Rabu, 26 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Permohonan Masuk Ke Tingkatan Empat MRSM Dibuka 1 Oktober


KUALA LUMPUR : Permohonan kemasukan ke Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2013 akan dibuka secara 'online' mulai 1 Oktober ini selama sembilan hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, permohonan dan keterangan lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web  www.mara.gov.my. BERNAMA

ISU SOSIAL : Pemberi rasuah mesti diperangi


Oleh : Akhbar Satar
 
Apakah masyarakat tahu bahawa perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah. Kesalahan pemberi adalah sama dengan penerima dan jika disabitkan, seseorang itu berhadapan hukuman berat termasuk penjara dan denda. Rupa-rupanya ada juga antara kita tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.

Ada juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah saja. Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral. Seperti kata pepatah ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya. Penulis ingin mengingatkan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah adalah kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.

Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

SPRM juga sudah melancarkan kempen membanteras rasuah yang turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.

Kita perlu ingat bahawa penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah jika dalam proses pemberian berkenaan ada unsur ‘niat jahat’ untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada penerima sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu pada masa akan datang.

Sesuatu pemberian atau penerimaan yang mempunyai ciri ‘niat jahat’ boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang luar biasa dan tidak munasabah. Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat berbahaya kerana penerima boleh menyimpan bukti yang mencukupi untuk digunakan pada masa depan. Penerima jika berasa terancam juga akan menggunakan maklumat sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta-merta. Apabila sesuatu membabitkan wang ringgit, ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak dipedulikan.

Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.”

Penulis juga ingin mengingatkan bahawa kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah, jangan beri rasuah. Cuba elak daripada melakukan kesalahan supaya kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.

Pada pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa juga sogokan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen menerusi media massa. Seksyen ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis serta-merta.

Namun begitu, kajian ahli kriminologi menjelaskan bahawa rasuah adalah jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Daripada sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu saja dilaporkan. Kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan bersama.

Balasan Allah SWT kepada mereka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi, kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil dari rasuah itu dihabiskan oleh anak dalam sekelip mata. Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga Hari Akhirat kelak, tunggulah!

Kecenderungan rasuah berpunca daripada ceteknya pengetahuan agama, kurangnya iman dan takwa, naluri tamak, desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Ibnu Khaldun dalam karya agungnya bertajuk Muqaddimah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewahan hidup berlebihan mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.

Antara kesan buruk gejala rasuah ia menimbulkan masalah seperti kemerosotan ekonomi, ketidakadilan, pengabaian kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : MPP: Membangun persepsi mahasiswa negara


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

BERTAHUN-TAHUN menyaksikan perang poster dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti dan perjalanan aktiviti selepas selesainya pemilihan, terfikir apakah yang direbutkan sangat dalam kalangan siswa-siswi selama ini.

Tiada ganjaran besar dari segi wang ringgit mahu pun gaji lumayan. Benarkah terdapat puak-puak dalam kalangan mereka atau ada pihak yang sengaja mengadu-domba siswa-siswi sebagai cerminan terhadap pilihan raya umum yang kian hampir?

Adakah benar bahawa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar adalah proksi kepada proses pilihan raya di luar dan melambangkan pemikiran dan kematangan siswa-siswi kita atau ia sekadar proses pemilihan biasa yang berjalan sebagai sebahagian daripada rutin aktiviti kampus yang sesetengah pihak dan penganalisis menganggapnya sebagai gambaran kelesuan aktiviti mahasiswa universiti sekarang.

Sebagai seorang yang menyaksikan putaran aktiviti dan pemilihan yang dilakukan saban tahun, hakikatnya anak-anak muda di universiti kita berusaha untuk melaksanakan proses demokrasi yang kita percayai dan memperjuangkan idealisme yang mereka yakini.

Oleh itu adalah wajar dibiarkan mereka meneruskan proses kedewasaan dan kematangan dalam melaksanakan demokrasi ini dengan cara tersendiri tanpa adanya campur tangan, apatah lagi usaha-usaha untuk menjadikannya sebagai proksi mana-mana pihak.

Biarkanlah mereka bebas menzahirkan pemikiran dan perancangan dalam berpolitik serta bersaing atas kebijaksanaan, bukannya atas kekuatan orang lain atau parti politik yang menjadi pegangan.

Barisan kepimpinan mahasiswa yang dipilih pula sewajarnya melupakan segala perbezaan pandangan, sebaliknya bersatu menggerakkan secara profesional. Bukan sekadar menjaga kebajikan mahasiswa, tetapi MPP yang dibentuk seharusnya menjadi payung kepada persatuan, pertubuhan dan kelab dengan mengemukakan idea-idea yang jauh lebih besar untuk dilaksanakan secara berfokus berteraskan pemikiran yang dilaungkan semasa proses pemilihan.

Di sinilah ujian sebenar kepimpinan mahasiswa pada abad ini. Aktiviti-aktiviti konvensional yang sekadar membawa mahasiswa ke kampung pedalaman dan desa terpencil barangkali makin kurang relevannya yang boleh diserahkan sahaja kepada persatuan dan kelab.

Sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada usaha membentuk pemikiran besar, menjana kekuatan minda dan bagaimana melibatkan siswa-siswi universiti dalam proses transformasi yang rancak dilakukan sekarang dalam pelbagai bidang. Malah bersama-sama memastikan usaha memposisikan dunia mahasiswa dapat dibuat dengan betul, dipandang tinggi dan disegani termasuk di pentas dunia.

Seharusnya MPP di universiti dapat terus memainkan peranan yang sebagai suara dan juara anak-anak muda dalam memperkatakan isu-isu sejagat, kemanusiaan dan keilmuan serta menentang segala ketaksuban, penghinaan dan anti-akademia yang hanya berasaskan perasaan dan sesetengahnya menyalakan api kebencian dan permusuhan dalam konteks yang sangat peribadi dan terpencil.

Malah MPP juga wajar menjadi tenaga penggerak aktiviti kesukarelawanan yang lebih berwadah dan terancang secara sendiri apatah lagi menghidupkan kampus dengan wacana-wacana ilmu saban minggu dalam membincangkan isu-isu masyarakat, memperjuangkan nilai-nilai universal yang sesuai dengan budaya dan semangat kepelbagaian negara serta memimpin mahasiswa dalam mencorakkan masa hadapan yang diinginkan sebagai gambaran dalam senario masa hadapan.

Hal ini hanya dapat dilakukan jika MPP berada pada landasan yang betul dalam konteks kepimpinan mahasiswa seperti mana yang ditunjukkan oleh Dewan Perundingan Pelajar sebagai manifestasi parlimen mahasiswa yang tidak dicampuri oleh universiti selain daripada bantuan keurusetiaan untuk memastikan ia berjalan lancar.

Kita perlu berhenti dengan apa jua label seperti mana syarat untuk mereka bertanding. Kita perlu memastikan agar mereka tidak menuding jari dalam apa jua keadaan pun, sebaliknya menggunakan segala kreativiti untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

Mereka juga perlu belajar bahawa gagal atau berjaya adalah mainan hidup dan dalam politik termasuk politik kampus, tidak ada 'musuh' dan 'sahabat' yang kekal.

Jika kita terima perkara ini sebagai proses mendewasakan anak-anak muda, maka semua pihak perlu menerima secara terbuka dan meminta mereka bekerjasama dalam kepelbagaian pemikiran untuk memastikan MPP menjadi suara sebenar anak-anak muda di universiti.

Seperti kata Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman: "Biarkan mereka bertanding sebagai ilmuwan dengan penuh budi pekerti dan saling menghormati dan jika ada yang tertinggal, banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk meminta dan melontarkan idea."

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/