KUALA LUMPUR 26 Mei - Sejumlah 486 kes pemerdagangan orang dan 672 tangkapan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan dari 2008 hingga 24 Mei tahun ini, demikian menurut Majlis Anterpemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).
Daripada jumlah itu, mangsa yang telah diselamatkan dan
mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) terdiri daripada 264 lelaki, 636
wanita dan 124 kanak-kanak.
Menurut kenyataan MAPO hari ini, dalam tempoh tersebut
sebanyak 34 kes penyeludupan migran dilaporkan dengan membabitkan 49 tangkapan
dan 716 migran diseludup.
Statistik itu telah dibentangkan pada Mesyuarat MAPO yang
dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Datuk Alwi Ibrahim, semalam.
Bagi kes pendakwaan dalam tempoh tersebut, sebanyak 422 kes
telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
2007 sementara 88 kes berjaya disabitkan dan 70 kes telah diselesaikan.
Sementara itu, lima mangsa pemerdagangan warga India telah
diberi kebenaran untuk tinggal dan bekerja di Malaysia baru-baru ini selaras
dengan keputusan Bengkel Proses Bali Peringkat Menteri Mengenai Penyeludupan
Manusia, Pemerdagangan Orang dan Perlindungan Mangsa Berkaitan Jenayah
Transnasional di sini pada Januari lalu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan