Selasa, 29 Mei 2012

ISU SOSIAL : 65 peratus maut nahas motosikal babit remaja



Oleh Hardi Effendi Yaacob

KUALA LUMPUR: Remaja dan belia mencatat 63 peratusan kematian lebih tinggi dalam kemalangan motosikal, berbanding peringkat usia lain sepanjang Januari hingga April lalu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abd Aziz Yusof, berkata perkembangan itu didorong kecenderungan mereka terbabit dalam kegiatan lumba haram, selain kegagalan mematuhi peraturan lalu lintas dan menunggang motosikal secara berbahaya.

“Jika mereka mahu berlumba, gunakan saluran betul dan mendaftar dengan persatuan pemotoran untuk mempelajari cara menunggang motosikal yang selamat.



“Tiada salahnya jika mahu berlumba, malah kita faham minat anak muda sekarang tetapi ia perlu mematuhi peraturan dan undang-undang, selain mementingkan aspek keselamatan dan tidak membahayakan nyawa sendiri atau orang lain,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau sebelum itu melancarkan program Evolusi R, sebuah program unik anjuran Pertubuhan Penunggang Motosikal Bersatu Malaysia (Riders & Rempit United) dan Koperasi Belia 1Malaysia bertujuan membangunkan komuniti remaja bermotor di negara ini.

Hadir sama, Presiden Riders & Rempit United, Wazi Abdul Hamid; Pengerusi Koperasi Belia 1Malaysia, Mohd Eddy Casmady Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo.

Turut diumumkan pelantikan lima duta Evolusi R iaitu Shahiezy Sam, Adi Putra, Nora Danish, Sari Yanti dan Intan Ladyana, yang diharapkan mampu menarik penyertaan remaja dan belia dalam program berkenaan, sekali gus membantu menangani masalah lumba haram serta samseng jalanan.


Abd Aziz berkata, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dan sektor swasta bagi mengatasi kegiatan mat rempit dan samseng jalanan di seluruh negara, malah peluang secukupnya sudah diberi kepada golongan itu untuk berubah.

“Dalam pemantauan dilaksanakan sebelum ini, ramai penunggang dan pembonceng motosikal berusia antara 16 tahun hingga 25 tahun maut di jalan raya dengan sebahagian besarnya akibat perlumbaan haram. 

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan