Oleh Abd Razak Hussin
UKM contoh terbaik bahasa Melayu mampu pertingkat status
rakyat
SEBAK di dada apabila Naib Canselor Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
memperkenalkan Profesor Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria
Stapa dalam syarahan pengenalannya.
Ketika menyampaikan Syarahan Perdana Keprofesorannya,
Sharifah Hapsah menegaskan Zakaria datang daripada keluarga ‘kaya’, tetapi kaya
dengan kekurangan dan kesusahan dalam kehidupan.
Kedua-dua ibu bapa Zakaria bekerja sebagai buruh dengan
pendapatan yang sedikit itulah Zakaria dan lima adik beradiknya yang lain
dibesar dan diberi pendidikan. Kini, tiga daripadanya bekerja di universiti
sebagai pensyarah, satu pencapaian membanggakan yang amat jarang berlaku dalam
masyarakat kita.
Ibu Zakaria juga pernah ditempelak seorang penjawat awam di
kampungnya yang merendahkan kebijaksanaannya kerana menghantar Zakaria ke
sekolah agama rakyat yang dianggap menyebabkan anak itu tiada masa depan.
Dalam erti kata lain, ‘gelaplah masa depan.’ Namun, tiada
siapa yang mampu meneka, selepas 40 tahun kata nista itu dihamburkan, Zakaria
muncul sebagai seorang profesor yang buah pemikirannya turut digarap sebagai
batu asas yang dijadikan landasan menggubal dasar negara dalam persoalan Islam
dan permasalahan sosial yang melanda masyarakat.
Syarahan Perdana Profesor adalah tradisi ilmu di UKM yang
berlangsung sejak awal 1970-an dengan penyampai pertamanya, Prof Dr Syed
Muhammad Naquib al-Attas. Syarahan itu adalah syarahan pengukuhan seorang
profesor terhadap bidang keilmuan yang menjadi kepakarannya. Naib Canselor pula
sebelum mempersilakan seseorang profesor menyampaikan syarahannya, memberikan
pidato pengenalan mengenai latar diri profesor berkenaan.
Prof Dr Mohd Pauzi Abdullah dari Fakulti Sains dan Teknologi
pula dimaklumkan oleh Naib Canselor sebagai anak seorang tukang jahit dan
penjual ikan di Pasir Mas, Kelantan. Walaupun hidup dalam serba kekurangan,
beliau berupaya menjadi kebanggaan ibu bapa malah masyarakat Pasir Mas, sebagai
seorang pakar dalam bidang kimia dan pengurusan alam sekitar. Penyelidikan
mutakhirnya ialah mengenai kualiti air, termasuk keselamatan air untuk diminum.
Tidak kurang deritanya kehidupan Dr Idris Zakaria, profesor
bidang falsafah dan pemikiran Islam di Fakulti Pengajian Islam. Anak penoreh
getah dan pesawah padi itu, ketika era kanak-kanaknya menjual daun dan isi
pinang bagi membantu mengurangkan kesusahan hidup keluarganya.
Demikian juga, Dr Abdul Ghafar Ismail, Profesor Ekonomi dan
Kewangan Islam di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berasal daripada keluarga
susah di Johor. Kesusahan itu dapat digambarkan dengan ketikanya apabila beras
habis, beliau sekeluarga makan ubi dengan kelapa parut atau ikan masin.
Siapa pula yang menyangka buruh kilang papan yang mempunyai
10 anak di Kampung Pulau Rusa Terengganu, seorang daripada anaknya kini muncul sebagai
profesor dalam bidang sains marin. Dr Che Abdul Rahim Mohamed daripada Fakulti
Sains dan Teknologi yang merentas sebahagian lautan di dunia kerana menjalankan
penyelidikan yang amat diminati itu adalah penyelidik yang amat tekun dan
dikenali oleh pakar keserakanan seluruh dunia.
Cerita ini adalah sekadar mengambil beberapa contoh kejayaan
ilmuwan yang didorong oleh kesukaran dan kemiskinan keluarga. Ini menunjukkan
bahawa kemiskinan ekonomi tidak semestinya turut membentuk kemiskinan jiwa,
semangat dan perjuangan merentas cabaran kehidupan yang menghambat kejayaan
masa hadapan yang dapat pula mengangkat kedudukan keluarga kepada strata sosial
lebih tinggi.
Sudah pastilah tanpa peluang pendidikan yang luas disediakan
negara, khususnya selepas kemerdekaan tidak mungkin membuka pintu yang mampu
merombak dan mencorak kehidupan rakyat jelata. Berbanding pada zaman
penjajahan, jika disediakan sistem pendidikan di tanah jajahan, motif mereka
hanyalah untuk menjadikan sebahagian kecil rakyat tempatan pandai sedikit
daripada ibu bapa mereka, dapat membaca, menulis dan mengira supaya boleh
bekerja dalam sektor ekonomi yang dijalankan syarikat penjajah untuk
kepentingan mereka.
Selepas kemerdekaan, tanggungjawab negara yang paling
mendasar ialah memberikan pendidikan daripada peringkat paling asas sehinggalah
kepada tahap yang tertinggi dengan kesedaran bahawa pendidikan jugalah yang
menjadi infrastruktur utama kepada sebarang rencana pembangunannya.
Dalam konteks sejarah pendidikan termasuk pendidikan tinggi
di negara ini, sebenarnya kesedaran itu sudah muncul dalam pemikiran rakyat
sejak awal abad ke-20 lagi. Dalam gejolak kesedaran itulah, perjuangan
menubuhkan sebuah universiti yang berakarkan identiti sendiri khususnya
menggunakan bahasa ibunda tanah air ini menjadi agenda massa sehingga
melahirkan UKM pada 1970.
Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di UKM
bukan sekadar kerana bahasa itu dituturkan oleh rakyat negara ini, tetapi
bahasa itulah yang menjadi jiwa kepada bangsa Malaysia, pancaran jati diri
bangsa, wahana pemikiran saintifik, percambahan idea dan penyebaran ilmu.
Apa pun corak transformasi pembangunan dan kemajuan yang
ingin dicapai, pendidikan rakyatlah menjadi keutamaan paling fundamental.
Justeru, pendemokrasian pendidikan yang total perlu terus disuburkan. Walaupun
persoalan pendidikan sentiasa menjadi polemik dan perbahasan tiada kesudahan
yang terpenting ialah memberi peluang kepada setiap warga untuk akses kepadanya
dalam menghasilkan modal insan berkualiti dan berketerampilan.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat
UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan