Perjuangan Kementerian Kesihatan membela komuniti bukan perokok yang terseksa menanggung kesan sampingan, yang jumlahnya jauh lebih besar akan diteruskan sehingga bilangan perokok dapat disifarkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa antara intervensi yang terawal akan dilaksanakan adalah menambahkan satu lagi zon larangan merokok yang kini mengandungi 20 lokasi.
Apa yang menarik ialah tambahan lokaliti sektor swasta yang mempunyai sistem penghawa dingin berpusat merupakan suatu tindakan yang menuntut kerjasama dan pengorbanan daripada pihak-pihak seperti majikan sesebuah institusi swasta.
Kita telah dimaklumkan bahawa kesan asap rokok kepada orang yang berada di sekitar tidak kurang hebatnya berbanding dengan kesan kepada perokok itu sendiri. Tambahan pula dalam keadaan tertutup dan peredaran udara yang terhad, ruang kerja atau pejabat yang tersedia sistem pendingin hawa berpusat ini akan menambahkan lagi risiko kepada rakan sepejabat.
Tahniah kepada kementerian yang memahami jiwa-jiwa rakan sepejabat yang selama ini tertekan akibat terpaksa hidup dan bekerja dalam keadaan bukan sahaja tidak selesa dari segi bau busuk tembakau tetapi juga tidak baik untuk kesihatan perokok.
Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaannya harus diperkemaskan. Kita dapat melihat bukan sahaja dalam paparan media bahawa sikap perokok adakalanya sengaja ingin mencabar larangan-larangan ini.
Mereka tidak menghiraukan sama ada kawasan itu diwartakan atau tidak larangan merokok, asalkan tiada orang yang menangkap dan mengenakan denda, maka selama itulah asap rokok akan berkepul-kepul di kawasan tersebut.
Paparan di media yang pernah menunjukkan perokok begitu bergaya menggantungkan puntung rokok di mulut di hadapan papan tanda 'Dilarang Merokok' merupakan satu manifestasi betapa hitamnya pemikiran mereka untuk memahami nasihat yang begitu mudah, hatta yang mudah difahami oleh seorang kanak-kanak sekolah rendah.
Kajian demi kajian yang salah satunya terbaru diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa (Substance Use and Misuse keluaran Jun 2010) mengesahkan kaitan antara kebijakan emosi yang rendah dalam kalangan perokok berbanding bukan perokok.
Penukaran gambar amaran pada kotak rokok juga dilihat bertepatan kerana seperti yang dinyatakan oleh menteri, perokok sudah lali dengan paparan yang sama. Mungkin mereka juga akan lali dengan paparan-paparan amaran baru tetapi itulah hakikat yang harus kita terima apabila ketagihan telah menguasai pemikiran, yang buruk tak nampak teruk.
Namun, mesej tetap harus disampaikan bahawa komplikasi merokok bukan sahaja apa yang mereka selalu atau pernah lihat, bahkan masih banyak lagi perhiasan ngeri yang harus mereka bawa di dalam poket.
Walaupun terdapat kekangan untuk kerajaan melaksanakan pengharaman penjualan rokok kurang 14 batang kerana aspek rokok seludup haram yang angkanya berlegar sekitar 40 peratus juga perlu dipertimbangkan, namun insentif-insentif baru yang diumumkan oleh kementerian ini menunjukkan betapa usaha memberitahu masyarakat bahawa 'tolonglah jangan merokok' merupakan satu usaha berterusan yang tidak pernah dilupakan.
Kita harus menyokong tindakan-tindakan ini. Sesungguhnya apa yang dilakukan semuanya untuk kebaikan perokok juga serta mereka yang berada di sekitarnya.
Jika mereka melihat usaha-usaha ini sebagai suatu halangan, maka mereka telah tersilap besar. Bahkan mereka harus berterima kasih kepada kementerian yang membantu dan memaksa menyedarkan mereka yang hanyut dan kelam akibat diselubungi asap rokok.
Dr. Irfan Mohamad
Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia, Kelantan
Sumber : http : //www.utusan.com.my/