Oleh : AZMI ABDUL
MALEK
Pengorbanan
anggota tentera untuk mempertahankan maruah, keselamatan dan ketenteraman awam
sentiasa dihargai oleh kerajaan dan rakyat.
Sehubungan itu
kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan kepada anggota Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) dan ahli keluarganya semasa bertugas dan selepas tamat
perkhidmatan secara berterusan dan berkekalan.
Melalui Jabatan
Hal Ehwal Veteran (JHEV), Kementerian Pertahanan, kerajaan menyediakan
peruntukan jutaan ringgit setahun untuk menanggung sebahagian besar kos
perubatan anggota dan ahli keluarga ATM serta bantuan pendidikan anak-anak
mereka selepas menamatkan perkhidmatan.
Ketua Pengarah
JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, berkata JHEV ditubuhkan bertujuan
menguruskan pengagihan manfaat persaraan termasuk pencen dan program kebajikan
bagi veteran ATM dan tanggungan mereka yang layak.
Menurutnya, pada
masa ini bilangan anggota veteran ATM dianggarkan 301,200 orang yang sebahagian
besarnya merupakan bekas tentera tidak berpencen. Secara purata dianggarkan
seramai 3,000 anggota ATM menamatkan perkhidmatan setiap tahun.
Veteran ATM
adalah berbeza dengan pesara-pesara perkhidmatan awam yang lain dari segi terma
perkhidmatan. Ada antara mereka yang berpencen (berkhidmat melebihi 21 tahun)
dan ada pula yang tidak berpencen (berkhidmat kurang daripada 21 tahun).
Antara
keistimewaan veteran ATM berbanding perkhidmatan awam yang lain ialah mempunyai
kemudahan rawatan perubatan percuma kepada semua veteran ATM tidak kira yang
berpencen dan tidak berpencen.
"Secara
purata, pembayaran kemudahan rawatan perubatan kepada veteran ATM berpencen dan
tidak berpencen adalah sebanyak RM38.1 juta setahun kepada 10,500 penerima.
"Bagi
golongan veteran yang miskin, tidak kira yang berpencen atau tidak berpencen,
jabatan menyediakan skim bantuan kebajikan dan pendidikan seperti bantuan sara
hidup, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan kemasukan ke institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) bagi anak-anak veteran ATM, bantuan peralatan pesakit dan
bantuan bencana alam," kata Zulkifli.
Semua veteran ATM
yang tidak berpencen, berpencen tetapi kurang dari paras garis kemiskinan atau
yang tidak berupaya bekerja (lumpuh), JHEV menyediakan beberapa skim bantuan
kebajikan dan pendidikan seperti bantuan sara hidup iaitu bantuan kewangan
untuk meringankan beban veteran atau tanggungannya yang kurang mampu pada kadar
maksimum RM300 sebulan.
Menurut Zulkifli,
bantuan persekolahan anak-anak veteran turut diberikan bagi meringankan beban
perbelanjaan persekolahan iaitu jumlah bantuan kewangan tahunan bagi sekolah
rendah RM500 manakala bagi sekolah menengah RM700 dan ia hanya diberikan kepada
seorang anak bagi satu keluarga.
JHEV turut
menyediakan bantuan kemasukan ke IPTA bernilai RM1,000 di peringkat diploma
RM1,500 peringkat ijazah pertama.
Bantuan peralatan
pesakit turut disediakan yang bertujuan memberi bantuan kewangan sekali gus
kepada veteran, isteri/suami dan tanggungan yang layak untuk membeli peralatan
bantuan sokongan seperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dan sebagainya -
dengan bantuan maksimum sebanyak RM5,000. Struktur rumah veteran yang mengalami
kerosakan akibat kebakaran, ribut taufan dan banjir turut mendapat bantuan
maksimum sebanyak RM5,000.
Secara purata,
JHEV mengeluarkan perbelanjaan skim bantuan kebajikan dan pendidikan sebanyak
RM10.5 juta setahun kepada 9,500 penerima.
Zulkifli berkata,
kerajaan turut memberi kemudahan dan kebajikan kepada bakal-bakal pesara dan
bekas pesara termasuk untuk veteran ATM yang ingin dan mampu bekerja.
Menurutnya,
sebelum menjalani latihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera
(Perhebat), bakal pesara akan mengambil ujian profiling untuk membantu mereka
memilih dan menentukan jenis kemahiran dan kecenderungan supaya memilih kursus
yang sesuai.
"Forum
khidmat nasihat diberikan kepada bakal pesara yang menjalani latihan peralihan
untuk memberi pengetahuan serta pengenalan kepada mereka. Usaha mencari dan
mencadangkan pekerjaan yang sesuai dengan pesara melalui sesi suai kenal dengan
bakal-bakal majikan juga diadakan," katanya.
Pesara akan
didedahkan dengan peluang-peluang kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran dan
kepakaran masing-masing.
Kementerian
menerusi JHEV juga melaksanakan program bagi membangunkan usahawan melalui
khidmat perunding dan pemantauan berkala. Pemantauan dibuat supaya sebarang isu
dan masalah dapat dibantu demi memantapkan usahawan yang terlibat.
Dalam masa
terdekat, Perhebat akan melancarkan program melahirkan usahawan dan kerjaya
kedua untuk veteran ATM yang tidak berpencen melalui peruntukan RM50 juta di
bawah bajet 2012.
Katanya, sejak 15
Oktober 2010 veteran ATM berpencen dan tidak berpencen serta tanggungannya
layak memohon bantuan mengurus jenazah daripada JHEV. Bantuan ini bertujuan
meringankan beban perbelanjaan pengurusan jenazah bagi veteran dan tanggungan
mereka.
Jumlah bantuan
yang diberikan adalah RM3,000 bagi veteran dan RM1,500.00 bagi tanggungannya
(pasangan dan anak).
Zulkifli berkata,
dari tempoh awal Januari sehingga akhir bulan Mei 2012, bayaran mengurus
jenazah yang dibayar JHEV adalah berjumlah RM2,458,500 yang melibatkan 944 kes
kematian.
Selain dari JHEV,
Kementerian Pertahanan juga menubuhkan Yayasan Veteran ATM (YVATM) untuk
melaksanakan program kebajikan tambahan dalam membantu meringankan beban
veteran ATM dan tanggungannya seperti melaksanakan sumbangan perayaan kepada
penerima bantuan sara hidup veteran berumur 70 tahun ke atas, balu, anak yatim
veteran ATM, veteran yang cedera semasa operasi dan veteran penerima peralatan
pesakit terlantar/OKU. Setiap penerima akan mendapat sumbangan RM500.
Kemudahan dan
bantuan yang disediakan kepada veteran ATM bukan sedikit. Kerajaan mampu
berbuat demikian kerana kecekapan pengurusan kewangan dan menstabilkan program
ekonomi sepanjang memerintah negara ini.
Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, veteran ATM hendaklah
terus menyokong dan berdiri teguh di belakang kerajaan sedia ada demi menjamin
masa depan diri dan ahli keluarga masing-masing terutamanya balu-balu ATM yang
memerlukan bantuan.
"Kerajaan
tidak pernah mungkir janji di samping memberi keutamaan bantuan dan kemudahan
mengikut kepentingan terdahulu," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan