Selasa, 23 Julai 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kefahaman agama mensejahterakan negara


Oleh : Dr Muhamad Razak Idris 

POLEMIK berhubung pengenalan kursus Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS) pada peringkat pengajian tinggi di negara ini tidak sepatutnya berlaku.

Kepentingan peranan agama dalam proses pembangunan sudah lama disepakati. Namun, realitinya tidak sedemikian. Jelas, polemik ini mengesahkan iaitu masih ada segelintir anggota masyarakat yang masih dalam keadaan keliru berhubung persoalan hubungan agama dan negara sehingga terus mempertikaikan sebarang langkah dan usaha ke arah pengukuhan peranannya dalam proses pembangunan negara kita.

Kelompok masyarakat yang mengkritik pelaksanaan pengajaran TITAS ini boleh dianggap sebagai saki baki kumpulan yang masih belum mampu meninggalkan kesan penjajahan pemikiran dan budaya yang terjadi di negara ini oleh kuasa Eropah beberapa dekad lalu. Memang salah satu daripada warisan penjajahan yang wujud ialah doktrin pemisahan hubungan agama dan negara sebagai satu bentuk pendekatan diyakini penting dalam proses pembangunan sesebuah negara.

Doktrin ini diamalkan oleh kuasa penjajah sepanjang penguasaan mereka di negara ini atas asas pengalaman ketamadunan mereka di Eropah. Sejarah pertembungan agama dan negara dalam ketamadunan Eropah memang dicatat secara meluas dalam teks ilmiah terjadi pada sekitar abad ke-17 dan ke-18. Pertembungan itu membawa masyarakat Eropah ke satu jalan keluar, iaitu perdamaian antara keduanya hanya dapat diwujudkan sekiranya setiap pihak diberikan batasan khusus ruang pengaruh dan pertanggungjawaban. Model ini diguna pakai oleh penjajah di negara ini dalam menjalankan urusan penguasaan mereka.

Kelompok dipengaruhi doktrin ini melihat sebarang bentuk percampuran hubungan dan peranan agama dan negara hendaklah diawasi dan ditegah. Cadangan agar TITAS bukan menjadi subjek wajib adalah antara jelmaan ketidakselesaan mereka atas pembabitan langsung negara dalam urusan membabitkan proses pembentukan nilai dan perspektif agama warganya.

Sekiranya ditinjau, sikap penentangan itu bukan hanya terjadi dalam konteks TITAS saja. Sebelum ini, sudah berlaku beberapa pertembungan yang hampir sama dalam beberapa isu membabitkan soal penerapan nilai agama dalam kehidupan negara seperti dalam aspek perundangan seperti isu pengawalan moral dan cadangan pelaksanaan hukum jenayah syariah di negara ini.

Bagi kelompok yang menganut doktrin pemisahan hubungan dan negara, langkah dan cadangan ini adalah satu bentuk usaha halus negara bagi melaksanakan proses Islamisasi dalam urusan kehidupan kenegaraan secara beransur-ansur. Oleh itu, ia harus diawasi dan ditegah bagi memastikan identiti negara ini kekal mewarisi pemikiran dan kebudayaan ditinggalkan penjajah lalu terutama dalam hal-ehwal urus tadbir negara.
Bagi pelopor pemikiran kesatuan agama dan negara, doktrin pemisahan yang dianuti sekelompok masyarakat negara kita sebagai tergambar dalam polemik TITAS harus menjadi ingatan bahawa cabaran mereka dalam usaha mengukuhkan peranan agama dalam kehidupan bernegara masih besar.

Dalam erti kata lain, masih ramai berasa kurang selesa dengan pelbagai acara penerapan nilai agama daripada kalangan masyarakat kita. Tentu ketidakselesaan dan ketidakpuasan hati ditunjukkan itu berpunca daripada kejahilan terhadap hakikat keluhuran agama yang penting dalam memenuhi maksud pembangunan bersifat menyeluruh dan sempurna. Kelompok ini nampaknya gagal memahami dan menghayati, iaitu kedudukan istimewa agama dan peranannya dalam pembangunan warga dan negara pada perspektif masyarakat Muslim.

Nilai ajaran agama yang luhur dan sejagat berfungsi sebagai idea pendorong dalam membentuk masyarakat dan generasi yang progresif dan inovatif. Apabila penentangan berlaku terhadap pelbagai usaha penerapan nilai agama oleh negara, ia menunjukkan kefahaman agama kelompok ini masih berada pada tahap rendah terhadap hakikat agama Islam. Konsep Islam sebagai sebuah tatacara dan sistem nilai bersepadu masih tidak dapat dihayati. Mereka seumpama masih berada dalam tahap lama menanggapi Islam sebagai satu kegiatan ritual rohani yang tiada berkaitan dengan urusan kehidupan lahiriah yang kompleks kini. Pada mereka, penerapan nilai dan kefahaman agama boleh mengancam dan merencatkan agenda pembangunan sesebuah negara yang menuntut fakta dan penelitian objektif.

Kelemahan berfikir mengenai peranan agama oleh sesetengah kelompok masyarakat ini mendukacitakan. Penentangan terhadap TITAS sebenarnya memberi justifikasi yang lebih kuat agar subjek itu terus diperkukuhkan dalam sistem pendidikan tinggi negara. Kejahilan yang ditunjukkan kelompok ini terhadap peranan kefahaman agama dan peradabannya menggambarkan pengenalan TITAS amat penting dipertahankan. Seharusnya, mereka mencadangkan langkah bagi mengatasi kelemahan yang barangkali wujud dalam pelaksanaan kursus ini dan bukan melemahkannya.

Dalam konteks ini, Kementerian Pengajian Tinggi tidak harus tunduk dengan desakan kelompok ini kerana ia adalah langkah ke belakang. Pendedahan mengenai hakikat keunikan peradaban Islam dan peradaban Asia lain akan mengayakan pengalaman dan mendekatkan persefahaman generasi muda negara. Ia juga akan mengukuhkan penghargaan mereka terhadap peranan agama sebagai wahana yang mensejahterakan negara dan bukan sebaliknya.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan