TEMPOH persaraan sering dianggap hari bagi seseorang berehat daripada alam pekerjaan yang diceburi sejak berpuluh-puluh tahun. Apabila bersara lazimnya seseorang akan berasa gembira kerana mempunyai lebih banyak masa untuk berehat. Mereka juga dapat meluangkan masa bersama keluarga, melakukan amal ibadat dan memberi tumpuan kepada bidang diminati yang selama ini tidak dapat dilakukan kerana kesibukan tugas. Malangnya, ramai juga pesara, walaupun sudah melewati usia emas terpaksa bekerja semula kerana menghadapi masalah kewangan. Ini berikutan kegagalan mengurus wang yang diterima sama ada daripada sumber pencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Keadaan menjadi bertambah buruk sekiranya ketiadaan tabungan sendiri. Berdasarkan kajian, KWSP mendapati 70 peratus daripada ahli KWSP bersara pada usia 55 tahun menghabiskan caruman mereka antara tahun pertama hingga tahun ke-10. Hasil kajian itu pastinya membimbangkan kita kerana tanpa kedudukan kewangan yang stabil, ia boleh mencetuskan masalah sosial pada penghujung kehidupan seseorang. Bagi pesara mempunyai anak yang mampu menjaga apabila bersara, pastinya dapat menjalani hari tua dengan lebih selesa, tetapi bagaimana pula jika sebaliknya.
Golongan inilah yang terpaksa hidup merempat. Ada yang terpaksa tinggal di rumah orang tua kerana tidak mampu menyara kehidupan sendiri. Kos hidup yang semakin tinggi, terutama kos perubatan menjejaskan kualiti hidup pesara. Justeru, saranan Persatuan Pesara Kerajaan (PPK) agar diwajibkan kakitangan kerajaan menjalani kursus prapersaraan amat bertepatan. Presidennya, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, kelmarin mencadangkan agar kursus berkenaan dilaksanakan sekurang-kurangnya setahun sebelum tamat tempoh perkhidmatan kakitangan kerajaan terbabit. Kita yakin kursus seumpamanya dapat membantu pesara merancang kewangan dengan sebaik-baiknya. Kita akui tidak semua pekerja, termasuk daripada sektor swasta dapat mengurus wang secara bijak. Kita mahu setiap pekerja memahami selok-belok menabung, melabur dan membelanjakan wang secara berhemah menjelang hari persaraan.
Kita tidak mahu pesara menggunakan sebahagian besar wang diperoleh apabila bersara untuk membayar hutang seperti rumah atau kenderaan sehingga tidak dapat menampung kehidupan lain, setidak-tidaknya bagi keperluan makan dan minum. Pesara sewajarnya dapat menambah pendapatan melalui perniagaan yang terhindar daripada risiko kerugian atau penipuan. Kita juga mahu mereka berhati-hati menggunakan wang bagi tujuan pelaburan. Apapun, kursus perancangan kewangan ini tidak sewajarnya diikuti pekerja yang menghampiri usia persaraan saja. Ia sepatutnya turut diberi perhatian kepada pekerja muda agar tidak membelanjakan gaji sesuka hati sehingga tiada tabungan. Mengikut pakar perancangan kewangan, individu bersara memerlukan kira-kira 60 peratus daripada pendapatan akhirnya untuk mengekalkan taraf hidup seperti sebelum bersara. Malah, rakyat Malaysia memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk memastikan kehidupan selesa apabila bersara. Namun berdasarkan maklumat KWSP, sehingga akhir 2009 bilangan pencarum mempunyai nilai simpanan mencecah RM1 juta cuma 7,464 ahli. Ia satu jumlah yang kecil jika diambil kira 12.35 juta keseluruhan ahli KWSP setakat Mac tahun lalu. Ini bermakna tidak sampai satu peratus pencarum hidup selesa apabila bersara. Justeru, setiap pekerja perlu berhemah dan bijak mengurus kewangan menjelang hari persaraan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan