Rabu, 4 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Mampukah Komsas melahirkan penulis pelapis?


Oleh  : M JASNI MAJED

MATA pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah diselitkan dengan bahan-bahan sastera iaitu Komsas sejak tahun 2000 dan masih bertahan sampai sekarang. Adalah diharapkan Komsas akan bertahan dalam jangka masa yang panjang memandangkan banyak manfaat yang diperoleh oleh pelajar apabila mempelajari hasil-hasil sastera di sekolah.

Apa yang jelas, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semakin terpinggir. Sudah tidak ramai murid yang mengambil subjek ini atas pelbagai sebab. Malah, di sesetengah sekolah, jika ada pelajar yang mahu mengambil peperiksaan dalam subjek ini, mereka terpaksa belajar sendiri kerana subjek ini tidak termasuk dalam jadual belajar di dalam kelas.

Pemantapan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar turut menjadi sasaran Komsas sejak mula diperkenalkan lagi kepada pelajar. Hasrat ini dianggap penting untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik sastera tetapi lebih jauh daripada itu, pelbagai nilai murni yang terkandung dalam sastera dapat diselami dan dinikmati oleh pelajar.

Tidak dapat dinafikan bahawa di  samping tujuan-tujuan tersurat pendedahan Komsas kepada pelajar, kita tidak boleh menolak matlamat tersiratnya. Salah satunya adalah bertujuan melahirkan penulis pelapis selepas mereka 'kaya' dengan pendedahan hasil-hasil kesusasteraan di sekolah. Pendedahan Komsas yang terdiri daripada pelbagai genre telah menjadikan pelajar mengenali pelbagai jenis hasil kesusasteraan seperti sajak, pantun, cerpen, novel dan sebagainya.

Meskipun ramai yang menulis berdasarkan bakat semula jadi, tetapi dengan mempelajari hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, seseorang itu mengetahui dengan lebih mendalam tentang kesusasteraan.

Tidak kurang juga yang boleh menulis selepas sering membaca tulisan-tulisan daripada penulis lain di mana-mana media massa. Tidak dinafikan bahawa ramai yang berjaya dalam bidang penulisan bukan disebabkan mereka belajar di mana-mana tetapi atas bakat sendiri dan ditambah dengan kegigihan berkarya.

Bagaimanapun, dengan mempelajari hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, ia dianggap sebagai satu asas yang kukuh bagi seseorang pelajar untuk menjadi seorang penulis, jika kebetulan pelajar itu berbakat dan berminat.

Persoalannya, mampukah komsas menjadi batu asas ke arah melahirkan penulis di tanah air? Persoalan ini sering menjadi polemik kerana rata-rata menganggap bahawa sistem pendidikan di negara kita yang lebih mengutamakan lulus peperiksaan menjadikan matlamat mempelajari kesusasteraan itu terbelenggu dalam kepompong yang sama, iaitu belajar sekadar untuk memperoleh sijil dan menjamin untuk mendapat pekerjaan.

Malah, apabila Komsas itu disenaraikan berada dalam subjek Bahasa Melayu, bermakna hasil-hasil kesusasteraan itu juga turut menjadi buruan pelajar mempelajarinya kerana ia menjadi wajib dan tidak boleh ditolak. Ramai yang membeli buku ulasan dan kajian sastera kerana mahu memahami dengan lebih lanjut kandungan teks atau genre yang dipelajari.

Dari satu sudut, sebenarnya kebanyakan pelajar kurang bersedia dengan hasil-hasil kesusasteraan. Budaya berfikir secara kritis kurang kedapatan dalam jiwa kebanyakan pelajar kerana kebanyakan mereka bergantung seratus-peratus kepada buku-buku ulasan dan kajian.

Tentu ramai yang akan bertanya, ikhlaskah pelajar mempelajari kesusasteraan di sekolah? Ini dapat dilihat menerusi kurangnya kelangsungan sikap untuk mendekati karya-karya sastera. Bahan-bahan bacaan sastera berlambak di pasaran tetapi siapakah yang membeli dan membacanya.

Bolehkah pelajar-pelajar yang mempelajari Komsas ini menjadi penulis pelapis? Atau, mereka sekadar belajar, mengambil tahu sedikit sebanyak tentang pelbagai genre penulisan kemudian melupakannya begitu sahaja?

Dalam soal ini, guru-guru mempunyai tugas tertentu demi menjadikan komsas sebagai satu asas pembentukan penulis tanah air.

Pertama, mereka mestilah menjadikan Komsas sebagai satu bahan kajian yang bersifat menyeluruh, bukan hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja.

Kedua, mereka mestilah mengesan bakat pelajar di dalam kelas terutamanya yang mempunyai kebolehan dalam menghasilkan karya kreatif.

Ketiga, mereka mestilah membantu pelajar yang berbakat ini agar menjadi penulis.

Keempat, mereka mestilah memandu arah untuk memudahkan pelajar yang berbakat dan berminat untuk menghasilkan karya kemudian menyalurkan karya tersebut ke mana-mana penerbitan.

Kelima, mengadakan bengkel penulisan di sekolah menerusi Persatuan Bahasa Melayu supaya pelajar yang berminat dapat mengasah bakat mereka dalam bidang penulisan.

Keenam, menjemput penulis-penulis yang berjaya ke sekolah untuk memberi tunjuk ajar dan semangat kepada pelajar yang mempunyai minat dalam bidang penulisan.

Ramai percaya bahawa dengan adanya inisiatif pelbagai pihak, Komsas akan berjaya melahirkan penulis yang berwibawa suatu masa nanti.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pelajar cedera parah jatuh bangunan


KUANTAN - Seorang pelajar perempuan tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sira di sini parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah itu, tengah hari, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, mangsa yang berusia 13 tahun patah di kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit cuba untuk terjun dari bangunan itu berdasarkan nota tulisan tangan yang ditulis di tapak tangan kirinya.

”Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian pelajar terbabit bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pelajar terbabit dalam keadaan stabil namun polis kini memantau keadaannya dan akan mengambil keterangan selepas keadaan kesihatannya mengizinkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, punca remaja itu berbuat demikian masih disiasat dan pihak pengurusan sekolah sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Pada 23 Mei lalu, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah yang sama maut selepas terjatuh dari tingkat tiga.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Syamil Ismail, 15 mengalami cedera parah akibat hentakan kuat  dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Tanggungjawab pelajar universiti


Oleh :  MOHAMAD ABDULLAH

UNIVERSITI-universiti di Malaysia ditubuhkan pada awalnya adalah untuk menyediakan sumber manusia yang dapat memenuhi keperluan negara khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi.

Hari ini, dengan hampir semua universiti sebahagian besarnya didominasikan oleh para pensyarah tempatan hasil usaha gigih melalui pelbagai dasar yang ada untuk membuktikan kemampuan sebenar kita. Namun terdapat banyak pandangan dan desakan agar kita membuka pintu seluas-luasnya untuk kemasukan tenaga pengajar luar dan memberi tempat kepada para pelajar antarabangsa, terutamanya dalam mengejar kedudukan dalam penarafan dunia.

Malah para pensyarah dan penyelidik universiti juga perlu menghasilkan penyelidikan dan penerbitan yang diiktiraf oleh pihak yang membuat penarafan dalam kaca mata kepentingan dan keperluan mereka malah menjadi rujukan oleh rakan-rakan akademia dunia untuk meningkatkan mata dalam penarafan.

Sekarang ini pula, terdapat pihak-pihak tertentu dalam kalangan mereka yang berada di dunia Barat pun mula melihat betapa kebanyakan penghasilan karya akademik dalam kerangka pemikiran dan keperluan rakyat tempatan di banyak negara tidak mendapat tempat dan diambil kira dalam usaha penarafan dan ini merugikan kepada masyarakat dan negara berkenaan.

Namun, kita perlu sedar bahawa, keutamaan universiti masih lagi kepada keperluan untuk menyediakan anak-anak muda kita menguasai ilmu pengetahuan dan mengisi peluang pekerjaan malah menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka dalam melakukan perubahan dan transformasi dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu masa kini dan masa hadapan.

Mereka yang melihat dirinya hanya datang untuk mendapat segulung ijazah dan kemudiannya dengan mudah diterima dalam sektor pekerjaan tentunya sudah tidak relevan dan tidak realistik.

Hakikatnya dengan bilangan besar yang mula menjejak kaki masuk kampus sekarang ini memerlukan satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk bersaing dan menjadi antara yang terbaik. Lihat sahaja persaingan kemasukan ke universiti yang amat sengit dengan keputusan pelajar sehinggakan PNGK yang 4.0 belum tentu mendapat tempat jika tidak disertai dengan kesesuaian diri dalam konteks memenuhi keperluan-keperluan lain yang ditetapkan mengikut keperluan pengajian dalam ijazah tertentu.

Mereka yang datang ke kampus dengan mimpi mencapai bulan, hidup dalam angan- angan dan membuang masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, akhirnya akan meninggalkan kampus dengan tangan kosong tatkala orang lain menggunakan universiti sebagai landasan untuk membina pembangunan sahsiah yang tinggi, daya kepimpinan dan bakat dalam diri dalam pelbagai bidang, mencapai kecemerlangan akademik dan gigih dalam dalam menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.

Masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya bukan sebagai ulat buku dan bijak dalam akademiknya sahaja, tetapi bersikap bijaksana dalam melihat keperluan masa hadapan.

Cabaran besar juga menanti mereka yang berada di universiti dengan menghadapi pelbagai perubahan yang ada. Pertama ialah pembelajaran kendiri yang tidak lagi bergantung kepada semata-mata kuliah dan pensyarah. Pensyarah hanya menjadi fasilitator manakala usaha mencari dan menerokai ilmu perlu dilakukan sepenuhnya oleh pelajar.

Kedua kaedah dan suasana pembelajaran yang jauh berbeza. Anak-anak muda yang memasuki kampus berhadapan dengan kepentingan untuk membuat keputusan, memilih dan melakukan yang terbaik untuk dirinya. Mereka perlu lebih berdisiplin dan menghargai kebebasan yang ada.

Mereka kini yang menentukan apa yang ingin dibuat dan jalan mana yang harus dipilih, apatah lagi apabila ibu bapa dan keluarga tidak lagi mempunyai peluang sepenuhnya untuk menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak, menyediakan keperluan harian dan sebagainya. Anak-anak muda inilah perlu bijak memilih kawan dan sebagainya.

Ketiga, mereka berhadapan dengan pelbagai isme dan pengaruh. Banyak pihak yang melihat anak-anak muda sebagai kumpulan yang ideal dalam pemikiran dan tindakan akan berusaha mempengaruhi sama ada di bilik kuliah dalam kalangan para pensyarahnya atau pun dalam kalangan pelbagai kumpulan yang cuba menarik dan memanfaatkan untuk kelompok atau kumpulan masing-masing.

Ini termasuklah dalam bentuk keagamaan, politik mahu pun isme tertentu yang kadang-kadang menjerat mereka hingga sanggup meninggalkan ibu bapa dan keluarga termasuk juga meninggalkan pengajian kerana terlalu terpengaruh dan yakin dengan apa yang ditanam dalam fikiran dan perasaan anak-anak muda ini.

Keempat, cabaran untuk membangunkan idealisme dalam kerangka pemikiran dan usaha yang realistik dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan. Universiti menyediakan segala kemudahan dalam menguasai pelbagai bahasa, meneroka dunia di mana sahaja, aktiviti kesukarelaan yang dapat membangunkan jati diri dan sahsiah yang tinggi, kegiatan berpersatuan yang mengasah bakat kepimpinan hinggalah kepada aktiviti penyelidikan bersama para pensyarah berpengalaman dalam menerokai ilmu sejauh-jauhnya, membangunkan kreativiti, imaginasi dan inovasi.

Semuanya adalah penting dalam membina dan membangunkan masa hadapan seseorang mahasiswa sebagai memenuhi kerangka tanggungjawab dan peranan universiti yang bersifat terbuka dan autonomi diri.

Hakikatnya anak-anak muda yang memasuki universiti perlu bijak berfikir dari sekarang untuk melihat jauh ke hadapan, membuat keputusan untuk menggunakan ilmunya untuk terus bergantung kepada orang lain atau membangunkan semangat keusahawanan dan memanfaatkan ilmunya untuk berdikari dan mencipta sesuatu yang baharu.

Mereka perlu terus bermain dengan imaginasi, kreativiti, inovasi dan kekuatan diri untuk terus mengharumkan nama sendiri, berakhlak dan berkeperibadian tinggi, menjaga maruah ibu bapa dan keluarga, melihat kepada kepentingan bangsa dan negara malah memaknakan kewujudan universiti sebagai institusi ilmu dan penyelidikan.

Tiga, empat atau lima tahun dari sekarang mereka bukan lagi akan bermain di tanah tumpah darahnya ini sahaja, malah menjadi warga dunia yang dapat memberi khidmat bakti, mencari pengalaman dan mendewasakan diri dengan pengalaman baharu dengan nilai-nilai universiti tanpa melupakan dari mana dia bermula dan jati diri yang ada. Kerana itu, mereka perlu siapkan diri dari sekarang kerana hari esok bermula pada saat ini. Ibu bapa dan keluarga perlu terus memantau, memahami dan menyokong untuk anak-anak mencapai cita-cita mereka.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib CanselorUniversiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/