KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diumumkan tidak lama lagi. Bukan sahaja pelajar yang resah dan berdebar-debar, malah ibu bapa turut merasai debarannya.
Terdapat juga ibu bapa yang lebih berdebar dan resah berbanding dengan anak-anak mereka. Ini kerana, keputusan peperiksaan dilihat seolah-olah bakal menentukan ke arah mana hala tuju anak-anak mereka selepas menghabiskan masa enam tahun di sekolah rendah dan lima hingga tujuh tahun di sekolah menengah (tidak termasuk pelajar yang menghabiskan masa dua tahun di Pusat-Pusat Matrikulasi). Secara purata, mereka telah menghabiskan 13 tahun di bangku sekolah. Itu belum mengambil kira tempoh dua hingga tiga tahun di peringkat prasekolah.
Sudah tentulah bukan sedikit wang yang dilaburkan oleh ibu bapa sepanjang tempoh itu demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna dengan harapan mereka kelak menjadi insan yang berpendidikan. Apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun. Maka tidak hairanlah ibu bapa merungut dan keluh kesah setiap kali sesi persekolahan baru dibuka pada awal tahun.
Ibu bapa perlu mengorbankan lebih sebulan daripada gaji untuk menampung perbelanjaan anak-anak memasuki sekolah bagi menyediakan pakaian seragam baru, segala bentuk yuran yang dikenakan, buku-buku tambahan yang wajib dibeli dan sebagainya. Bayangkanlah ibu bapa yang mempunyai lebih daripada tiga orang anak! Malah, isu-isu inilah yang menjadi antara topik utama dalam media-media massa setiap kali sesi persekolahan baru dibuka.
Maka tidak hairanlah ibu bapa yang 'sedar', sangat menitikberatkan apakah natijah daripada keputusan peperiksaan anak-anak mereka. Sama ada meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi atau 'terjun' saja ke alam baru iaitu pekerjaan dengan kelulusan minimum iaitu SPM atau STPM yang belum pasti menjamin masa depan yang gemilang.
Seiring dengan keputusan ini juga, pihak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar akan turut sibuk menguruskan segala hal berkaitan permohonan kemasukan pelajar yang memilih untuk meneruskan pengajian mereka. Menguruskan permohonan kemasukan pelajar ke IPTA sangat memeningkan.
Malaysia mempunyai 20 IPTA, selain puluhan IPTS lain yang menyediakan peluang yang sangat luas untuk pelajar meneruskan pengajian mereka di peringkat lebih tinggi. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, peluang untuk menghantar anak-anak mereka ke luar negara juga terbuka luas.
Andaikan sebuah IPTA menawarkan 60 program pengajian (sama ada di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda), bermakna sebanyak 1,200 program pengajian ditawarkan. Setiap program pengajian ini menyediakan bilangan tempat yang telah ditentukan.
Sekali lagi pelajar dan ibu bapa resah dan berada dalam dilema memikirkan apakah program pengajian yang sesuai. Keadaan ini menuntut para pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat yang lengkap sebelum memilih dan menentukannya.
Justeru, langkah Kementerian Pengajian Tinggi mengadakan Karnival Pengajian Tinggi dengan tag line 'Jom Masuk U' adalah sangat tepat. Diharapkan, pelajar yang mengunjungi setiap booth IPTA tidak sekadar mengutip brosur atau cenderahati sahaja tetapi bertanya dan bersoal jawablah untuk mendapatkan maklumat lanjut. Dalam era teknologi maklumat (ICT) yang pantas kini, semua maklumat seolah di hujung jari. Rujuklah laman web IPTA untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan sebelum membuat keputusan. Telitilah syarat kemasukan ke IPTA masing-masing.
Meskipun banyak program pengajian ditawarkan oleh IPTA, pelajar seolah-olah hanya tertumpu kepada program perubatan, pergigian dan farmasi sehingga menenggelamkan program lain seperti Permodelan Matematik, Bio Sumber, Kertas dan Penglitup, Grafik Komunikasi dan lain-lain.
Mungkin kerana ia dianggap program pengajian yang glamor atau mungkin sesetengah ibu bapa merasa bangga apabila anak-anak mereka selepas graduasi nanti akan bergelar doktor perubatan atau doktor pergigian yang berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Apatah lagi masyarakat memberi pengiktirafan kepada profesion tersebut, maka permohonan untuk mengikuti program pengajian ini sangat tinggi saban tahun. Ia menjadikan program ini sangat kompetitif kerana IPTA pada umumnya tidak dapat menawarkan tempat yang besar kerana kekangan tertentu antaranya kemudahan pengajaran, tenaga pengajar dan sebagainya. Bagi program perubatan misalnya, hanya 10 IPTA sahaja yang menawarkan program ini. Sedangkan permohonan untuk mengikuti program ini melangkaui puluhan ribu.
Umum mengetahui dasar kemasukan ke IPTA ketika ini adalah secara meritokrasi dengan mengambil kira 90 peratus aspek akademik dan 10 peratus kokurikulum walaupun mungkin ada perubahan pada masa depan. Ini bermakna, kemasukan ke IPTA masih menekankan kepada pencapaian keputusan peperiksaan atau secara mudahnya pointer (Purata Nilai Gred Kumulatif - PNGK) yang dicampur dengan 10 peratus kokurikulum.
Mengikut kelayakan minimum, pelajar yang memperoleh pointer sekurang-kurangnya 2.00 layak memohon ke IPTA, kecuali Universiti Sains Malaysia (USM). Memiliki kelayakan minimum bukanlah bermaksud mesti mendapat tempat! Justeru, pelajar yang cemerlang dengan keputusan peperiksaan tidak perlu risau untuk mendapat tempat di mana-mana IPTA.
Sungguhpun begitu pelajar cemerlang ini juga ada dilemanya yang tersendiri dek kerana kecemerlangannya. Program pengajian manakah yang harus dipilih!
Pemilihan untuk meneruskan pengajian di IPTA perlu mengambil kira beberapa pertimbangan. Antaranya, pencapaian atau kekuatan akademik dan kokurikulum atau mudahnya pointer, program pengajian yang diminati, IPTA mana yang hendak dipilih, minat, cita-cita dan kecenderungan pelajar dan impian pelajar dan ibu bapa serta pengaruh rakan sebaya.
Minat, cita-cita dan kecenderungan sahaja tidak mencukupi kerana bagi sesetengah program pengajian seperti perubatan, pergigian dan farmasi, tempatnya sangat terhad. Oleh kerana bilangan calon yang memohon dan mendapat pointer yang baik ramai, mereka juga perlu bersaing sesama sendiri. Tidak hairanlah pelajar yang mendapat pointer 3.80 dan ke atas juga masih belum terjamin tempat ke program tersebut.
Justeru, minat, cita-cita dan kecenderungan untuk menjadi doktor saja tidak mencukupi jika pencapaian akademik tidak seiring. Pencapaian akademik yang cemerlang juga jika tidak diikuti dengan minat, cita-cita dan kecenderungan juga tidak memadai.
Pun begitu dek sesetengah ibu bapa yang taksub untuk melihat anak mereka menjadi doktor, dengan pencapaian akademik yang sederhana atau 'cukup makan' juga, mereka mencuba nasib memohon program-program ini.
Sebenarnya tiada istilah 'mencuba nasib' dalam hal ini. Akibatnya mereka ini tidak akan terpilih bagi program pengajian yang diminta, sebaliknya akan ditawarkan ke program pengajian lain yang di luar pilihan mereka. Lebih malang lagi, jika anak-anak ini dipaksa oleh ibu bapa untuk memilih program pengajian ini, sedangkan tuan punya badan tidak meminati dan tiada kecenderungan.
Akibatnya mereka ini akan bermasalah ketika pembelajaran berlangsung. Perlu diketahui peratusan pelajar yang gagal dalam program perubatan sama ada di tahun satu atau tahun dua pengajian walaupun tidak tinggi tetapi agak membimbangkan. Sebaik-baiknya, ibu bapa dan anak-anak hendaklah berbincang dalam menentukan pilihan mereka. Tolak ansur dan memahami situasi dan keperluan anak-anak penting dalam proses pembentukan remaja hari ini.
Mereka ini perlu ditunjukkan jalan, dipimpin dan dirangsang untuk memikirkan sendiri sesuatu perkara. Memaksa mungkin bukan satu pendekatan yang sesuai. Ibu bapa dan pelajar juga perlu faham pencapaian akademik yang cemerlang sahaja dan tidak diikuti dengan minat akan mendatangkan masalah.
Langkah Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan pemilihan calon ke program perubatan melalui temuduga adalah sangat baik. Dalam perkara itu, USM telah meletakkan kriteria temuduga sebagai salah satu syarat kemasukan dalam program perubatan, pergigian dan farmasi. Ini kerana, bukan semua pelajar yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan sesuai dan mempunyai personaliti yang 'fit' untuk mengikuti program seumpama ini.
Bagi pelajar yang tidak mendapat program pengajian yang diharapkan, dan ditawarkan tempat di mana-mana IPTA sekalipun, janganlah anggap ia titik penamat bagi mencapai cita-cita anda.
Terimalah tawaran dari mana-mana IPTA sekalipun, kerana antara matlamat akhir universiti bukan hanya untuk menyediakan doktor perubatan, doktor pergigian dan ahli farmasi atau jurutera tetapi untuk melahirkan insan dengan sifat keinsanan dan berilmu. Bukan semua orang berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi di Malaysia.
PENULIS ialah Ketua Penolong Pendaftar,
Universiti Sains Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/