JOHOR BAHRU - Seramai 12.8
peratus penduduk di negara ini tidak menyedari mereka menghidapi penyakit
hipertensi ataupun penyakit darah tinggi kerana tidak pernah menjalani saringan
kesihatan sebelum ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow
Tiong Lai berkata dalam masa yang sama data Kajian dan Morbiditi Pesakit (NHMS)
2011 juga mendapati tiga daripada empat pesakit hipertensi yang mendapat
rawatan, hanya satu pertiga sahaja yang mencapai kawalan tekanan darah seperti
yang disasarkan.
"Sehubungan itu sempena Hari
Kesihatan Sedunia tahun ini saya ingin mengambil kesempatan menyeru rakyat
Malaysia mengamalkan enam langkah untuk mengelakkan kemungkinan kita mendapat
penyakit hipertensi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap di majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan
bertemakan Tekanan Darah Tinggi yang diadakan di Hospital Permai, Tampoi di
sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Kesihatan Awam Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.
Menurutnya amalan pertama ialah
sentiasa memastikan tekanan darah berada di paras optima dengan melakukan
pemeriksaan kesihatan secara rutin dan pada masa kini terdapat banyak mesin
yang boleh diperoleh daripada farmasi untuk mengukur tekanan darah.
Beliau berkata selain itu
pengambilan garam juga perlu dikurangkan kepada lima gram sehari kerana kajian
mendapati purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah 8.7
gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO).
"Kita juga harus menjadi
rakyat yang kekal aktif setiap hari dengan melakukan aktiviti fizikal dengan
bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tiga hingga lima kali seminggu.
"Kekalkan juga BMI unggul
pada ukuran 18.0 hingga 24.9kg/m kerana pengurangan berat badan mampu
mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan diabetes selain berhenti
merokok untuk mengelakkan risiko penyakit jantung, strok dan kanser,"
katanya.
Katanya langkah keenam ialah
menggunakan teknik 10B dalam menangani tekanan iaitu bertenang, bernafas dengan
dalam dan perlahan, belajar untuk relaks, beribadat, berkongsi perasaan,
berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikir secara
positif.
Menurutnya semua amalan itu jika
dijadikan amalan, beliau percaya mampu mencegah dan mengawal penyakit
hipertensi dalam kalangan rakyat di negara ini. - Bernama