TAN SRI LEE LAM THYE
PROMOSI dan peningkatan kesihatan
mental dalam kalangan rakyat Malaysia daripada semua golongan umur harus diberikan keutamaan
dan dijadikan sebahagian agenda utama kesihatan nasional berkaitan isu-isu
kesihatan yang perlu ditangani.
Masalah kesihatan mental
terutamanya yang berkaitan tekanan mental hendaklah ditangani segera supaya
stres, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan cubaan bunuh diri dapat
dielakkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri
Liow Tiong Lai mendedahkan baru-baru ini bahawa masalah kesihatan mental dalam
kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini berada pada tahap membimbangkan.
Prevalen masalah kesihatan mental
dalam kalangan orang dewasa adalah 11.2% dalam tahun 2006 berbanding 10.6%
dalam 1996 dan prevalen masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan
remaja adalah 20.3% berbanding 13.0% dalam 1996. Selain itu, prevalen masalah
kesihatan mental di kalangan wanita 12.1% dan di kalangan lelaki adalah 10.4%.
Prevalen masalah kesihatan mental
paling tinggi di kalangan kumpulan umur 70 -74 tahun, iaitu 19.5% dan diikuti
dengan kumpulan umur 16 - 19 tahun adalah 14.4%.
Prevalen masalah kesihatan mental
lebih tinggi di kalangan mereka yang bujang adalah 13.1% dan diikuti balu 12.2%
dan bercerai adalah 13.6% berbanding yang statusnya berkahwin sebanyak 10.5%.
Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi di kalangan mereka
yang tiada pendidikan iaitu 16.6%.
Peningkatan pada tahap tekanan
dan tanggungjawab sosial yang rumit adalah di antara faktor-faktor yang
menyebabkan lebih ramai orang mengalami masalah mental.
Tekanan yang berlebihan akan
memberi kesan yang serius kepada kesihatan mental dan kehidupan seharian kita.
Tiada negara atau individu yang
terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal,
sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi. Kesihatan mental tidak lagi
boleh diabaikan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sama seperti masalah
kesihatan lain.
Kesihatan mental bukan sekadar
berkenaan penyakit mental. Ia adalah perasaan kesejahteraan, keupayaan
menghadapi cabaran dan untuk memastikan sikap positif terhadap diri sendiri.
Promosi kesihatan mental boleh
diperkenalkan di sekolah untuk menyediakan pelajar-pelajar menghadapi tekanan
mental di sekolah dan kaedah menanganinya dengan baik, terutamanya semasa
menduduki peperiksaan.
Antara aktiviti untuk
mempromosikan kesihatan mental yang boleh dilakukan di sekolah termasuklah
meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental di kalangan warga sekolah
melalui sesi ceramah, pameran dan kuiz atau pertandingan yang boleh dilakukan
sebagai aktiviti kurikulum tambahan yang melibatkan PIBG dan kelab-kelab
sekolah.
Lebih ramai kaunselor yang
terlatih dengan kemahiran dan teknik untuk memimpin dan membantu
pelajar-pelajar menangani masalah tekanan atau stres sangat diperlukan. Isu
kesihatan mental dalam kalangan pelajar perlu ditangani segera. Sekiranya
mereka tidak mendapat bantuan, negara kita akan menanggung beban satu generasi
yang menghadapi masalah kesihatan mental yang serius di dalam suasana
persaingan global yang kian meningkat.
Kita tidak dapat menidakkan
bahawa sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan tekanan
daripada ibu bapa ke atas anak-anak untuk berjaya di sekolah.
Kita perlu menerapkan sikap
percaya akan diri sendiri kepada anak-anak supaya kegagalan atau kekecewaan dapat
dilihat sebagai peluang untuk mencuba lagi dan bukan sebagai kekurangan atau
kelemahan diri.
Pendidikan dan promosi ke atas
kesihatan mental yang bertujuan mengekang peningkatan masalah psikososial dalam
kalangan masyarakat, adalah amat penting, selari dengan aspirasi kita untuk menjadi
negara maju yang sudah semestinya akan memberi tekanan hebat kepada kita untuk
menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Gangguan mental dan penyakit
mental lain adalah satu peringatan pahit di dalam kehidupan yang tidak
sepatutnya kita abaikan di dalam usaha untuk mencapai status negara maju.
Penulis ialah Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan
Mental.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan