MALAYSIA adalah sebuah negara
yang sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam pengurusan keharmonian antara
kaum. Ini kerana lebih 50 tahun merdeka, tidak ada pergolakan kaum yang
benar-benar serius.
Beberapa siri insiden yang
melibatkan perkauman dapat diselesaikan dengan jayanya. Kebanyakan insiden
perkauman di Malaysia berpunca daripada sensitiviti perkauman dan keagamaan. Ia
adalah api kecil yang boleh marak dengan pantas sekiranya tidak dipadam dengan
cara yang berhikmah.
Tambahan pula dengan keunikan
masyarakat Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum majoriti dengan tiga agama
utama. Unsur-unsur kebudayaan Melayu jelas dalam amalan Islam di Malaysia serta
banyak pengaruh Islam terhadap kebudayaan Melayu. Begitu juga dengan amalan
agama Buddha dan Hindu yang turut diwarnai oleh pengaruh kebudayaan Cina dan
Hindu.
Penyerapan unsur budaya warisan
dalam tradisi sesuatu kaum dalam amalan keagamaan menjadikan banyak fenomena hidup
berlainan kaum memiliki elemen-elemen sensitiviti. Haiwan-haiwan seperti lembu,
khinzir dan anjing adalah antara makhluk yang berpotensi menjadi isu sensitif
jikalau ia dibincangkan dalam konteks yang tidak berhikmah. Keadaan sebeginilah
yang menjadikan situasi budaya di Malaysia amat berbeza dengan negara-negara
luar. Faktor-faktor sosio budaya ini jugalah mempengaruhi pemilihan lokasi
kediaman, bentuk pendidikan, hala tuju kerjaya dan pelbagai lagi.
Banyak kajian empirikal berkaitan
hubungan etnik di Malaysia mendapati bahawa masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia lebih selesa untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing ekoran
daripada persamaan sosio-budaya yang memudahkan urusan penjagaan sensitiviti
kaum. Malah, ramai yang berasa lebih selesa memilih lokasi kediaman yang sama
kerana persamaan bahasa, budaya, cara fikir serta agama.
Hari ini, kita dapat lihat banyak
kawasan yang diberi jolokan seperti kawasan Melayu, Cina dan India namun itu
bukan bererti tiada kaum lain dalam kawasan kediaman tersebut. Biarpun banyak
usaha dilakukan kerajaan untuk mempertemukan masyarakat pelbagai etnik dalam
satu agenda perpaduan seperti menerusi konsep Sekolah Wawasan, kuota perumahan
bumiputera-bukan bumiputera, penyaluran geran penyelidikan kesepaduan sosial secara
jangka panjang, Program Kesepaduan Sosial Negara (PADU), Rancangan Integrasi
Murid untuk Perpaduan dan bermacam-macam lagi, masyarakat pelbagai etnik masih
cenderung untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing.
Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat
pelbagai kaum masih memilih untuk berada dalam kelompok majoriti kaum
masing-masing tetapi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Mungkin inilah cara
masyarakat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian. Setiap etnik dilihat yang
lebih cenderung untuk bersama-sama kelompok etnik masing-masing dan pada masa
yang sama menjaga sensitiviti kaum lain.
Maka, isu-isu sensitif dibicarakan
dalam kelompok etnik masing-masing secara bersemuka, berhikmah, dalam skop dan
konteks yang terkawal iaitu demi menjaga hati sahabat berlainan kaum.
Saya pasti isu-isu sensitiviti
kaum sering dibincangkan tetapi dalam skop yang benar-benar terkawal kerana
perbincangan umum isu sensitif boleh melukakan hati sahabat berlainan kaum.
Namun, tanpa disedari kecanggihan teknologi telah membuka wadah baru dalam
perbicaraan isu-isu sensitif.
Banyak isu sensitif telah menjadi
bahan perbualan, perdebatan dan sindiran di laman-laman maya untuk aktiviti
interaksi sosial. Media sosial seperti Facebook dan Twitter telah mengumpulkan
rakan-rakan dalam satu forum terbuka. Jaringan sosial dalam media sedemikian
tidak lagi terhad kepada sesuatu kaum di Malaysia malah telah menjadi wadah
global yang teramat terbuka. Natijahnya, segala isu dibincangkan tanpa batasan
dan berpotensi menjadi punca kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama.
Hari ini, banyak perkara yang
dahulunya taboo telah menjadi perkara biasa dalam perbincangan di media sosial.
Perlu disedari bahawa media sosial adalah satu akses terbuka yang boleh
tersebar dengan cepat. Sejarah membuktikan bahawa kegagalan mengurus
sensitiviti kaum dan agama adalah penyumbang utama kepada ketidakselesaan dalam
kalangan masyarakat, malah berupaya mengundang risiko.
Justeru, dalam keadaan tahap
pendidikan kebanyakan masyarakat di Malaysia makin tinggi, kesedaran tentang
peri pentingya keharmonian untuk kelestarian keamanan negara amatlah penting.
Saya pasti, dalam segenap proses pendidikan semenjak di bangku sekolah sehingga
universiti, para pendidik amat menitikberatkan perbincangan isu sensitif secara
berhikmah dan terkawal. Jangan kerana emosi, keharmonian tergadai.
PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan