A RAZAK MUTHALIB
Jiwa manusia berperikemanusiaan tidak mampu lagi menanggung
kesedihan dan menahan kemarahan terhadap jenayah durjana atas umat Islam di
Palestin, Syria dan terbaru di Myanmar.
Jenayah terancang ini tidak boleh dimaafkan lagi.
Saban hari ada saja nyawa yang gugur. Mungkin inilah tanda
kemanusiaan yang semakin terkubur.
Untuk berjuang bersama, ramai tidak mampu, tetapi hulurkan
sumbangan apa yang termampu kerana ALLAH Maha Tahu, walaupun sepotong doa.
Antara amalan sunnah yang dituntut ketika berlaku musibah
dahsyat atas umat Islam adalah membaca doa Qunut Nazilah.
Amalan ini seakan-akan tidak dikenali dan jarang diamalkan
di Malaysia.
Dari segi bahasa, nazilah ialah suatu keadaan yang gawat,
mencemaskan dan terdesak.
Dari segi istilah, ia bermaksud suatu keadaan bencana yang
menimpa umat Islam seperti adanya musuh, kemarau dan wabak penyakit. Ringkasnya
Qunut Nazilah adalah doa yang dibaca dalam solat apabila berlaku sesuatu
musibah yang menimpa umat Islam.
Terdapat banyak hadis sahih berkenaan Qunut Nazilah.
Antaranya, Abu Hurairah RA berkata: “Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah SAW
selesai membaca Al-Fatihah dan surah, baginda bertakbir (untuk rukuk) dan
mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahu liman
hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”.
Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya
Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi
Rabia’h dan semua golongan yang tertindas daripada golongan Mukminin.
Wahai ALLAH, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi
mudarat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang
berlaku pada zaman nabi Yusuf”. (Riwayat Al-Bukhari)
Rasulullah SAW mendoakan supaya ALLAH menyelamatkan beberapa
sahabat Baginda yang masih tinggal di Makkah.
Selepas masuk Islam, mereka itu diseksa dan diazab oleh
kafir Quraisy. Dengan keberkatan doa Rasulullah, mereka selamat dan seterusnya
berhijrah bersama-sama Baginda di Madinah.
Dalam hadis lain, Anas bin Malik melaporkan Rasulullah
mengutus 70 qurra’ (yang berilmu dan mahir dalam bacaan al-Quran). Kumpulan ini
dihantar untuk memenuhi permintaan beberapa kabilah seperti Ri’l dan Zakwan.
Apabila rombongan tersebut sampai kepada kabilah Ri’l dan Zakwan berhampiran dengan
sebuah telaga, dikenali telaga Mau’nah (Bi’r Mau’nah), kabilah tersebut
berkata: Demi ALLAH, bukan kamu yang kami perlukan, sesungguhnya kami inginkan
Nabi Muhammad.
Kabilah tersebut menipu dan khianat kepada Rasulullah.
Mereka membunuh semua 70 qurra’ itu. Apabila berita ini sampai kepada
Rasulullah, Baginda amat sedih, lalu, baginda mendoakan laknat ke atas kabilah
tersebut selama sebulan di dalam solat Subuh. Maka, inilah permulaannya doa qunut.
(Sahih al-Bukhari )
Berdasarkan hadis lain pula, Qunut Nazilah boleh dibaca
dalam semua solat fardu, sama ada sebelum atau selepas bangun rukuk ketika
rakaat terakhir.
Tidak ada doa khusus untuk Qunut Nazilah ini. Ia dibaca apa-
apa doa yang berkaitan dengan musibah yang berlaku.
Dari sudut yang lain, dalam menghadapi serangan dan
cengkaman pihak musuh, tidak cukup sekadar berdoa dan mengutuk mereka sahaja,
harus bertindak dan berusaha memperjuangkan agama.
Generasi agung salafusoleh adalah mereka yang dijamin
mendapat keredaan ALLAH, beribadat dan berzikir di masjid, tetapi keluar
berdakwah, berjuang demi menegakkan agama.
Justeru, hulurkan bantuan dan sokongan kepada saudara kita
yang sedang menghadapi pelbagai tekanan dan kezaliman.
Biar jutaan peluru dihamburkan, semangat juang mereka tidak
pernah luntur. Malah semakin banyak strategi yang disusun atur. Membaca Qunut
Nazilah bukan bererti menyerah kalah.
Berusahalah, kemudian kita pasrah dan berserah kepada ALLAH
yang Maha Gagah.
*Penulis ialah Pensyarah dari International Islamic College
(IIC)
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan