Ahad, 16 Disember 2012

ISU PEMBANTU RUMAH : Guna CBM selesai isu pembantu rumah?


Oleh NURUL ANUAR KARI

ISU penderaan pembantu rumah dan terbaru dakwaan penyeksaan sekumpulan warga asing sebagai pekerja bukannya perkara baru mahupun boleh diperkecilkan mana-mana pihak.

Bagi individu, ia satu penganiayaan yang melampau terhadap manusia lain, melanggar norma masyarakat dan paling utama memburukkan nama Malaysia di mata dunia.

Sejak kebelakangan ini, banyak pendedahan dibuat melibatkan penderaan malahan pembunuhan pembantu rumah warga asing khususnya di kalangan agensi dan majikan bukan Melayu.

Baru-baru ini pula, sebuah daripada agensi tersebut disiasat kerana dipercayai melakukan kesalahan pemerdagangan manusia melibatkan 105 wanita warga asing, Indonesia, Kemboja dan Filipina di Klang.

Antara punca masalah, penderaan dan penganiayaan dalam kalangan agensi dan majikan terbabit mungkin akibat perbezaan budaya, agama dan juga bahasa.

Pekerja Indonesia contohnya, mungkin tidak memahami bahasa Inggeris sementara majikan pula tidak memahami bahasa ibunda pekerja, umpama itik bercakap dengan ayam.

Pihak agensi pula cuma sekadar 'tangkap muat' sahaja bagi memenuhi permintaan dan mengambil bayaran tanpa mempedulikan aspek kualiti dan kemampuan pekerja mahupun apa jua masalah yang dihadapi majikan selepas pembantu rumah diserahkan.

Belum lagi mengambil kira kumpulan warga asing yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial bagi memenuhi permintaan dengan segera.

Ada antara mereka ditipu dengan bermacam-macam janji tetapi akhirnya menjadi pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan segala macam 'pe' lagi yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi lebih utama lagi, memusnahkan hidup warga asing terbabit.

Tidak kurang juga yang memang menjadi pembantu rumah seperti dijanjikan tetapi tidak pula dibayar, namun tidak boleh 'bising' kerana mereka masuk dan bekerja secara haram.

Ada pula di kalangan pekerja asing yang dibawa masuk secara haram ini tidak diperiksa sehabisnya pihak agensi sehingga membawa masalah kepada majikan seperti lari, mencuri, menculik anak mahupun berkomplot bersama rakan senegara untuk merompak atau melakukan jenayah lain.

Tidak kira bagaimana situasi yang dihadapi, sama ada ejen di negara asal menipu, ejen di negara ini menipu, pekerja menipu majikan dan bermacam lagi masalah, akhirnya nama Malaysia juga yang menjadi busuk.

Maka, tidak hairanlah bila semakin ramai rakyat di negara asal mereka membenci negara ini dan membuat bermacam bantahan dan demonstrasi seperti yang sering berlaku di Jakarta, Indonesia setiap kali kes baru didedahkan media.

Pada ketika persatuan agensi-agensi tersebut mula menuding jari antara satu sama lain, timbul cadangan agar semua urusan kemasukan warga asing diuruskan antara kerajaan dengan kerajaan (GTG) sahaja.

Bukan sekadar memantau kos sebenar untuk setiap pekerja yang dibawa masuk tetapi lebih utama menjamin keselamatan serta pemantauan hubungan majikan dan pekerja asing agar kedua-duanya tidak teraniaya.

Lebih penting lagi, urusan terus GTG akan membolehkan pemantauan rapi secara telus dan berkala oleh agensi kerajaan kedua-dua negara bagi memastikan majikan menjaga pekerjanya dan pekerja pula menjalankan tanggungjawab setimpal dengan upahnya.

Walaupun mungkin terlalu awal untuk mengambil alih keseluruhan fungsi agensi pekerja asing, kerajaan Malaysia dan juga negara-negara terbabit perlu menimbangkan memulakan inisiatif GTG khusus untuk sektor pembantu rumah yang dilihat paling banyak berlaku kes penganiayaan.

Bagi Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, senario yang semakin teruk itu sebenarnya sudah ada penyelesaian tersendiri di peringkat ASEAN.

"Antara negara-negara ASEAN, kita mempunyai kaedah dikenali sebagai Confidence Building Measure (CBM) bagi membolehkan kerjasama antara dua atau lebih kerajaan menyelesaikan masalah atau isu-isu berbangkit antara mereka.

"CBM mempunyai lima 'trek' yang mana trek pertama untuk urusan rasmi antara pemimpin dan kerajaan negara-negara dalam ASEAN sementara trek dua hingga lima adalah untuk urusan tidak rasmi," jelasnya.

Menurut beliau, mengikut prosedur, peringkat pertama trek satu CBM melibatkan ketua-ketua negara, peringkat kedua antara kementerian-kementerian terbabit dan peringkat ketiga pula antara pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam isu tersebut.

Tegasnya, trek satu CBM amat sesuai dijadikan sebuah platform untuk GTG dalam menyelesaikan masalah pembantu rumah warga asing di Malaysia di samping menyekat aktiviti pemerdagangan orang.

"Langkah ini lebih baik daripada diberikan 100 peratus kepada pihak ketiga (agensi) kerana akan menimbulkan permasalahan lain yang sukar diselesaikan kelak.

"Elok jika ada campur tangan secara terus GTG kerana kerajaan negara-negara terlibat tiada matlamat keuntungan seperti pihak ketiga tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial ke atas rakyat mereka," ujarnya.

Tambahnya, akibat fokus kepada keuntungan di kalangan pihak ketiga itu juga akhirnya pekerja asing dan majikan mereka yang menjadi mangsa.

Oleh itu, Mohamad Faisol berharap pemimpin Malaysia dan negara ASEAN lain mengaplikasikan kaedah CBM dalam isu pekerja asing dan mungkin boleh meluaskannya untuk menyelesaikan isu-isu lain melibatkan kehendak sosial rakyat mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/