Isnin, 2 Jun 2014

ISU SOSIAL : Keprihatinan semua pihak elak kejadian jenayah


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

JENAYAH terutamanya yang melibatkan seksual amat membimbangkan kita sejak kebelakangan ini. Ini kerana kes-kes yang melibatkan serangan seksual amat luar biasa sekali, malah ia membabitkan pende­raan kanak-kanak hingga membawa maut.

Hati mana yang tidak hiba membaca laporan akhbar mengenai anak remaja yang diperkosa oleh hampir 40 lelaki, isteri orang diperkosa beberapa lelaki dan anak kecil dikelar hingga mati.

Semuanya adalah sebahagian episod sedih yang amat menyayat hati. Malangnya, tidak ada sangat kedengaran suara-suara lantang mengutuk kekejaman ini oleh pertubuhan sukarela atau mereka yang selama ini begitu prihatin apabila orang tertentu yang dikatakan dizalimi mereka mem­belanya dengan bangkit melakukan pelbagai provokasi yang mengganggu ketenteraman awam.

Jika ada pun, kebanyakannya hanya pandai menuding jari menyalahkan pihak berkuasa dan orang lain, bukan mahu bersama-sama menggembleng tenaga untuk menangani pelbagai kekejaman ini.

Kita tentunya masih ingat kes-kes per­kosaan yang mangsa dicampak keluar daripada bas, dibakar hangus dan banyak lagi yang berlaku dalam masyarakat kita dalam beberapa tahun sebelum ini.

Adakah kesibukan kita mencari wang untuk mencari kesenangan hidup atau terlalu sibuk dengan berpolitik dari pilihan raya umum ke pilihan raya kecil menjadikan isu-isu seperti ini tidak berbekas di hati kita?

Alangkah malangnya bagi masyarakat kita yang melihat sesetengah orang yang lantang bersuara di pentas politik mene­lanjangkan musuhnya, sedangkan musuh sebenar ini yang menakutkan kehidupan kita seharian, hanya dilihat sebelah mata dan tidak pun berusaha memainkan pe­ranan dan pengaruhnya kepada masyarakat untuk menanganinya.

Adakah kita hanya menunggu mangsa seterusnya yang mungkin anak-anak kita, adik-adik kita, ibu kita malah kaum keluarga terdekat atau bau-bau bacang malah juga sahabat taulan yang melalui pengalaman ngeri ini baharulah kita bangkit dan marah semua orang, kecuali diri sendiri?

Sudah sampai masanya kita memainkan peranan bersama-sama menangani isu serius ini. Kecelaruan dan kekeliruan nilai dan pemikiran ternyata menjadi sebab utama mengapa hal seperti ini tidak dilihat sebagai tanggungjawab bersama.

Kita agaknya keliru antara kebebasan peribadi dengan hak masyarakat, antara keperluan dan tanggungjawab bersama dengan tanggungjawab pihak berkuasa malah nilai-nilai mengambil berat, saling mengambil tahu dan kekeluargaan yang semakin jauh jaraknya dari kita.

Agak malang, tatkala kita menghampiri usaha untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, nilai-nilai ini semakin jauh daripada kita. Jiran tetangga sudah tidak bertegur sapa. Sahabat handai lebih selesa berkomunikasi melalui khidmat pesanan ringkas, Internet dan media sosial.

Konsep langit terbuka mengundang padah dan membentuk nilai-nilai baharu yang berteraskan kebebasan individu yang keterlaluan, memancing kepada tarikan-tarikan seksual yang bagi setengah pihak lebih mudah menyalahkan orang lain daripada memperkasakan konsep keimanan dan ke­sejahteraan yang diinginkan bersama.

Sudah sampai masanya kita melihat semula seluruh nilai yang ada dan ber­usaha membangunkannya semula dalam kerangka keperluan semasa secara serius, walaupun dengan berpatah balik kepada nilai-nilai tradisional yang dianggap lapuk dan ketinggalan.

Nilai-nilai tradisional yang berteraskan kepada kearifan luar biasa yang menyatukan masyarakat dan saling bersikap prihatin, menjaga kemaslahatan bersama dan berusaha keras menegur dan memberikan isyarat sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku dalam masyarakat.

Ini juga perlu dilihat secara menyeluruh yang melibatkan seluruh anggota masyarakat, ilmuwan, pemimpin politik, pemimpin institusi dan organisasi, ibu bapa dan pelbagai pertubuhan yang ada.

Kecelaruan nilai yang membentuk generasi hari ini yang hanya berteraskan matlamat menghalalkan cara seharusnya dilihat dan difikirkan semula untuk menangani pelbagai gejala yang ada.

Cukup-cukuplah kita memaki hamun orang lain semata-mata kerana perbezaan pendapat dan pegangan politik sebaliknya lihatlah kepada usaha positif untuk membangunkan masyarakat masa depan yang lebih sejahtera dan bahagia, menghormati pendapat orang lain dan prihatin kepada pelbagai isu yang ada.

Yang penting kembali membangunkan kekuatan untuk menghadapi gejala-gejala jenayah yang kita depani sekarang ini.

Gunalah saluran agama yang sering membentuk kita dalam saling menyayangi dan menghormati hak sesama manusia serta mengawal diri daripada nafsu serakah.

Kita harus mengutuk keras segala bentuk ancaman ini dan menggembleng apa jua kekuatan yang ada untuk membanterasnya secara bersama walaupun berbeza pegangan politik dan pandangan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/