KEMAMPUAN Malaysia untuk menjadi
negara kuasa perantara serantau sudah mula menimbulkan kemusykilan dalam
kalangan rakyat kerana hakikatnya kita hanyalah sebuah negara kecil dan
mempunyai kekuatan tentera atau ekonomi yang sederhana.
Secara mudahnya negara kuasa
perantara mampu menjadi pengimbang terhadap negara kuasa besar seperti Amerika
Syarikat (AS), Rusia dan juga China. Statusnya agak unik kerana negara kuasa
perantara berada di tengah-tengah kuasa besar dan negara lemah.
Sebelum ini tidak pernah kedengaran
Malaysia mempunyai perancangan untuk menjadi negara kuasa perantara sebab
pelaksanaannya agak rumit kerana melibatkan perkongsian strategik dengan negara
serantau yang lain.
Mungkin isyarat paling hampir
adalah inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dicetuskan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2010.
Hasrat menjadi kuasa perantara
serantau diumumkan oleh Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Persidangan
Ketua-Ketua Perwakilan Kelapan beberapa hari lepas di hadapan diplomat Malaysia
yang sedang berkhidmat di luar negara. Begitu jelas sekali hasrat Perdana
Menteri itu merupakan dasar rasmi negara. Lebih mencabar lagi kerana hasrat ini
perlu dimuktamadkan sebelum negara mencapai status negara maju menjelang tahun
2020.
Malaysia tidak akan mampu menjadi
kuasa perantara jika bertindak bersendirian tanpa ada gabungan sekutu dengan
negara lain. Walaupun Perdana Menteri tidak memperincikan hasrat tersebut tetapi
beliau ada menyatakan gabungan antara negara maju dan sedang membangun adalah
kaedah terbaik dan paling efisien.
Cuma yang menjadi persoalan
adalah walaupun secara spesifik negara sekutu tersebut masih belum lagi
ditentukan tetapi apa yang penting adalah setiap negara sekutu mesti mempunyai
sasaran dan objektif yang serupa.
Gabungan sekutu kuasa perantara
ini tidak akan meminggirkan peranan ASEAN malah akan pasti memperkuatkan lagi
pengaruh pertubuhan 10 negara itu di rantau Asia.
Hal ini kerana dalam beberapa isu
geopolitik Asia seperti masalah tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China
Selatan, ASEAN didapati sukar bertindak sebagai satu suara kerana ahlinya
mempunyai agenda berlainan.
Malaysia yang mempunyai pengaruh
besar dalam ASEAN sebenarnya boleh menggunakan landasan pertubuhan ini untuk
membentuk gabungan sekutu negara kuasa perantara Asia yang baharu.
Adalah tidak adil jika
keseimbangan geopolitik rantau Asia hanya ditentukan oleh dua kuasa besar utama
iaitu AS dan China sahaja dan contoh paling jelas adalah senario Laut China
Selatan.
Sebab itu adalah kritikal saranan
Perdana Menteri perlu dilaksanakan secepat mungkin supaya dasar luar Malaysia
dapat digubal demi mempertahankan kedaulatan negara, bukan sahaja isu yang
membabitkan Laut China Selatan bahkan isu geostrategik yang lain.
Pada ketika ini ketiadaan
gabungan kuasa perantara yang melibatkan isu Laut China Selatan umpamanya telah
mewujudkan dua kumpulan berbeza. Satu kumpulan diterajui oleh AS terdiri
daripada Filipina, Singapura dan Vietnam sementara kumpulan bertentangan pula
diketuai oleh China yang mendapat sokongan Kemboja.
Kewujudan kedua-dua kelompok yang
berbeza ini langsung tidak memberi manfaat kepada Malaysia.
Percaturan pengaruh di antara dua
kuasa besar AS dan China tidak kira sama ada di Laut China Selatan, Laut China
Timur atau Laut Kuning sekali pun telah menyisihkan negara kecil lain seperti
Malaysia dalam membuat keputusan, jika tidak berada dalam salah satu kelompok
kumpulan tersebut.
Sebab itu penting bagi Malaysia
mewujudkan gabungan sekutu negara kuasa perantara supaya matlamat dan
kepentingan negara Asia lain dapat disatukan dalam kumpulan yang sama.
Berbeza dengan kumpulan yang
diketuai oleh AS dan China, gabungan sekutu negara kuasa perantara tidak
diresapi oleh pengaruh kuasa besar. Senario sebegini memudahkan lagi kerjasama
dibuat di atas landasan kepercayaan dan amanah di antara satu sama lain.
Modus operandi gabungan sekutu
negara perantara adalah jauh berbeza dengan kumpulan yang diterajui oleh kuasa
besar kerana kewujudan kuasa besar di rantau Asia seperti AS dan China
diiktiraf kerana gabungan kuasa perantara ini hanya menjadi pengimbang kuasa.
Kerjasama di antara India dan
Korea Selatan dalam membentuk gabungan sekutu negara perantara adalah strategi
yang begitu jelas untuk mengimbangi pengaruh China. India umpamanya mempunyai
masalah sempadan di wilayah Jammu, Kashmir dan juga Ladakh dengan China.
Begitu juga Korea Selatan
menerusi masalah sempadan maritim Laut China Timur dengan China. Kerjasama yang
diasaskan oleh India dan Korea Selatan ini dianggap kerjasama negara kuasa
perantara kerana secara bersendirian kedua-duanya tidak mampu menandingi
kekuatan China.
Besar kemungkinan Jepun juga akan
menyertai India dan Korea Selatan dan jika ini berlaku, gabungan ini adalah
sekutu negara kuasa perantara yang berpengaruh menghadapi kuasa besar seperti
AS dan China.
Memang benar Jepun dan AS dan
juga Korea Selatan dan AS sudah mempunyai persefahaman dalam menghadapi ancaman
China dan Korea Utara. Tetapi persefahaman yang diterajui oleh AS ini tidak
membenarkan sama ada Jepun atau Korea Selatan berada pada landasan yang sama
dengan Washington. Setiap strategi lazimnya ditentukan oleh AS.
Hasrat menjadikan Malaysia
sebagai negara kuasa perantara bagi rantau Asia perlu disokong oleh semua
lapisan rakyat dan strateginya pula perlu diperhalusi terutama sekali oleh
Wisma Putra kerana ia banyak berkaitan dengan dasar luar negara. Walau apa
sekali pun, sudah begitu nyata status negara kuasa perantara adalah prasyarat
penting yang perlu dipenuhi sebelum Malaysia menjadi negara maju tahun 2020.
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan