Baru-baru ini, Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan Kumpulan Puisi Terpilih Baha
Zain dalam dua edisi, iaitu edisi khas dan edisi umum untuk pasaran terbuka.
Edisi khas yang lebih eksklusif bernombor siri 1-100, bermeterai ‘Karya Baha
Zain’ serta ditandatangani penyairnya, dijual RM250 senaskhah. Khabarnya semua
100 naskhah edisi khas itu sudah habis terjual.
Baha Zain atau Baharudin Zainal
ialah Sasterawan Negara ke-12 dan puisi adalah genre kekuatannya sebagai
penulis kreatif. Edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain diterbitkan oleh
ITBM sebagai tanda penghargaan kepada seorang Sasterawan Negara yang baru,
melalui penerbitan yang eksklusif dan kreatif untuk dimiliki oleh pengumpul
buku.
Kemasan Kumpulan Puisi Terpilih
Baha Zain amat cantik, mengimbangi kualiti sajak-sajak di dalamnya.
Beruntunglah 100 pembeli yang telah memiliki edisi khas ini, sementara yang
tidak memilikinya hanya boleh berpuas hati membeli edisi pasaran umum tanpa
nombor siri, tanpa meterai dan tanpa autograf penyairnya.
Akan tetapi kegiatan mengumpul
buku bukan saja didorong oleh kemasannya yang cantik, malah yang lebih penting
kerana kualiti kandungan serta nilai sejarahnya. Semakin lama, nilai buku
koleksi akan meningkat. Tidak mustahil dalam tempoh satu dekad atau lima dekad
yang akan datang, harga edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain akan
berlipat ganda dan dicari oleh pengumpul buku generasi baru.
Bernilai sejarah
Pengumpul buku sentiasa mencari
buku yang bernilai sejarah, umpamanya penerbitan incunabulum iaitu buku amat
nadir yang dicetak sebelum 1501, atau buku cetakan pertama, atau buku dalam
bidang tertentu yang jumlah cetakannya kecil atau yang dapat memenuhi minat
pengumpulnya. Minat pengumpul ini termasuklah bagi buku almagest iaitu buku
zaman pertengahan mengenai astronomi dan kimia; bestiary iaitu buku cerita
binatang dari zaman pertengahan, leksikon atau kamus dan sebagainya.
Usaha mengumpul buku tertentu
belum menjadi tradisi di negara kita. Memang ada beberapa individu yang
mempunyai koleksi buku yang menarik, tetapi pada umumnya masyarakat kita kurang
cenderung kepada tradisi ini. Hal ini agak diburukkan lagi sekarang, apabila
teknologi komunikasi digital berkembang dengan begitu pantas hingga makin
mengubah gaya hidup cara seseorang mendapatkan maklumat dan ‘membaca’.
Suasananya agak berbeza di Barat.
Era penjajahan kuasa Barat sejak abad ke-16 telah menyaksikan mereka turut
mengumpulkan kitab dan buku dari negara yang dijajah. Banyak manuskrip dan buku
nadir kita, kini tersimpan dengan baik di beberapa perpustakaan di negara
Eropah seperti England, Belanda, Jerman dan Perancis.
Majalah enam dekad
Tradisi itu kemudian berkembang
dalam masyarakat modennya. Tidaklah menghairankan kita jika terdapat majalah di
England berjudul The Book Collector. Majalah ini mula diterbitkan pada 1952,
diusahakan oleh editornya Ian Fleming, John Hayward dan PH Muir, diterbitkan
oleh Queen Anne Press.
Kini majalah berusia enam dekad
itu diteruskan penerbitannya oleh The Collectors Limited.
Kandungannya yang informatif
mengenai buku nadir dan buku tertentu menjadi panduan kepada pengumpul buku,
penjual buku dan pustakawan untuk memilih buku yang diperlukan.
Usaha ulung ITBM menerbitkan
edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain itu di dalam jargon pemasaran
bahasa Inggerisnya disebut Manufactured Collectable atau Contemporary
Collectable. Di bawah kategori ini, sesuatu barangan atau produk diterbitkan
khusus untuk pembeli mengumpulkannya. Ia boleh dilabel sebagai edisi khas,
edisi terhad serta variasinya seperti edisi mewah, dan edisi untuk pengumpul.
Penerbitan edisi khas salah satu
strategi insentif pemasaran, lebih-lebih lagi dalam situasi persaingan sengit
pasaran buku masa kini di antara buku popular dengan buku yang lebih serius.
Penerbitan buku tidak memberi
apa-apa makna jika tidak dibeli, dibaca dan diterapkan pengetahuannya bagi
pembangunan sesuatu tamadun. Dalam hal ini kita harus mencontohi zaman
kegemilangan Islam yang digerakkan atas landasan ilmu pengetahuan, hingga Islam
tersebar dengan meluas di muka bumi ini. Kemudian kuasa Barat belajar daripada
tradisi Islam ini dan meneruskannya.
Penulis ialah Sasterawan
Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
Sumber : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan