Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
Kejohanan bola sepak Eropah, sukan Olimpik legakan seketika
kehangatan isu pilihan raya
KEJOHANAN bola sepak Eropah atau
lebih dikenali sebagai EURO 2012, pertandingan kedua terbesar sukan itu selepas
Piala Dunia, akan bermula Sabtu ini. Seperti biasa, Malaysia walaupun sudah
lama di tempat tercorot dalam senarai gergasi bola sepak serantau, akan
menghadapi ‘demam’ sepanjang tiga minggu kejohanan itu. Dalam kata lain,
sebahagian besar rakyat negara ini akan 'tidur bola, makan bola', manakala
isteri dan suri rumah yang tidak meminati bola sepak bakal mengeluh kerana
terabai untuk sementara waktu. Majikan pula sama ada jabatan awam atau swasta
terpaksa menghadapi masalah ponteng kerja, meningkatnya cuti sakit atau pekerja
datang lewat.
Persekutuan Majikan Malaysia
(MEF) mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan kejatuhan produktiviti pekerja
sepanjang kejohanan EURO 2012 akan disiarkan secara langsung oleh beberapa
stesen televisyen di negara ini. Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan,
dilaporkan berkata, berdasarkan pengalaman lalu, majikan perlu bersedia
menghadapi masalah ponteng kerja atau cuti sakit pada tempoh kejohanan EURO
2012 dan Sukan Olimpik selepas itu.
“Dua kejohanan itu amat popular
di Malaysia dan ramai yang akan menonton siaran secara langsung. Disebabkan
perbezaan waktu, kebanyakan siaran langsung itu pada awal pagi dan mereka yang
menonton tentunya letih dan mengantuk apabila bekerja selepas itu. Mereka tidak
mungkin mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada tugas,” katanya.
Kajian MEF sebelum Piala Dunia
2010 mendapati 120 ahli persatuan itu menjangkakan 14.2 peratus pekerja mereka
mengambil cuti sakit, manakala tahap produktiviti jatuh 15.5 peratus.
Dari sudut lain pula, kejohanan
EURO 2012 mungkin dapat mengurangkan seketika demam Pilihan Raya Umum Ke-13,
yang melanda sejak tahun lalu dan suhunya kian meningkat sekarang. Selepas
beberapa ramalan mengenai tarikh Parlimen dibubarkan meleset, beberapa tarikh
baru pula diramalkan seperti pada Julai, selepas Aidilfitri atau selepas pembentangan
Bajet 2013, yang jatuh pada 28 September.
Pemilihan tarikh pembentangan
belanjawan negara lebih awal daripada kebiasaannya itu menimbulkan spekulasi
kuat kononnya pilihan raya umum akan diadakan sebelum Ramadan. Jika ini
berlaku, bermakna rakyat Malaysia akan menghadapi dua demam serentak iaitu
demam pilihan raya umum dan deman EURO 2012 atau Sukan Olimpik yang bermula
Julai hingga Ogos.
Secara kebetulan, tiga kejohanan
Piala Eropah sebelum ini iaitu pada 1964, 2004 dan 2008 diadakan pada tahun
sama Malaysia mengadakan pilihan raya umum.
Sekiranya satu kejohanan sukan
itu berlaku serentak dengan tempoh berkempen pilihan raya umum, tumpuan rakyat
pastinya terbahagi dua. Walaupun bukan semua rakyat meminati bola sepak atau
Olimpik, tidak kurang juga mereka yang sudah bosan dengan politik. Kerana itu,
siaran langsung kejohanan EURO 2012 dan Sukan Olimpik nanti mungkin melegakan
mereka yang sudah bosan dengan pelbagai berita politik serta kenyataan dan
tingkah laku pemainnya.
Pada masa sama, kehadiran kejohanan
sukan popular seperti ini ketika demam pilihan raya umum turut mencabar
kebijaksanaan orang politik bagaimana mereka boleh mengalih perhatian rakyat
kepada kempen masing-masing.
Kerana itu, kita tidak hairan
jika di sepanjang kejohanan EURO 2012 nanti ada ceramah atau kegiatan politik
diaturkan serentak dengan acara menonton siaran langsung perlawanan bola sepak
terutama di kalangan pengundi muda yang menjadi rebutan parti politik.
Sama ada tempoh berkempen pilihan
raya umum nanti serentak dengan EURO 2012 atau tidak, yang pasti perhatian
rakyat sepanjang bulan ini tidak lagi tertumpu kepada politik semata-mata.
Stesen televisyen dan syarikat penaja mengaturkan pelbagai acara bagi menarik
penonton dan meningkatkan jualan produk masing-masing. Seperti sepanjang
kejohanan Piala Dunia, EURO 2012 menyediakan pelbagai pesta untuk peminat bola
sepak.
Walaupun majikan berdepan dengan
kejatuhan produktiviti pekerja, kejohanan sukan seperti ini mampu mengalih
perhatian rakyat daripada pertelingkahan politik yang bagaikan tidak
berkesudahan untuk sementara waktu.
Sekurang-kurangnya keseronokan
rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan ketika menyokong pasukan
masing-masing dalam suasana penuh ceria nanti, menyedarkan kita politik bukan
segala-galanya dalam kehidupan ini.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan