Khamis, 20 Disember 2012

ISU KESIHATAN : 98.8 peratus kantin sekolah bersih


PUTRAJAYA - Tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di negara ini semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata daripada keseluruhan jumlah kantin, sebanyak 1,576 (18.9 peratus) diberi Gred A (Cemerlang), 4,482 (53.9 peratus) Gred B (Sangat Bersih) dan 2,163 kantin (26 peratus) diberi Gred C (Bersih), manakala hanya 100 kantin (1.2 peratus) yang menerima markah di bawah 70 peratus.

Beliau berkata bagi dapur asrama sekolah pula, sebanyak 407 iaitu 20.8 peratus daripada 1,954 dapur asrama diberi  Gred A,  1,083 (55.4 peratus) diberi Gred B dan 451 (23.1 peratus) diberi Gred C, manakala hanya 13 dapur atau 0.7 peratus diberi markah di bawah 70 peratus.

"Kami mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah di bawah 70 peratus ini dan mereka ini akan diberi perhatian khusus, malah pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan.

Mana-mana kantin yang tidak ikut prosedur ini akan disita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tahun ini sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Wee berkata antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Sementara itu beliau berkata selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan mereka.

Ia termasuk dengan memaparkan jumlah kalori dalam makanan yang dijual di kantin, di sekitar kawasan sekolah, serta memaklumkan pelajar jumlah kalori yang ideal untuk mereka, katanya.

Dalam perkembangan lain Wee berkata mulai tahun depan, kementerian dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah, dalam usaha mengamalkan budaya Tandas Sekolah Bersih.

Beliau berkata selain poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas bersih, Buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah juga telah diedarkan ke semua sekolah untuk pelaksanaan mulai Jan depan. - Bernama

ISU SOSIAL : Utamakan kebersihan identiti umat Islam


Oleh : Lokman Ismail 

Islam amat mementingkan soal kebersihan dan kecantikan diri. Penampilan diri yang bersih dan cantik mencerminkan jiwa serta cara hidup seseorang. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” - (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah SAW diketahui sebagai Nabi yang amat mengambil berat soal kebersihan diri. Malah, diriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah tidur malam atau siang hari, kecuali baginda menggosok gigi terlebih dulu. Baginda juga menggosok gigi sekali lagi apabila bangun daripada tidur.

Rasulullah SAW juga sentiasa memakai haruman setiap kali keluar rumah. Haruman dipakai Baginda SAW membolehkan orang berada di sekeliling sedar kedatangan Rasulullah SAW biarpun belum melihat siapa yang datang itu. Boleh dirumuskan yang kebiasaan menghias diri adalah sebahagian daripada fitrah manusia.

Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Lima amalan daripada fitrah itu ialah mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku.”

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwattal menulis Rasulullah SAW amat mengambil berat soal penampilan diri sehingga menegur seorang lelaki yang rambut dan janggutnya dalam keadaan tidak terurus.

Kisahnya, ketika Rasulullah SAW berada di dalam masjid, masuk seorang lelaki dengan janggut yang tidak terurus dan rambut kusut. Rasulullah SAW menunjukkan isyarat tangan agar lelaki tersebut memperelokkan janggut dan rambutnya.

Lalu lelaki berkenaan beredar dan seketika kemudian masuk semula ke dalam masjid dalam keadaan janggut dan rambutnya lebih terurus berbanding sebelum itu. Melihat perubahan itu, Rasulullah SAW memuji lelaki itu dan menyatakan keadaan lelaki itu sebelum menguruskan diri diumpamakan seperti syaitan.

Selain kebersihan diri, kita juga perlu menjaga kebersihan persekitaran. Perkara ini mencerminkan identiti orang Islam yang cintakan kebersihan, membezakan dengan penganut agama lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bahawasanya Allah itu Maha Baik amat menyukai kebersihan dan kesucian, Allah itu Maha Pemurah amat menyukai sifat dermawan dan murah hati. Oleh itu, hendaklah kamu bersihkan halaman rumah kamu dan kawasan sekelilingnya dan janganlah kamu menyerupai sikap dan perangai orang Yahudi yang suka mengumpul tahi binatang di halaman rumah mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Malangnya, umat Islam sekarang tidak mengambil berat soal kebersihan. Perbuatan itu jauh sama sekali daripada ajaran Islam yang mementingkan kebersihan rohani dan jasmani. Mereka yang tidak mementingkan aspek kebersihan sebenarnya menolak janji Allah SWT yang menyediakan balasan pahala kepada hamba-Nya yang menjaga kebersihan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jagalah kebersihan dengan segala yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam atas kebersihan dan tidak masuk syurga kecuali orang yang menjaga kebersihan.” (Hadis riwayat Tabrani).

Menjaga kebersihan termasuk dalam usaha menjaga kesihatan dan menghindar penyakit. Banyak penyakit berpunca daripada diri dan persekitaran yang tidak bersih.

Individu yang lemah dan berpenyakit menghadapi masalah untuk menjalani kehidupan seharian. Untuk mengelak keadaan itu, Islam memberi fokus agar umatnya sentiasa sihat dan kuat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka itu, marilah kita mengutamakan kebersihan dan penampilan diri agar berada dalam keadaan sihat. Kita disarankan agar sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : SMART sekolah terbaik di Pahang


KUANTAN 19 Dis. - Perancangan teliti dan melatih pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib (SMART) muncul sekolah terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Pengetuanya, Bahtiar Sabusi berkata, beberapa program telah disusun sejak awal tahun ini bagi membolehkan para pelajar mengikuti pembelajaran dengan berkesan.

Menurutnya, antara aktiviti dilakukan ialah memperkenalkan kelas khas terhadap pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu, latihan tubi dan kelas tambahan pada hujung minggu.

"Kerjasama semua guru dalam memberi bimbingan dan pelajaran kepada para pelajar membuahkan hasil apabila keputusan yang dicatat amat membanggakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sekolah tersebut muncul sekolah terbaik apabila memperoleh keputusan Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP) 100 peratus dengan 126 pelajarnya memperoleh A bagi semua mata pelajaran dan memperoleh 1.10 mata bagi Gred Purata Sekolah (GPS).

Bahtiar berkata, para guru memberi komitmen tinggi dan sanggup bekerja lebih masa selepas waktu persekolahan bagi melihat para pelajar mereka mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

Tambahnya, pengorbanan yang ditunjukkan oleh para guru selain kesungguhan para pelajar mengikuti setiap program dianjurkan ternyata berbaloi kerana usaha meningkatkan kualiti pendidikan membuahkan kejayaan.

"Inilah keputusan terbaik dicatatkan sekolah ini dan berharap semua pihak terus memberikan komitmen dalam melahirkan pelajar cemerlang pada peperiksaan penting nanti," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Mempersiapkan pemimpin masa depan dunia


NELSON Mandela pernah berkata bahawa pendidikan merupakan senjata yang paling berkuasa yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia. Bagi Malaysia, kenyataan ini adalah paling sesuai untuk menerangkan keadaannya pada masa sekarang. Hal ini kerana Malaysia sedang mengalami perubahan yang besar untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi. Ia merupakan satu langkah yang akan membolehkannya menjadi lebih bersepadu dengan negara-negara lain di dunia.

Oleh sebab golongan belia merupakan generasi pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara, wujudnya satu peluang bagi Malaysia mempersiapkan generasi-generasi pada masa depan untuk menjadi insan yang berpengaruh di persada dunia, dan insan yang mampu menjadi duta negara kita.

Malaysia mempunyai populasi yang agak muda, dengan 27.7 peratus rakyat Malaysia berada di bawah 14 tahun, dan 20.2 peratus yang lain berada di antara 15 sehingga 24 tahun. Disebabkan kepentingan Malaysia dalam ekonomi global meningkat dan kemajuan teknologi mempercepatkan perkongsian maklumat, golongan belia akan mengharungi masa depan yang berbeza yang mana mereka perlu berinteraksi dengan negara-negara lain secara lazim, di samping kesan-kesan globalisasi semakin dirasai.

Peranan Institusi Pendidikan Tempatan

Dalam dua dekad yang lalu, pemain-pemain pengajian tinggi Malaysia menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan pelbagai pembekal pendidikan yang terkemuka dan meningkatkan persaingan dalam industri itu. Ini seterusnya mewujudkan peluang bagi golongan belia kita memperoleh pendedahan terhadap keadaan pendidikan di pentas antarabangsa.

Institusi-institusi tempatan juga memainkan peranan yang penting dalam menjana perubahan, serta berusaha untuk mengikuti arus perkembangan ekonomi dan persaingan dalam pendidikan. Misalnya, Kumpulan Pendidikan Sunway merintis idea program berkembar di Malaysia dan seterusnya membolehkan pelajar tempatan memperoleh ijazah daripada universiti asing dengan penjimatan yuran tuisyen yang tinggi serta kos hidup untuk beberapa tahun semasa belajar di Malaysia.

Kini, Malaysia berasa bangga dengan pelbagai program berkembarnya, bersama dengan jenama-jenama pendidikan antarabangsa seperti Curtin University of Technology, RMIT University, dan University of Birmingham.

Pembekal-pembekal pendidikan Malaysia juga menjejak kaki ke luar negara. Institusi-institusi ini memainkan peranan yang signifikan untuk mempromosikan pertukaran budaya serta pengalaman akademik, yang bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga dengan negara-negara lain. Contohnya, dalam dua dekad ini, Limkokwing yang merupakan perintis akademia teknologi kreatif telah mendirikan kampus cawangan di negara-negara seperti China, United Kingdom dan Botswana, dan seterusnya membina satu kumpulan antarabangsa di ketiga-tiga negara ini.

Menghasilkan Pusat Pendidikan Rantau

Strategi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan rantau dibina atas premis bahawa pembekal-pembekal pendidikan asing dapat membawa ijazah masing-masing ke pasaran pelajar antarabangsa yang terletak di Malaysia. Kemasukan pelajar asing yang bertalu-talu ke Malaysia membuktikan kepopularan jenama-jenama pendidikan tinggi asing di sini.

Lokasi Malaysia yang strategik, infrastruktur, tanah yang luas untuk pembangunan, kos operasi yang lebih rendah, kos hidup yang agak rendah serta populasi yang berupaya bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, merupakan pelbagai faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang menarik untuk pelaburan pendidikan.

Pelbagai pembekal pendidikan tinggi telah memilih Malaysia sebagai destinasi yang utama untuk mendirikan kampus luar negara mereka. Monash University (di Petaling Jaya), Swinburne University of Technology (di Sarawak), University of Southampton dan Newcastle University (kedua-kedua universiti ini terletak di Iskandar Malaysia) merupakan universiti-universiti utama yang telah memilih untuk mendirikan kampus di Malaysia.

Pada awal tahun ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata bahawa 25 permohonan untuk mendirikan kampus di sini telah diterima, dan menegaskan keyakinan pembekal-pembekal pendidikan antarabangsa terhadap Malaysia.

Penggerak Pendidikan

Selama ini, industri pendidikan tinggi di Malaysia bertumpu pada bidang-bidang yang khusus termasuk sains kesihatan dan kejuruteraan dengan usaha untuk menggalakkan inovasi dan membentuk pelbagai kelompok bidang untuk menjana pembangunan dan kemajuan. Pendidikan dalam pelbagai bidang ini akan melengkapkan pemimpin-pemimpin masa depan dengan kesihatan canggih, infrastruktur dan teknologi di sesebuah negara - membentuk asas sebuah negara yang maju.

Eksport pendidikan dijangka akan menjadi penggerak pertumbuhan yang utama, dengan Kementerian Pengajian Tinggi menjangkakan RM6 bilion terjana daripada bilangan 200,000 pelajar antarabangsa yang dianggarkan akan mendaftar di institusi-institusi di Malaysia pada tahun 2020.

Dalam usaha untuk terus mempertingkat industri pengajian tinggi, Malaysia wajar mendukung perspektif yang menjangkau manfaat ekonomi daripada eksport pendidikan. Ia patut berusaha untuk membentuk sebuah negara yang boleh menyuntik rasa bangga dalam hati semua rakyat Malaysia, dan sebuah negara yang akan memberi impak ke atas pemimpin-pemimpin dunia masa depan yang telah menjejak kaki ke Malaysia untuk mencari pengalaman pendidikan yang menarik.

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 1,398 calon peroleh semua A


Oleh : MOHD. FAIRUZ YUSOF

KUANTAN 19 Dis. - Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini merupakan pencapaian terbaik negeri ini dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Pahang, Hashim Mohd. Zayat berkata, pencapaian tersebut berdasarkan kepada Gred Purata Negeri (GPN) dengan mencatatkan 2.64 mata berbanding pada 2011 iaitu 2.65 mata dan 2010 (2.66)

Tambahnya, daripada 25,686 calon yang mendaftar, sebanyak 1,398 calon mendapat semua A, manakala 15,850 pula berjaya menguasai semua mata pelajaran.

"Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 0.05 peratus tahun lalu kepada 0.04 peratus tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hashim berkata, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) turut mencatatkan peningkatan kecuali Bahasa Inggeris, Sains, Bahasa Tamil dan Pendidikan Islam.

Tambahnya, prestasi Bahasa Melayu bagi gred A menunjukkan peningkatan sebanyak 1.40 peratus dari 29.32 peratus pada tahun lalu kepada 30.72 peratus tahun ini.

"Calon yang tidak menguasai mata pelajaran ini ialah 4.79 peratus bertambah baik berbanding tahun lalu iaitu 5.53 peratus turun sebanyak 0.74 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 11 daripada 22 Sekolah Rancangan Khas (SRK) di negeri ini mendapat keputusan 100 peratus berasaskan Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP) yang mana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini muncul sebagai sekolah terbaik tahun ini.

Katanya, empat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) turut mendapat keputusan MSMP 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

"Sekolah berkenaan iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah, Raub; Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan; SMS Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dan SBPI Kuantan," jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Pupusnya seni menulis surat



Oleh : Johan Jaaffar
 
Sewaktu saya belajar di Universiti Malaya pada tahun 70-an, saya sering menulis surat kepada ayah. Surat itu akan ditulis di atas kertas writing pad berwarna warni. Saya akan memulakannya dengan cara ini: “Adapun pada masa anakanda menulis surat ini anakanda berada dalam keadaan sihat dan sejahtera dan diharapkan ayahanda dan bonda serta keluarga berlebih-lebih lagi hendaknya.”

Tujuan saya menulis surat itu semata-mata untuk memberitahu bahawa saya tidak dapat pulang ke kampung sewaktu cuti penggal universiti. Ayah buta huruf. Surat dalam tulisan jawi itu akan dibacakan pada beliau. Bagi generasi hari ini, surat seumpama itu terasa janggal dan pelik. Bahasa yang digunakan terlalu formal, menyerupai bahasa istana.

Itulah adab menulis surat dan budaya berbahasa kepada orang tua. Pada zaman sebelum wujudnya sistem pesanan ringkas (SMS), emel, Facebook dan Twitter, itulah kaedah perhubungan di antara manusia. Apa yang lebih penting ialah wujudnya peraturan dan hukum hakam yang tertentu dalam melakukannya. Ia tidak boleh dibuat secara semberono kerana apa yang ditulis melambangkan akhlak dan peribadi si penulis.

Dalam budaya Melayu seni menulis surat ini cukup dihargai. Sejak sekian lama seni menyurat menjadi sebahagian daripada tradisi bangga orang Melayu. Raja-raja Melayu, ketua masyarakat, sasterawan dan seniman hingga rakyat biasa berkomunikasi dengan cara itu. Surat yang diterima itu akan ditelaah dan kemudiannya disimpan sebagai khazanah berharga. Surat-surat ini menjadi rekod peribadi yang sangat bermakna.

Teknologi komunikasi, maklumat

Dunia telah diubah oleh teknologi komunikasi dan maklumat. Sewaktu saya masuk ke universiti pada tahun 1974, rumah saya di kampung tidak ada telefon. Telefon bimbit hanya muncul 18 tahun kemudian. Sepuluh tahun yang lalu kita mengenal SMS. Hari ini manusia tidak dapat hidup tanpa telefon bimbit dan perhubungan sesama manusia mengambil dimensi yang lain. Kaedahnya bukan sahaja cepat dan ringkas tetapi juga canggih dan menarik. Anak saya di luar negara hanya perlu menulis “Ayah, tolong hantar wang” tanpa perlu memulakan mukadimah panjang seperti yang pernah saya lakukan.

Mesej yang dihantar melalui teknologi komunikasi baru ini penuh singkatan, nombor dan gambar. Ahli bahasa menjadi cemas kerana bentuk formal bahasa telah turut dicabar. Struktur komunikasi bukan formal dalam SMS dan emel kini terbawa-bawa ke dalam bahasa formal. Para guru mengadu pelajar di sekolah menulis karangan dan membuat ayat dalam bahasa bukan formal yang biasa mereka gunakan dalam berkomunikasi melalui alat komunikasi pintar. Ahli bahasa melihat kelahiran bentuk linguistik yang lebih menyerupai centaur (makhluk separuh haiwan separuh manusia dalam mitos lama) di alam maya – tidak lagi formal, mengenepikan sintaksis malah nahu. Proses sosialisasi juga telah berubah. Cara formal saya menulis surat tidak lagi relevan.

Dunia percintaan juga mengambil bentuk baru dalam alam siber ini. Surat-surat buat kekasih yang satu masa dahulu sebahagian daripada tradisi menyurat yang indah dan unik juga sudah berkubur. Satu waktu dahulu orang berkenalan di kolum ‘Kembang Setaman’ dan ‘Sahabat Pena’ di akhbar dan majalah lalu menulis surat sesama mereka. Entah berapa banyak perkahwinan berakibat daripada ruangan sedemikian. Cinta melalui surat kini menjadi cinta siber.

Pupus satu tradisi cerdik, indah

Pada hari ini segala-galanya diringkaskan. Manusia hidup dengan simbol, imej dan icon. Maka pupuslah satu tradisi cerdik dan indah yang menghubungkan sesama manusia. Surat-surat ini bukti kebijaksanaan manusia menggunakan bahasa yang indah dan berkualiti tinggi. Bayangkan surat-surat karyawan besar dunia yang menampakkan bukan sahaja percikan genius mereka tetapi juga ketekunan mengarang dan penggunaan bahasa yang indah. Banyak daripada sasterawan besar dunia yang dikenal bukan sahaja melalui karya-karya mereka tetapi juga surat-surat yang mereka tulis.

Terlalu banyak surat menyurat di antara karyawan besar kita sendiri yang nampaknya akan tinggal dalam koleksi peribadi atau tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Banyak lagi koleksi surat peribadi pemimpin Melayu yang mungkin terdapat di Arkib Negara Malaysia. Entah sekian ribu surat-surat peribadi yang merakamkan rasa cinta, kecewa, marah, gembira dan ceria sasterawan Melayu yang akan ditemui lagi.

Sasterawan muda hari merakamkan perasaan mereka melalui SMS, Facebook, blog, emel dan lain-lain juga.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan baru-baru ini menerbitkan koleksi Menyurat Kepada Sahabat yang memuatkan surat-surat peribadi beliau dari tahun 1975 hingga 2002. Saya berharap Anwar masih lagi menulis surat kepada sahabat-sahabatnya sampai ke hari ini. 

Sumber : http : //www.bharian.com.my/