Jumaat, 19 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Anak saham paling berharga


Ibu bapa untung berlipat ganda jika tidak abai pendidikan dunia, akhirat

Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika ini dianggarkan 9.8 juta (36 peratus) penduduk negara terdiri daripada golongan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun. Golongan ini adalah anugerah dan nikmat terbesar daripada Allah SWT. Mereka adalah aset pembangunan negara pada masa depan. Bagi pasangan ibu bapa, ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh.

Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi anak derhaka, terbiar dan pada masa akan datang menjadi sampah kepada masyarakat serta negara. Justeru memiliki anak soleh serta baik budi pekerti menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga.

Doa mohon anak soleh

Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT dikurniakan anak yang soleh. Firman Allah SWT: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali-Imran, ayat 38)

Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran sama ada zahir atau batin. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk mereka menjadi insan berjaya.

Anak yang soleh akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua ibu bapa. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Riwayat Imam Muslim)

Bina potensi melalui pendidikan

Pendidikan dapat membina potensi anak. Oleh itu, ia hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam sanubari mereka.

Ibnu Sina berpesan: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk.”

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka dihantar ke sekolah. Tanggungjawab kita bukan hanya memastikan anak hidup selesa pada masa akan datang.

Tanggungjawab kita juga memastikan mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang kuat. Oleh itu, penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia kerana dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh.

Ini akan membantu mereka menghadapi masalah sosial serta membantu mendepani cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran hingga ada yang sanggup menggadai prinsip kehidupan.

Kegelojohan nafsu syahwat di peringkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak yang menghancurkan kehidupan.

Kehendak nafsu berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskan kualiti akhlak manusia setaraf binatang.

Jauhi keluarga daripada neraka

Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah)

Memelihara keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti kita bersikap pasif dengan mencegah mereka daripada pelbagai perbuatan maksiat. Kita juga mesti aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka agar memiliki daya tahan yang dapat menepis pengaruh persekitaran.

Ingatlah pepatah orang Melayu, ‘ampuh bak ikan di laut walaupun dikelilingi air yang masin, sepanjang hayat badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu bapa bukan saja menjadi ‘tuan’ di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh.

Bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia bertemakan Karisma Kanak-kanak, Serlahkan Potensi Dirimu, marilah kita menjaga dan mendidik anak yang diamanahkan oleh Allah SWT. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama supaya dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pengajian tinggi satu pilihan


Oleh : DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN

Pengajian  tinggi adalah sebahagian proses pendidikan yang bermula daripada peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan negara pada masa ini mewajibkan pendidikan rendah dan menengah dan kerajaan membiayai sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tersebut.

Pengajian tinggi juga  adalah bersifat pilihan apabila individu boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan. Ia adalah pelaburan yang boleh meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.

George Psacharopoulos yang merupakan pakar Bank Dunia melalui kajian bertajuk "Returns To Investment In Higher Education: A European Survey" menyatakan keputusan untuk memilih pengajian tinggi merupakan satu pelaburan kepada individu dan pulangan yang diperoleh individu hasil daripada pengajian tinggi juga adalah lebih besar iaitu 10.2 peratus (%) berbanding 7.9% oleh masyarakat.

Maka, adalah wajar individu membiayai sebahagian pelaburan itu daripada ditanggung keseluruhannya oleh pembayar cukai (orang awam). Kos pengajian tinggi harus dikongsi bersama oleh pembayar cukai dengan individu kerana pengajian tinggi mempunyai ciri quasi public goods.

Walaupun begitu, di negara kita ketika ini di peringkat pengajian tinggi, kerajaan memberi subsidi bagi yuran yang dikenakan kepada pelajar. Umpamanya, kos program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja, yang mana 94.6 peratus diberikan subsidi oleh kerajaan.

Bagi program kejuruteraan pula, kadar yuran yang sepatutnya adalah RM61,200, manakala yuran yang dibayar pelajar hanya RM5,600 iaitu 90 peratus diberi subsidi oleh kerajaan. Bagi program farmasi pula kos sebenar adalah dalam lingkungan RM51,000 dan pelajar hanya perlu membayar yuran RM6,800. Malah, yuran yang dikenakan oleh IPTA ini juga tidak pernah dinaikkan sejak 1990-an lagi.

Secara keseluruhannya, lebih 90% pembiayaan IPTA adalah bersumberkan dana awam (cukai).

Pokoknya, falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian tinggi sebenarnya sebagai tanda penghargaan kepada nilai ilmu dan keilmuan. Ia sangat penting dalam meletakkan kepentingan dan nilai pengajian tinggi pada tempatnya.

Bagi negara maju, mereka juga mula mengenakan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam masing-masing, antaranya United Kingdom bermula 1998. Namun bagi meringankan beban pelajar, kerajaan Britain memperkenalkan skim pinjaman pelajar. Langkah ini juga diikuti beberapa negara Eropah lain seperti Austria, Perancis, Ireland, Sepanyol, Belgium, dan Belanda.

Kadar yuran yang dikenakan juga berbeza mengikut negara dari serendah 50 Euro sehinggalah 1,302 Euro. Begitu juga dengan Maghribi di mana Menteri Pengajian Tinggi dalam laman sesawang Morocco World News pada 23 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaannya untuk menghentikan pengajian tinggi percuma.

Sungguhpun terdapat negara seperti Finland, Denmark dan Norway, yang dikatakan menawar pendidikan tinggi secara percuma, namun negara-negara ini mempunyai struktur cukai pendapatan yang paling tinggi di dunia. Kadar cukai pendapatan individu di negara itu adalah antara 6.5 hingga 55.4% dan mereka juga melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (goods and services tax - GST) dan Value-added Tax (VAT) sekitar 23 hingga 25% yang belum lagi diamalkan di Malaysia.

Pendapatan perkapita setahun negara-negara itu juga adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang mana Finland mempunyai pendapatan perkapita setahun sebanyak AS$48,420, Denmark AS$60,390, dan Norway sebanyak AS$88,890, manakala pendapatan perkapita Malaysia hanya AS$8,420.

Pendapatan perkapita hasil daripada cukai yang tinggi ini digunakan untuk membiayai pengajian tinggi. Ini menunjukkan sebenarnya tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara kerana pasti akan ada pihak yang membiayainya.

Dalam erti kata lain, pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai oleh dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi Malaysia dengan kadar cukai 0-26% masih mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 pelajar IPTA setahun.

Hujah yang menjadikan Turki sebagai contoh negara yang memberi pendidikan percuma adalah tidak tepat sama sekali. Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat tertiari dan pasca siswazah, dan keadaannya sama seperti Malaysia.

Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi dari gred 1 hingga 12 (dari umur 6 - 18 tahun). Gred 1-4 adalah sekolah rendah; gred 5-8 adalah sekolah menengah; dan gred 9-12 adalah sekolah tinggi).

Malaysia juga menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 atas (dari umur 7-18 tahun) sama seperti Turki.

Pada masa sama, sebahagian besar pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961 dan kadar faedah yang dikenakan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa.

Kadar purata CPI untuk 2010 ialah 8.58% dan tahun 2011 ialah 6.46%. Kadar faedah tambahan sebanyak 2.5% daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai rumusan, pelaksanaan pengajian tinggi percuma akan melibatkan implikasi-implikasi yang memerlukan pertimbangan rasional agar tindakan tersebut tidak menjejaskan hala tuju negara dalam mencapai status negara maju menjelang 2020. Di samping itu, pengajian tinggi percuma tidak boleh dilaksanakan ke atas IPTS kerana ia adalah entiti perniagaan yang berasaskan keuntungan.

Situasi ini, akan menyebabkan tumpuan masyarakat akan beralih kepada IPTA. Kualiti pengajian tinggi negara juga boleh jatuh kerana faktor percuma akan menghilang nilai sebenar ilmu dan sikap kebertanggungjawaban pelajar.

Sehubungan itu, pada masa ini, kerajaan belum bersedia memberi pengajian tinggi percuma kerana jika dilaksanakan kerajaan terpaksa mengenakan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat. Maka di sinilah letaknya kepentingan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum penubuhan PTPTN, kerajaan hanya mampu menyediakan biasiswa untuk sekitar 26,000 orang pelajar sahaja setahun. Ini bermaksud, ramai pelajar yang layak ke IPT tidak mendapat penajaan khususnya dalam kalangan mereka yang miskin dan berpendapatan sederhana.

Namun, hari ini, PTPTN berjaya meningkatkan akses kepada pengajian tinggi di mana pada 2011 sahaja, sejumlah 227,209 orang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi dengan bersumberkan pembiayaan PTPTN.

Kerajaan melihat cadangan untuk memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN adalah satu lagi janji yang populis tanpa mengkaji implikasinya. Tindakan pemansuhan PTPTN sebenarnya akan memberi kesan amat besar kepada pelajar dan negara kerana ia akan:

i. Mengehadkan akses kepada pengajian tinggi dalam kalangan pelajar miskin;

ii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS;

iii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup pelajar IPTA/IPTS, yang mana bagi pelajar IPTA hanya sekitar 15 - 30% pinjaman PTPTN digunakan untuk membayar yuran, manakala 70 - 85 % digunakan bagi menanggung kos sara hidup. Bagi pelajar IPTS pula, 70% digunakan untuk yuran dan 30% untuk sara hidup; dan

iv. Merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020

Oleh itu, kerajaan akan mengekalkan pembiayaan PTPTN. Sehingga 31 Ogos 2012, PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2,031,259 pelajar yang layak dengan komitmen sehingga pelajar tamat pengajian berjumlah RM45.4 bilion. Jumlah ini amat tinggi tetapi komitmen ini adalah pelaburan besar negara untuk manfaat rakyat dan pembangunannya.

Penulis ialah  Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Aktiviti sukarela tingkat nilai sosial, integriti graduan


Oleh : Khaled Nordin
 
Jana kemahiran, kualiti mahasiswa

Setiap tahun dianggar hampir 180,000 graduan berkelulusan sarjana muda dan diploma menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi dalam negara. Secara tradisinya, semua graduan ini akan diraikan pada satu majlis bersejarah iaitu konvokesyen. Kejayaan menamatkan pengajian tidak bermakna berakhirnya segala usaha keras dan kegigihan dalam kehidupan graduan. Ini kerana majlis konvokesyen bukanlah satu acara yang diraikan semata-mata, tetapi peristiwa yang akan membawa mereka ke satu lagi fasa dalam kehidupan sebenar yang lebih mencabar.

Aktiviti sukarela membantu mahasiswa dalam pembentukan pemikiran positif, kematangan mental dan emosi dan pembangunan personaliti dan kemahiran yang amat berguna kepada mereka"

Ketika belajar di kampus, mereka dianggap sebagai golongan elit yang berada dalam kelompok tersendiri dan golongan cerdik pandai menguasai ilmu dan kemahiran, kini mereka perlu bersama-sama menjadi sebahagian daripada masyarakat di luar.

Membuat pilihan tepat

Di sinilah pentingnya graduan membuat refleksi diri dengan melihat persekitaran dan akhirnya membuat pilihan tepat untuk meneruskan fasa baru dalam kehidupan mereka. Apa yang pasti, fasa baru ini adalah satu bentuk pengembaraan yang akan menambah pengalaman mereka sehingga menjadi modal insan yang benar-benar menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

Jika kita perhatikan, ada sebahagian graduan yang memilih untuk bekerja dan makan gaji. Ada juga yang mahu menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi dan tidak kurang juga yang bekerja sendiri, menjadi usahawan yang mencipta pekerjaan untuk orang lain.

Persoalannya, apakah masa depan graduan kita sebenarnya? Walau apapun tugas dan peranan yang mereka pilih, cabaran utama mereka ialah bagaimana dengan kekuatan ilmu, nilai dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian, dapat dimanfaatkan bukan saja untuk kepentingan diri, tetapi jauh lebih penting demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Jika ketika di kampus, tanggungjawab mereka hanya menumpukan pengajian untuk mendapatkan keputusan cemerlang, kini sudah tiba masanya bagi mereka ‘memulangkan’ semula kepada masyarakat dan negara atas apa yang mereka peroleh selama ini.

Inilah cabaran sebenar seorang graduan. Kehidupan baru mereka bukan semata-mata soal pekerjaan serta berkisar ringgit dan sen, tetapi sumbangan berkualiti sebagai warga Malaysia yang mempunyai tanggungjawab besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Selain memenuhi tuntutan peribadi, graduan kita mempunyai peranan penting untuk memakmurkan kesejahteraan masyarakat kita dan ini termasuk kesanggupan melakukan aktiviti sukarela yang ditanam dengan nilai kesukarelawanan sejak di kampus lagi.

Bentuk pemikiran positif

Tidak dinafikan, aktiviti sukarela membantu mahasiswa dalam pembentukan pemikiran positif, kematangan mental dan emosi dan pembangunan personaliti dan kemahiran yang amat berguna kepada mahasiswa. Melalui kerja sukarela, proses pembelajaran akan dapat ditransformasikan secara terus kepada pelajar melalui nilai murni dan pembangunan diri yang positif.

Lebih penting, melalui kerja sukarela, mahasiswa akan dapat meningkatkan keyakinan diri mereka sendiri, merasakan diri lebih berguna, lebih menghargai, merasa lebih produktif dan dapat meningkatkan kemahiran insaniah.

Selain itu, kesukarelawanan juga penting dalam proses sosialisasi apabila setiap mahasiswa yang terbabit akan mengenali antara satu dengan yang lain dan mendekatkan mereka dengan masyarakat setempat. Pendek kata melalui kesukarelawanan, proses sosialisasi boleh dibentuk dengan mudah. Tidak dinafikan, kesukalerawanan adalah aktiviti yang boleh menjadi pilihan kepada graduan untuk menyumbang melampaui kepentingan diri mereka.

Bagi merancakkan lagi aktiviti sukarela di kalangan belia termasuk graduan, pelbagai inisiatif dan insentif baru telah diperkenalkan. Baru-baru ini, kerajaan mengambil langkah menubuhkan satu entiti kesukarelawan yang dikenali sebagai 1Malaysia For Youth (1M4U).

Istimewanya melalui 1M4U, semua pihak boleh mencurah khidmat bakti kepada masyarakat tanpa perlu berdaftar atau menjadi ahli kepada sebarang pertubuhan, persatuan, kelab atau mana-mana badan beruniform. Kita percaya, dalam kesibukan mengejar cita-cita, ia tidak menghalang mereka prihatin kepada nasib dan juga masa depan orang lain melalui aktiviti sukarela.

Soalnya, membabitkan diri dalam aktiviti sukarela akan memberi nilai tambah kepada graduan kita menjadi warga negara berjiwa besar, memimpin masyarakat dan memikirkan soal ummah. Tiada untungnya negara yang mempunyai jumlah generasi muda yang ramai, tetapi sekadar mengira untung nasib diri sendiri. Bukankah slogan rakyat didahulukan itu juga perlu diajukan kepada graduan, bukan saja kerajaan.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/