Sabtu, 16 Mac 2013

ISU SOSIAL : Manusia pesimis manusia perosak


TULISAN kali ini mungkin tidak banyak berkait dengan ulasan konsep psikologikal yang kompleks. Ia hanya berkait dengan dua hal yang ada pada manusia. Adakalanya ia sangat sukar untuk diubah, malah membahayakan negara.

Secara umumnya manusia dibahagikan kepada dua, iaitu manusia yang optimis dan pesimis. Tatkala manusia optimis sering kali yakin dengan apa yang mereka lakukan, manusia pesimis selalu memandang dengan penuh curiga bagi apa sahaja yang berlaku.

Manusia pesimis melihat sesuatu dari sudut yang negatif. Hanya mereka sahajalah yang benar, tetapi pihak lain akan selalu salah.

Walaupun berfikiran optimis tidaklah selalu menguntungkan, tetapi pesimis biasanya akan merosakkan.

Sigmund Frued, tokoh psikologi psiko analisis dilaporkan pernah berkata, bagaimana manusia yang teruk cenderung menilai orang lain sebagai buruk. Mereka akan menyatakan bahawa orang lain tidak akan sebaik mereka.

Hakikat yang sering diabaikan adalah mereka itulah yang teruk dan bukan orang yang mereka sangka sebagai buruk tadi.

Kita dapati inilah hal yang sedang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Tatkala penduduk di beberapa kawasan di Lahad Datu, Tawau dan Semporna dalam keadaan cemas kerana sedang menghadapi hari yang buruk kerana pendudukan pengganas, mereka yang pesimis ini masih lagi memandang dengan penuh sinis menyatakan apa yang berlaku itu hanyalah sandiwara.

Bahkan, tatkala ada anggota keselamatan kita dibunuh secara kejam, ada segelintir yang seolah-olahnya masih tidak lagi percaya apa yang sedang berlaku. Kononnya ia tidak lebih daripada sebuah lakonan sahaja.

Masih ada yang mempertikaikan kenapa anggota tentera dibawa dengan pesawat komersial dan bukan pesawat tentera. Ada pula yang bertanya mengapa kelengkapan tentera diangkut dengan lori perdagangan ke tempat pertempuran dan bukan bergerak sendiri?

Beri sokongan

Alangkah indahnya kalau kita bertanya apakah yang dapat kita lakukan bagi membantu menguatkan moral anggota keselamatan atau membantu penduduk menghadapi hari yang penuh trauma.

Kita mungkin tidak dilatih untuk menghadapi penjenayah. Bagaimanapun, membantu memberikan sokongan moral kepada mereka yang terlibat akan mampu melemahkan musuh.

Komen dan kritikan bukan sahaja menyukarkan keadaan, tetapi melukakan hati pihak lain. Bayangkan bagaimana perasaan balu anggota keselamatan kita yang kehilangan suami kerana mempertahankan nyawa kita semua.

Apa pula perasaan penduduk yang sedang kebimbangan kerana berada dalam keadaan sukar dan bahaya? Lebih membimbangkan, ia membantu meningkatkan moral pihak musuh untuk menjatuhkan kita.

Mengapa ada segelintir individu yang masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku? Dalam tulisan yang lalu, kita pernah membincangkan fenomena pemikiran kelompok.

Selain daripada warga tua, sebahagian besar daripada kita adalah warga merdeka. Kita tidak pernah merasai hidup dalam situasi yang sukar. Sebab itu, apabila tiba-tiba kita diserang oleh pengganas, ada yang merasakan ia bukan hal yang nyata.

Mereka seolah-olahnya percaya bahawa peperangan dan keganasan hanya boleh berlaku di negara lain dan bukan di negara kita.

Kepercayaan segelintir masyarakat ini bukan sahaja melemahkan moral anggota keselamatan, tetapi juga membahayakan negara.

Justeru kita juga jarang berhadapan dengan situasi perang dan serangan seperti ini, kita juga mungkin tidak terbiasa dengan perang psikologi yang sering dimainkan oleh musuh.

Perang saraf

Sebab itu, apabila tersiar berita-berita negatif mengenai pasukan keselamatan atau pemimpin negara di media massa luar negara, ramai daripada kita mempercayainya. Malah ramai yang mengeyakannya dan menyebarkan pula kepada pihak lain.

Perang saraf inilah yang biasanya boleh melemahkan kesatuan kita. Kita mungkin mampu menang dengan pengganas dalam perang terbuka. Bagaimanapun, sekiranya masyarakat masih tidak bersatu, kerana terpedaya dengan perang psikologi pihak musuh, ia hanya akan membuka jalan untuk musuh terus mengancam kestabilan negara.

Percayalah, dengan bersatu sahajalah kita mampu mengatasi suasana yang sukar seperti ini.

Kita semua boleh berbeza fahaman politik dan pandangan, tetapi kita semua tidak boleh berbeza untuk percaya bahawa inilah satu-satunya negara yang kita miliki.

Sayangilah negara kita. Bagi memenangi peperangan ini, kita semua perlu terlebih dahulu untuk tidak dikalahkan dalam perang psikologi.

Ia adalah kemenangan terbesar dalam semua jenis peperangan. Tidak salah sesekali mempunyai sikap yang pesimis, tetapi dalam keadaan tertentu optimis adalah terlebih baik untuk kita semua.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU SOSIAL : PDRM Tubuh Unit Khas Wanita (Amanita)


MUAR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan satu unit khas dikenali sebagai Amanita dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Ayub Yaakob berkata unit itu mengiktiraf golongan suri rumah kadangkala mempunyai maklumat penting yang diperkatakan menerusi 'mesyuarat tingkap' mereka.

"Pendekatan kita kini adalah untuk memperoleh maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilaporkan, sebagai suri rumah, mereka mengetahui banyak isu dan maklumat dikongsi sesama mereka melalui 'mesyuarat tingkap'.

"Kadangkala ada maklumat jenayah yang mereka tahu daripada mulut ke mulut tetapi tidak dilaporkan atas sebab-sebab tertentu," katanya pada sidang akhbar selepas Program Bersama Banteras Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin merangkap Pengerusi MCPF, Sabtu.

Turut hadir Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Ayub berkata Amanita akan dilancar tidak lama lagi dan untuk tujuan itu, seramai 152 pegawai wanita dikenal pasti untuk penglibatan dalam unit berkenaan.

Secara tidak langsung, beliau berkata langkah terbaharu yang dilakukan itu menunjukkan PDRM mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuk suri rumah yang membentuk modal insan di peringkat awal.

"Selama ini kita lihat wanita memainkan peranan penting dalam rumah tangga termasuk menjadi penasihat kepada suami sebelum mereka membuat keputusan.

"Kita yakin mereka juga dapat memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara," katanya. BERNAMA

ISU SOSIAL : Mengiktiraf keupayaan wanita

Nicol Ann David 

Oleh :  FAUZIAH AROF

MEMANG benar, wanita di negara ini telah semakin maju dan di pandang tinggi. Maju bukan dengan cuma setapak langkahan, tetapi lebih daripada itu.

Yang membantu golongan ini mencapai seperti apa dikecapi sekarang sudah tentulah kesedaran tentang perihal pentingnya pendidikan kepada mereka.

Melalui pendidikan, kita dapat menyaksikan peningkatan demi peningkatan kemajuan wanita yang amat memberangsangkan. Semuanya bermula di sini. Apatah lagi tiadanya diskriminasi gender kerajaan dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya.

Jika hendak dibuat perbandingan, pada tahun 1959 hanya satu daripada setiap 10 mahasiswa tempatan adalah wanita. Bagaimanapun hari ini, lebih daripada enam daripada 10 pemegang ijazah kelas pertama di negara ini ialah wanita.

Malah, negara kini dikatakan berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan kadar enrolmen dan pengekalan pelajar lelaki pula.

Justeru, penglibatan wanita dalam semua sektor pekerjaan ada di mana-mana. Daripada yang berjawatan tinggi sehinggalah di peringkat rendah. Walaupun tujuan asalnya bekerja untuk membantu mengurus kos hidup keluarga, namun semuanya dikira sebagai memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Laporan Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton dua tahun lepas meletakkan Malaysia di kedudukan bersama ke-9 di dunia untuk jumlah jawatan pengurusan kanan yang dipegang oleh wanita, iaitu sebanyak 31%.

Pun begitu, kekuatan dan keupayaan wanita Malaysia pada alaf baru ini memiliki ijazah dalam pelbagai bidang, kecelikan ilmu dan serba berkebolehan sudah tentu menjadi sesuatu yang sia-sia dan membazir, apabila kesudahannya segala usaha dan jerih perih mendapat ilmu yang tinggi itu dibiar dan diperap begitu sahaja.

Inilah antara cabaran utama wanita di negara ini, apabila hanya 47.9 peratus sahaja wanita yang mempunyai ijazah ini memilih untuk bekerja.

Peratusan ini sudah tentulah amat kecil berbanding dengan jumlah pelajar wanita di institusi pengajian tinggi awam dan swasta ketika ini, iaitu 67 peratus berbanding lelaki.

Antara halangan dan penyebab utamanya adalah mahu menumpukan perhatian pada rumahtangga untuk menjaga anak.

Golongan ibu muda ini, bimbang dengan kesukaran untuk mendapat pembantu rumah yang terbaik untuk anak mereka, melihatkan kepada perkembangan kes dera dan lalai pembantu rumah yang sering berlaku dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai langkah melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mengatasi masalah ini untuk memastikan sasaran 55 peratus wanita di negara ini berkerjaya pada 2015 dalam Rancangan Malaysia ke-10 dapat dicapai.

Antaranya mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak (Taska) di semua jabatan kerajaan. Namun sehingga kini usaha itu masih diambil mudah oleh sektor swasta. Justeru, kerajaan pada Bajet 2013 memberi insentif termasuk geran RM10,000 dan pengecualian cukai berganda kepada pihak swasta yang mengusahakan Taska.

Bajet 2013, bersifat mesra wanita dan menggariskan pelbagai insentif untuk manfaat golongan itu bagi mengimbangi peranan tri-fungsi wanita sebagai ibu, isteri dan pekerja.

Kecenderungan wanita Malaysia tampil cemerlang dalam bidang tertentu semakin terserlah bermula sekitar awal 80-an sehingga hari ini setelah mengisi pelbagai slot kejayaan. Antaranya, Tan Sri Siti Norma Yaakob, berjaya meletakkan dirinya sebagai hakim wanita pertama, sama seperti kejayaan Tan Sri Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara wanita pertama.Begitu juga pencapaian, pakar astrofizik wanita pertama di Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman.

Dalam bidang sukan, Datuk Nicol Ann David membuktikan kehebatan wanita Malaysia untuk menguasai sukan skuasy dunia.

Bukan setakat pernah menempah nama sebagai juara dunia, tetapi beliau berjaya mempertahankan kejuaraan sejak beberapa tahun sekali gus menjadikan Malaysia sangat dihormati di dalam sukan itu.

Anak kelahiran Sarawak, Pandelela Rinong Pamg pula berjaya muncul sebagai atlet wanita pertama Malaysia menyumbang pingat Sukan Olimpik. Pingat gangsa itu diperolehi melalui acara terjun pada temasya Olimpik London 2012.

Itu antaranya. Banyak lagi sumbangan wanita dalam bidang lain yang menjadi kebanggaan rakyat dan diiktiraf kerajaan, termasuk bidang sosial, politik dan seni.

Sememangnya, sumbangan wanita diiktiraf peringkat global. Justeru tarikh 8 Mac setiap tahun ditetapkan sebagai sambutan Hari Wanita Sedunia. Sambutan pertama pada 8 Mac 1975 ekoran penerimaan satu resolusi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk kesemua negara anggota menganjurkan "United Nations Day for Women's Right and International Peace"

Matlamat sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu-isu wanita sejagat serta peranan semua pihak dalam menghapuskan diskriminasi gender agar pembangunan potensi wanita dapat dipertingkatkan.

Maka setiap tahun, pihak PBB akan menetapkan tema bagi sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa dan lazimnya ini disusuli dengan pernyataan khas oleh Setiausaha Agung PBB mengenai isu-isu wanita berkaitan. Tema bagi tahun 2013 adalah "The Gender Agenda : Gaining Momentum"

Dan tema ini adalah selaras dengan visi KPWKM yang mahu menjadi peneraju utama bagi mencapai kesaksamaan gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang dan sejahtera sebagai asas pembentukan sebuah negara yang gemilang.

Sehubungan dengan sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa, program yang dirancang oleh KPWKM pada tahun ini adalah "1 Million Women Purple Walk 2013" yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya esok.

Program yang diadakan serentak di seluruh negara itu bertujuan meraikan kejayaan wanita dalam pelbagai bidang dan sebagai tanda penghargaan atas inisiatif kerajaan terhadap golongan tersebut.

Dalam pada itu Najib turut melancarkan 1Malaysia Komuniti Perwani yang merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 8. Melalui inisiatif 1Malaysia Komuniti Perwani, KPWKM perlu melaksanakan sasaran mewujudkan 100,000 kumpulan jaringan wanita Perwani di seluruh Malaysia. Perwani akan diwujudkan di sesebuah kawasan komuniti dengan ahli yang terdiri daripada 10 hingga 20 orang wanita bagi setiap kumpulan.

Antara matlamat penubuhannya adalah sebagai agen transformasi wanita di peringkat komuniti.

Komuniti Perwani ini akan memberi maklumat dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hala tuju kerajaan untuk membentuk sebuah negara progresif tanpa mengabaikan kepentingan dan sumbangan wanita di peringkat komuniti.

Perwani juga merancang dan melaksanakan program-program transformasi komuniti seperti program pembangunan kapasiti dan pembangunan masyarakat di kawasan komuniti.

Dalam pada itu, ia turut membantu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Persatuan Penduduk dan Unit Amanita* meningkatkan keselamatan kejiranan di kawasan komuniti; dan memberi penerangan kepada masyarakat setempat mengenai inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

* Unit Khas Wanita yang ditubuhkan oleh PDRM bagi mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.

Di Sebalik Kehebatan Penciptaan Lebah


Oleh :  Ahmad Yani Abd. Manaf

Mungkin kita sering mendengar daripada penceramah, misalnya semasa pengajian, bahawa perilaku lebah madu memberikan falsafah yang baik dalam membentuk akhlak manusia. Yang sering diungkap adalah tiga hal, iaitu  lebah memberikan madu yang baik, dengan cara yang baik iaitu tidak merosakkan bunga, malah membantu proses pendebungaan, dan lebah hanya memakan makanan yang baik-baik sahaja (sari bunga). Tetapi ada hal lain daripada  lebah ini yang menarik dan memberikan pelajaran berharga bagi manusia.

Antaranya, lebah madu hidup berkumpulan dan mengeluarkan salah satu makanan paling sempurna di dunia, iaitu madu. Mereka menyimpan madu dalam sarang (kantung) yang mereka buat dalam bentuk segi enam. Pernahkah kita terfikir, mengapa lebah membuat kantung madu dalam bentuk segi enam? Para ahli matematik mencari jawapan atas persoalan ini, clan setelah melakukan penghitungan yang panjang ditemu­kanlah jawapan yang menarik.

Rahsia Kantung Segi Enam

Kesimpulan mereka, cara terbaik untuk membangun gudang simpanan dengan kapasiti terbesar adalah dengan membuat dinding berbentuk segi enam. Andaikan lebah membuat sarang penyimpan tersebut dalam bentuk silinder atau seperti prisma segi tiga, maka akan terbentuk 'gap' [celah] antara kantung yang satu dengan yang lain, dan lebih se­dikit madu tersimpan di dalamnya.


Walaupun kantung madu yang berbentuk segi tiga atau persegi biasa sahaja tentu tidak menimbulkan celah, tetapi di sini ahli matematik menyedari satu hal terpenting. Daripada semua bentuk geometri tersebut yang mempunyai sisi luar paling kecil adalah segi enam. Kerana alasan inilah walaupun bentuk ini menutup kawasan yang sama, material yang diperlukan (segi enam)  lebih sedikit dibandingkan dengan bentuk segi yang lain atau segi tiga. Tegasnya suatu  kantung segi enam adalah bentuk terbaik untuk mendapatkan kapasiti penyimpanan terbesar dengan bahan binaan daripada  lilin  dalam jumlah yang minimum.

Membangun sarang daripada  blok  yang berbeza

Hal lain yang mengagumkan daripada lebah madu adalah kerjasama antara mereka dalam membuat kantung­ kantung madu ini. Apabila seseorang mengamati rumah lebah yang telah sempurna, mungkin dia berfikir bahawa rumah tersebut dibuat dengan cara melakukan bermula daripada satu arah atau satu blok. Padahal sebenarnya lebah-lebah mulai membuat rumahnya daripada arah atau blok yang berbeza-beza. Ratusan lebah membangun rumahnya dari tiga atau empat titik permulaan yang ber­beza. Mereka meneruskan penyusunan binaan tersebut sehinggalah bertemu di tengah-tengah. Setelah selesai, tidak nampak wujudnya ketidakserasian ataupun tompok-tompok yang tidak selaras pada sarang tersebut. Manusia tentu tidak mampu membuat perancangan yang sempurna ini tanpa perhitungan geometri yang rumit. Tetapi lebah dapat melakukannya dengan mudah.

Lebah juga cermat menyamakan besar sudut antara satu rongga dengan yang lainnya. Suatu rongga dengan rongga di belakangnya didirikan dengan kecondongan 13 darjah dari permukaan rata. Kecondongan ini mencegah madu daripada mengalir keluar atau tumpah. Di belahan bumi mana pun kita pergi, kita akan menemukan kejayaan lebah  mengaplikasikan lakaran arkitek yang luar biasa ini dengan sempurna. Mereka juga berjaya melakukannya pada baha­gian-bahagian sarang yang paling dalam dan dalam keadaan gelap-gelita apabila sinar matahari tidak dapat memasuki sa­rang yang sedang dibina tersebut.

Adalah fakta yang sangat menarik di sini, lebah madu menunjukkan sifat yang luar biasa ini sejak mereka lahir lagi. Anak lebah tidak memerlukan masa untuk belajar atau mengamati struktur dan kecondongan kantung-kantung madu mereka. Sejak pertama kali membu­ka mata, mereka telah memiliki kemam­puan untuk melakukan tugas seumpama ini. Lalu siapakah yang mengajarkan lebah-lebah ini tentang seni dan reka bentuk sarang yang unik ini?

Jawapan kepada pertanyaan ini boleh kita jumpai di dalam Al-Quran. Allah mengungkapkan rahsia kemampuan yang dimiliki lebah madu sebagai berikut:

"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat tempat yang dibuat oleh manusia" [Surah An-Nahl, ayat:68]

Rahsia perilaku luar biasa daripada  lebah tersebut merupakan ilham atau wahyu yang diberikan oleh Allah kepada lebah. Dan hal itu berlaku kepada semua makhluk hidup, tidak hanya pada lebah.

Kandungan Madu Lebah

Sejak jutaan tahun yang lalu, lebah telah menghasilkan madu sepuluh kali lebih banyak daripada yang mereka perlukan. Satu-satunya alasan menga­pa binatang yang melakukan segala perbuatan dengan penuh cermat dan teliti ini mengeluarkan madu secara berlebi­han, adalah agar manusia dapat memperoleh manfaat daripada madu yang mengandungi ‘ubat bagi manusia' tersebut. Allah menyatakan tugas lebah ini dalam al-Quran:

"Daripada perut lebah itu keluar minuman [madu yang bermacam - macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar - benar terdapat tanda [kebesaran Tuhan] bagi orang-orang yang memikirkan."  [Surah An-Nahl, ayat: 69]

Tahukah kita tentang manfaat madu sebagai salah satu sumber makanan yang Allah sediakan untuk manusia melalui serangga yang kecil ini? Madu terbentuk daripada beberapa molekul gula seperti glukosa dan fruktosa serta bahan mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium, klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandungi vitamin BI, B2, C, B6 dan B3 yang kandungannya berubah ubah mengikut kualiti madu bunga dan serbuk sari yang dihirup oleh lebah. Di samping itu di dalam madu terdapat pula tembaga, sodium dan zink dalam jumlah yang kecil, juga beberapa jenis hormon.

Madu Sebagai Ubat

Sebagaimana firman Allah SWT, madu adalah ‘ubat yang menyembuhkan bagi manusia'. Fakta ilmiah ini telah dibenarkan oleh para ilmuwan yang bertemu  dalam Persidangan Apikultur Sedunia [World Apiculture Conference] yang diadakan pada tanggal 20-26 September 1993 di China. Dalam persidangan tersebut dibincangkan pengubatan dengan menggunakan ramuan yang berasal daripada madu. Para ilmuwan Amerika mengatakan bahawa madu, royal jelly, serbuk sari dan propolis [getah lebah] dapat mengubati pelbagai penyakit.  Seorang doktor yang berasal dari Belanda mengatakan bahawa dia telah menggunakan madu untuk mengubati pesakit katarak, dan 2002 dari 2094 pasakitnya dapat dipulihkan. Manakala seorang doktor yang berasal dari negara Poland juga mengatakan dalam persidangan tersebut bahawa getah lebah [bee resin] dapat membantu menyembuhkan banyak penyakit seperti  buasir, penyakit kulit, dan pelbagai penyakit lainnya.

Demikianlah kemajuan teknologi berjaya menemukan pelbagai kebesaran yang telah Allah SWT firmankan  lebih 1400 tahun lalu di dalam al-Quran. Sesungguhnya terlalu banyak ilmu yang diwahyukan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran telah dibuktikan kebenarannya oleh sains pada hari ini. (Sumber : Filem Dokumentari Architech in Nature)

Sumber : Majalah i, Disember 2008