PELBAGAI reaksi diterima apabila air menjadi topik utama
sejak kebelakangan ini. Sana-sini semua bercerita tentang air.
Sesetengah pihak menyuarakan rasa terkilan kerana tidak
cukup air dan ada pula yang menyuarakan rasa kesal dan kecewa kerana air tidak
bersih dan macam-macam respons akibat musim kemarau.
Kita sedia maklum air sangat penting di muka bumi ini kerana
semua jenis hidupan bergantung kepada air untuk terus hidup.
Tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air. Otak pula
mengandungi 80 peratus air, komposisi darah terdiri daripada 90 peratus air.
Dalam pada itu, musim kemarau yang berpanjangan semakin
membimbangkan kerana kurangnya air akan mengakibatkan banyak kesan buruk.
Lihat sahaja tanaman di rumah kita, semuanya kering-kontang.
Jika dilihat ke sawah padi lagilah nampak kering termasuk hutan-belantara yang
terbakar akibat cuaca panas.
Kejadian kebakaran hutan kerap kali berlaku. Hukum alam
memanglah tidak dapat dikawal tetapi sikap manusia yang membakar hutan dalam
keadaan musim kering ini harus dipersalahkan. Akibat tindakan mereka
menyebabkan jerebu kembali menghantui kehidupan harian kita. Beberapa lokasi
hutan dilaporkan terbakar termasuk hutan di Ukay Perdana, hutan simpan
Universiti Putra Malaysia (UPM) pun terbakar.
Kebakaran ini menyebabkan persekitaran hutan simpan yang
terletak bersebelahan lebuh raya Besraya susur ke Lebuh Silikon, UPM dilitupi
asap tebal dan jalan raya sesak teruk.
Terbaharu kes kebakaran kawasan hutan seluas 80 hektar di
Bukit Peteri berhampiran Hutan Simpan Papulut, Perak.
Sebelum ini, hampir 40 hektar kawasan hutan di Gerik membabitkan
empat lokasi berasingan terbakar dipercayai berpunca daripada aktiviti
pembakaran tidak terkawal.
Musim kemarau yang melanda perlu persediaan dari awal kerana
hukum alam akan berlaku bila-bila masa bak kata pepatah "Harapkan panas
hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari".
Siap-siaga kerajaan negeri seperti menyediakan segala
keperluan pencegahan dan langkah-langkah mengatasi masalah ini.
Hukuman kepada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab
juga mencemarkan alam semulajadi.
Baru-baru ini berlaku kes menyayat hati yang menimpa lapan
sahabat yang cuba menyelamatkan salah seorang daripada mereka dan berakhir
dengan kematian. Cuaca yang panas menyebabkan air sungai menjadi cetek sehingga
terbentuknya teluk dan beting pasir jerlus.
Insiden berlaku di tengah sungai pasir jerlus di Sungai Muar
dekat Buloh Kasap, Johor itu seperti menyedut, mangsa satu persatu apabila terpijak dasar sungai itu.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan
Penyelamat, Datuk Soiman Jahid menyatakan, lokasi
mempunyai kedalaman lebih berbanding tempat lain dan pasir jerlus juga
disebabkan kegiatan mengorek pasir dilakukan di kawasan itu.
Itu adalah kesalahan manusia yang tidak bertanggungjawab dan
sepatutnya mereka yang cuai ini diambil tindakan undang-undang kerana
menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, aspek kesihatan juga perlu dipandang serius
kerana cuaca panas menyebabkan kesihatan seseorang terjejas terutama orang tua
dan kanak-kanak.
Pesakit asma perlu berhati-hati dengan pencemaran udara yang
berlaku dengan memakai penutup muka.
Keadaan yang kering menyebabkan kulit menjadi alergi dan
kemerah-merahan di samping bibir merekah, sakit tekak, demam, mual, muntah dan
batuk berpanjangan.
Apabila kesihatan tidak mengizinkan maka ramai yang cepat
naik darah, keliru, sensitif, marah dan sebagainya yang akhirnya kualiti kerja
juga terganggu. Jika cuaca meningkat ke tahap yang serius boleh menyebabkan
maut akibat strok haba.
Catuan air menerima pelbagai reaksi daripada rakyat yang
terkilan kerana tidak dimaklumkan awal dan kelewatan kerajaan melaksanakan
catuan air.
Persediaan awal perlu ada supaya rakyat tidak terpinga-pinga
mencari tong air yang memerlukan kos membeli juga dengan notis pendek yang
diterima.
Loji-loji perlu memenuhi keperluan rakyat begitu juga dengan
penambahan empangan-empangan yang perlu disediakan dengan awal dan dirancang
rapi semasa menghadapi cuaca panas ini.
Air bersih yang diberi sangat penting kerana jika air yang
digunakan terutama dalam makanan tidak bersih boleh menyebabkan penyakit kolera
dan keracunan.
Pembiakan nyamuk aedes berada di mana-mana ketika cuaca
semakin kering begitu juga kadar pencemaran semakin tinggi.
Dari segi ekonomi pula, cuaca yang panas menyebabkan ramai
yang perlu menggunakan pendingin hawa yang menyebabkan bil elektrik meningkat.
Maklumlah, tidak boleh tidur sehingga berpeluh-peluh maka
alternatif dicari seperti membeli pendingin hawa atau menambah bilangan kipas.
Gelombang panas yang teruk juga dikenal pasti sebagai
penyebab kematian akibat hyperthermia selain punca gangguan bekalan tenaga
kerana peningkatan penggunaan alat penyaman udara.
Kesiapsiagaan yang saya maksudkan bukan sahaja daripada
pihak kerajaan namun kita sebagai rakyat perlu bersiap sedia dengan segala
kemungkinan yang akan berlaku terutama bencana hukum alam.
Musim kemarau sedang melanda dan mungkin nanti musim banjir
tiba dan segala bencana kini sukar diduga. Maka, semua ini harus dijadikan
iktibar bersama.
Strategi perlu direncanakan dari awal oleh pihak kerajaan
kerana rakyat harus diutamakan dalam segala perlindungan.
Ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat Malaysia kerana
rakyat yang sihat dan cemerlang penting seiring dengan pembangunan negara.
Salam perpaduan dan salam 1Hati.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan