DR. JESSICA ONG
HAI LIAW
TIBANYA bulan Jun
ini, kita akan menyambut Hari Bapa setelah kita menyambut Hari Ibu pada bulan
Mei. Hari Bapa tahun ini ialah pada 17 Jun, iaitu jatuh pada hari yang sama
dengan Hari Israk Mikraj. Selari dengan tagline Hari Belia,"Jadikan hari
esok lebih baik dari hari ini" yang baru lepas, maka kita mengharapkan
sesuatu yang lebih baik dilakukan oleh kaum bapa kepada keluarganya sebagaimana
harapan kita sebelum ini terhadap peranan belia kepada keamanan negara.
Mengapa Hari Bapa
kurang diberi keutamaan berbanding dengan Hari Ibu? Kita harus duduk merenung
sejenak memikirkan peranan bapa yang sama pentingnya dengan peranan ibu, kerana
bapalah nakhoda kapal dan penentu keharmoniaan dan kebahagiaan keluarga. Ayah,
abah, papa, babah, dad, father, loutau (bahasa kantonis) malah apa panggilan
sekalipun perlu kita dengar suara hati mereka.
Kalau ibu kita
panggil Ratu Hati maka bapa tentu kita sematkan gelarannya sebagai Raja Hati.
Peranan bapa pada hari ini berbeza dengan dulu kerana menggalas tanggungjawab
yang lebih berat apabila ibu-ibu juga bekerja mencari rezeki. Kesepakatan bapa
dan ibu amat perlu demi memastikan kapal dapat berlabuh dengan tenang dan
harmoni di pelabuhannya.
Kos dan taraf
hidup yang tinggi pada hari ini menuntut bapa di luar sana mencari rezeki siang
dan malam demi menaikkan taraf ekonomi dan menjamin hidup keluarga masing-masing.
Bapa perlu memberikan anak-anak kehidupan yang terbaik. Rumah yang besar,
makanan yang baik, pakaian yang cantik dan semuanya yang terbaik dalam bentuk
material. Betulkah itu yang anak-anak kita mahukan?
Adakah remaja di
luar sana setuju tentang bentuk material yang diperlukan atau perhatian dan
kasih sayang? Limpahan kasih sayang dan perhatian amat penting untuk santapan
jiwa anak-anak kita.
Saya berminat
berbincang tentang suara hati ayah sempena Hari Bapa, maka saya juruskan kepada
luahan isi hati mereka. Suara hati anak-anak akan saya kongsi pada lain
lembaran.
Tiga suara hati
akan saya kongsikan bersama anda. Remaja di luar sana, saya ingin anda
mendengar seruan dan rintihan ayah-ayah yang tidak tahu apa yang sepatutnya
mereka lakukan untuk membahagiakan anak-anak.
Seorang ayah yang
bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah memberitahu "Saya tak mahu
anak saya dipandang rendah oleh kawan-kawannya, saya akan belikan baju-baju
berjenama dan yang penting anak-anak saya gembira. Memang saya penat tapi
berbaloi tengok senyuman anak-anak dengan hadiah yang saya beli. Kalau saya tak
belikan, anak saya kata dia akan lari dari rumah, tunjuk tanda protes".
Protes? Adakah
itu sikap anak-anak kita yang dipengaruhi oleh media massa untuk lari dari
rumah? Adakah wang mengaburi remaja hari ini dan wang adalah segala-galanya?
Hati saya terusik
dan terharu apabila terbaca berita kematian anak doktor pakar, Dr. Ko Chung
Beng iaitu Steven Ko Yiu Hing pada 24 Mei 2012. Apabila saya memandang wajah
mendiang di surat khabar, saya membayangkan Steven seorang yang ceria, baik dan
bijak kerana mendiang adalah bakal doktor yang sedang menuntut di Penang
Medical Centre.
Mengapa Steven
sanggup terjun dari sebuah bangunan plaza di Pulau Pinang? Kisah cinta segi
tiga sahabat baik yang belajar bersama-sama di luar negara dua tahun lepas.
Cinta yang tidak melibatkan pergaduhan tetapi Steven menarik diri daripada
percintaan tiga segi dan memberitahu teman wanitanya bahawa dia sanggup
mengundur diri dan tidak mahu menyusahkan gadis itu membuat pilihan kembali
kepada bekas teman lelaki yang juga merupakan kawan baik Steven.
Steven sempat
menghantar SMS kepada teman wanitanya dengan berharap dia dapat menonton filem
Casablanca dan memahami segalanya.
Bolehkah kita melihat
seorang anak yang terlalu baik dan memiliki segalanya tetapi sunyi dan tidak
cukup sokongan moral daripada keluarganya? Petikan daripada akhbar tempatan
yang menyampaikan suara hati Dr. Chung Beng yang beliau benar-benar kesal
kerana tidak bersama-sama anaknya mengharungi saat-saat gangguan emosi, dilema
dan putus harap dalam percintaan.
Dr. Chung Beng
menyeru semua ibu bapa jangan terlalu menyuguhkan material kerana apabila
berlakunya situasi penolakan maka mungkin si anak tidak dapat menerima kekecewaan.
Meluangkan masa bersama anak-anak amat penting kerana wang tidak dapat membeli
segalanya dan ia bukanlah segalanya. Saya tidak nafikan pentingnya wang dan
material pada hari ini tapi kadang-kadang kita lupa dan alpa dengan tugas
harian mengejar kejayaan kita.
Mungkinkah
pengaruh filem boleh melayangkan nyawa anak itu atau puncanya adalah kurang
perhatian daripada ibu bapa? Pengaruh media massa pada hari ini begitu kuat
sehingga menyebabkan remaja pada hari ini sanggup bunuh diri seperti dalam
drama Korea dan sanggup melarikan diri dari rumah?
Sebelum itu,
Steven sempat meminta teman wanitanya menonton filem Casablanca untuk memahami
tindakannya. Pada tahun 2003, kita pernah dikejutkan dengan peristiwa seorang
ayah yang menemui anak lelakinya membunuh diri di dalam bilik dan skrin
komputernya tertera cara terperinci bagaimana membunuh diri yang dimuat turun dan ditiru.
Bagaimana kita
dapat menghalang remaja pada hari ini daripada melayari internet dan terpengaruh dengan
gejala sosial?
Suara hati ayah
yang ketiga melahirkan kesyukuran dengan apa yang dikecapinya pada hari ini,
Walaupun beliau bukan golongan berada tetapi beliau cuba memberi apa yang
seadanya kepada anak-anak dan mengelak daripada berlebih-lebihan. Apa yang
penting bagi beliau ialah menghadiahkan ilmu yang penuh di dada dan pahatkan
tiang agama yang kukuh supaya anak-anak beliau dapat mencari erti kehidupan dan
nilai-nilai kemanusiaan apabila dewasa kelak.
Bajailah dengan
kasih sayang dan sentiasa mendoakan anak-anak beroleh kesejahteraan dan
kebahagiaan. Itu sahaja harapan beliau kerana beliau tidak berharta dan hanya
mampu memberikan ilmu serta didikan agama.
Marilah,
ayah-ayah di luar sana, kita berhijrah sempena Israk Mikraj dan Hari Bapa. Kita
menjadikan diri kita ikon terbaik kepada anak-anak kita seperti bak kata
pepatah "Bapa borek anak rintik" dan kenapa kita tak kata "Ibu
borek anak rintik". Fikirkan bersama. Salam 1Hati.
Penulis ialah
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/