Oleh : Nik Salida Suhaila
Rasulullah jadikan diri 'role model' untuk diikuti setiap
Muslim
Ketika membangunkan masyarakat
Islam selepas peristiwa hijrah, Rasulullah SAW memulakannya dengan membina
akhlak mulia sesama saudara seagama. Umum tahu bukan mudah menyatupadukan
banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah SAW meskipun ada cabarannya.
Akhlak ditonjolkan Baginda SAW
menjadi pengajaran paling berkesan. Sejarah membuktikan keperibadian mulia
membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya tidak akan dimusnahkan oleh tipu
daya dan hasad dengki sesama manusia.
Rahsia kejayaan Rasulullah SAW
sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi
sahsiah serta keperibadiannya sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang
dipaparkan dalam al-Quran.
Tanpa apa-apa kepentingan di
dunia, Baginda memimpin orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu
Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda bawa bermusyawarah. Laba dari inilah
yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti
bukan kepentingan diri.
Ia juga kerana Baginda tahu
bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya
bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun. Bahkan inilah sebab utama
diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya
pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah Al-Ahzab,
ayat 21)
Salah satu cara terbaik untuk
membentuk akhlak mulia ialah melalui pendidikan berasaskan contoh teladan yang
baik. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada
tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu, membimbing dan
menjadi ‘role model’.
Antara aspek terpenting yang
harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang
seimbang dalam pemikiran, tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal
serta berakhlak yang sebenar.
Rasulullah SAW menunjukkan kepada
sahabat supaya bersifat benar dalam perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak
ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain
atau melakukan perbuatan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Hari ini, kebanyakan kepincangan
dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah
disebabkan oleh sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di
dunia.
Selain itu, sabar dalam semua
keadaan perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda
terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah SAW
sehingga dikagumi sahabat dan musuh yang bersama Baginda semasa hayatnya.
Kesabaran Rasulullah SAW
menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda hingga dapat dinikmati seluruh Muslim
hari ini. Baginda juga bersedia berdepan fitnah dan ancaman musuh yang datang
dari segenap ceruk.
Satu sifat yang mulia yang
ditonjolkan Rasulullah ialah pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat
atau musuh serta mudah bertolak ansur selain tidak pernah marah melainkan
kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW tidak pernah
melemahkan diri Baginda dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa
marah yang mengawal akal.
Ketenangan Baginda juga
menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti disukai ramai.
Rasulullah SAW mendidik sahabat
menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah
masyarakat Islam begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung
mencintai kebaikan.
Kegagalan membentuk masyarakat
yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini
seperti firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di
darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.
(Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari
balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan
bertaubat).” (Surah Al-Rumi, ayat 41)
Penulis adalah Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber : http : //ww.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan