MOSCOW : Kira-kira 1,000
orang dilaporkan cedera apabila meteor dari angkasa terhempas di bandar
Chelyabinsk, Ural, Rusia pagi Jumaat, waktu tempatan.
Angka terkini kecederaan disahkan
Jabatan Kesihatan Chelyabinsk yang turut mengesahkan kecederaan melibatkan 200
kanak-kanak.
Kebanyakan mengalami kecederaan
akibat terkena serpihan kaca yang pecah akibat letupan yang mengakibatkan bola
api yang terhempas di bangunan dan kawasan perumahan.
Bagaimanapun, tiada kehilangan
nyawa dilaporkan setakat ini.
Meteor yang dilaporkan terhempas
membentuk lubang bulat di kawasan ais dan bersalji berhampiran tasik di
Chelyabinsk kira-kira 1,500 kilometer dari timur Moscow.
Itar-Tass, agensi berita rasmi
melaporkan cahaya terang berwarna putih kelihatan di langit untuk beberapa saat
diikuti bunyi letupan yang sangat kuat.
Dilaporkan bahawa letupan
berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk.
Letupan mengejutkan itu
menyebabkan trafik dan komunikasi mudah alih tergendala.
“Pada pukul 9.20 pagi (waktu
Rusia), sebuah objek dilihat di atas Chelyabinsk. Objek tersebut terbang dengan
kelajuan yang tinggi dan meninggalkan kepulan asap di belakangnya. Dalam masa
dua minit, terdapat dua letupan,” kata pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam
satu kenyataan.
Agensi Pentadbiran Aeronautik dan
Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid
dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini.
“Pemantauan telah dilakukan sejak
15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,”
katanya.
Pemerhati langit mendakwa
kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal
tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki
atmosfera meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km
persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island.
Dalam kejadian itu, secara
keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah musnah.
Sumber : http :
//www.mstar.com.my/
Nota Hujung : Tahi Bintang (Meteor)
* Tahi bintang adalah ketulan batu dari angkasa yang masuk
ke atmosfera bumi
* Tahi bintang biasanya mencapai kelajuan 30,000 kilometer
sejam
* Tahi bintang yang lebih kecil biasanya melepasi atmosfera
bumi lima hingga 10 kali setahun
* Tahi bintang besar yang jatuh ke bumi biasanya berlaku
setiap lima tahun
* Tahi bintang yang terakhir berlaku pada 2008 apabila ia
meletup di Sudan tetapi tiada siapa cedera
* Tahi bintang yang dijual mempunyai nilai sehingga AS$670
(RM2,010) satu gram
* Tahi bintang bertanggungjawab atas kepupusan dinosaur 66
juta tahun lalu
* 20,000 petugas kecemasan
ditempatkan di kawasan kejadian untuk membantu penduduk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan