Isnin, 26 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Memupuk semangat kemerdekaan dalam jiwa setiap warga Malaysia


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

MALAYSIAKU Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku merupakan tema kemerdekaan tahun 2013 dan yang ke-56 buat tanah air ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 16 Ogos lalu di Sungai Petani, Kedah; dua minggu sebelum kemuncaknya. Ia akan diikuti dengan program Ambang Merdeka di Pusat Maritim, Putrajaya serta perbarisan dan perarakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos nanti.

Apa makna kemerdekaan bagi warga Malaysia? Adakah masih mempunyai pertautan dengan semangat kemerdekaan secara konsisten atau ia sekadar menjadi salah satu hari sambutan yang membolehkan masyarakat beriadah dan bersantai dengannya?

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan - "Siapa kita tanpa Malaysia? Dan bersediakah kita untuk berkorban demi negara tercinta ini? Jika ada yang menyatakan tema merdeka tahun ini agak old school, saya memang mengakuinya kerana kita mahu mengembalikan semula perasaan cinta ini dalam kalangan rakyat supaya bersedia mempertahankan tanah air ini dalam apa jua situasi".

Sejarah pembentukan negara-bangsa ini perlu digarap nilainya oleh setiap warga Malaysia yang bangga menjadi rakyatnya. Kita tidak boleh bersifat selektif di dalam soal kenegaraan. Kita tidak boleh berkompromi dalam nilai-nilai asas yang membolehkan kita menjadi warganya; keterangkuman yang penting dalam proses membina bangsa Malaysia.

Asasnya adalah seorang warga yang setia kepada negara akan bersama dalam pasang surut yang dilalui; perwatakan berterima kasih ke atas pencapaian dan berazam meningkatkan kedudukan negara dalam keadaan yang tidak menentu atau zaman kemerosotannya. Susah senang dilalui bersama atas semangat pengisian kemerdekaan yang memaparkan proses pembinaan negara-bangsa yang jauh maju, kompetitif, pertumbuhan dan bersaing di peringkat global berbanding dengan beberapa buah negara serantau yang masih bergelut memahami erti kemerdekaan.

Semangat nasionalisme dan patriotisme mendasari semangat kemerdekaan sebenarnya. Walau ramai mempersoalkan jati diri generasi Y hari ini, kita harus akui perbezaan suasana masa dan tempat menyebabkan wujud tafsiran berbeza ke atas penerimaan konsep sambutan hari kemerdekaan. Jika generasi merdeka melalui pengalaman penjajahan tetapi generasi baru menikmati hasil peninggalan warisan berzaman generasi lalu. Jika generasi lalu memaparkan secara fizikal semangat perjuangan kemerdekaan, generasi Y memilih untuk melakukannya dalam acuan berbeza tanpa secara fizikal menunjukkan semangat jati diri mereka. Bagi mereka, yang penting adalah kesinambungan penghayatannya melalui pengisian yang memberikan hasil akhir kepada tanah air dalam imbuhan yang berlainan. Namun, ada segelintir yang nakal dengan semangat memperlekehkan perjuangan asal pejuang kemerdekaan tanah air.

Ada pula menyoal apa gunanya merdeka jika negara masih mundur, dibelenggu kemiskinan, dihimpit dengan kos sara hidup tinggi; ditenggelami oleh persekitaran yang kurang sihat dan tidak kondusif untuk menikmati kehidupan yang berkualiti. Apa guna juga jika nilai-nilai mulia tidak dipertahankan tetapi bertembung sesama warganya atas kepentingan peribadi.

Sebagai sebuah negara yang rencam, nilai penerimaan, hormat dan memahami penting dalam pengisian kemerdekaan agar ia terus menjadi benteng yang kukuh untuk meneruskan tradisi pencapaian yang jauh lebih baik dari apa yang sudah dinikmati selama ini. Titik keseimbangan antara sesama warga adalah bagaimana boleh sapa menyapa, ziarah, bekerjasama dan tmenegur jika ada silap dan salah bukannya bermusuhan sehingga membawa kepada ketegangan hubungan. Walau berbeza agama, etnik, geografi, gender atau fahaman politik, ia tidak boleh mempengaruhi pertahanan menyeluruh yang perlu ada dalam jiwa dan sanubari setiap individu demi kedaulatan negara ini. Jiwa Malaysia berkiblatkan 'satu negara, satu matlamat' akan pertahankan apa yang sudah dibina selama 56 tahun, satu tempoh masa yang masih pendek dalam proses membina bangsa yang tahu pengertian sebenar kemerdekaan.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk turut serta dalam meraikan kemerdekaan. Kesemua warga baik keluarga, media, rakan sebaya, sekolah, universiti, pemimpin, agensi berwajib dan badan bukan kerajaan serta pelbagai kumpulan sasar boleh memberikan maksud kepada pengertian kemerdekaan.

Saya masih ingat bagaimana guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjong Malim, Cikgu Borhan Shamsuddin (kini Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak) mengarahkan saya, Azri Mukhlas, Chin Peng, Norhayati, Noni, Mamat dan lain-lain melakonkan pantomin kemerdekaan untuk menyampaikan kepada pelajar lain makna kemerdekaan. Barangkali aktiviti seperti ini masih boleh diteruskan bersama aktiviti lain yang disesuaikan dengan persekitaran yang berubah-ubah.

Ada juga individu yang menunjukkan mereka gah dengan mengkritik dan menghentam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan kepada negara luar. Apakah ini dapat menjamin kedaulatan negara terpelihara. Malahan, dalam negara sekalipun, ada juga menyoal kedudukan Yang di-Pertuan Agong sehingga mempersenda kedudukan institusi tersebut melalui beberapa pendekatan khususnya media sosial. Apakah ini nilai yang mahu dipupuk dan disemai dalam kalangan warga negara ini?

Hakikatnya, pengisian kemerdekaan ini bergantung kepada keharmonian, keamanan, keselamatan dan kedaulatan tanah air. Demografi dan geografi Malaysia adalah unik. Ia menjadi akar yang menyuburkan rongga-rongga ikatan antara sesama warganya. Walau wujud ketidakseimbangan sosial baik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta inter dan intra kaum; kemuafakatan dan perpaduan penting sebagai landasan muhibbah dan kedamaian nasional.

Walaupun negara pernah berhadapan dengan beberapa konflik dalaman dan luaran termasuklah peristiwa seperti rusuhan perkauman 13 Mei 1969, Kampung Rawa 1998, Kampung Medan 2001, Lahad Datu 2012 dan beberapa insiden lain, keamanan tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan. Etnosentrik dan streotyping yang tebal sehingga menjadikan budaya lain bahan gurauan tidak tersenarai dalam usaha kerajaan membimbing nilai kemerdekaan. Kesederhanaan atau wassatiyah adalah antara ciri penting proses pengisian dan penghayatan sebenar hari kemerdekaan.

Ia juga adalah usaha memelihara keselamatan. Masyarakat mahu merasa selamat dari sentiasa perlu berhadapan dengan suasana takut, gelisah, syak wasangka, curiga dan tidak stabil. Selamat juga bererti tidak perlu gusar apa yang berada di hadapan mereka. Kepercayaan tinggi kepada autoriti perlu ada jika kita mahu merasa selamat. Jenayah dan beberapa tingkahlaku songsang lain perlu ditangani bersama dan bukan sekadar meletakkan beban di atas bahu pihak keselamatan. Ia juga terikat dengan nilai kedaulatan.

Kedaulatan negara berpegang kepada beberapa perkara dasar dalam Perlembagaan, Rukunegara dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta pembentukan sesebuah kerajaan. Jika ada pihak yang melahirkan kebimbangan ke atas kedaulatan negara, mereka wajar dihukum dan dijadikan pengajaran kepada yang lain. Keyakinan bahawa Malaysia adalah negara terbaik mesti diiktiraf.

Kepada yang menyalahkan pihak lain dengan pelbagai tuduhan termasuk bertanggapan pihak Polis Diraja Malaysia berdrama di Lahad Datu dan mengutuk polis hanya memerhati apabila tembak menembak berlaku serta polis dilabel kejam apabila menembak penjenayah perlu bertanya - Apakah sumbangan mereka ke atas tanah air ini? Adakah mereka terlibat dalam memelihara ketenteraman negara ini atau adakah satu kepuasan bagi mereka ketika negara berada dalam konflik dan krisis?

Pernahkah mereka meletakkan diri mereka sebagai ibu bapa, penjaga, anak, isteri, adik beradik kepada yang sentiasa berkorban menjalankan tanggungjawab demi keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara ini? Dimana mereka ketika keluarga perajurit tanah air dihujani dengan tangisan dan kesedihan bila mana yang terlibat terkorban demi negara yang tercinta ini?

Malaysiaku berdaulat adalah lambang keutuhan kesemua warga Malaysia yang tahu di sinilah hidup dan mati mereka. 'Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' merupakan kesimpulan daripada tema hari kemerdekaan tahun ini. Marilah bersama menjunjung yang berat dan menjinjing yang ringan bersama-sama kerana nilai kepunyaan adalah obor cahaya negara berdaulat.

Penulis ialah pensyarah di  Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KEIBUBAPAAN : Cemerlang anak-anak, indeks kejayaan ibu bapa?


Oleh : CHE ZURIANA MUHAMMAD JAMIL

SEJAUH mana kebenaran kata-kata ini? Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menjelma tak berapa hari lagi, pada ketika inibukan saja anak-anak yang kelam kabut bahkan ibu bapa turut gelisah. Siang malam menjadi acara anak-anak ini keluar masuk tempat tuisyen.

Adakah kerana kejayaan dalam peperiksaan penting ini menjadi indeks kejayaan ibu bapa? Adakah jumlah A dalam peperiksaan anak-anak menjadi indeks pengukur kejayaan ibu bapa? Betulkah jika anak berjaya mendapat 5A dalam UPSR menjamin kejayaan dalam SPM?

Semua persoalan ini mungkin boleh dijawab oleh semua ibu bapa tetapi tahap keyakinan ibu bapa masih diragui.

Ibu bapa anak-anak zaman generasi Y sekarang ini terlalu memikirkan kecemerlangan dalam peperiksaan penting sebagai acuan kejayaan anak-anak mereka.

Mereka berlumba-lumba mencari tempat tuisyen yang baik untuk anak-anak mereka bagi memastikan anak-anak berjaya. Justeru, beribu ringgit wang dihabiskan.

Mereka sanggup menghantar dan mengambil anak dari tempat tuisyen asalkan anak mereka 'bertuisyen'. Masa anak-anak ini jika tidak dihabiskan di tempat tuisyen mereka akan bersama-sama dengan gajet masing-masing. Kehidupan mereka lebih bersifat komersial.

Siapakah yang harus disalahkan? Adakah dunia pendidikan kita terlalu menekan kepada kejayaan akademik semata-mata?

Ini sedikit sebanyak menyebabkan masa untuk anak-anak menghayati zaman kanak-kanak mereka sudah tidak wujud sepertimana zaman ibu bapa mereka dahulu. Tiada lagi main lompat tali, main lempar bola kaki tiga, mengayuh basikal sekeliling kampung dan sebagainya.

Tempoh 24 jam seperti tidak cukup untuk anak-anak dan juga untuk ibu bapa. Arah haluan seperti tidak bertujuan, kemudi dilayari masa mengejari. Pepatah 'masa itu emas' seperti tidak lagi boleh dipakai kerana nilai emas sekarang seperti infiniti kayu pengukurnya.

Ini adalah kerana kebenaran nya diragui. Sejauhmana kebenaran bahawa jika anak-anak berjaya dalam peperiksaan penting ini mencerminkan kejayaan ibu bapa? Di mana pula kebenaran bahawa cemerlang anak-anak bukan sahaja melalui kejayaan intelek mereka tetapi juga melalui ukuran sahsiah dan keperibadian mereka?

Ibu bapa akan membandingkan kejayaan anak-anak mereka dengan anak-anak kawan-kawan mereka. Seolah-olah anak-anak yang tidak berjaya dari sudut intelek bukan satu anugerah kepada mereka. Bahkan mereka cuba untuk menutup rasa aib mereka dengan cuba mengalih perhatian kepada hal-hal lain. Anak-anak yang kurang bernasib baik ini seperti 'melukut di tepi gantang'.

Padahal sejarah telah membuktikan manusia yang berjaya bukan hanya melalui akademik semata.

Rasulullah SAW sendiri seorang yang buta huruf tetapi berjaya mengembangkan Islam hingga ke hari kiamat. Mungkin mereka boleh menjadi seperti Thomas Edison, seorang yang pekak yang telah menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia sejagat iaitu ciptaan mentol lampu. Begitu juga, tidak mustahil mereka akan menjadi seperti Abraham Lincoln yang kurang cerdik sewaktu kecil akhirnya menjadi menteri.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlu memainkan peranan dalam menyeimbangkan antara ilmu dunia dan akhirat. Setiap ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk setiap anak-anak.

Walaupun, kejayaan di dalam peperiksaan penting ini, tetapi bukan pengukur segala-galanya.

UPSR, PMR dan SPM bukan penentu segala kebahagiaan di masa depan. Keseimbangan amat perlu. Lahiriah dan batiniah. Keunikan mereka tidak sama antara setiap individu. Tiada satu kecemerlangan dalam hidup yang boleh dibandingkan dengan kecemerlangan insaniah.

Berilah ruang untuk anak-anak dan kita sendiri bernafas. Hargailah anak-anak kerana mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dalam kehidupan kita.

PENULIS adalah seorang Pensyarah Kanan di pusat pengajian perakaunan, UUM


Sumber : http : //www.utusan.com.my/