Oleh Noraini Razak
SETIAP perjanjian, memorandum persefahaman (MoU) atau apa
saja persetujuan tentunya untuk memudahkan sesuatu urusan. Kalau rundingan yang
membawa kepada perjanjian dan sebagainya menambah kesulitan, apalah gunanya.
MoU pengambilan pembantu rumah warga Indonesia difahami
kononnya untuk memudahkan kemasukan rakyat negara itu yang mahu mencari rezeki
di Malaysia. Kedua-dua pihak berunding. Hasilnya, satu garis panduan baru
diwujudkan. Hanya agensi berdaftar layak menguruskan kemasukan amah Indonesia
dengan bayaran RM4,500. Manakala gaji pula masih diserahkan kepada majikan di
Malaysia.
Rata-rata amah sekarang dibayar gaji RM600. Kekecohan
kerajaan Indonesia menuntut amah mereka dibayar RM700 bagi satu jenis kerja
ternyata memberi kesan kepada amah-amah yang mahu bekerja di sini. Sekadar
ditawarkan gaji RM500 atau RM550, pandang sebelah mata pun belum tentu mereka
mahu.
Oleh kerana rakyat Malaysia sering menjadi bangsa yang
mengalah dan menerima, maka MoU pengambilan pembantu rumah termeterai. Ramai
bakal majikan dan majikan sedia ada percaya bahawa mereka hanya perlu membayar
RM4,500 untuk seorang pembantu rumah.
Sememangnya bayaran tersebut munasabah berbanding kadar
biasa yang dikenakan agensi-agensi pekerja asing sebelum ini yang mencecah
RM10,000 dan paling murah mungkin RM7,000. Bakal majikan juga dibenarkan
mengurus sendiri pengambil amah Indonesia, bermakna tentu kos lebih jimat.
Namun MoU Malaysia-Indonesia tidak seindah dan tidak semudah
yang disangka. Tidak juga menguntungkan rakyat Malaysia tetapi rasanya amat
menguntungkan agensi-agensi di negara seberang terutamanya kepada majikan yang
mahu menguruskan sendiri kemasukan amah mereka.
Tentunya ada pertanyaan mengapa ada majikan mahu urus
sendiri sedangkan laman web Kementerian Sumber Manusia menyenarai panjang
agensi-agensi berdaftar. Kenapa perlu susah payah kalau dengan RM4,500 urusan
pengambilan amah boleh dilaksanakan.
Cubaan menghubungi beberapa agensi yang tersenarai menjawab
kemusykilan. Ada agensi memberitahu, RM4,500 tidak termasuk bayaran levi,
fomema dan sebagainya. Maknanya ada kos yang perlu ditambah. Ada pula
memaklumkan bayaran tersebut termasuk kos-kos lain. Mengapa berlaku
ketidakseragaman di sebalik MoU dan pelbagai persetujuan yang termeterai
sebelum ini.
Seorang pengadu memberitahu, dia menghubungi agensi
tersenarai untuk memohon bantuan menguruskan amah yang masuk ke negara ini
menggunakan pas lawatan sosial. Segala-galanya bermula apabila si pengadu fikir
menguruskan sendiri pengambilan amah bermakna permohonan boleh dibuat selepas
amah tersebut berada di negara ini. Telahannya ternyata silap. Sebaik hadir ke
Jabatan Imigresen dia diberitahu permohonan seumpama itu tidak dibenarkan lagi.
Untuk mengambil sendiri amah, perlu menghubungi agensi berdaftar di Indonesia,
mendapat segala cap dan tandatangan menggunakan borang baru, selepas selesai
baru amah boleh masuk ke Malaysia dan kemudian urusan boleh dilaksanakan.
Terduduk juga si pengadu yang telah membayar RM5,000 untuk membolehkan amah
tersebut masuk ke negara ini.
Adakah itu memudahkan bakal majikan lantaran agensi di
negara jiran mengenakan bayaran tidak kurang RM4,500, itu pun untuk kemasukan
amah tanpa sebarang dokumen selain sekeping pasport. Bayangkan kalau mereka
perlu menambah urusan agaknya berapa pula bayaran tambahan? Buntu dengan
keadaan itu, si pengadu cuba menghubungi agensi berdaftar mencuba nasib jika
mereka boleh memudahkan urusan.
Jawapan salah sebuah agensi, mereka boleh membantu
‘menghalalkan’ kemasukan amah si pengadu dengan bayaran RM4,500. Maknanya
RM9,500 terpaksa dibayar untuk amah tersebut.
Tentunya tidak masuk akal malah melangkaui kewarasan di
sebalik MoU untuk memudahkan urusan kemasukan amah warga Indonesia.
Mahu menggunakan agensi berdaftar di dalam negara pula
terpaksa ‘beratur panjang’ dan mendengar pelbagai alasan termasuk amah tidak
mahu masuk, agen di Indonesia buat hal dan pelbagai lagi.
Kadang-kadang terfikir apakah wujud konspirasi antara agensi
di sini dan agensi di negara seberang supaya MoU tersebut hanya indah di atas
kertas. Yang dapat untung adalah mereka, manakala bakal majikan terpaksa gigit
jari.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/