Khamis, 1 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Peluang lanjut pengajian martabatkan profesion keguruan


DEWASA ini terdapat banyak peluang dan ruang untuk guru-guru kita melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Peluang ini seharusnya digunakan oleh guru yang terbabit tanpa menoleh ke belakang lagi.

Hal yang demikian kerana terdapat banyak kemudahan dan insentif bagi guru terbabit untuk menggapai cita-cita tersebut.

Cara untuk membayar yuran kolej dan pengajian telah menjadi begitu mudah dan toleran mengikut tempoh yang ditetapkan.

Perundingan dan perbincangan untuk ke arah berkenaan menjadi teras pengajian ini berjalan lancar walaupun ada segelintir guru terbabit mengalami masalah kewangan, penjagaan anak, suami atau isteri yang berjauhan.

Menuntut ilmu hukumnya wajib. Guru-guru yang masih berkhidmat dan layak untuk menyambung pelajaran ini sebenarnya adalah kumpulan guru yang bertuah.

Mereka dapat menghabiskan tempoh pengajian dan dapat menikmati hasil peningkatan kelayakan mereka pada ketika mereka masih berkhidmat lagi.

Tentu mereka akan diangkat ke tahap yang lebih tinggi atau naik pangkat berpandukan kelayakan dan kebolehan mereka.

Lambat laun mereka akan memperoleh banyak lagi kemudahan hasil usaha penambahbaikan dasar-dasar kerajaan yang sentiasa mengangkat darjat para penjawat awam seperti guru.

Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Apa sahaja yang ingin kita peroleh memerlukan usaha dan pengorbanan yang berterusan.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga perkara ini amat dirasakan.

Meninggalkan anak, suami atau isteri mewujudkan sedikit ketidakselesaan kepada mereka dalam sepanjang tempoh kuliah itu berlangsung semenangnya menjadi kebiasaan.

Berkat kesabaran kedua-dua belah pihak, guru yang terbabit dapat menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah yang diidam-idamkan. Tahniah para guru dan rakan-rakan yang memperoleh kejayaan ini.

Memang benarlah kata-kata bijaksana hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih.

Dengan niat yang telah ada hendak menyambung pelajaran, usaha keras para guru dan doa yang khusyuk lambat laun apa yang kalian perjuangkan akan berhasil.

Ini sunnatullah, hukum Tuhan. Bak kata pepatah Arab Man Jadda, Wajada - Sesiapa yang bersungguh-sungguh, dia berjaya.

Bagi sekelumit guru yang tidak berpeluang dan ruang untuk sama-sama merebut kemudahan dan keistimewaan tetapi berkeinginan, itu semenangnya terasa sedikit termengkelan.

Apa yang diharapkan kini ialah kalau-kalau mereka ini dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi daripada kedudukan sekarang sejajar dengan pengalaman yang ada.

Kalau diselidiki sesetengah daripada mereka ini mempunyai kebolehan dan kemahiran yang masih bersangkutan dengan dunia pendidikan.

Didapati ada guru yang menjadi penulis, mendapat tempat di akhbar dan majalah dan telah menghasilkan buku, novel, cerpen, puisi atau lain-lain genre penulisan dalam koleksi mereka.

Selain itu ada juga antara mereka yang mendapat kemenangan dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Rekod yang baik dan penampilan yang berkesan juga wajar diperhatikan.

Ada juga antara mereka yang memiliki kursus lanjutan dengan pengkhususan tertentu contohnya selama setahun di institut pendidikan,  wajar juga diambil kira untuk kenaikan pangkat.

Kalau tidak golongan ini akan hanya melihat seorang demi seorang  rakan mereka meniti anak tangga demi anak tangga. Bohong kalau dikatakan golongan ini tidak berhasrat untuk menggapai jawatan nombor satu di sekolah pada ketika ini.

Yang bersinar bukan semuanya bercahaya. Kelulusan penting tetapi pengalaman juga tidak wajar ditolak sama sekali.


ABDULLAH ABDUL RAHMAN

SK Serting 3 (Felda), Negeri Sembilan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Usaha kumpul buku patut jadi tradisi masyarakat


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Baru-baru ini, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain dalam dua edisi, iaitu edisi khas dan edisi umum untuk pasaran terbuka. Edisi khas yang lebih eksklusif bernombor siri 1-100, bermeterai ‘Karya Baha Zain’ serta ditandatangani penyairnya, dijual RM250 senaskhah. Khabarnya semua 100 naskhah edisi khas itu sudah habis terjual.

Baha Zain atau Baharudin Zainal ialah Sasterawan Negara ke-12 dan puisi adalah genre kekuatannya sebagai penulis kreatif. Edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain diterbitkan oleh ITBM sebagai tanda penghargaan kepada seorang Sasterawan Negara yang baru, melalui penerbitan yang eksklusif dan kreatif untuk dimiliki oleh pengumpul buku.

Kemasan Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain amat cantik, mengimbangi kualiti sajak-sajak di dalamnya. Beruntunglah 100 pembeli yang telah memiliki edisi khas ini, sementara yang tidak memilikinya hanya boleh berpuas hati membeli edisi pasaran umum tanpa nombor siri, tanpa meterai dan tanpa autograf penyairnya.

Akan tetapi kegiatan mengumpul buku bukan saja didorong oleh kemasannya yang cantik, malah yang lebih penting kerana kualiti kandungan serta nilai sejarahnya. Semakin lama, nilai buku koleksi akan meningkat. Tidak mustahil dalam tempoh satu dekad atau lima dekad yang akan datang, harga edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain akan berlipat ganda dan dicari oleh pengumpul buku generasi baru.

Bernilai sejarah

Pengumpul buku sentiasa mencari buku yang bernilai sejarah, umpamanya penerbitan incunabulum iaitu buku amat nadir yang dicetak sebelum 1501, atau buku cetakan pertama, atau buku dalam bidang tertentu yang jumlah cetakannya kecil atau yang dapat memenuhi minat pengumpulnya. Minat pengumpul ini termasuklah bagi buku almagest iaitu buku zaman pertengahan mengenai astronomi dan kimia; bestiary iaitu buku cerita binatang dari zaman pertengahan, leksikon atau kamus dan sebagainya.

Usaha mengumpul buku tertentu belum menjadi tradisi di negara kita. Memang ada beberapa individu yang mempunyai koleksi buku yang menarik, tetapi pada umumnya masyarakat kita kurang cenderung kepada tradisi ini. Hal ini agak diburukkan lagi sekarang, apabila teknologi komunikasi digital berkembang dengan begitu pantas hingga makin mengubah gaya hidup cara seseorang mendapatkan maklumat dan ‘membaca’.

Suasananya agak berbeza di Barat. Era penjajahan kuasa Barat sejak abad ke-16 telah menyaksikan mereka turut mengumpulkan kitab dan buku dari negara yang dijajah. Banyak manuskrip dan buku nadir kita, kini tersimpan dengan baik di beberapa perpustakaan di negara Eropah seperti England, Belanda, Jerman dan Perancis.

Majalah enam dekad

Tradisi itu kemudian berkembang dalam masyarakat modennya. Tidaklah menghairankan kita jika terdapat majalah di England berjudul The Book Collector. Majalah ini mula diterbitkan pada 1952, diusahakan oleh editornya Ian Fleming, John Hayward dan PH Muir, diterbitkan oleh Queen Anne Press.

Kini majalah berusia enam dekad itu diteruskan penerbitannya oleh The Collectors Limited.

Kandungannya yang informatif mengenai buku nadir dan buku tertentu menjadi panduan kepada pengumpul buku, penjual buku dan pustakawan untuk memilih buku yang diperlukan.

Usaha ulung ITBM menerbitkan edisi khas Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain itu di dalam jargon pemasaran bahasa Inggerisnya disebut Manufactured Collectable atau Contemporary Collectable. Di bawah kategori ini, sesuatu barangan atau produk diterbitkan khusus untuk pembeli mengumpulkannya. Ia boleh dilabel sebagai edisi khas, edisi terhad serta variasinya seperti edisi mewah, dan edisi untuk pengumpul.

Penerbitan edisi khas salah satu strategi insentif pemasaran, lebih-lebih lagi dalam situasi persaingan sengit pasaran buku masa kini di antara buku popular dengan buku yang lebih serius.

Penerbitan buku tidak memberi apa-apa makna jika tidak dibeli, dibaca dan diterapkan pengetahuannya bagi pembangunan sesuatu tamadun. Dalam hal ini kita harus mencontohi zaman kegemilangan Islam yang digerakkan atas landasan ilmu pengetahuan, hingga Islam tersebar dengan meluas di muka bumi ini. Kemudian kuasa Barat belajar daripada tradisi Islam ini dan meneruskannya.


Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Peringatan tentang bahayanya mercun buatan sendiri


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

MERCUN sinonim dengan perayaan kerana dikatakan tidak meriah kalau tidak mendengar bunyi dentumannya. Mercun dipercayai berasal dari negara China yang mempunyai sumbu dan dibalut dengan kelongsong kertas yang sangat tebal untuk menampung letupan besar.

Mercun adalah budaya dan tradisi orang Cina yang percaya mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baharu untuk menghalau puaka dan nasib malang.

Di Malaysia, pembakaran mercun diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991. Pengharaman mercun di Malaysia adalah susulan kejadian tragedi letupan kilang mercun Bright Sparkles, Sungai Buloh pada tahun 1991 yang mengorbankan seramai 26 orang.

Sebelum bercakap tentang mercun buatan, saya menyentuh tentang penguatkuasaan terhadap mercun ini yang terlalu longgar dan mudah lolos dengan mudah. Kes dua beranak termasuk seorang lelaki menjadikan kawasan pekarangan masjid sebagai transit untuk mengedar mercun amat dikesalkan.

Di bazar-bazar Ramadan di celah-celah peniaga menjual juadah ada juga pihak yang menyelit mengambil  kesempatan menjual mercun. Terdapat kira-kira 75 jenis mercun di pasaran dan ada pula mercun baharu dengan pelbagai nama seperti mercun aiskrim, langsuir, osama dan bunga api sate.

Rata-rata berminat dengan mercun yang menyerupai bom tangan yang dikatakan diimport dari Thailand. Sepatutnya, kita takut dan mengelak untuk dekat dengan bom tangan yang membawa unsur peperangan. Kes mercun bom tangan dibaling ke dalam rumah hingga mencetuskan keadaan panik di Bayan Baru kerana yang diingatkan bom tangan tidak sepatutnya berlaku. Apabila kanak-kanak melihat mercun tersebut maka mereka akan berkeinginan untuk cuba membuat mercun buatan.

Semasa bulan Ramadan, kita banyak mendengar kes yang melibatkan kecederaan akibat mercun buatan. Peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak berlaku dalam kalangan kaum Melayu semasa menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kes kecederaan akibat mercun  meningkat saban tahun bukan sahaja  akibat bermain mercun tetapi kanak-kanak beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif kepada mercun komersial.

Sedih kita mendengar apabila hendak raya, ada saja orang yang putus  jari, hancur tangan, melecur di bahagian badan dan ada yang buta mata disebabkan mercun. Malang tidak berbau, kadang-kadang mereka merasakan tidak mengapa jika mencuba kerana pada tanggapan mereka sesetengah mercun dirasakan tidak berbahaya.

Baru-baru ini beberapa kes melibatkan mercun dilaporkan. Kes hari pertama bulan Ramadan melibatkan sekumpulan remaja bermain mercun buatan sendiri mengundang padah apabila dua daripada mereka melecur di muka dan jari kanan selepas batang paip besi yang diisi belerang meletup sebaik-baik dicucuh api di Baling, Kedah.

Remaja kini, kononnya ingin berinovasi dengan ciptaan mercun buatan sendiri. Memang baik jika anak-anak kita mempunyai semangat hendak menjadi saintis tetapi mencipta sesuatu perlu  dilaksanakan dengan bijak dan sesuai dengan keadaannya. Semangat penyelidikan dan inovasi perlu kita sokong tetapi jika anak-anak yang berjiwa  saintis dan berinovasi tidak kena pada tempatnya, pening kepala kita dibuatnya. Menguji  mercun buatan  sendiri sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya  akhirnya boleh mengundang musibah dan boleh membunuh diri sendiri.

Minggu lepas, satu lagi kes di Kota Bharu, Kelantan dilaporkan apabila  seorang murid Tahun Lima cedera di mata kanan dan melecur di sekitar mulutnya. Dia bermain bunga api yang menggunakan belerang daripada mercun jenis bola dan pasir yang dimasukkan ke dalam botol air mineral. Mengapa peristiwa sebegini sering berulang? Cukupkah peringatan kepada anak-anak kita?

Peranan ibu bapa sangat penting untuk memberikan peringatan tentang bahayanya mercun. Ibu bapa jangan memberi peluang langsung walaupun anak-anak merayu dan menangis sekalipun. Peliknya, segelintir ibu bapa pula yang lebih bersemangat bermain mercun seperti menggalakkan dan menimbulkan tanya tanya kepada anak-anak kenapa yang lebih dewasa boleh bermain. Orang dewasa juga patut menunjukkan contoh teladan dengan tidak bermain mercun. Guru-guru di sekolah perlu memberi pendedahan dan peringatan kepada pelajar-pelajar tentang akibat membuat mercun buatan sendiri dengan memberikan contoh-contoh kes. Ceramah-ceramah dan kursus-kursus perlu diadakan khususnya menjelang   musim perayaan.

Pihak Kementerian Pendidikan perlu memantau keadaan ini dengan serius dengan mengedarkan risalah-risalah tentang bahaya mercun dan bahana mercun buatan ke sekolah-sekolah. Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga menyiarkan iklan-iklan bahayanya mercun dan pencegahan mercun buatan sendiri di media khususnya radio dan televisyen. Papan-papan iklan peringatan juga boleh diletakkan di tepi jalan.

Peranan kita sebagai rakyat Malaysia boleh membantu menerusi  media sosial  dalam penulisan blog, facebook, twitter, mahupun instagram dengan memberikan nasihat berguna tentang bahayanya mercun buatan.

Ingat-mengingati adalah amalan mulia supaya kita sentiasa peka kerana kadang-kadang kita alpa dan lupa. Pendidikan tentang bahaya mercun ini perlu sentiasa dilakukan dalam memberikan peringatan berulang. Sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan anak-anak kita daripada tragedi mercun buatan yang berlaku setiap tahun. Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/