Rabu, 25 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : Kemerosotan Minat Pelajar Terhadap Jurusan Sains Membimbangkan


PUTRAJAYA: Minat pelajar untuk mengikuti jurusan sains di sekolah semakin merosot ke tahap yang sangat kritikal, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Ini boleh membantutkan usaha kerajaan meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi," katanya pada majlis amanat tahun baru 2012 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Khamis.

Mohamed Khaled berkata kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 memerlukan 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera, namun ia belum dicapai lagi.

"Lebih membimbangkan sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains terus menurun sehingga 29 peratus. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti," katanya. Beliau berkata pelajar yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melihat usaha untuk belajar dalam bidang sains tidak menguntungkan selain pembelajarannya sukar dan membosankan.

"Pelajar seharusnya membayangkan kerjaya yang menarik dan menguntungkan selepas tamat pengajian dan bergelar ahli sains," katanya.

Mohamed Khaled meminta pengurusan tertinggi IPT melihat perkara tersebut secara serius dan merancang strategi untuk mengubah persepsi negatif pelajar.

"Pelajar cemerlang perlu diterapkan rasa keghairahan untuk mempelajari sains dan dapat merasakan kursus sains adalah suatu yang menyeronokkan serta penuh cabaran minda dan penerokaan baru. Lebih penting ialah kerjaya sains menjanjikan pengiktirafan dan pulangan yang lumayan," katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Mohamed Khaled berkata mulai tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan biasiswa baru melalui program MyBrainSc yang bertujuan menyediakan tenaga akademik berkualiti dalam bidang sains tulen di IPTA.

Beliau juga mahukan IPTA membangunkan institusi penyelidikan sama ada dalam bentuk institut, pusat atau makmal dengan memperkenalkan jawatan baru bergelar Akademik Penyelidik sebagai keperluan asas untuk mengekalkan bakat.

Universiti juga perlu memberi perhatian kepada perancangan dan kemajuan yang berlaku di persekitaran khususnya pembangunan wilayah agar hasrat universiti menjadi pemacu pembangunan tempatan akan tercapai selain sebagai satu cara menambah sumber pendapatan, kata Mohamed Khaled.

Beliau mencadangkan semua IPTA mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bagi memastikan usaha pembudayaan dan kecemerlangan penyelidikan serta kesinambungan semua program yang direncanakan, dilaksanakan dengan sempurna.

Mohamed Khaled juga berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dikuatkuasakan nanti, bukan sebagai tiket kebebasan mutlak bagi pelajar IPT sehingga mengganggu keselamatan awam.

"Saya tidak pernah menghalang mahasiswa bersikap kritikal tetapi biarlah sikap itu disalurkan melalui pendekatan yang berhemah lagi beradab. Mahasiswa juga merupakan rakyat dan warganegara yang mempunyai tanggungjawab kepada negara sama seperti pihak lain dalam masyarakat," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan