SANDAKAN : Jenayah vandalisme dan kecurian peralatan
telekomunikasi menyebabkan kerugian besar kepada negara dan pemberi
perkhidmatan telekomunikasi, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM).
Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Bukhari Yahya, berkata isu
itu perlu dipandang serius kerana kesan dan risiko perbuatan itu turut menjejas
dan menyusahkan masyarakat.
"Ketiadaan talian komunikasi mungkin mengakibatkan
kelewatan bantuan kecemasan, sekali gus mengancam nyawa dan keselamatan,"
katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kesedaran Vandalisme dan Kecurian
Peralatan Komunikasi di sini hari ini yang disempurnakan Setiausaha Majlis
Perbandaran Sandakan Jeffry Aman.
Bukhari berkata, antara punca utama kecurian ialah
peningkatan harga tembaga di pasaran.
"Akibat tindakan mereka juga, penduduk di kawasan
terjejas bukan sahaja terputus hubungan, malah pemberi perkhidmatan terpaksa
menanggung kerugian daripada segi masa, tenaga dan wang bagi mengganti
peralatan yang dicuri serta memulihkan perkhidmatan telekomunikasi,"
katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan