Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary |
KUALA LUMPUR - Robert
Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang
terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak
0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan
Ananda Krishnan dan Pengerusi/CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.
Ananda, yang menduduki tempat
kedua sejak 2004, telah mengalami penyusutan kekayaan terbesar apabila ia
merosot 23.5 peratus dari tahun lepas, dengan aset yang dipegang melalui Usaha
Tegas Sdn Bhd bernilai RM32.90 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari,
2013.
Teh, mengekalkan kedudukannya
bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian
menurut Malaysian Business, majalah perniagaan perdana Malaysia dalam terbitan
16 Februari.
Ia berkata kekayaan tergabung 40
individu terkaya Malaysia itu meningkat sedikit tahun ini meskipun dalam
keadaan pasaran modal yang turun naik dan tidak menentu.
Secara kolektif, 40 orang terkaya
Malaysia itu bernilai RM194.86 bilion pada 18 Januari. Ini merupakan
peningkatan kecil sebanyak 0.86 peratus berbanding RM193.2 bilion setahun lalu.
Semasa Malaysian Business
mula-mula menilai kekayaan 40 individu terkaya Malaysia pada 2002, aset
tergabung mereka berjumlah RM41.7 bilion dan Robert Kuok Hock Nien muncul pada
kedudukan teratas.
Majalah itu berkata keempat dalam
senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan, yang melonjak daripada kedudukan
keenam tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group, yang
turun ke tempat keenam.
Kekayaan Quek, melalui syarikat
utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group, bernilai RM11.09 bilion tahun ini.
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
mengekalkan kedudukan kelimanya tahun ini dengan kekayaan berjumlah RM10.60
bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.
Tan Sri Lee Shin Cheng, melalui
syarikatnya, IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam
dengan aset bernilai RM10.56 bilion.
Pengerusi Genting Group, Tan Sri
Lim Kok Thay, dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, masing-masing masih pada
kedudukan ketujuh dan kelapan. Kekayaan Lim bertambah 7.06 peratus kepada
RM8.12 bilion manakala Lee menambah kekayaannya sebanyak 9.82 peratus kepada
RM7.23 bilion.
Tan Sri Tiong Hiew King, melalui
jenteranya, Rimbunan Hijau Sdn Bhd, berada di tempat kesembilan tahun ini
dengan aset bernilai RM6.35 bilion, susut 1.01 peratus daripada kekayaannya
tahun lepas.
Melengkapi senarai 10 terkaya
ialah jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, melalui
Hotel Properties Ltd, dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion, setelah
mengalami penyusutan sebanyak 18.36 peratus daripada tahun lepas.
Malaysian Business berkata satu
hakikat menarik ialah sejak 2002, seramai 81 tikun telah menyertai senarai 40
Orang Terkaya Malaysia dan daripada jumlah itu, 15 berjaya terus kekal dalam
senarai.
Keseluruhannya, peningkatan kukuh
kekayaan hartawan-hartawan ini boleh dikaitkan dengan prestasi pasaran saham
dan inflasi harga, memandangkan sebahagian besar kekayaan mereka adalah
berdasarkan pegangan saham masing-masing.
Ia juga mencerminkan prestasi
syarikat mereka dan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dalam 12 tahun lalu.
Bagi tahun ini, ada 31 bilionair
– bertambah seorang lagi sejak tahun lepas - dan 23 daripada 40 orang dalam
senarai itu menyaksikan aset mereka meningkat daripada tahun lepas. Daripada
seramai ini, 14 mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus.
Senarai itu juga mencatat tiga
pendatang baharu. Datuk Desmond Lim dari Pavilion REIT muncul kali pertama
dalam senarai itu pada tempat ke-15, dengan kekayaan bernilai RM1.869 bilion.
Dua lagi, Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Motors Holding dan Tan Sri Kua
Sian Kooi dari KSK Group, memasuki semula senarai itu, masing-masing pada
tempat ke-37 dan ke-40.
Senarai penuh 40 tikun dan
perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam majalah itu. Ia juga
memaparkan senarai 10 tikun terkaya dalam Pasaran ACE.
Seperti pada tahun-tahun lepas,
kekayaan 40 individu dalam senarai itu dinilai berdasarkan pegangan kepentingan
masing-masing dalam syarikat-syarikat tersenarai pada 18 Januari.
Malaysian Business diterbitkan
oleh Berita Publishing Sdn Bhd. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan