PENDAHULUAN
Kemunculan aliran pemikiran dalam
Islam berkembang pesat dengan kemasukan falsafah Greek pada zaman pemerintahan
kerajaan Abbasiyyah. Kemasukan aliran ini bukan sahaja meresap masuk dalam
pemikiran tokoh-tokoh Islam malah turut mewujudkan beberapa disiplin ilmu
khususnya dengan kelahiran ilmu kalam. Kesan daripada kelahiran ilmu ini, maka
terbentuklah dua aliran aqidah yang bertentangan antara satu sama lain. Aliran
tersebut merangkumi aliran al-Muta’zilah dan al-Asyairah.
Walaupun pengaruh falsafah Greek
atau lebih tepat lagi pemikiran barat dapat dimurnikan tokoh-tokoh Islam
seperti Imam al-Ghazali, namun aliran pemikiran ini kemudiannya menular masuk
dalam pelbagai bentuk selepas jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah. Aliran
pemikiran barat ini bukan sahaja menjadikan akal sebagai tunjang utama malah
cuba memisahkan agama daripada kehidupan manusia. Hal ini dapat dilihat dengan
rosaknya agama Yahudi dan Nasrani apabila diresapi fahaman falsafah yang
pelbagai sehingga menolak peranan wahyu.
Kini, kemunculan aliran
sekularisme yang secara jelas bersifat antiagama dan berasaskan budaya hawa
nafsu sedikit sebanyak telah menghancurkan pemikiran umat Islam. Menurut
Muhammad Naquib al-Attas, Sekularisme bermaksud pembebasan manusia daripada
aspek agama dan metafizik. Ia juga dapat didefinisikaan sebagai satu ideologi
atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam setiap aspeknya
selain daripada ibadah keagamaan di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran,
dan nilaian duniawi semata-mata. Dalam erti kata lain ajaran ini menolak ukuran
agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara di samping menjadikan pemenuhan
tuntutan duniawi sebagai matlamat tertinggi dan sebenar manusia. Akibat daripada
menjadikan akal sebagai tunjang utama kehidupan, timbul pelbagai aliran
pemikiran dalam masyarakat mengikut acuan yang tersendiri seperti Komunisme,
Kapitalisme, Liberalisme, Pluralisme dan Hedonisme.
PENGENALAN HEDONISME
Hedonisme menurut pengertian
kamus dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan
atau kesenangan hidup. Manakala Drs Sudarsono dalam bukunya ‘Etika Islam
Tentang Kenakalan Remaja’ terbitan Bina Aksara pula mengatakan Hedonisme
merupakan sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang
paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan
kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan
kelazatan atau nikmat. Dalam Erti kata lain mereka beranggapan bahawa
kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup.
Menyoroti sejarah, fahaman
Hedonisme didokong oleh Aristipus (433-355 B.C), salah seorang murid ahli
falsafah Yunani yang terkenal iaitu Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan
Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa
yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya mengatakan bahawa yang
terbaik untuk manusia adalah kesenangan, hal ini terbukti kerana sejak kecil
manusia berasa tertarik akan kesenangan dan apabila telah menikmatinya, ia
tidak mencari sesuatu yang lain dan menjauhkan diri daripada ketidaksenangan.
Idea ini kemudiannya dikembangkan
oleh Epicurus dengan mengatakan tujuan hidup untuk kesenangan dan kedamaian.
Dalam fahaman ini, Epicurus menekankan bahawa kebaikan tidak mungkin akan
difahami seandainya kita menolak unsur kelazatan dalam hidup kita termasuk
kelazatan indera rasa, cinta, serta
kelazatan lain yang dapat dilihat dan didengar oleh penglihatan dan
pendengaran. Bahkan asas kepada segala kebaikan adalah kelazatan yang dirasai
perut sehinggakan ilmu, kebijaksanaan, budaya, dan tamadun umat manusia mesti
merujuk kepadanya. Manakala kelazatan minda pula dikatakan sinonim dengan
proses berfikir tentang kelazatan-kelazatan yang dicapai oleh unsur fizikal
tersebut.
Dalam pemikiran terkini berkaitan
Hedonisme, G.E Moore dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau
dilihat masih berpegang kepada konsep baik yang bertitik tolak kepada
keseronokan dan menegaskan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan
keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat. Sekiranya
diteliti hedonisme merupakan salah satu cabang fahaman Sekularisme. Ajaran
Sekularisme telah meletakkan lima prinsip utama sebagai neraca dalam alirannya.
Prinsip Vetalisme menekankan apa-apa yang berbentuk kuat dan menguntungkan
daripada segi kebenaran akan dianggap baik. Prinsip Kreativiti meletakkan
sesuatu yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baharu
akan dianggap sabagai baik dan bermutu.
Prinsip Relatif pula menekankan
tidak ada sesuatu konsep dan pemahaman terhadap sesuatu fakta atau teori yang
bersifat mutlak dan kekal. Sebaliknya semuanya boleh berubah mengikut perubahan
zaman dan perkembagan ilmu pengetahuan. Prinsip Hedonisme pula menggariskan
apa- apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik ,
manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap
buruk. Prinsip terakhir pula menganggap majoriti masyarakat sebagai pemutus.
Aliran ini menganggap pilihan majoriti adalah baik.
Kesimpulannya, Hedonisme
menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan. Keseronokan ini
diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini sedikit sebanyak bertepatan
dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan manusia bebas daripada segala
unsur ketuhanan. Selain itu, keseronokan yang diputuskan oleh individu boleh
menyebabkan berlakunya perselisihan antara satu-sama lain. Sebagai contohnya
seseorang individu menganggap membunuh adalah perkara yang menyeronokkan
manakala seseorang individu lain pula menganggap ia sesuatu perkara yang
menakutkan. Oleh itu, secara jelas konsep pemikiran hedonisme tidak relevan
digunakan dalam hal ini kerana boleh mewujudkan perbezaan pemikiran. Walau bagaimanapun,
malang sekali kerana remaja-remaja di
Malaysia sekarang kebanyakan telah terdedah dengan pemikiran ini sama ada secara
sedar atau tidak. Sekiranya tidak dibendung, pemikiran ini akan menghancurkan
masyarakat Malaysia suatu hari nanti.
ISLAM DAN HEDONISME
Islam sangat memandang berat
pemikiran-pemikiran yang cuba mengganggu umat Islam. Hal ini kerana sekiranya
pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan aqidah umat Islam.
Sedangkan aqidah berfungsi sebagai tonggak kepada seluruh perancangan hidup
manusia khususnya yang menyentuh aspek perancangan ummah. Lazimnya,
perbincangan mengenai akidah akan turut melibatkan persoalan Iman. Konsep
keimanan adalah mengenai individu yang mempunyai akidah yang benar dan
mempunyai tiga elemen penting merangkumi pegangan kuat berasaskan keyakinan,
wujudnya unsur ketundukkan yang ikhlas dalam sanubari manusia terhadap apa yang
diimaninya dan yang terakhir adanya unsur cetusan atau ransangan dalaman dalam
diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di
dalam diri individu tersebut dan dalam kenyataan dengan berusaha untuk
menyelaraskan seluruh aktiviti hidup sehariannya berasaskan kepada nilai-nilai
keimanan tersebut. Hal ini kerana individu tersebut tidak boleh bersabar
melihat segala aktiviti hidup dilangsungkan berasaskan bentuk dan kaedah yang
bertentangan dengan asas-asas keimanan yang terpendam jauh dan kental dalam
hati sanubarinya.
Merujuk kepada definisi diatas,
jelas sekali bahawa budaya hedonisme adalah bertentangan dengan akidah umat
Islam. Hal ini kerana budaya hedonisme mementingkan kebebasan fikiran sedangkan
aqidah Islam meletakkan al-Qur’an dan Hadith sebagai paksi pemikiran sejagat.
Selain itu, dalam pengertian kebaikan terhadap individu, pandangan Islam adalah
bertentangan dengan konsep kebaikan dalam pembawaan Hedonisme. Islam melihat
konsep kebaikan adalah melibatkan pembangunan ummah yang memberi fokus
kepada aspek pembangunan berteraskan ketuhanan atau kerohanian berbanding
dengan kemajuan yang berbentuk kebendaan agar manusia bukan sahaja mendapat
kebaikan di dunia tetapi juga mendapat kebaikan di akhirat. Manakala konsep
kebaikan yang dibawa oleh Hedonisme adalah apa-apa yang berbentuk keseronokan.
PRINSIP HEDONISME
Individu yang berpegang kepada
falsafah hedonisme adalah bersifat materialistik atau kebendaan. Golongan ini
beranggapan bahawa kesenangan atau kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir
hidup. Oleh itu, mereka memilih kebahagiaan sebagai langkah untuk mencapai
kesenangan. Mereka juga berpendapat bahawa tindakan yang baik adalah untuk
kenikmatan dan kepuasan diri.
John David Garcia dalam bukunya
“The Moral Society” menjelaskan bahawa dalam budaya hedonisme pleasure dan
happiness atau dalam erti kata lain iaitu kesenangan dan keseronokan diberi
nilai yang paling tinggi. Oleh yang demikian, golongan hedonisme akan berusaha
sedaya upaya mereka untuk memaksimumkan prinsip kesenangan dan keseronokan itu
bagi mengatasi segala yang lain.
Golongan hedonisme mengambil kira
bagaimana tindakannya boleh memberi kesan terhadap keseronokan dan kegembiraan
dalam kehidupan sama ada pada masa ini atau akan datang. Oleh itu, tugas
mereka yang utama adalah meningkatkan kadar pengalaman yang menyeronokkan dan
mengurangkan kadar ketidakselesaan seperti kesakitan, kesedihan dan kekecewaan.
Sumber : http : //ciptaan-mulia.blogspot.com/