Oleh : DR. JESSICA ONG HAI
LIAW
MERCUN sinonim dengan perayaan
kerana dikatakan tidak meriah kalau tidak mendengar bunyi dentumannya. Mercun
dipercayai berasal dari negara China yang mempunyai sumbu dan dibalut dengan
kelongsong kertas yang sangat tebal untuk menampung letupan besar.
Mercun adalah budaya dan tradisi
orang Cina yang percaya mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan
bermulanya tahun baharu untuk menghalau puaka dan nasib malang.
Di Malaysia, pembakaran mercun
diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun
1991. Pengharaman mercun di Malaysia adalah susulan kejadian tragedi letupan
kilang mercun Bright Sparkles, Sungai Buloh pada tahun 1991 yang mengorbankan
seramai 26 orang.
Sebelum bercakap tentang mercun
buatan, saya menyentuh tentang penguatkuasaan terhadap mercun ini yang terlalu
longgar dan mudah lolos dengan mudah. Kes dua beranak termasuk seorang lelaki menjadikan
kawasan pekarangan masjid sebagai transit untuk mengedar mercun amat
dikesalkan.
Di bazar-bazar Ramadan di
celah-celah peniaga menjual juadah ada juga pihak yang menyelit mengambil kesempatan menjual mercun. Terdapat kira-kira
75 jenis mercun di pasaran dan ada pula mercun baharu dengan pelbagai nama
seperti mercun aiskrim, langsuir, osama dan bunga api sate.
Rata-rata berminat dengan mercun
yang menyerupai bom tangan yang dikatakan diimport dari Thailand. Sepatutnya,
kita takut dan mengelak untuk dekat dengan bom tangan yang membawa unsur
peperangan. Kes mercun bom tangan dibaling ke dalam rumah hingga mencetuskan
keadaan panik di Bayan Baru kerana yang diingatkan bom tangan tidak sepatutnya
berlaku. Apabila kanak-kanak melihat mercun tersebut maka mereka akan
berkeinginan untuk cuba membuat mercun buatan.
Semasa bulan Ramadan, kita banyak
mendengar kes yang melibatkan kecederaan akibat mercun buatan. Peningkatan
kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak berlaku dalam kalangan kaum Melayu
semasa menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Kes kecederaan akibat mercun meningkat saban tahun bukan sahaja akibat bermain mercun tetapi kanak-kanak
beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif
kepada mercun komersial.
Sedih kita mendengar apabila
hendak raya, ada saja orang yang putus jari, hancur tangan, melecur di bahagian badan
dan ada yang buta mata disebabkan mercun. Malang tidak berbau, kadang-kadang
mereka merasakan tidak mengapa jika mencuba kerana pada tanggapan mereka sesetengah
mercun dirasakan tidak berbahaya.
Baru-baru ini beberapa kes
melibatkan mercun dilaporkan. Kes hari pertama bulan Ramadan melibatkan
sekumpulan remaja bermain mercun buatan sendiri mengundang padah apabila dua
daripada mereka melecur di muka dan jari kanan selepas batang paip besi yang
diisi belerang meletup sebaik-baik dicucuh api di Baling, Kedah.
Remaja kini, kononnya ingin
berinovasi dengan ciptaan mercun buatan sendiri. Memang baik jika anak-anak
kita mempunyai semangat hendak menjadi saintis tetapi mencipta sesuatu perlu dilaksanakan dengan bijak dan sesuai dengan
keadaannya. Semangat penyelidikan dan inovasi perlu kita sokong tetapi jika
anak-anak yang berjiwa saintis dan
berinovasi tidak kena pada tempatnya, pening kepala kita dibuatnya.
Menguji mercun buatan sendiri sesuka hati tanpa memikirkan
akibatnya akhirnya boleh mengundang
musibah dan boleh membunuh diri sendiri.
Minggu lepas, satu lagi kes di
Kota Bharu, Kelantan dilaporkan apabila seorang murid Tahun Lima cedera di mata kanan
dan melecur di sekitar mulutnya. Dia bermain bunga api yang menggunakan
belerang daripada mercun jenis bola dan pasir yang dimasukkan ke dalam botol
air mineral. Mengapa peristiwa sebegini sering berulang? Cukupkah peringatan
kepada anak-anak kita?
Peranan ibu bapa sangat penting
untuk memberikan peringatan tentang bahayanya mercun. Ibu bapa jangan memberi
peluang langsung walaupun anak-anak merayu dan menangis sekalipun. Peliknya,
segelintir ibu bapa pula yang lebih bersemangat bermain mercun seperti
menggalakkan dan menimbulkan tanya tanya kepada anak-anak kenapa yang lebih
dewasa boleh bermain. Orang dewasa juga patut menunjukkan contoh teladan dengan
tidak bermain mercun. Guru-guru di sekolah perlu memberi pendedahan dan
peringatan kepada pelajar-pelajar tentang akibat membuat mercun buatan sendiri
dengan memberikan contoh-contoh kes. Ceramah-ceramah dan kursus-kursus perlu diadakan
khususnya menjelang musim perayaan.
Pihak Kementerian Pendidikan
perlu memantau keadaan ini dengan serius dengan mengedarkan risalah-risalah
tentang bahaya mercun dan bahana mercun buatan ke sekolah-sekolah. Kementerian
Komunikasi dan Multimedia juga menyiarkan iklan-iklan bahayanya mercun dan
pencegahan mercun buatan sendiri di media khususnya radio dan televisyen.
Papan-papan iklan peringatan juga boleh diletakkan di tepi jalan.
Peranan kita sebagai rakyat
Malaysia boleh membantu menerusi media
sosial dalam penulisan blog, facebook,
twitter, mahupun instagram dengan memberikan nasihat berguna tentang bahayanya
mercun buatan.
Ingat-mengingati adalah amalan
mulia supaya kita sentiasa peka kerana kadang-kadang kita alpa dan lupa.
Pendidikan tentang bahaya mercun ini perlu sentiasa dilakukan dalam memberikan
peringatan berulang. Sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan anak-anak kita
daripada tragedi mercun buatan yang berlaku setiap tahun. Jangan biarkan nasi
menjadi bubur. Salam 1Hati.
Penulis
ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan