PUTRAJAYA : Kelemahan berkomunikasi, gagal menguasai Bahasa Inggeris dan kurang keyakinan diri adalah antara faktor graduan di negera ini gagal mendapatkan pekerjaan.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Abd Wahid Omar, berkata permasalahan itu harus diselesaikan
dalam memastikan jumlah graduan menganggur berkurangan pada masa depan.
"Sehubungan itu, Skim
Latihan 1Malaysia (SL1M) merancang untuk mengadakan 'program immersion' iaitu
menambahkan latihan membabitkan komunikasi dan persembahan khususnya dalam
Bahasa Inggeris kerana ia mampu mengubah graduan dari sikap rendah diri kepada
seseorang individu yang berkeyakinan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas Mesyuarat Eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 40
syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang menyertai program
SL1M di sini, hari ini.
SL1M ialah program ditawarkan
kepada graduan yang gagal memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas
tamat pengajian dengan mereka diberi peluang mengikuti latihan di syarikat yang
menyertai program itu selama setahun serta diberi elaun bulanan minimum
RM1,000.
Sehubungan itu, Abd Wahid berkata
program SL1M yang diselia Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri
kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian
Pendidikan dalam merancang untuk melaksanakan satu inisiatif baharu yang bakal
diumumkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau enggan
mengulas lanjut mengenai inisiatif itu.
"Diharapkan lebih banyak
syarikat GLC dan swasta tampil membantu para graduan miskin meningkatkan taraf
ekonomi dan kehidupan mereka menerusi pelaksanaan inisiatif baharu ini,"
katanya.
Dalam pada itu, Abd Wahid berkata
sejak SL1M dilaksana Jun 2011 sehingga Disember tahun lalu, SL1M membantu
14,232 graduan meningkatkan kualiti mereka untuk pasaran pekerjaan.
Beliau berkata, mereka yang
berminat untuk menyertai program SL1M boleh menghubungi EPU di talian
03-88723387 atau 03-88723390 atau melayari laman web di www.epu.gov.my/slim atau
di laman Facebook 'Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)'.
Sumber : BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan