Oleh : Mohd Azizuddin Mohd
Sani
Syria di ambang perang saudara yang dahsyat sekali. Kehancuran, kejahatan,
jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang berlaku menjadikan konflik yang
berlaku di Syria adalah yang terburuk pada era revolusi Arab selepas Libya yang
membawa kepada pembunuhan pemimpinnya, Muammar Gaddafi.
Setakat hari ini, pemimpin atau Presiden Syria, Bashar al-Assad masih
bertahan daripada serangan dan pemberontakan yang dilakukan oleh golongan yang
tidak puas hati dengan kekejaman yang dilakukan oleh rejim al-Assad sepanjang
revolusi Arab bermula tahun lalu.
Sejak akhir 2011, sekumpulan rakyat yang disertai sebahagian tentera Syria
yang berpaling tadah menentang rejim al-Assad dan pejuang jihad dari Kuwait,
Tunisia, Algeria dan Pakistan bergabung membentuk Tentera Pembebasan Syria.
Mereka memulakan kempen menentang tentera Syria secara bersenjata. Namun
tidak jelas siapa yang memimpin tentera pemberontak ini, namun ia didominasi
oleh pejuang Muslim Sunnah menentang tentera Syria yang didominasi golongan
Muslim Alawite yang berfahaman Syiah.
Pada 18 Julai 2012, rejim al-Assad menerima tamparan hebat apabila gerakan
pemberontakan memasuki Damsyik dan berjaya meletupkan bangunan keselamatan
negara ketika mesyuarat penting keselamatan sedang berlangsung.
Serangan itu menyebabkan Menteri Pertahanan, Dawood Rajiha; Timbalan
Menteri Pertahanan, Assef Shawkat yang juga abang ipar al-Assad; Ketua
Penasihat Keselamatan, Hisham Ikhtiar dan Penasihat Keselamatan, Hasan Turkmani
terbunuh dalam insiden itu, manakala Menteri Dalam Negeri, Ibrahim al-Shaar
pula cedera parah.
Untuk menghadapi keadaan ini, al-Assad terus melantik Jeneral Fahd Jassem
al-Freij sebagai Menteri Pertahanan yang baru. Insiden ini menyebabkan tentera
Syria mengukuhkan kedudukannya di Damsyik dan cuba mencari dalang kepada pengeboman
itu yang sudah pasti dilakukan oleh orang dalam yang berpaling tadah menyokong
puak pemberontak.
Walaupun apa yang berlaku selepas ini, konflik di Syria menyebabkan krisis
kemanusiaan yang amat dahsyat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan
bahawa setakat ini, antara 9,000 hingga 11,000 penduduk Syria terbunuh,
termasuk 2,400 hingga 3,500 puak bersenjata dan 400 kanak-kanak, khususnya
dalam peristiwa di selatan bandar Daraa pada Mac 2011.
Ini termasuk juga pembunuhan beramai-ramai 100 penduduk sebuah kampung
Al-Qubair yang dikatakan dilakukan oleh tentera Syria. Nilai kemanusiaan
diketepikan oleh rejim al-Assad apabila mereka mengebom Homs. Malah, kumpulan
militia separa tentera prokerajaan, Shabiha, juga banyak melakukan jenayah perang
dan penyeksaan terhadap penduduk awam.
Sebenarnya, jenayah perang dan kemanusiaan juga dilakukan oleh puak
pemberontak. Banyak insiden pencabulan hak asasi manusia dilakukan seperti
penyeksaan terhadap tahanan, penculikan, dan pembunuhan terhadap penduduk awam,
penyokong kerajaan, golongan Shabila dan tentera Syria.
Puak pemberontak juga dikatakan melakukan kesilapan strategi dengan
menguasai sebahagian wilayah Homs seperti di Baba Amr yang menyebabkan tentera
artileri Syria dihantar untuk memusnahkan pemberontak lantas menyebabkan
kemusnahan penempatan dan kematian awam yang berleluasa.
Akhbar yang berpusat di Jerman, Frankfurter Allegemeine Zeitung (FAZ)
melaporkan bahawa peristiwa pembunuhan beramai-ramai di al-Qubair dan juga yang
berlaku di Hula sebenarnya bukan dilakukan oleh tentera Syria, malah dilakukan
oleh pemberontak sendiri.
Mangsa adalah daripada komuniti Syiah dan Alawite. Jadi jenayah pembunuhan
kanak-kanak di tempat terbabit sebenarnya dilakukan oleh puak pemberontak.
Bagaimanapun, wakil PBB masih belum dapat memastikan siapa dalang yang
melakukan jenayah kemanusiaan itu dan masih menyiasat insiden berkenaan.
Apa yang pasti, konflik yang berlaku di Syria menyebabkan lebih 200,000
penduduk awam Syria menjadi pelarian di negara jiran seperti Jordan, Turki,
Lubnan dan Iraq.
Tidak banyak tindakan dan tekanan masyarakat antarabangsa yang dapat
membantu menyelesaikan konflik di Syria. Pihak pemberontak cuba menarik
perhatian dunia akan jenayah perang dan perikemanusiaan yang dilakukan rejim
al-Assad untuk menarik campur tangan ketenteraan asing ke Syria seperti yang
berlaku dalam konflik di Libya. Puak pemberontak menyedari yang mereka tidak
akan dapat menjatuhkan rejim al-Assad sekiranya tiada campur tangan asing
walaupun bantuan senjata dan kewangan disalurkan secara rahsia oleh elemen yang
menyokong perjuangan pemberontak dan golongan Sunnah di Syria.
Apa yang pasti konflik di Syria adalah lebih kompleks dan rumit untuk
diselesaikan berbanding konflik di Libya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my