Tingkatan Enam atau tidak, setiap peranan yang dimodulkan melalui sistem pendidikan negara mempunyai kepentingan masing-masing.

Pandangan skeptikal masyarakatlah katanya, menyebabkan ia dikelaskan sebagai pembaziran dan kelas kedua sekali gus bertentangan dengan kehendak pendidikan berterusan.

“Secara amnya, setiap pendidikan sama ada bertaraf tinggi atau rendah tidak wajar dinilai mengikut spesifikasi tertentu kerana fungsi setiap daripadanya tetap sama iaitu memberi pendidikan.

“Namun ramai seperti menganaktirikan Tingkatan Enam menyebabkan ia sering kali diberi penilaian negatif.

“Justeru penstrukturan serta pemberian imej baru ini diharap mampu menghapuskan pandangan skeptikal itu dan menjadikan Tingkatan Enam sebagai salah satu wadah pendidikan terbaik negara,” katanya.

Penstrukturan imej baru Tingkatan Enam seperti dilaporkan akhbar baru - baru ini dianggap sebagai landasan awal untuk meninggikan lagi penerimaan masyarakat sejajar sistem pendidikan prauniversiti.

Antara cadangannya ialah menyatukan Tingkatan Enam, jadual waktu, guru dan pakaian berbeza serta dipisahkan dari sekolah biasa.

Menurutnya, penstrukturan baru itu boleh menarik dan meningkatkan imej Tingkatan Enam biarpun selama ini pendidikan berkenaan kurang popular.

“Ini kerana pelajar kebanyakannya berminat memohon untuk memasuki kolej atau menara gading bagi melanjutkan pengajian kerana dianggap lebih menjamin peluang kemasukan ke universiti.

“Pada masa sama tanggapan ia susah dan membazir sentiasa membelenggu minda masyarakat menyebabkan kurang sambutan.

“Padahal fungsi pembelajaran dan tujuan asasnya tetap sama. Hanya disebabkan ia di sekolah bukan di kolej menjadikan Tingkatan Enam masih disamakan seperti pendidikan di sekolah,” katanya menambah cabaran belajar di mana - mana pun tetap serupa.

“Sama ada di sekolah atau menara gading, pembelajaran adalah proses berterusan yang memerlukan seseorang fokus.

“Jangan berikan alasan belajar di menara gading atau matrikulasi boleh menjamin masa depan. Semuanya bergantung pada sikap dan di mana - mana saja seseorang boleh mencipta kejayaan,” katanya.

Ditanya antara faktor Tingkatan Enam kurang mendapat sambutan, beliau berkata subjek dikatakan sukar, peluang sukar memasuki institusi pengajian tinggi dan hanya membuang masa berbanding diploma adalah puncanya.

“Apabila ramai berkata demikian, secara tidak langsung mematikan minat pelajar untuk meneruskan pengajian.

“Mungkin pengisiannya lebih meluas namun bersesuaian dengan fungsinya sebagai pendidikan prauniversiti.

“Dengan kata lain, di sinilah ilmu berdikari dipelajari sama seperti di menara gading. Jadi tidak adil kalau pelajar tidak didedahkan dengan proses pembelajaran seperti itu,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Dr Othman Lebar pula beranggapan sistem pendidikan Tingkatan Enam yang dilaksanakan di sekolah adalah antara punca utama ia disalah anggap.

Menurutnya, ramai menyangka Tingkatan Enam adalah kesinambungan proses pembelajaran di Tingkatan Lima apatah lagi dilakukan di sekolah.

“Ini menyebabkan mereka ‘bosan’ dan tidak tertarik sekali gus mencari alternatif lain bagi melanjutkan pengajian.

“Sepatutnya Tingkatan Enam perlu diasingkan dengan ciri berbeza supaya pelajar dapat merasai keistimewaannya selain disuntik dengan elemen tertentu.

“Apabila ada kelainan, tentu ada tarikan. Perlu ada penegasan dan pemberitahuan bahawa Tingkatan Enam adalah pendidikan berkonsepkan prauniversiti bukan sekolah,” katanya.

Setiap pendekatan yang digunakan perlu lebih menjurus kepada cara pendidikan peringkat tinggi supaya pada masa sama pelajar boleh berfikir dan bertindak bukan seperti pelajar sekolah.

“Sejak dulu, Tingkatan Enam diiktiraf setara dengan pendidikan tinggi, malangnya kerana ia banyak dilaksanakan di sekolah, ‘perasaan’ seperti pelajar sekolah masih wujud.

“Padahal pendidikan itu adalah peringkat tinggi. Saya percaya memang sudah tiba masanya Tingkatan Enam diberi penjenamaan semula.

“Sekali gus mengembalikan semula kegemilangannya yang sudah banyak berjasa melahirkan golongan berpendidikan tinggi sebelum ini,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kuasai ilmu bawa Malaysia ke tahap negara maju


Oleh : Mohamed Khalid Nordin
 
Budaya penyelidikan perlu disemai, diperkukuhkan melalui beberapa dasar

Negara yang maju akan melabur untuk meneroka, mengembara dan mencari ilmu baru. Oleh itu, melahirkan kecintaan yang luar biasa pada penerokaan ilmu bukan lagi satu pilihan tetapi kemestian jika kita ingin melangkah dan membawa Malaysia ke tahap sebuah negara maju. Budaya penyelidikan perlu disemai dan diperkukuhkan melalui beberapa dasar utama yang strategik. Melahirkan masyarakat saintifik bukan sekadar ‘retorik’. Ia adalah prasyarat utama untuk menjadi bangsa yang maju.

Hakikatnya, tugas ini bukan mudah kerana ia memerlukan strategi dan pelan jangka masa yang panjang.


Pertamanya, kecintaan pada sains harus dibudayakan dari umur seawal mungkin dan generasi bangsa kita mesti ‘terus dighairahkan dengan sains, falsafah dan penerokaan ilmu baru. Ia adalah prasyarat utama untuk kita bergraduat menjadi negara maju.

Kedua, Malaysia yang moden dan progresif, memerlukan pelaburan yang signifikan, lestari dan mapan untuk penyelidikan. Ukuran pelaburan penyelidikan tidak hanya berdasarkan nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia juga meliputi pelaburan kita dari setiap aspek pembiayaan yang menjurus kepada pembangunan dan penyebaran ilmu, pendidikan sains dan teknologi.

Ini merangkumi daripada peringkat pendidikan sekolah rendah, pengajian tinggi hinggalah kepada penyelidikan berimpak tinggi di universiti serta aktiviti yang bermaksud untuk membudayakan sains.

Ketiga, penyelidikan kita tidak harus sama sekali mengenepikan apa jua elemen dan disiplin ilmu. Penyelidikan sains penting, tetapi sejarah, sosiologi, bahasa serta muzik juga sangat penting. Penemuan baru dalam bidang kejuruteraan sangat besar kepentingannya kepada pulangan dalam bentuk kewangan tetapi merakamkan sejarah bangsa juga penting dalam membina peradaban bangsa.

Keempat, sifat penyelidikan itu sendiri sudah pelbagai disiplin. Kerajaan menyedari bahawa tidak ada penyelidikan yang mampu memberikan dampak besar jika ia membelakangkan karektor pelbagai disiplinnya.

Kelima, kerajaan menyedari bahawa penyelidikan memerlukan ‘pandangan jauh’. Dampaknya bukan sebulan dua atau setahun dua. Ia adalah proses yang panjang dan berliku.

Setiap eksperimen yang tidak menepati sasaran, kepada ahli sains ia bukan kegagalan. Ia adalah penemuan baru. Apa jua yang kita lakukan hari ini, kesan dan natijahnya mungkin hanya dapat kita rasai sedekad dua mendatang.

Oleh itu, penyelidikan memerlukan ketahanan intelektual yang luar biasa, selain kecintaan yang abadi pada tugas yang dilaksanakan.

Baru-baru ini, sebanyak RM170 juta diagihkan kepada penyelidik di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi membiayai 1425 geran penyelidikan 2012. Justeru, kementerian ingin memastikan pengagihan dana ini datang dengan pertanggungjawaban. Ini bermaksud bukan hanya dari segi integriti penggunaan dana, lebih utama ialah apakah dampaknya pada pembangunan bangsa dan kemajuan tanah air.

Dampak penyelidikan yang dilakukan mesti mampu membantu transformasi ekonomi dan sosial bangsa serta ibu pertiwi.

Impak penyelidikan mesti diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti jumlah pekerjaan yang diwujudkan, keahlian saintis dan penyelidik kita dalam lembaga pengarah dan pengurusan syarikat berkaitan, pegangan saham dalam syarikat yang mengkomersialkan penyelidikan mereka, sumbangan industri untuk menderaskan lagi inovasi berdasarkan dapatan penyelidikan, jumlah penyelidik dan tenaga pakar yang dapat kita lahirkan dan yang lebih penting, bagaimana ia memanfaatkan masyarakat dan membantu memodenkan Malaysia.

Sehubungan itu, kementerian akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menilai impak setiap perbelanjaan penyelidikan khususnya oleh Universiti Penyelidikan (RU) terhadap pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

Selain itu, ketika berucap melancarkan Penyampaian Dana Penyelidikan, penulis mencadangkan agar satu formula diwujudkan untuk mengukur sumbangan dapatan penyelidikan dan inovasi IPT kepada KDNK. Malah, ia juga harus merangkumi sumbangan pengajian tinggi kepada KDNK negara. Hanya melalui pendekatan ini, kita dapat meyakinkan diri kita, kerajaan dan masyarakat awam bahawa dana awam yang diperuntukkan sesungguhnya digunakan dengan penuh tanggungjawab.

Pada masa yang sama, kita juga wajar memahami bahawa kita tidak boleh mengetepikan sama sekali sumbangan penyelidikan yang kualitatif sifatnya. Penyelidikan yang berteraskan sains sosial dan kemanusiaan, yang bersandarkan ilmu bahasa dan agama, yang menjurus kepada kajian keselamatan dan diplomasi, adalah sangat penting tetapi ia tidak memadai jika diukur hanya sebagai dokumen yang dinamakan jurnal dan buku semata-mata.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Novel ganti Interlok mirip kisah P. Ramlee


OLEH AMINUDIN MANSOR

SETIAP novel mempunyai keistimewaan tertentu. Keistimewaan ini terletak di sebalik penciptaan novel tersebut; kekuatan bahasa dan juga daya imaginasi pengarangnya. Genre novel iaitu cerita dalam bentuk prosa, biasanya panjang dan kompleks yang berkaitan dengan pengalaman manusia dan kelakuan sosial dalam kehidupan.

Genre novel juga dapat mendidik akal budi, bahasa, perasaan dan perwatakan pembaca khususnya manusia ke arah kebaikan dan kesempurnaan. Bagi novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain yang menggantikan novel Interlok terdapat beberapa keistimewaan berkaitan novel tersebut. Novel ini dipilih menggantikan Interlok yang juga karya Abdullah yang didakwa oleh kaum India menghina mereka. Ini membuatkan Kementerian Pelajaran menggantikan dengan Konserto Terakhir sekalipun Interlok sebenarnya tidak menghina mana-mana kaum.

Abdullah pernah berkata, beliau mula menulis Konserto Terakhir dengan tulisan tangan semasa berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah. Pengalaman bekerja dan kisah di hantar ke negeri itu turut menyumbang dan memberikan motivasi kepada lahirnya novel tersebut.

Novel ini mengenai watak utama Hilmi anak kampung lulusan sekolah Melayu yang  datang ke bandar untuk mencari pekerjaan dan mencuba nasib. Novel yang disiapkan dalam masa satu bulan juga diberikan judul Konserto Terakhir yang menceritakan konsert terakhir pada malam Pertunjukan Orkes Perdana.

Watak utama berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dia menumpang di rumah sepupu bapanya, Datuk Johari. Kehadiran Hilmi tidak disukai oleh Datin Salmah yang memandang hina kepada orang kampung yang miskin. Hilmi bekerja sebagai tukang kebun. Kerajinan dan sifat kreatif yang dimiliki Hilmi telah mengubah pekarangan rumah Datuk Johari menjadi lebih cantik.

Hayati tertarik dengan kebolehan Hilmi bermain piano. Hubungan Hayati dengan Hilmi yang rapat menyebabkan Datin Salmah bertekad menghalau Hilmi. Lantaran itu, Hilmi meninggalkan rumah dan belajar bermain alat muzik daripada Bakar. Hilmi berjaya sebagai seorang pemuzik dan penggubah lagu yang terkenal. Sementara itu, Hayati hendak berangkat ke London dengan suaminya, Mohsin. Sebelum berangkat Hayati datang berjumpa Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.

Orkes

Hilmi berjaya memenangi festival muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan Azizah tetapi Azizah meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi terjatuh dan terlantar di hospital pada malam Pertunjukan Orkes Perdana.

Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra. Di hospital Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi adalah anak Datuk Johari sendiri. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi. Seterusnya Datuk Johari mati mengejut semasa menerima berita kematian Hilmi.

Watak Hilmi ada persamaan dengan watak P.Ramlee yang mempunyai kebolehan yang sama. Hal ini tidak menghairankan disebabkan penulisnya pernah bekerja dan berkawan baik dengan P. Ramlee semasa di Singapura.

Menurut catatan Muhammad Haji Salleh dalam buku Seorang Penyair Sebuah Benua Rusuh Biografi Usman Awang, pada tahun 1954 pada hujung minggu P.Ramlee sering datang ke rumah Usman Awang yang disewa bersama-sama  Asraf. P. Ramlee membawa Abdullah bersama-samanya. Mereka orang filem. Sesekali mereka akan bertemu P.Ramlee tercegat bercekak pinggang di depan panggung setelah selesai menonton. (2006:159).

Justeru, tidak hairanlah novel ini mengisahkan kisah hidup pengarangnya dan ada unsur-unsur perwatakan P. Ramlee iaitu ada persamaan watak Hilmi yang mempunyai bakat besar dalam bidang muzik. Juga dimasukkan watak Azizah yang pernah dinyanyikan dalam lagu Azizah oleh pengarah, pemuzik dan penyanyi yang tersohor itu. Dalam novel ini juga terdapat konflik berlaku antara Datin Salmah dengan Hilmi dan Azizah dengan Hilmi.

Komsas

Bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu bapa dan guru-guru yang mengajar Komsas, tema dan persoalan novel ini sangat relevan dengan suasana sosial hari ini. Ketabahan menghadapi cabaran dalam kehidupan akhirnya dapat mengecap kejayaan yang gemilang. Hilmi yang dihina oleh keluarganya sendiri dan gagal dalam percintaan telah berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya mengangkat darjat dirinya menjadi seorang seniman terkenal.

Persoalan dalam novel ini iaitu sikap mementingkan pangkat dan kedudukan hingga sanggup menghina keluarga sendiri. Keikhlasan dalam memberikan pertolongan tanpa memikirkan balasan. Kesanggupan berkorban demi menjaga kepentingan orang lain. Ketaatan kepada ibu bapa hingga sanggup mengorbankan perasaan cinta. Terdapat percintaan tiga segi. Sikap bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kejayaan dalam bidang seni dapat dicapai tanpa pendidikan tinggi. Seterusnya, keinsafan setelah melakukan kesalahan.

Novel  Konserto Terakhir juga sarat dengan nilai-nilai kasih sayang, simpati, tolong-menolong, gigih, ikhlas, taat kepada ibu bapa, insaf dan nasihat-menasihati. Hal ini menjadikan novel ini amat sesuai dibaca, dihayati, dipelajari dan dikaji oleh para pelajar di sekolah menengah peringkat SPM.

Keistimewaan Konserto Terakhir juga adalah disebabkan langgam dan teknik penceritaan dengan bahasa yang mudah dan lancar oleh Abdullah menjadikan novel ini mudah difahami dan seronok dibaca oleh kalangan pelajar SPM sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Profesor Abu Bakar A. Hamid, kekuatan sesebuah novel adalah berdasarkan cerita yang berlaku di sesuatu tempat tertentu. Bukan lagi cerita tanpa zaman dan boleh berlaku di mana-mana saja. Ada pelukisan yang teliti tentang lingkungan suasana dan zaman di mana dan apabila manusia hidup dan peristiwa berlaku. Cerita bergerak dalam lingkungan waktu yang tertentu dan tidak bila-bila sahaja. Bahasa yang digunakan juga bahasa yang mendekati penggunaannya sehari-hari. Pelukisan pengalaman manusia dibuat sedemikian rupa sehingga betul-betul mirip kepada pengalaman individu yang lazim dikenali dan meyakinkan pembaca. Watak utama dan sampingan juga dirasakan benar-benar hidup.

Tinjauan dan kajian penulis semasa mengajar pelajar Komsas dalam Bahasa Melayu, mendapati pelajar Tingkatan Lima yang mengambil peperiksaan SPM terkesan dengan novel ini dan terbawa-bawa dalam kehidupan mereka sebagai contoh watak Hilmi yang mempunyai peribadi yang sederhana, unggul dan tahan menghadapi cabaran.

Lantaran itu, kekuatan dan kehebatan serta kewibawaan novel Konserto Terakhir karya Sasterawan Negara kelapan ini tidak perlu dipertikaikan lagi sebagai teks sastera Komsas Tingkatan Lima. Malahan dengan kekuatan binaan plot, teknik plot yang rencam dan beraneka menjadikan latar tempat, masa dan masyarakat serta gaya bahasanya mudah diterima oleh pelajar pada masa kini. Dengan alur perasaan dan rasa keindahan novel ini mampu memberikan pengajaran dan pendidikan yang berkesan kepada pelajar khususnya remaja yang bakal menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Perkasa Serah Memorandum 18 Resolusi Mantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan


Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

Kuala Lumpur : Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Ahad memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menyerahkan memorandum berhubung Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang mengandungi 18 resolusi kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali  berkata, memorandum itu merupakan hasil daripada sidang meja bulat bersama beberapa pihak termasuk wakil-wakil NGO dan cendekiawan Melayu pada 19 Mei lalu.

Beliau menjelaskan, memorandum berkenaan diserahkan kepada pejabat Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat lalu (13 Julai).

“Semasa sidang meja bulat pada Mei lalu, ahli-ahli menambah pandangan untuk menambah baik (resolusi) dan ini adalah yang muktamad,” kata Ibrahim.

Antara kandungan 18 resolusi dalam Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah:

1. Menuntut penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama persekolahan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mesti dikekalkan, diperkukuhkan dan dimartabatkan sejajar seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 Bahasa Kebangsaan dan Akta Kebangsaan 1963/67 tanpa tolak ansur.

2. Menuntut mengembalikan penggunaan istilah bahasa Melayu menggantikan istilah bahasa Malaysia sejajar dengan Fasal 152 Perlembagaan Malaysia.

3. Menuntut pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan yang baru hendaklah berteraskan dan tidak bercanggah dengan semangat falsafah dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak (1956), Ordinan Pelajaran (1957), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979), Akta Pendidikan 1996 serta Pindaan 1997 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988) dan Rukun Negara.

4. Menuntut kerajaan menghormati, mematuhi dan tidak melaksanakan dasar yang bercanggah dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 153, “Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana  antara negeri Sabah dan Sarawak” mengenai biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan seumpamanya.

5. Menuntut kesungguhan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersama-sama merancang strategi dan melaksanakan program memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia bagi seluruh negara meliputi sektor awam dan swasta.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Transformasi pastikan Tingkatan Enam Kekal Relevan (i)


Matrikulasi, pusat asasi jadi pilihan pelajar

Tingkatan Enam suatu masa dulu, khususnya pada era  80-an dan 90-an berada pada kelas tersendiri. Kedudukan Tingkatan Enam  dipandang tinggi kerana ia menjadi saluran utama untuk ke universiti. Namun , selepas kerajaan mewujudkan matrikulasi  dan  pusat asasi sains sekitar 1980-an, pengaruh pendidikan Tingkatan Enam  mulai tenggelam. Wartawan BH Ahad, MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan pandangan Tan Sri Alimuddin Md Dom,  Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB)  mengenai cadangan Kementerian  Pelajaran mahu menjenamakan semula Tingkatan Enam.

Wartawan :        Mengapakah Tingkatan Enam kurang menjadi pilihan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam?

Alimuddin Md Dom :     Tingkatan Enam adalah institusi prauniversiti paling tua pernah wujud di negara ini iaitu sejak  1950-an. Pada ketika itu, ia dikenali sebagai Higher School Certificate (HSC). Pelajar mengambilnya untuk masauk universiti ketika itu iaitu Universiti Malaya di Singapura. Pada 1970-an, apabila universiti awam mula dibina seperti Universiti Kebansaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), maka keperluan Tingkatan Enam di seluruh negara bertambah.

Slot Tingkatan Enam diletakkan di sekolah di seluruh negara dan dibekalkan kemudahan bilik darjah yang mencukupi. Pelajar pula tidak perlu berpindah jauh dari rumah untuk belajar di Tingkatan Enam. Namun, pelajar terikat dengan peraturan sekolah. Sepanjang tempoh itu, Tingkatan Enam berkembang maju. Namun, pada 1980-an apabila kerajaan mewujudkan program  matrikulasi, di sinilah bermula kedudukan Tingkatan Enam tercabar kerana pelajar cemerlang SPM memilih memasuki matrikulasi.

Matrikulasi ditubuhkan kerana ketika itu universiti awam mula mewujudkan fakulti sains, sekali gus keperluan pelajar untuk mengisi tempat di universiti bertambah. Pada ketika itulah sehingga akhir-akhir ini, Tingkatan Enam tidak begitu mendapat tempat lagi dalam kalangan lepasan SPM untuk menjadi batu loncatan mereka bagi memasuki universiti.

Wartawan :        Dulu mereka yang memilih ke Tingkatan Enam dianggap sebagai sudah menjejakkan sebelah kaki ke universiti. Mengapa senario itu berubah?

Alimuddin Md Dom :     Tingkatan Enam seperti terpinggir kerana ia dikaitkan dengan sekolah. Kandungan pelajarannya  mirip pengajian di universiti tetapi kerana pelajarnya masih dianggap budak sekolah, ia mengurangkan minat memasukinya. Di sinilah pentingnya Tingkatan Enam ditransformasi. Kita sedia maklum, pelajar Tingkatan Enam masih membawa imej budak sekolah walaupun mereka berusia 18 tahun. Pelajar juga belajar dalam suasana sekolah berbanding di matrikulasi atau pusat asasi sains.

Wartawan :        Antara cadangan menstrukur semula Tingkatan Enam ialah mengasingkan kelas daripada sekolah atau menubuhkan pusat khas. Apa pandangan Tan Sri mengenai cadangan itu?

Alimuddin Md Dom :     Cadangan ini ada pro dan kontra. Pusat khas mungkin menyukarkan pelajar yang tinggal jauh, melainkan disediakan asrama. Kerajaan juga tidak boleh membina terlalu banyak pusat khas kerana jumlah pelajarnya tidak begitu besar. Namun, kebaikannya, guru yang mengajar ialah guru khas mengajar subjek Tingkatan Enam saja dan tidak mengajar kelas lain. Dengan cara ini, guru boleh mengajar mengikut kesesuaian usia pelajar yang menuju ke arah dewasa dan matang. Tidak mustahil, cadangan ini dapat mengembalikan kedudukan Tingkatan Enam seperti zaman awal ia diwujudkan.

Wartawan :        Ada pihak mendakwa pelajar Tingkatan Enam yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti mempunyai pemikiran, sikap, dan penampilan lebih terbuka serta matang berbanding pelajar pelajar yang mengikuti program matrikulasi, pusat asasi sains atau diploma. Sejauh manakah kebenaran dakwaan itu?

Alimuddin Md Dom :     Ia  pekara subjektif. Besar kemunkinan lulusan STPM mempelajari subjek lebih luas skopnya berbanding pelajar matrikulasi yang mempunyai pengkhususan.

Pelajar Tingkatan Enam wajib lulus Pengajian Am sebagai syarat layak memasuki universiti. Mereka juga boleh memilih kombinasi subjek mengikut pakej sama ada mahu mengikuti aliran satera atau sains. Pelajar juga bebas memilih subjek sama ada ekonomi, sejarah, atau geografi.

Dalam program matrikulasi, tidak banyak subjek dipelajari. Jika pelajar mengambil fizik, mereka akan belajar subjek sains atau kejuruteraan. Belajar di Tingkatan Enam memberikan banyak pilihan kepada pelajar memilih kursus atau fakulti jika berjaya ke universiti.

Wartawan :        Pada pendapat Tan Sri, adakah Tingkatan Enam masih relevan dalam sistem persekolahan negara?

Alimuddin Md Dom :     Pada hakikatnya, Tingkatan Enam dan STPM amat relevan dan tidak boleh dihapuskan kerana ia antara saluran ketat untuk melayakkan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti. Usaha kerajaan menstruktur dan menjenamakan semula Tingkatan Enam adalah tepat pada masanya kerana ia membabitkan soal kualiti pelajar untuk masuk ke universiti.

Wartawan :        Jika pusat khas Tingkatan Enam diwujudkan, adakah tenaga pengajarnya juga perlu mempunyai kelulusan khusus bagi memastikan ia setaraf dengan statusnya sebagai prauniversiti?

Alimuddin Md Dom :     Ya. Oleh sebab Tingkatan Enam tempat menyediakan bakal siswa, guru juga perlu mempunyai kelulusan khas. Bagi saya, biarlah guru yang mengajar itu mempunyai kelulusan sarjana atau doktor falsafah (Phd). Saya rasa, kita tidak sukar mencari guru sedemikian kerana ketika ini ramai yang mempunyai kelulusan itu.

Namun, kementerian perlu memikirkan gred yang sesuai untuk guru yang mengajar Tingkatan Enam kerana mereka mengajar subjek yang mirip pengajian di universiti. Mungkin, kementerian mempunyai mekanisme untuk menentukan gred dan perjawatan guru yang mengajar Tingkatan Enam kerana mereka tidak mengajar di tingkatan lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Transformasi pastikan Tingkatan Enam Kekal Relevan (ii)


Penjenamaan semula penuhi kehendak semasa

Tingkatan Enam suatu masa dulu, khususnya pada era  80-an dan 90-an berada pada kelas tersendiri. Kedudukan Tingkatan Enam  dipandang tinggi kerana ia menjadi saluran utama untuk ke universiti. Namun , selepas kerajaan mewujudkan matrikulasi  dan  pusat asasi sains sekitar 1980-an, pengaruh pendidikan Tingkatan Enam  mulai tenggelam. Wartawan BH Ahad, MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan pandangan Pengerusi Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Maziyan Hamzah mengenai cadangan Kementerian  Pelajaran mahu menjenamakan semula Tingkatan Enam.

Wartawan  :       Apakah pandangan puan mengenai cadangan Kementerian Pelajaran mahu menjenamakan  semula Tingkatan Enam kerana secara langsung ia akan menyentuh peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Maziyan Hamzah :           Sebenarnya, cadangan menjenamakan pendidikan Tingkatan Enam sudah lama disuarakan oleh golongan pendidik. Sistem pendidikan Tingkatan Enam sepatutnya sudah lama ditukar bagi mengembalikan  statusnya sebagai saluran utama ke universiti awam. Di MPM, kita berharap penstrukturan semula pendidikan Tingkatan Enam dapat mengurangkan rasa beban pelajar untuk menghadapi STPM. Peperiksaan itu kini bersifat mesra pelajar, justeru, menerusi transformasi STPM yang bermula tahun ini, kita yakin ia saling memenuhi kehendak pendidikan Tingkatan Enam dan peperiksaan STPM.

Wartawan :     Peperiksaan STPM  dikatakan paling susah.  Jika itu menjadi stigma, bagaimanakah ia dapat distruktur semula bagi menarik pelajar mengikuti Tingkatan Enam?

Maziyan Hamzah :    MPM sudah melaksanakan sistem pentaksiran baru STPM iaitu dikendalikan berdasarkan tempoh pengajian Tingkatan Enam selama satu tahun enam bulan. Mulai tahun ini, STPM dijalankan dalam dua mod. Pertama, bagi pelajar Tingkatan Enam pada 2012, mereka adalah kohort terakhir sistem STPM sedia ada yang akan menduduki peperiksaan pada November dan Disember tahun ini.

Mod kedua ialah pelajar Tingkatan Enam Bawah pada tahun 2012. Pelajar ini tergolong dalam kohort pertama sistem  pentaksiran baru STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal pertama persekolahan pada November tahun ini. Perbezaan sisatem baru ini ialah pelajar dinilai dalam tempoh tiga penggal. Pentaksiran pelajar dijalankan stiap penggal, begitu juga dengan keputusan peperiksaan.    
    
Keputusan keseluruhan peperiksaan  STPM  berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal. Aspek kemahiran insaniah turut diterapkan dalam kurikulum antaranya kemahiran komunikasi, kerja berkumpulan, kepemimpinan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengurusan maklumat, dan etika. Dalam pentaksiran pula, dua kaedah digunakan iaitu pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dengan wajaran 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60 hingga 80 peratus. Maka, pada prinsipnya penjenamaan atau penstrukturan semula Tingkatan Enam dijangka tidak  memberi kesan kepada peperiksaan STPM yang disediakan MPM.

Wartawan :      Antara cadangan penstrukturan semula ialah mengasingkan kelas Tingkatan Enam daripada di sekolah menengah kepada pusat khas. Jika ia dilaksanakan, apakah kesannya kepada MPM apabila hendak mengendalikan STPM?

Maziyan Hamzah :     Jika Tingkatan Enam diasingkan dan diwujudkan pusat khas seperti pusat matrikulasi atau asasi sains, ia memudahkan kami mengendalikan peperiksaan kerana dilakukan secara berpusat di sebuah tempat saja berbanding sekarang  yang perlu dikendalikan di  setiap sekolah yang  mempunyai Tingkatan Enam. Tugas untuk melatih guru juga lebih mudah. Semua calon STPM juga dapat diuruskan dengan cekap kerana tiada gangguan pelajar lain, terutama ketika menduduki peperiksaan. Itulah kelebihannya.

Wartawan :     Benarkah faktor peperiksaan STPM yang sukar menjadi punca Tingkatan Enam cuba dielak pelajar?

Maziyan Hamzah :   STPM bukan faktor besar yang mempengaruhi pelajar tidak memilih Tingkatan Enam. Percaya atau tidak, antara sebab pelajar enggan ke Tingkatan Enam kerana mereka masih perlu memakai pakaian seragam sekolah, sedangkan rakan di pusat matrikulasi atau asasi sains bebas memilih pakaian mereka.

Cuba bayangkan sejak umur tujuh tahun sehingga 17 tahun mereka memakai seragam sekolah dan apabila masuk Tingkatan Enam masih memakainya. Apakah perasaan mereka? Malah belajar di matrikulasi juga mendapat elaun tetapi di Tingkatan Enam hanya biasiswa yang kecil jumlahnya. Di Tingkatan Enam juga terikat dengan disiplin, jadual sekolah dan perlu hadir perhimpunan seperti adik mereka di Tingkatan Satu hingga Lima. Kita mesti ingat, pelajar yang masuk  Tingkatan Enam ini remaja yang meningkat dewasa dan kaum lelaki sudah ada yang berjanggut seperti orang dewasa. Mereka berusia 18 tahun dan sudah dapat membezakan sesuatu  perkara dengan pemikiran seperti mahasiswa. Maklum saja, pendidikan yang mereka ikuti sebenarnya mirip pengajian di universiti. Jiwa mereka ingin akan kebebasan.

Kalau di sekolah, mereka tidak boleh membawa telefon bimbit atau apa saja gajet yang boleh digunakan untuk pembelajaran  seperti rakan di matrikulasi atau asasi sains.  Seandainya dapat diasingkan kelas dengan meubuhkan pusat khas untuk pelajar Tingkatan Enam di sesuatu daerah dengan peraturan yang mirip matrikulasi atau asasi sains, ia mungkin boleh menarik ramai pelajar mengikuti Tingkatan Enam.

Wartawan :   Penjenamaan semula Tingkatan Enam mungkin memberikan kesan kepada MPM kerana perlu menyusun modul peperiksaan bagi disesuaikan dengan sukatan mata pelajaran. Bagaimana MPM boleh menyesuaikan nya untuk STPM nanti?

Maziyan Hamzah :  Pendidikan Tingkatan Enam hampir menyamai kolej matrikulasi, namun persijilan Tingkatan Enam lebih baik. Jika pelajar gagal dalam program matrikulasi, mereka tidak mempunyai sijil untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi  tetapi lepasan Tingkatan Enam, mempunyai sijil iaitu sijil STPM. Lepasan STPM yang memperoleh keputusan baik boleh menggunakan sijil itu untuk belajar di luar negara kerana ia diiktiraf di seluruh dunia. Dalam pada itu, kita sebenarnya tidak banyak mengubah mekanisme peperiksaan kerana mahu mengurangkan beban pelajar.

Mengikut sistem lama, pelajar Tingkatan Enam perlu belajar selama  satu tahun setengah iaitu enam bulan di enam bawah dan setahun di enam atas sebelum menduduki  peperiksaan akhir. Sekarang, sistem baru membolehkan pelajar memberikan tumpuan peperiksaan kepada subjek yang mereka belajar pada setiap penggal. Sementara itu, MPM turut menerapkan unsur tambah nilai kepada subjek yang diambil pelajar. Kita melaksanakan pembaharuan ini selepas mendapat maklum balas pensyarah universiti sebagai persiapan untuk belajar di universiti. Apa yang diharapkan transformasi ini akan seiring dengan penjenamaan semula Tingkatan Enam.

Sumber : http : //www.bharian.com.my