Khamis, 27 Februari 2014

ISU BAHASA : Lemah BI antara punca graduan gagal dapat pekerjaan


PUTRAJAYA : Kelemahan berkomunikasi, gagal menguasai Bahasa Inggeris dan kurang keyakinan diri adalah antara faktor graduan di negera ini gagal mendapatkan pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abd Wahid Omar, berkata permasalahan itu harus diselesaikan dalam memastikan jumlah graduan menganggur berkurangan pada masa depan.

"Sehubungan itu, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) merancang untuk mengadakan 'program immersion' iaitu menambahkan latihan membabitkan komunikasi dan persembahan khususnya dalam Bahasa Inggeris kerana ia mampu mengubah graduan dari sikap rendah diri kepada seseorang individu yang berkeyakinan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 40 syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang menyertai program SL1M di sini, hari ini.

SL1M ialah program ditawarkan kepada graduan yang gagal memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian dengan mereka diberi peluang mengikuti latihan di syarikat yang menyertai program itu selama setahun serta diberi elaun bulanan minimum RM1,000.

Sehubungan itu, Abd Wahid berkata program SL1M yang diselia Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan dalam merancang untuk melaksanakan satu inisiatif baharu yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai inisiatif itu.

"Diharapkan lebih banyak syarikat GLC dan swasta tampil membantu para graduan miskin meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka menerusi pelaksanaan inisiatif baharu ini," katanya.

Dalam pada itu, Abd Wahid berkata sejak SL1M dilaksana Jun 2011 sehingga Disember tahun lalu, SL1M membantu 14,232 graduan meningkatkan kualiti mereka untuk pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, mereka yang berminat untuk menyertai program SL1M boleh menghubungi EPU di talian 03-88723387 atau 03-88723390 atau melayari laman web di www.epu.gov.my/slim atau di laman Facebook 'Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)'.

Sumber : BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Jangan malukan profesion guru


"Jika kita bekerja seperti biasa, janganlah kita mengharapkan hasil yang luar biasa."

Demikian kata cerdik pandai untuk menggambarkan betapa perlunya manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat.

Sebagai seorang pendidik yang hampir 30 tahun mengajar di salah sebuah sekolah di pantai timur, saya berasa kata-kata cerdik pandai yang dinyatakan tadi, cukup sesuai menggambarkan senario pendidikan negara mutakhir ini.

Saya beranggapan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) cukup sedar bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara ini beralih kepada satu era yang mampu meletakkan standard pendidikan negara mencapai kelas dunia.

Usaha ini sejajar dengan sejarah perkembangan sistem pendidikan itu sendiri. Jika pada era awal kemerdekaan melalui Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960), sistem pendidikan menggalas misi menyatupadukan rakyat, maka dalam konteks langit terbuka sekarang, negara ini perlu memiliki suatu sistem pendidikan yang mampu melahirkan pelajar bertaraf antarabangsa dan boleh bersaing dengan rakan-rakan mereka di belahan benua sebelah sana.

Oleh sebab itu saya secara peribadi amat berbesar hati apabila KPM pada tahun lalu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 dengan tiga objektif khusus iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa; mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas; menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam pendidikan.

Bagi mencapai objektif PPPM, maka KPM menjalankan suatu sistem penilaian yang begitu hangat diperkatakan sekarang iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Perlu diingatkan bahawa sejak awal kemerdekaan sehinggalah era milenium, sistem penilaian pelajar dalam sistem pendidikan negara teruk dihentam oleh pelbagai pihak yang mendakwa sistem penilaian ini terlalu berorientasikan peperiksaan. Kesannya kebanyakan pelajar, waima ibu bapa sekalipun 'gila' menyusun deretan pangkat 'A' dalam buku rekod pencapaian pelajar setiap tahun.

Maka PPPM yang digubal melalui penyertaan 55,000 orang cerdik pandai dari dalam dan luar negara mendukung pelaksanaan PBS sebagai pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pentaksiran melalui PBS meliputi bidang akademik dan bukan akademik.

Bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini nampaknya dikenal pasti mempunyai beberapa kelemahan dan perlu diteliti semula untuk memastikan sistem ini berjalan lancar pada masa depan.

Jadi, saya menyambut baik pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof, baru-baru ini yang menangguhkan secara rasmi pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat KPM dalam masa terdekat.

Seperti yang terkandung dalam gelombang pelaksanaan PPPM, sistem pendidikan negara sekarang berada pada Gelombang 1 (2013-2015) yang menumpukan pengubahan sistem dengan menyokong guru dan memberikan keutamaan kepada kemahiran utama. Dalam Gelombang 1 ini dinyatakan bahawa penambahbaikan PPPM akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Jadi, tindakan menangguhkan PBS dan mengkajinya semula untuk proses penambahbaikan selari dengan tuntutan Gelombang 1 pelaksanaan PPPM.

Keterbukaan KPM untuk mendengar keluhan guru berkenaan PBS sehingga bersedia menangguhkannya menunjukkan bahawa pelaksanaan PBS ini tidak mempunyai agenda peribadi mahupun politik.

Saya cukup kecewa apabila ada kumpulan pendidik di bawah nama badan pertubuhan bukan kerajaan belum berdaftar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) dengan penuh angkuh mendakwa mereka mewakili suara guru-guru mengecam KPM untuk memansuhkan PBS. Bahkan mereka sampai ke tahap mengadakan perhimpunan di Bangi baru-baru ini bagi menunjukkan kehebatan mereka mendesak KPM memansuhkan PBS. Lebih memalukan mereka bakal menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan PBS kepada Perdana Menteri.

Apa masalah mereka ini? Adakah mereka tidak memahami betapa getirnya cabaran pendidikan negara ini jika masih berada pada takuk lama ketika negara lain berlumba-lumba melonjakkan sistem pendidikan negara masing-masing ke peringkat dunia?

Bukan budaya guru di Malaysia ini bertindak berhimpun dan menyalak membantah KPM sedemikian rupa.

Lebih mengaibkan perhimpunan yang mereka anjurkan baru-baru ini turut disertai oleh beberapa buah NGO lain yang berbau politik. Agak melucukan apabila Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tumpang sekaki menyertai perhimpunan tersebut, tiba-tiba mengeluarkan usul agar kuasa Menteri Pendidikan dihadkan supaya tidak sewenang-sewenangnya mengubah sistem pendidikan negara dan sebarang perubahan harus diberikan kepada pakar.

Pastinya kenyataan ini merujuk PPPM yang dilancarkan pada tahun lalu yang mendukung PBS. Adakah ABIM tahu berapa ramai pakar yang sudah terlibat menggubal PPPM dan merencanakan PBS?

Fahamilah roh pelaksanaan PPPM dan PBS terlebih dahulu sebelum bersilat di gelanggang.

Saya cukup setuju dengan pandangan Datuk Seri Idris Jusoh Menteri Pendidikan II pada 24 Februari lalu bahawa PBS tidak akan dimansuhkan kerana rakyat mahukannya.

Dahulu kita sibuk marahkan sistem penilaian pelajar yang berorientasikan peperiksaan, sekarang tidak semena-mena sekumpulan guru yang baru setahun jagung mengajar, terhegeh-hegeh pula mahu sistem penilaian holistik yang tidak berorientasikan peperiksaan, segera dimansuhkan. Jadi sebenarnya, apakah yang mereka mahukan?

SUARA HATI GURU
Hulu Terengganu

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Membangun pendidikan sepadu


Oleh : PROF DR.  SIDEK BABA

ILMU yang sepadu dan sifatnya bertatahkan nilai akan memberi arah terhadap pedoman yang baik dan bermanfaat dan ia bakal melahirkan generasi terdidik yang sentiasa istiqamah dengan perjuangan, tidak gopoh dengan strategi dan sentiasa bijaksana dalam memahami waqi’ atau realiti.

Peradaban masa silam umat Islam ditandai dengan kekuatan ilmu dan pendidikan. Ia menjadi tunjang kepada tradisi kecendekiawanan dan pemikiran. Ilmu yang sepadu atas asas integrasi ilmu urus diri dan ilmu urus sistem menjadi landasan terbaik kepada hala tuju pendidikan umat dan negara. 

Wasatiyyah dalam pendidikan yang mencari titik-keseimbangan tidak sekadar suatu proses menyampaikan maklumat, ilmu, kemahiran dan keterampilan semata-mata. Ia sekali gus melakukan proses transformasi diri dan sistem.

Ilmu yang benar dan bermanfaat sekiranya diolah secara wasatiyyah bakal menghasilkan jenis manusia yang baik binaan diniahnya dan bagus dalam binaan ilmu-ilmu ketamadunan. Ia menjadi sangat relevan dengan perubahan zaman kerana memiliki kualiti berimbang yang baik.

Kualiti berimbang yang ada pada umat Islam menyebabkan anugerah ALLAH terhadap limpahan rahmah dan nikmat di atas dan di perut bumi negaranya dapat diuruskan dengan amanah dan bijaksana. Fokusnya ialah membangun sistem pendidikan yang mampu membangun kualiti seimbang.

Bayangkan banyak negara Islam tidak mempunyai sistem pendidikan yang sepadu menyebabkan ilmu-ilmu berhubung dengan daya urus sistem tidak dibangunkan dan kemampuan menguruskan sumber dalam sistem tidak terjadi.

Ia menyebabkan kualiti rohaniah di kalangan warga umat tinggi tetapi upaya amaliah tidak produktif dan menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Justeru, pendidikan wasatiyyah melalui proses integrasi yang harmoni antara faktor kognitif, afektif dan psikomotor perlu diperkukuhkan. Gandingan kekuatan akliah yang diimbangkan dengan kekuatan rohaniah terserap dengan baik dan menjadi sumber terbaik diterjemahkan dalam amal.

Oleh itu pendidikan berkualiti ialah yang mampu membentuk watak dan peribadi mithali. Sumber contoh teladan adalah sesuatu yang amat utama kerana darinya tergambar sari pati akhlak karimah.

Inilah asas perjuangan Rasulullah SAW membawa risalah islah dan tarbiah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Ini juga menjadi tonggak menyatukan ummah kerana Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Pendidikan umpamanya amat penting dalam membangun pekerti manusia. Daripada pekerti manusia yang amanah, adil, telus dan tulus umpamanya pihak lain mendapat manfaat daripadanya. Apabila diberi amanah untuk mengurus sistem, ketertiban terjadi dan kesejahteraan berlaku.

Pendidikan juga terkandung faktor adab yang sangat dititikberatkan. Rasulullah SAW dalam hadisnya – “Addabani rabbi faahsana ta’dibi”.  Ya ALLAH, didiklah aku dengan didikan yang terbaik. Yang terbaik itu merujuk kepada konsep addaba yang membawa maksud disiplin akliah, rohaniah dan amal.

Pendidikan yang membawa asas tajdid (transformatif) berlandaskan disiplin membentuk akal supaya memiliki daya fikir tinggi, berupaya menjana ilmu dan hikmah. Ini adalah landasan wasatiyyah.

Ia juga membentuk hati dan diri yang mencari titik- keseimbangan dan kebenaran terhadap ilmu dan hikmah sehingga proses penyerapan terjadi (internalisasi) mendukung amal yang baik.

Fokus kepada hati bermaksud bagaimana kesuburan hati dan niat terjadi menyebabkan olahan rohaniah menyebabkan tazqiah-an nafs (pembersihan jiwa) terjadi dan ia penting sebagai pancaran niat ikhlas dan murni untuk amal soleh.

Justeru pendekatan wasatiyyah yang komprehensif tidak saja memancarkan kebenaran dan keadilan tetapi juga menghasilkan suasana berimbang dan harmoni- menjadi teladan terbaik untuk melihat kebijaksanaan berlaku.

Atas kapasiti ilmu dan pendidikan umat Islam menjadi umat contoh kerana istiqamahnya yang tinggi, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan taqlif atau tanggungjawab, terbuka untuk berbeza pandangan, sangka baik yang tinggi terhadap orang lain, tidak gopoh menghukum dan tidak berdendam serta  tidak menaruh sifat benci yang menyebabkan perseteruan terus terjadi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/