Oleh : Profesor Dr. Teo Kok Seong
Tenaga pendidik negara asal
bahasa Inggeris lebih efektif
Cadangan untuk mengambil guru
Bahasa Inggeris dari India, bagi mengatasi kemerosotan berbahasa Inggeris dalam
kalangan pelajar kita, tidak dapat dinafikan adalah hasrat murni. Bagaimanapun,
ia perlu diteliti sehemat yang mungkin sebelum dilaksanakan.
Meskipun bahasa Inggeris adalah
bahasa rasmi bersama di India sejak 1967, dan berjaya mengekalkan kedudukannya
sebagai bahasa penting dalam sistem perundangan, pentadbiran kerajaan,
pendidikan menengah dan pengajian tinggi, angkatan tentera, media, perdagangan
dan lain-lain lagi, ia adalah bahasa pinjaman yang dikenakan kepada rakyat
India melalui proses penjajahan.
Bukan bahasa peribumi
Justeru, peminjaman bahasa
Inggeris yang kini dituturkan sepertiga penduduk India adalah bukan bahasa
peribumi. Dengan ini, akar umbinya berada di tempat lain, iaitu Great Britain
atau United Kingdom. Sehubungan ini, United Kingdom bersama-sama dengan
Ireland, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand adalah tapak
tradisional bahasa Inggeris.
India dan lain-lain, seperti
Singapura hanya tempat tersebar dan bertapaknya bahasa Inggeris secara dominan
melalui penjajahan British. Ini berlaku apabila bahasa Inggeris terus didukung
dalam pelbagai institusi kebangsaan negara ini, walaupun sudah terlepas daripada
belenggu penjajah.
Bahasa Inggeris tetap penting
Malaysia walaupun dijajah oleh
British, tidak menggunakan bahasa Inggeris secara dominan dalam institusi
kebangsaannya selepas memperoleh kemerdekaan. Sebaliknya kita memilih bahasa
Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung kedua-dua fungsi sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi. Dengan ini, bahasa Melayu adalah asas kemerdekaan
kita. Walaupun begitu, kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting,
tidak pernah dipandang enteng dan ia adalah bahasa utama kedua di negara ini.
Dalam konteks memperoleh bantuan
untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Inggeris bagi anak bangsa, kita perlu
mendapat tenaga pendidik dan yang berkaitan lain dengan pendidikan bahasa
Inggeris, dari negara yang merupakan tapak tradisional di mana bahasa Inggeris
adalah bahasa perdana di sana. Oleh itu, India bukan tempatnya.
Tindakan kita mendapat khidmat
dari Amerika Syarikat melalui Program Sarjana Fullbright dalam bentuk guru
pakar dan pembantu yang adalah penutur jati bahasa Inggeris, adalah langkah
betul. Cadangan untuk menghidupkan semula Program Peace Corps yang popular pada
1960-an, agar sukarelawan Amerika Syarikat dapat ditempatkan di Malaysia, untuk
antaranya mengajar bahasa Inggeris, adalah juga jalan yang baik.
Walaupun penjajah British yang
berjaya menyebarkan bahasa Inggeris pada akhir abad ke-19, Amerika Syarikat
sebagai kuasa ekonomi besar pada abad ke-20 bertanggungjawab meletakkan bahasa
Inggeris pada tempatnya sekarang sebagai bahasa dunia terpenting.
Ragam bahasa Inggeris India
Dengan status sebagai bahasa
dunia, bahasa Inggeris kini terdiri daripada beberapa ragam yang distingtif,
yang kadangkala boleh menimbulkan masalah kefahaman, sekalipun dengan ragam
Amerika dan British yang boleh dikira sudah mantap. Dalam hal ini, bahasa Inggeris
India meskipun ragam standardnya, adalah satu lagi ragam yang tidak dapat
dinafikan banyak dipengaruhi budaya setempat dengan pelbagai aspek peradaban di
seluruh benua itu, selain pelbagai ciri kenahuan unik.
Dengan ini, bahasa Inggeris yang
diajar itu akan dipelajari bersama-sama dengan pengetahuan dan budi India yang
tersemat padanya. Ini tidak dapat dielakkan kerana bahasa dan budaya itu
berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.
Begitu jugalah dengan bantuan
yang diterima dari Amerika Syarikat. Sehubungan ini, ia perlu disaring agar
bahasa Inggeris yang diajar itu tidak sekali-kali mengandungi pengalaman,
pandangan hidup, moral, etika dan pemikiran barat, yang bertentangan dengan
pegangan hidup kita.
Oleh itu, dalam mempelajari
bahasa Inggeris, khususnya yang diajar pihak luar, kita perlu berwaspada agar
warisan dan jati diri kita senantiasa terpelihara utuh. Sesungguhnya bahasa itu
mempunyai kuasa yang boleh mengubah pemikiran dan tingkah laku kita. Oleh itu,
kita tidak boleh cuai dalam hal ini, walaupun bahasa itu hanya alat komunikasi,
ia sebenarnya ikut memupuk nilai dan tradisi sesuatu bangsa.
Penulis ialah Profesor
Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan