KUALA LUMPUR : Seramai
54,697 calon akan menduduki peperikasaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) 2012 di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 19 November ini
hingga 13 Disember depan.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)
dalam satu kenyataan Jumaat menyebut, daripada jumlah itu, seramai 49,163 orang
adalah calon sekolah kerajaan, 1,186 calon sekolah swasta, 4,224 calon
persendirian individu dan 124 calon sekolah kerajaan negeri.
"Mereka merupakan calon
kohort terakhir yang akan menduduki peperiksaan STPM sedia ada.
"Calon kohort pertama
peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran baharu STPM telah pun menduduki
peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 mereka pada 5 hingga 8 November lepas,"
kata MPM.
Kesemua calon dinasihati supaya
sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC)
sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung dan digalakkan untuk menyemak nama
pusat peperiksaan yang akan mereka duduki.
Calon juga boleh mencetak LPKC
masing-masing melalui portal MPM di http://www.mpm.edu.my.
Sekiranya berlaku sebarang
bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh sehingga menyebabkan calon
menghadapi kesukaran untuk sampai ke pusat peperiksaan, mereka dinasihati pergi
ke pusat peperiksaan berdekatan untuk menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut.
MPM juga membuka Bilik Gerakan
yang boleh dihubungi di talian 03-61302666, 03-61369663, 03-61302664 atau
03-61302646 dari 7 pagi hingga 6 petang. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan